Arkib Tag: Eropah

Mazda lancar model SUV terbaharu, tampil lebih banyak ciri menarik

SYARIKAT Mazda terus berusaha mengukuhkan produk kenderaan utiliti sukannya (SUV) dengan melancarkan beberapa model baharu tidak lama lagi.

Memetik laporan media, Mazda bakal melancarkan model CX-50 pada bulan depan.

Bagaimanapun, CX-50 dijangka hanya akan memasuki pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu.

Model ini berkongsi platform sama dengan Mazda CX-30 dan Mazda 3 serta dijadual memasuki fasa produksi pada Januari 2022.

Foto ihsan Mazda

Sementara itu, Mazda juga dikatakan akan melancarkan model baharu CX-90 dan CX-70.

CX-90 dikatakan mempunyai tiga baris tempat duduk sementara CX-70 pula memiliki dua barisan tempat duduk.

Apa yang pasti, kedua-dua model ini mempunyai bentuk lebih lebar sekaligus sesuai dengan permintaan di pasaran Amerika Syarikat.

Foto ihsan Mazda

Selain itu, CX-90 dan CX-70 juga didatangkan dengan platform serba baharu pacuan roda belakang dan trenkuasa enam silinder sebaris.

Bagi pasaran Jepun dan Eropah, Mazda menampilkan dua buah model SUV baharu iaitu CX-60 dan CX-80.

CX-60 mempunyai dua baris tempat duduk manakala, CX-80 memiliki tiga barisan tempat duduk.

Kesimpulannya, kehadiran semua model baharu ini akan menambahkan lagi ‘keluarga’ SUV Mazda dan ramai juga ternanti-nanti informasi lanjut mengenai produk terbaharu syarikat itu.

 

 

Kawasaki perkenal Z900 SE di Eropah, miliki pelbagai ciri menarik

KAWASAKI telah memperkenalkan model baharu Z900 SE di pasaran Eropah.

Ia merupakan versi istimewa bagi model Z900 yang dihadirkan dengan pelbagai ciri istimewa khas buat pencinta motosikal jenis naked.

Mempunyai enjin empat silinder 948cc bersama kotak gear enam kelajuan, ia dapat menghasilkan kuasa 125PS pada 9,500 rpm dan 98Nm tork pada 7,700 rpm.

Sistem brek depan digunakan adalah jenis Brembo yang terdiri daripada set berkembar cakera 300 mm dan angkup M4.32 serta hos steel braided.

Pada bahagian brek belakang pula, model ini masih menggunakan unit cakera 250mm dengan angkup satu piston.

Foto ihsan Kawasaki

Z900 SE juga menggunakan suspensi belakang monoshock Ohlins S46 yang mempunyai tombol pengawal tahap pra beban.

Bagaimanapun, model ini masih dikekalkan dengan menggunakan fork 41mm boleh laras di bahagian hadapan.

Berikut spesifikasi lain terdapat pada model Z900 SE:

  • Penggunaan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED)
  • Skrin TFT 4.3 inci berwarna disambung kepada telefon pintar
  • Aplikasi Rideology
  • Empat mod tunggangan
  • Tiga tahap kawalan cengkaman KTRC

Berdasarkan maklumat diterima, Z900 SE mempunyai berat sekitar 213 kilogram dan hanya dijual dengan warna Metallic Spark Black/Candy Lime Green.

Foto ihsan Kawasaki

Toyota dedah imej RAV4, pasaran Eropah bakal terima varian Adventure

TOYOTA buat julung kali mendedahkan imej model RAV4 2022 yang tampak lebih mempersona dan mengiurkan.

Menerusi visual dipaparkan terdapat beberapa perubahan ketara bagi model terbaharu ini.

Antara perubahan yang boleh disaksikan termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED) yang kelihatan lebih ‘garang’ sekaligus sesuai untuk golongan lebih muda.

Selain itu, paling menarik perhatian adalah penggunaan bampar depan dengan gril hexagonal yang lebih besar.

Kemasan pada fender juga nampaknya lebih lebar selain turut didatangkan dengan dua tona warna eksklusif di bahagian badan dan bumbung.

Foto ihsan Toyota

Berikut merupakan antara ciri lain terdapat pada RAV4 2022:

  • Rim aloi 10-jejari perak atau hitam
  • Kerusi penumpang dengan larasan kuasa
  • Suis tingkap dengan pencahayaan
  • Slot USB Type C
  • Model Adventure

    Foto ihsan Toyota

    Berdasarkan maklumat diberikan Toyota, pasaran Eropah juga menerima model Adventure yang lebih menarik sama seperti ditawarkan di Amerika Utara, Jepun dan Australia.

    RAV4 yang ditawarkan di Eropah didatangkan hanya dalam varian hybrid.

    Ia menggabungkan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan motor elektrik yang menjana kuasa 218 PS.

    Ini termasuk 225 PS dengan tambahan motor belakang dan pacuan semua roda.

    Varian Plug-In Hybrid pula mempunya angka janaan 306 PS dan memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 75 kilometer melalui bateri lithium-ion 18.1 kWh.

    Pasaran Eropah dijangka menerima kemasukan RAV4 baharu ini pada suku pertama tahun depan.

    Volkswagen Taigo muncul di Eropah, miliki sistem IQ Drive Travel Assist!

    Volkswagen dan penghasilan kenderaan jenis crossover memang tidak boleh dipisahkan.

    Buktinya, bagi pasaran Eropah sahaja jenama itu mempunyai lebih enam model teras crossover berbagai saiz.

    Terbaharu, Volkswagen memperkenalkan satu lagi model terkini dikenali sebagai Taigo.

    Taigo merupakan crossover kompak coupe pertama dilancarkan Volkswagen di Eropah.

    Bagaimanapun, model itu telah pun dijual di Amerika Selatan sejak tahun lalu yang dikenali sebagai Nivus.

    Taigo dihasilkan berasaskan platform MQB-A0  sama seperti Polo dan T-Cross serta beberapa model jenama lain termasuk Audi A1, SEAT Ibizas erta Skoda Fabia.

    Taigo versi Eropah memiliki bampar lebih bergaya selain pilihan lampu Matrix LED IQ Light serta jalur lampu LED pada gril dan tailgate.

    Ia juga ditawarkan dalam versi R-Line yang membawakan rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty.

    Model ini juga mempunyai muncung ekzos berkembar dengan kemasan krom, rim aloi bersaiz besar dan logo ‘R’ pada gril.

    Perkataan Taigo tertera di bahagian belakang. – Foto ihsan VW

    Rekaan ruang kabin Taigo sama seperti Polo dan T-Cross.

    Antara kelengkapan yang disertakan adalah:-

    Panel instrumen Digital Cockpit Pro berukuran 10.25 inci
    Skrin sentuh yang dikuasakan oleh perisian MIB 3.1
    App Connect Wireless
    Arahan suara
    Apple CarPlay
    Android Auto

    Taigo juga didatangkan standard dengan pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk Front Assist dengan fungsi Emergency City Brake dan Lane Assist.

    Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan pakej IQ Drive Travel Assist yang membolehkan ia dipandu secara autonomi pada kelajuan sehingga 210 km/j.

    Taigo ditawarkan dengan dua pilihan enjin TSI iaitu 1.0-liter tiga silinder dengan 94 hp atau 109 hp dan 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 148 hp.

    Bergantung kepada unit yang dipilih, ia dilengkapi dengan transmisi manual lima, enam atau DSG tujuh kelajuan.

    Semuanya dipadankan dengan pacuan roda hadapan.

    Hafizh bengang isteri gagal ke Eropah, persoal tindakan JIM

    KEMARAHAN pelumba MotoGP Hafizh Syahrin Abdullah tidak dapat dibendung apabila dirinya dilihat meluah perasaan di media sosial.

    Semuanya gara-gara hasratnya membawa si isteri ke Eropah terhalang dek kerana peraturan ditetapkan pihak kerajaan.

    Menerusi InstaStory dimuatnaik, Hafizh mempersoalkan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa menghalang isterinya terbang ke Eropah.

    Jelas Hafizh, keberadaan isterinya berada di sisi adalah penting memandangkan risiko terpaksa ditempuh semasa perlumbaan.

    “Sumpah saya tak faham. Tak faham dengan apa pihak Imigresen sekarang dan kerajaan.

    “Saya nak ‘terbangkan’ isteri ke sini (Eropah) bukan untuk suka-suka.

    “Apa yang berlaku perlumbaan lepas sumpah ‘membuka mata’ saya sendiri. Kena ada salah seorang dekat dengan saya.

    “Kalau apa-apa berlaku sebab Malaysia-Eropah bukan dua jam. Ini 16 jam,” katanya.

    Minggu lalu, seorang pelumba Moto3 maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika aksi sesi kelayakan Grand Prix Itali.

    Jason Dupasquier meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada Ahad.

    Tahun lalu, Hafizh juga pernah terlibat dalam kemalangan serius ketika perlumbaan Grand Prix Austria.

    Nasib menyebelahi pelumba kelahiran Selangor itu apabila hanya mengalami lebam di beberapa anggota badan.

    Hafizh mohon maaf

    Sementara itu, Hafizh memohon maaf jika kenyataannya mengguris pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Mengakui KBS banyak membantu dalam kariernya, Hafizh mendakwa ‘serangan’ di media sosial itu tidak ditujukan kepada kementerian terbabit.

    “Saya ingin menjelaskan hantaran sebelum ini tidak ditujukan kepada KBS dan pihak lain.

    “Menteri KBS dan pasukan KBS banyak membantu saya. Apa yang saya luahkan sebelum ini berkaitan Imigresen.

    “Saya mohon maaf kepada KBS dan warga maya jika wujud salah faham,” katanya di media sosial.

    Hafizh dibidas di Facebook

    Menerusi pemerhatian EnGear, ‘serangan’ Hafizh terhadap JIM dibalas salah satu akaun di media sosial, Facebook.

    Akaun Friends of Immigration dalam satu hantaran berkata, pelumba itu perlu memahami peraturan ditetapkan kerajaan.

    “Kita kawal pergerakan warganegara Malaysia supaya hanya yang benar-benar perlu (kerja dan belajar).

    “Yang berlumba itu anda (Hafizh), bukan isteri.Tak kan tiada sesiapa di sana untuk urusan kecemasan (jurulatih, rakan)?

    “Hak keluar negara bukan hak mutlak. Perlu ikut undang-undang semasa,” jelas akaun Facebook berkenaan.