Nissan Kicks e-Power dilancarkan – dua varian, harga dari RM113,800
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) secara rasminya melancarkan Nissan Kicks e-Power ke pasaran tempatan.
Seperti yang dilaporkan, crossover kompak ini boleh didapati dalam dua varian iaitu VL dan VLT. Harga jualan rasminya telah pun diumumkan, dengan masing-masing bermula dari RM113,800 dan RM121,800.
Varian VLT boleh didapati dengan skema warna dua tona dengan tambahan sebanyak RM4,000, menjadikan harga jualannya RM125,800.
Apa yang menarik, ETCM menawarkan promosi Early Bird di mana 500 pelanggan terawal akan menerima waranti komponen EV selama 10 tahun/160,000 km serta rebat pengenalan bernilai RM5,000.
Dengan rebat berkenaan, harga jualan Kicks e-Power turun kepada RM108,800 untuk VL, RM116,800 untuk VLT dan RM120,800 untuk VLT dua tona.
Kicks e-Power menampilkan trenkuasa e-Power yang menggabungkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder, sebuah motor elektrik dan bateri litium-ion berkapasiti 2.1 kWj. Gabungan ini menghasilkan 129 PS dan 280 Nm.
Tidak seperti trenkuasa hibrid konvensional, enjin dalam trenkuasa e-Power bertindak sebagai penjana yang ditugaskan untuk mengecas bateri. Kuasa kemudiannya akan disalurkan ke motor elektrik bagi menggerakkan roda.
Ia bermakna Kicks e-Power dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti sebuah kenderaan elektrik sebenar tetapi ia tidak perlu dicas.
Kadar penggunaan bahan api adalah 21.7 km/l berdasarkan kitaran NEDC. Dengan tangki bahan api sebesar 41 liter, ia dikatakan mampu mencapai jarak sejauh 900 km.
Dari segi kelengkapan, Kicks e-Power didatangkan standard dengan lampu LED automatik, lampu kabus LED, cermin sisi boleh lipat automatik, pengelap cermin sensitif kelajuan dan kit pembaikan tayar (tiada tayar ganti).
Di dalam, terdapat tempat duduk Zero Gravity dengan balutan fabrik, pelarasan manual enam hala untuk kerusi pemandu dan empat hala untuk kerusi penumpang depan, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci dan tiga port USB.
Ciri keselamatan pula terdiri daripada Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Hill Start Assist, Intelligent Driver Alertness, Cruise Control, Intelligent Forward Collision Warning dan Forward Emergency Braking.
Mereka yang memilih varian VLT mendapat ciri-ciri tambahan berupa upholsteri kulit dua tona, kamera 360 darjah, Intelligent Rear View Mirror, Intelligent Cruise Control, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.
Kicks e-Power boleh didapati dalam warna Black Star, Sunrise Orange, Brilliant White Pearl, Brilliant Silver dan Red Pearl.
Varian VLT juga boleh dipesan dengan bumbung hitam Super Black untuk warna Sunrise Orange, White Pearl dan Red Pearl. Satu lagi warna dua tona yang ditawarkan untuk varian ini adalah Dark Metal Grey.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.