Jentera klasik Jaguar E-Type dilahirkan semula selepas 50 tahun
Untuk tempoh beberapa tahun akan datang, Jaguar mahu anda melupakan terus kereta berenjin pembakaran dalaman kerana mereka mahu memfokuskan kepada penghasilan barisan model berkuasa elektrik.
Namun begitu, jika anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, anda boleh memohon kepada pengeluar itu untuk menghasilkan kembali model yang sudah lama dihentikan produksinya.
Dalam kes ini, Jaguar E-Type.
Divisyen Jaguar Classic dengan baik hatinya menerima permintaan daripada seorang pengumpul di Asia Tenggara yang mahukan sepasang Jaguar E-Type untuk ditambah ke dalam koleksinya.
Dengan menggunakan data lukisan asal (blueprint) model Series 1 1961 hingga Series III, Jaguar Classic menghidupkan semula E-Type Commemorative berdasarkan versi istimewa E-Type Commemorative Edition yang dihasilkan sebanyak 50 unit pada tahun 1974 untuk menandakan penamatan produksi jentera itu.
Satu daripadanya dikemaskan dengan warna Signet Green, manakala satu lagi berwarna Opal Black.
Dua jentera klasik ini mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.8 liter yang kini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api elektronik menggantikan tiga karburetor yang asal.
Transmisi manual empat kelajuan yang asal juga telah digantikan dengan unit lima-kelajuan yang lebih moden.
Menurut Jaguar, mereka memerlukan tempoh masa lebih 2,000 jam untuk memadankan kesemua naik taraf moden pada kereta klasik ini, termasuklah cermin hadapan dengan ciri pemanas dan radio Bluetooth.
Ruang kabin E-Type ini dihiasi dengan tempat duduk balutan kulit tan Bridge of Weir yang disulam menggunakan tenaga tangan, konsol tengah aluminium dengan ukiran blueprint Series 1, serta kemasan emas dan perak yang dihasilkan oleh Deakin & Francis – pengeluar barang kemas tertua di Britain.
Melihatkan kepada kualiti kerja yang dihasilkan, hanya mereka yang mempunyai poket yang dalam sahaja layak untuk memiliki jentera klasik E-Type Commemorative ini.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.