fbpx

Nissan Navara PRO-4X yang gagah dan hensem – Pandu uji

nissan navara pro-4x 19

JUJUR kata, semasa mula mengambil unit pandu uji Nissan Navara PRO-4X, penulis rasakan inilah trak pikap paling hensem dalam segmennya.

Ya, Ford Ranger Raptor mungkin lebih kemas, tetapi yang itu dalam liga berbeza. Harga pun jauh berbeza, kan.

Nissan Navara PRO-4X merupakan varian baharu dalam barisan facelift dan ia memang satu pakej cukup menarik sebelum Navara beralih ke generasi baharu.

Mari kita lihatkan beberapa nota ringkas penulis sepanjang memandu uji trak pikap ini selama beberapa hari.

1. Pakej penampilan cukup segak

Seperti dikatakan tadi, penulis cukup sukakan penampilan luaran Navara ini. Dengan warna Stealth Grey, kemasan merah-oren pada beberapa komponen yang menaikkan kontra, lampu depan LED, dan rim hitam berkilat, ia tampil cukup unik.

Malah semasa mula-mula melihat gambar Navara PRO-4X ini di laman web luar negara, penulis hampir tidak percaya Navara mampu kelihatan cukup tampan dan kemas sebegini. Nampak futuristik pun ada.

Paling penting, tiada lagi panel-panel krom berkilat seperti pada gril, semua digantikan dengan warna hitam.

2. Ruang dalaman ‘potong stim’

Tetapi bila masuk ke dalam, alamak, sedikit ‘potong stim’. Ruang kabin Navara ini secara keseluruhannya masih seperti versi biasa, tidak selari dengan mood yang dibawakan penampilan luaran.

Dari segi penggunaan bahan pun, kelihatan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan Toyota Hilux, Isuzu D-MAX dan Mitsubishi Triton.

Cuma yang bagusnya, ia tetap terasa lapang, selesa dan cukup dari segi kelengkapan. Paling penting bagi penulis, ada Apple CarPlay.

3. Pemanduan senyap dan mudah

Antara penambahbaikan penting dalam facelift kali ini ialah cermin akustik bukan sahaja di depan, malah tingkap tepi.

Ini memberikan pemanduan cukup senyap di kelajuan lebuh raya, memberikan keselesaan untuk pemandu dan penumpang.

Ini memang jelas terasa kerana boleh dikatakan tiada langsung bunyi angin dan tayar masuk ke dalam kabin, hanya sedikit bunyi enjin, itu pun hanya jika pedal minyak ditekan banyak dan rpm naik melebihi 3,000rpm.

Oh ya, pemanduan senyap ini juga disumbang oleh pemijak tepi yang direka semula, lantas memberikan aliran udara lebih kemas di bahagian ini.

Nissan Navara ini juga mudah dikendalikan. Walaupun saiznya besar seperti trak pikap lain, penulis mempunyai lebih keyakinan mengemudi Navara ini di laluan sempit, bukan sahaja kerana posisi duduk dan bukaan cermin sisi luas, tetapi juga hud depan yang berlekuk memberi gambaran kedudukan tayar depan.

4. Fungsi praktikal sebuah trak pikap

Sebagai sebuah trak pikap, ruang kargo belakang pastinya memainkan peranan dalam menentukan keputusan membeli.

Untuk Navara PRO-4X ini, ia didatangkan dengan sistem Utili-Track yang sebenarnya sepasang cangkuk aluminium di dinding ruang kargo yang boleh digelungsurkan untuk memudahkan anda mengikat barang.

Kemudian Tailgate Assist meringankan lagi beban diperlukan untuk menutup pintu kargo belakang ini.

5. Enjin cukup menjimatkan

Nissan Navara PRO-4X ini dikuasakan oleh enjin YD25 2.5-liter seperti sebelumnya, sayang sekali negara kita tidak mendapat enjin baharu 2.3-liter yang kini dijual di Thailand.

Apa pun, enjin 2.5-liter diesel ini menjana 190PS dan 450Nm tork, satu angka output yang dikira lebih dari mencukupi.

 

Terus terang katakan, penulis langsung tidak merasa kekurangan kuasa semasa memandu Navara ini walaupun membawa keluarga di jalan berbukit di Janda Baik, Pahang.

Mungkin lain ceritanya jika kita membawa muatan kargo kegunaan kerja di belakang.

Juga harus dikatakan enjin ini tetap menjimatkan, dengan mudah boleh mendapat 12 atau 13km per liter dengan pemanduan biasa. Tetapi dengan penggunaan penulis yang ada ‘mencuba’ kuasanya serta ‘idling’ dalam tempoh lama, penulis hanya mendapat bacaan purata 8.6km per liter.

6. Cukup ciri keselamatan

Dari segi keselamatan, Nissan Navara PRO-4X didatangkan dengan ciri terkini seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert.

Kesemua ini bukanlah terbaik atau terkini dalam kelasnya, tetapi masih dikira lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian.

7. Kesimpulan

Nissan Navara PRO-4X ini secara khususnya lebih kepada trak pikap gaya hidup ataua lifestyle kerana penampilannya yang cukup bergaya dan kemas.

Dengan rupa sebegini, pastinya ‘sayang’ untuk menggunakannya untuk melakukan kerja berat atau untuk ‘dilenjan’ pekerja-pekerja syarikat. Mungkin lebih sesuai dengan Nissan Navara varian biasa.

Untuk PRO-4X ini, ia sesuai untuk anda masukkan dalam senarai trak pikap keluarga dan kegunaan persendirian, mungkin jika anda jenis yang sukakan aktiviti luar seperti berkhemah atau pergi memancing di hujung minggu.

Jemput tonton video review penuh kami di bawah:

Spesifikasi Nissan Navara PRO-4X

Harga: RM142,200
Enjin: 2.5-liter DOHC, variable geometry turbo
Kotak gear: Automatik 7-kelajuan
Kuasa: 190PS @ 3,600rpm
Tork: 450Nm @ 2,000rpm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved