Arkib Tag: ETCM

Nissan GT-R 2025, ‘Godzilla’ ICE terakhir yang takkan dibawa masuk oleh ETCM

Jika anda perasan, Nissan Malaysia di bawah naungan Edaran Tan Chong Motor mula memperlahankan rentak mereka sejak kebelakangan ini.

Tiada lagi model-model baharu dilancarkan, malah beberapa model SUV yang dijanjikan sebelum ini masih lagi belum menunjukkan bayang di tanah air Malaysia.

Di pasaran Jepun, Nissan baharu sahaja melancarkan kemaskini untuk model berprestasi tinggi GT-R 2025, dan difahamkan ia mungkin akan menjadi model terakhir R35 sebelum ditamatkan produksinya kelak.

 

 

Versi yang dikemaskini ini membawakan kemasan luaran yang hampir sama dengan model facelift tahun lepas.

Untuk varian GT-R Premium Edition ia kini didatangkan dengan opsyen kemasan upholsteri Blue Heaven pada ruang kabin yang tampak klasik itu.

Antara perubahan ‘terbesar’ yang dibawakan ialah penggunaan komponen enjin eksklusif yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Nismo Special Edition.

 

 

Terima kasih kepada penggunaan komponen Nismo seperti cincin omboh, rod penyambung dan aci engkol yang telah diseimbangkan beratnya, enjin 3.8 liter turbo berkembar V6 pada Nissan GT-R Premium Edition T-Spec dan Track Edition mampu menawarkan putaran enjin serta turbo spooling yang lebih pantas.

Kuasa kuda masih lagi sama, iaitu 565 hp pada model standard, dan 600 hp untuk model Nismo.

 

Disebalik perubahan yang kecil itu, harga jualan Nissan GT-R 2025 kini jauh lebih mahal, bermula dari ¥14,443,000 (~RM457,361) untuk versi standard, hinggalah ¥30,613,000 (~RM969,411) untuk versi GT-R Nismo Special Edition.

Bagaimana pula dengan GT-R masa depan?

 

 

Jika anda masih ingat, di Japan Mobility Show hujung tahun lepas Nissan telah memperlihatkan sebuah model konsep Hyper Force berkuasa elektrik sepenuh masa.

Biarpun dengan rupa paras yang terlalu agresif untuk sebuah supercar, Nissan GT-R “R36” itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,341 hp dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, serta dua mod pemanduan iaitu GT (grand touring) dan R (racing).

Apapun, Nissan GT-R 2025 yang baru dilancarkan di Jepun itu berkemungkinan besar hanya akan muncul di pasaran Malaysia menerusi saluran pihak ketiga, itu pun jika wujud permintaan.

Nissan GT-R 2025

 

Nissan Hyper Force Concept

ETCM belanja lebih RM4 juta naik taraf Pusat Flagship Nissan 3S di Petaling Jaya

Pelanggan dan pemilik kenderaan Nissan berpeluang merasai pengalaman baharu apabila mereka mengunjungi Pusat Flagship Nissan pertama di Petaling Jaya.

Dinaik taraf selaras dengan Konsep Runcit Nissan (NRC-NEXT) yang terkini, pusat bertaraf 3S ini berfungsi sebagai mercu tanda kecemerlangan peruncitan automotif dan selepas jualan jenama Nissan di Malaysia.

Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM), Pusat Flagship Nissan 3S baharu ini membawa intipati kemewahan Jepun yang abadi ke persekitaran moden namun berfungsi untuk menerima dan mengalu-alukan pelanggan yang dihargai serta pemilik Nissan yang dihormati.

Dengan pelaburan bernilai lebih RM4 juta, pusat ini terselah dengan muka bangunan yang menawan serta logo baharu anggun yang mencerminkan identity korporat terkini Nissan.

Ia dirasmikan pada 10 Ogos lalu oleh Makoto Uchida, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Motor Co., Ltd. (NML), diiringi pengarah dan eksekutif atasan NML dan Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Pusat berkeluasan 43,000 kaki persegi ini mempunyai ruang pameran yang boleh memuatkan sehingga lapan kenderaan, dua ruang penghantaran kenderaan baharu dan tiga pengecas EV.

Pusat servisnya pula menyediakan 25 ruang servis am yang dilengkapi dengan pengangkat, serta ruang khusus untuk penyaman udara dan perkhidmatan penjajaran roda.

Selain itu, terdapat juga bilik individu juga diperuntukkan untuk pembaikan EV dan kenderaan yang memerlukan kerja membaik pulih yang lebih banyak.

Pusat servis ini disokong oleh pasukan selepas jualan seramai 25 orang dan mampu menyelenggara 100 kenderaan setiap hari. Semua juruteknik diperakui Nissan dan disokong oleh gudang alat ganti yang dilengkapi alat ganti tulen demi ketenangan fikiran pelanggan.

Turut disediakan adalah kemudahan-kemudahan seperti ruang menunggu, sambungan internet berkelajuan tinggi, kawasan yang diperuntukkan khas untuk perbincangan peribadi, dan juga bilik kanak-kanak.

Pemilik Nissan sedia ada juga boleh menikmati perkhidmatan Concierge yang menawarkan bantuan segera kepada pemilik di pintu masuk pusat servis, di samping ruang penerimaan tetamu baharu.

Bilik pameran Nissan Puchong dinaik taraf, kini berkonsepkan NRC-NEXT

EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan pembukaan bilik pameran Nissan baharu yang dinaik taraf di Puchong, Selangor.

Pembukaan bilik pameran Konsep Runcit Nissan (NRC) baharu ini adalah sejajar dengan hala tuju perniagaan ETCM dalam menyampaikan rancangan global yang dipertingkatkan untuk menginovasi bilik pameran Nissan.

Di samping itu, ia memberikan pengalaman jenama Nissan global kepada para pelanggan semasa mereka berada di bilik pameran.

Bilik pameran ini menggabungkan identiti korporat Nissan dengan logo Nissan baharu, menurut konsep NRC-NEXT, iaitu konsep runcit Nissan global terkini dan terbaharu dengan tujuan memberi pengalaman jenama yang lebih tinggi kepada pelanggan.

Bahagian luar bilik pameran ini diserlahkan dengan papan tanda Nissan berwarna merah yang ikonik, manakala para pelanggan yang ke bilik pameran dapat merasai tahap keselesaan persekitaran premium yang baharu dengan susun atur dalaman dan reka bentuk perabot yang moden.

Pelanggan juga akan dapat melihat semua model Nissan termasuk ‘Star Car’ terkini yang dipamerkan. Pada masa ini, ‘Star Car’ ialah Serena Hybrid J-IMPUL baharu yang dilancarkan baru-baru ini.

Bilik pameran ini mempunyai kawasan binaan seluas 7,502 kaki persegi. Ia mampu mempamerkan sehingga enam model Nissan dan menyediakan rangkaian kenderaan pandu uji, tempat penyerahan kenderaan baharu yang khusus, ruang istirehat pelanggan yang selesa dengan sambungan WiFi dan sudut hiburan kanak-kanak.

Apa yang menarik, selain di bilik pameran, sesi pandu uji boleh juga diaturkan di rumah atau di pejabat pelanggan.

Bilik pameran ETCM Nissan Puchong beralamat di No 2G, Jalan Bandar Tiga, Pusat Bandar Baru, 47100 Puchong, Selangor. Waktu operasinya adalah 9 pagi hingga 7 malam pada setiap Isnin hingga Sabtu, dan 10 pagi hingga 5 petang pada Ahad dan cuti umum.

Pusat perkhidmatan selepas jualan Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) Puchong Jaya terletak hanya lima minit dari bilik pameran ini.

Nissan Serena J Impul tampil dengan kit badan, rim dari Jepun – RM169,888

EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan ketibaan varian baharu Nissan Serena yang dikenali sebagai J Impul. Seperti namanya, model ini didatangkan dengan kit yang dibangunkan dengan kerjasama Impul dan diimport dari Jepun.

Berasaskan varian Premium Highway Star, Serena J Impul dijual pada harga RM169,888 tidak termasuk insurans. Kit Impul tersebut dipasang di kilang dan didatangkan dengan selama tiga tahun atau 100,000 km.

Bahagian depan MPV ini diserlahkan lagi dengan kehadiran insert krom pada gril V-Motion serta kemasan krom pada bampar. Di belakang, varian ini boleh dibezakan dengan kemasan krom pada bahagian bawah bampar dan lambang Impul pada tailgate.

Melengkapkan pakej luaran adalah rim aloi jejari Y Impul Millenium berukuran 18 inci, juga diimport dari Jepun. Ia tayar berprestasi ultra tinggi Goodyear Eagle F1 Sport bentuk bunga Eagle Claw dan Teknologi ActiveControl untuk kestabilan.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit Nappa berwarna berwarna burgundy-hitam, dengan corak yang diinspirasikan daripada taman batu Jepun serta sulaman logo Impul.

Ciri-ciri kemudahan yang sememangnya ada pada Serena dikekalkan. Ini termasuk tailgate dengan pintu berkembar, pintu gelongsor pada bahagian kiri dan kanan, tujuh port pengecas USB, sunshade pada tingkap dan suis pembuka pintu pada tempat duduk barisan ketiga.

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Serena dikuasakan oleh enjin CVTC 2.0-liter empat silinder yang digandingkan dengan motor elektrik bagi menghasilkan 150 hp dan 200 Nm. Dengan transmisi X-Tronic CVT dengan Adaptive Shift Control, ia menawarkan penjimatan bahan api sehingga 14.2 km/l.

Nissan LEAF 2023 – RM168,888, jarak 311 km dengan satu cas penuh

Jualan Nissan LEAF di seluruh dunia telah melebihi angka 600,000 unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2010.

Kini, untuk tahun 2023, model itu diberikan facelift dan ia telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan satu varian pada harga bermula dari RM168,888.

LEAF baharu ini menggunakan motor elektrik tunggal yang mampu menjana output sebanyak 110 kW (150 PS) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat.

Dilengkapi dengan bateri litium-ion berkapasiti 40 kWh, ia menawarkan jarak pemanduan sejauh 311 km bagi setiap pengecasan penuh berdasarkan kitaran ujian NEDC.

Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan di Malaysia, jarak itu lebih daripada mencukupi untuk kegunaan kebanyakan pemandu Malaysia di bandar dan pinggir bandar setiap hari.

Untuk pengecasan, pelanggan boleh menggunakan pengecas Type 2 (sebelum ini Type 1) untuk pengecasan AC mudah alih menerusi soket elektrik 3-pin yang mengambil masa kira-kira 7 jam.

Selain itu, LEAF juga didatangkan dengan penyambung CHAdeMo untuk pengecasan pantas DC dengan kadar cas maksima 50 kW. Kaedah ini mengambil masa kira-kira 60 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 100 peratus.

Seperti sebelum ini, ia dilengkapi dengan teknologi e-Pedal membolehkan pemandu menggerakkan kereta, memecut, memperlahan dan memberhentikan kenderaan hanya dengan cara menambah atau mengurangkan tekanan ke atas pedal pecutan.

Turut disertakan adalah rangkaian teknologi Nissan Intelligent Mobility (NIM). Ia merangkumi ciri-ciri keselamatan seperti Intelligent Lane Intervention & Intelligent Lane Departure Warning, High Beam Assist, serta Intelligent Rear View Mirror.

Untuk pasaran Malaysia, LEAF didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km, serta jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km khusus untuk bateri litium-ion. Dengan selang servis berjadual 20,000 km, kos penyelenggaraan model ini adalah sekitar RM300 setahun.

Sebagai alternatif, EV ini juga boleh didapati menerusi Program Langganan LEAF yang tidak memerlukan sebarang bayaran pendahuluan. Pemilik hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama tiga tahun.

Bukan itu sahaja, ETCM turut menawarkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) serta filem penapis haba percuma bernilai RM2,200.

Pemilik LEAF juga boleh menggunakan model Nissan terpilih (X-Trail, Serena atau Navara) selama 23 hari setahun secara percuma dalam tempoh tiga tahun pertama pemilik. Ini bagi membolehkan pemilik melakukan perjalanan jarak jauh seperti pulang ke kampung dan sebagainya.

Sambut Hari Kekasih dengan promosi ‘Fall In Love At First Deal’ dari ETCM

SEMPENA sambutan Hari Kekasih, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi kenderaan Nissan di Malaysia telah melancarkan promosi istimewa ‘Fall In Love At First Deal’ yang menawarkan pelbagai pakej menarik untuk model terpilih.

Pertama sekali, Nissan X-Trail kini boleh didapati dengan pakej aksesori Black Edition yang merangkumi gril hadapan berwarna hitam, Aerokit TOMEI, rim aloi 17 inci hitam berkilat, upholsteri kulit Nappa bersama kemasan leatherette pada papan pemuka dan pad lutut, serta filem Ice Cool.

Untuk mendapatkan pakej ini, pelanggan hanya perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM1,000 dan mereka akan menikmati penjimatan sebanyak RM10,500. Sepanjang Februari ini juga, pelanggan boleh memiliki X-Trail dengan bayaran ansuran bulanan istimewa berjumlah RM1,318.

Untuk Serena pula, ETCM menawarkan model MPV tersebut dengan rebat cukai jualan 100 peratus serta pakej upholsteri leatherette dan filem Ice Cool pada harga hanya RM1,000.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan Navara boleh menikmati penjimatan sehingga RM9,950 untuk pakej Protection dengan bayaran tambahan sebanyak RM1,000 sahaja. Pembeli Almera pula boleh mencantikkan kereta mereka dengan pakej aero TOMEI dengan bayaran tambahan sebanyak RM1,000.

Semua bilik pameran Nissan juga menawarkan pandu uji untuk pelbagai model Nissan. Sepanjang tempoh promosi ini, pelanggan yang memandu uji akan membawa pulang baucar Watsons bernilai RM20.

Edaran Tan Chong umum bantuan istimewa untuk pemilik Nissan terjejas banjir

EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) mengumumkan program bantuan banjir istimewa untuk pelanggannya yang terjejas banjir baru-baru ini.

Program ini menawarkan diskaun ke atas alat ganti dan kos buruh bagi membantu meringkan beban kewangan yang dihadapi oleh pemilik Nissan yang terkesan dengan kejadian banjir.

Bukan itu sahaja, syarikat itu turut menawarkan restorasi upholsteri pada harga istimewa RM1,655 untuk model sedan dan RM1,988 untuk MPV, SUV, trak pikap dan van.

Selain itu, pelanggan Nissan juga boleh menikmati ketenangan minda dengan pelan pembayaran mudah (EPP) yang menawarkan ansuran bulanan tanpa faedah hingga 12 bulan, serta waranti selama enam bulan atau 10,000 km untuk alat ganti.

Perkhidmatan lain seperti tunda percuma, tunda pintu-ke-pintu untuk kenderaan yang terjejas teruk, dan perkhidmatan ambil dan hantar untuk servis biasa turut tersedia.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh hubungi pusat penjagaan pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.

Beli Nissan bulan Mac, rebut peluang menangi Boost Stars

ORANG ramai berpeluang memenangi jutaan Boost Stars melalui kempen “March Deal Boosters” apabila membeli kenderaan Nissan pada bulan ini.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berkata, Boost Stars boleh dikumpulkan melalui transaksi menggunakan aplikasi Boost.

Foto oleh Nissan

Pelanggan kemudian boleh menebus ganjaran daripada katalog BoostUP dalam tempoh kempen bermula 1 hingga 31 Mac ini.

“Sehingga 20 juta Boost Stars akan diberikan semasa tempoh kempen mulai 1 hingga 31 Mac 2022.

“Pelanggan yang menang akan dapat menggunakan bintang-bintang ini untuk memilih ganjaran pilihan mereka dari katalog BoostUP.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang ini untuk membeli kenderaan Nissan yang baharu sementara masih terdapat pengecualian cukai jualan,” kata ETCM.

Antara model Nissan yang boleh mendapat Boost Stars adalah Nissan Almera 1.0L Turbo, Nissan Navara 2.5L Turbo 4WD, Nissan X-Trail dan Nissan Serena S-Hybrid.

Pakej aksesori dan perkhidmatan penyelenggaraan percuma juga ditawarkan kepada pelanggan untuk nilai wang lebih baik.

ETCM merupakan anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Bhd.

Syarikat itu memberi fokus kepada bahagian jualan dan pemasaran kenderaan Nissan di Malaysia.

Sertai BoostUp Pick & Win untuk menangi sebuah Nissan Navara

PELUANG baik kepada anda yang berhajat memenangi sebuah kenderaan jenis Nissan!

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dengan kerjasama Boost kini menawarkan sebuah trak pikap Nissan Navara 2.5L PRO-4X kepada pengguna bertuah.

Apa yang perlu dilakukan hanya menyertai peraduan BoostUp Pick & Win bersempena ulang tahun ke-4 Boost.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi hadiah menarik termasuk peranti pintar, peralatan rumah serta ganjaran pulangan tunai sehingga RM1,400,000.

Ketua Pegawai Operasi Tan Chong Motor Holdings Berhad Daniel Ho berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan Boost.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Boost sebagai pembekal perkhidmatan eWallet yang mempromosikan gaya hidup digital.

“Pada masa sama, ia turut menawarkan kemudahan kepada pelanggan dalam menyelesaikan urusan seperti pembayaran bil dan insurans,” katanya.

Semalam, ETCM dalam satu kenyataan turut mengucapkan selamat ulang tahun ke-4 kepada Boost.

ETCM juga berharap individu bertuah memenangi Nissan Navara 2.5L PRO-4X akan merasai pengalaman berharga serta terus memberi kepercayaan kepada jenama Nissan dan Boost.