Nissan Kicks e-Power mampu pacu kebangkitan Tan Chong? – Pandu uji ringkas


Pengedar rasmi jenama Nissan iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) agak senyap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Model serba baharu terakhir yang dilancarkan oleh syarikat itu adalah Almera sekitar penghujung 2020. Selepas itu, Nissan seolah-olah hilang dari radar.
Usah ditanya apa yang terjadi sepanjang tempoh itu kerana apa yang lebih penting adalah untuk terus melihat ke depan.
Ini kerana ETCM nampaknya masih belum berputus asa dan sebagai ‘penjaga’ jenama Nissan di Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu, syarikat itu bertekad bahawa mereka akan terus berada di sini.
Langkah pertama dalam usaha untuk bangkit semula ini adalah dengan membawa masuk crossover segmen B yang diperkatakan sejak dahulu lagi iaitu Nissan Kicks e-Power.
Kicks e-Power untuk pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ini bermakna kita akan mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.
Ya, kereta yang anda lihat ini bukanlah produk yang paling segar di pasaran namun sekurang-kurangnya bagi jenama Nissan, ia menawarkan sesuatu yang baharu iaitu trenkuasa e-Power.
Lebih menarik lagi, model facelift ini dilengkapi dengan sistem e-Power generasi kedua yang telah dipertingkatkan.
Namun sebelum penulis ulas lebih lanjut tentang e-Power, berapa besar saiz Kicks sebenarnya? Ia mempunyai ukuran panjang 4,290 mm, lebar 1,760 mm dan tinggi 1,605 mm, hampir 100 mm lebih pendek berbanding Honda HR-V.
Dari segi reka bentuk, ada yang mengatakan ia tampak seperti Nissan X-Trail versi mini namun apa-apa pun, penulis merasakan Kicks nampak sudah agak ‘berusia’ walaupun belum lagi dilancarkan ke pasaran.
Jangan salah sangka, penampilannya bukan tidak menarik tetapi ia tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh membuatkannya kelihatan lebih menonjol di bilik pameran.
Namun seperti yang anda sedia maklum, penampilan, reka bentuk dan hal-hal yang sewaktu dengannya adalah subjektif. Tidak semua mahukan kereta yang terlampau flashy – ada yang lebih gemar tampil lebih kasual dan bersahaja.
Ruang dalaman Kicks tampil kemas dan ringkas tetapi seperti bahagian luarannya, ia sudah mula menampakkan usianya.
Ini kerana susun aturnya boleh dikatakan 95% hampir sama dengan ruang kabin Almera cuma Kicks mempunyai tombol gear yang nampak lebih canggih tetapi terasa agak janggal digunakan.
Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk kerusi Zero Gravity, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci, tiga port USB dan pelarasan manual tempat duduk pemandu dan penumpang depan.
Varian tertinggi iaitu VLT mendapat sentuhan premium dalam bentuk upholsteri kulit dua tona yang membaluti tempat duduk dan papan pemuka.
Namun masih ada sudut-sudut tertentu yang membuatkan Kicks nampak dan rasa murah. Salah satunya adalah kemasan plastik keras pada panel pintu. Rekaan suis kawalan pendingin hawa juga perlukan kemaskini segera.
Walaupun ukuran jarak rodanya 5 mm lebih panjang berbanding HR-V, ruang dalaman Kicks, terutamanya untuk penumpang belakang, dirasakan sedikit sempit. Ini diburukkan lagi dengan tempat duduk yang agak tegak.
Namun ruang butnya agak besar, dengan kapasiti mencecah 423 liter. Menurut Nissan, ia mampu memuatkan dua buah beg golf bersaiz standard, sebuah bagasi besar dan sebuah bagasi sederhana.
Kicks mungkin tiba agak lewat ke pasaran namun seperti yang penulis katakan, ia membawakan sesuatu yang mungkin dapat menarik minat pembeli iaitu trenkuasa e-Power.
Apakah itu e-Power?
Nissan berkeras untuk tidak memanggilnya hibrid namun trenkuasa ini menggabungkan enjin pembakaran dalaman (ICE), motor elektrik dan bateri. Jadi secara teknikalnya, ia sebuah hibrid.
Namun tidak seperti sistem hibrid konvensional, enjin ICE di dalam sistem e-Power tidak menggerakkan tayar. Tugasnya adalah untuk mengecas bateri berkapasiti 2.1 kWj itu. Tayar dipacu oleh motor elektrik yang mendapat kuasanya daripada bateri tersebut.
Dalam erti kata lain, tayar digerakkan 100% oleh motor elektrik, memberikan feel pemanduan yang seakan-akan kenderaan elektrik. Namun ini lebih baik kerana anda tidak perlu risau tentang pengecasan.
Bagaimana dengan prestasinya dalam dunia sebenar?
Sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, penulis boleh rasakan kuasa pecutan yang lancar tanpa deruman enjin yang sudah biasa didengari pada kereta-kereta ICE.
Seperti sebuah EV sebenar, trenkuasa ini memberikan pendikit yang responsif dan tujahan tork segera, memudahkan penulis memotong kenderaan-kenderaan lain walaupun dengan ruang agak terhad.
Namun jangan terlalu berharap kerana kuasa pecutannya tidaklah seperti EV berprestasi tinggi. Kicks e-Power hanya mempunyai 129 PS dan 280 Nm – tidak tinggi tetapi bagi penulis sudah cukup untuk memenuhi keperluan pengguna dalam segmen ini.
Kicks e-Power mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport. Berdasarkan pengalaman penulis, mod Normal sudah cukup bagus untuk pemanduan biasa namun jika anda perlukan lebih kuasa, mod Sport cukup berguna.
Satu lagi kelebihan e-Power adalah sistem pemanduan pedal tunggal iaitu e-Pedal Step. Sistem ini diaktifkan dalam mod Eco dan Sport sahaja, di mana daya brek janaan semula (regenerative braking) lebih tinggi bagi membolehkan pemandu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menekan pedal brek.
Bukan itu sahaja, dengan daya brek janaan semula yang lebih tinggi, bateri juga akan dicas dengan lebih cepat. Dengan bateri penuh, anda boleh mengatifkan mod EV di mana kereta boleh bergerak dengan kuasa elektrik sejauh 2.5 km pada kelajuan 40 km/j, dengan enjin dimatikan.
Selain pemanduan yang lancar, Kicks juga seronok untuk dipandu terutamanya di jalan-jalan berliku. Entah apa resepi yang digunakan oleh jurutera Nissan untuk menala sistem suspensi namun crossover ini terbukti begitu cekap apabila berhadapan dengan selekoh-selekoh tajam.
Aspek NVH juga sangat memuaskan. Bergerak pada kelajuan yang agak tinggi, bunyi angin dan tayar dapat dihalang dengan baik. Cuma kadang-kala bunyi enjin bekerja keras mengecas bateri ketika pedal ditekan dengan agresif akan didengari.
Konklusi
Sama ada model ini mampu membantu ETCM bangkit semula atau tidak, masih sukar untuk dikatakan namun dengan Kicks, syarikat itu mempunyai produk yang cukup mantap walaupun sudah sedikit berusia.
Penulis percaya, dengan menguar-uarkan kelebihan e-Power dan strategi harga yang berkesan, ETCM mungkin mempunyai peluang untuk mendapatkan semula tempatnya di hati pembeli.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.