fbpx

ETCM belanja lebih RM4 juta naik taraf Pusat Flagship Nissan 3S di Petaling Jaya

Pusat Flagship Nissan 3S Petaling Jaya 01

Pelanggan dan pemilik kenderaan Nissan berpeluang merasai pengalaman baharu apabila mereka mengunjungi Pusat Flagship Nissan pertama di Petaling Jaya.

Dinaik taraf selaras dengan Konsep Runcit Nissan (NRC-NEXT) yang terkini, pusat bertaraf 3S ini berfungsi sebagai mercu tanda kecemerlangan peruncitan automotif dan selepas jualan jenama Nissan di Malaysia.

Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM), Pusat Flagship Nissan 3S baharu ini membawa intipati kemewahan Jepun yang abadi ke persekitaran moden namun berfungsi untuk menerima dan mengalu-alukan pelanggan yang dihargai serta pemilik Nissan yang dihormati.

Dengan pelaburan bernilai lebih RM4 juta, pusat ini terselah dengan muka bangunan yang menawan serta logo baharu anggun yang mencerminkan identity korporat terkini Nissan.

Ia dirasmikan pada 10 Ogos lalu oleh Makoto Uchida, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Motor Co., Ltd. (NML), diiringi pengarah dan eksekutif atasan NML dan Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Pusat berkeluasan 43,000 kaki persegi ini mempunyai ruang pameran yang boleh memuatkan sehingga lapan kenderaan, dua ruang penghantaran kenderaan baharu dan tiga pengecas EV.

Pusat servisnya pula menyediakan 25 ruang servis am yang dilengkapi dengan pengangkat, serta ruang khusus untuk penyaman udara dan perkhidmatan penjajaran roda.

Selain itu, terdapat juga bilik individu juga diperuntukkan untuk pembaikan EV dan kenderaan yang memerlukan kerja membaik pulih yang lebih banyak.

Pusat servis ini disokong oleh pasukan selepas jualan seramai 25 orang dan mampu menyelenggara 100 kenderaan setiap hari. Semua juruteknik diperakui Nissan dan disokong oleh gudang alat ganti yang dilengkapi alat ganti tulen demi ketenangan fikiran pelanggan.

Turut disediakan adalah kemudahan-kemudahan seperti ruang menunggu, sambungan internet berkelajuan tinggi, kawasan yang diperuntukkan khas untuk perbincangan peribadi, dan juga bilik kanak-kanak.

Pemilik Nissan sedia ada juga boleh menikmati perkhidmatan Concierge yang menawarkan bantuan segera kepada pemilik di pintu masuk pusat servis, di samping ruang penerimaan tetamu baharu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved