Arkib Tag: eksport

Perodua mahu perluas pasaran eksport Alza dan Axia ke Brunei, sasar kenaikan jualan pasaran asing 79 peratus

PERODUA pada 3 Mei lepas  telah memperkenalkan Alza AV dan H serta Axia AV dan G ke Brunei dengan sasaran jualan masing-masing sebanyak 120 unit serta 40 unit.

Syarikat itu juga akan meningkatkan jualan eksport tahun ini sebanyak 79 peratus kepada 1,960 unit berbanding 1,094 unit pada tahun 2023. Ini berikutan sasaran yang dibuat oleh syarikat kereta kompak itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.

Di samping itu, Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan sebanyak 460 unit.

Pada tahun 2023, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menjangka pertumbuhan yang berterusan di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.

“Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami.

“Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.

“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti,” kata Dato’ Sri Zainal.

Berikut adalah harga model-model Perodua yang dijual di Brunei:

Alza AV – B$30,900 (RM108,510)
Alza H – B$27,900 (RM97,975)
Axia AV – B$21,900 (76,905)
Axia G – B$17,900 (RM62,859)
Bezza 1.0L G – B$16,900 (RM59,347)

Kesemua harga yang disenaraikan adalah termasuk cukai jalan dan insurans.

Jualan Proton di Brunei meningkat 87%, X50 paling laris

PROTON mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 789 unit kenderaan di Brunei pada 2023, menunjukkan peningkatan sebanyak 87% berbanding 422 unit yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu melonjakkan jenama itu ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan, dengan pegangan pasaran sebanyak 5.4%, naik satu tempat dan meningkat 2.2% berbanding tahun 2022.

Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut ditutup pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi tahun sebelumnya.

Proton berkata X50 mendahului jualannya di Brunei dengan 476 unit terjual, merangkumi kira-kira 60% daripada  jumlah jualannya dan memacu model itu ke tempat ketiga keseluruhan dalam segmen pasarannya.

Steven Xu, Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa, Proton berkata, “Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama kami.

Proton bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors, untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian.”

Sementara itu, model-model Proton lain turut disenaraikan dalam kedudukan 10 teratas segmen masing-masing pada tahun 2023.

Persona dan Iriz berada pada kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B manakala X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun berada dalam pasaran kurang daripada setengah tahun.

Dengan menggunakan kejayaan pada tahun 2023 sebagai landasan, Proton dan PAD Motors yakin dapat mencapai lebih daripada 1,000 unit jualan pada tahun 2024.

Kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran S70, yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari. Brunei merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.

Rusia sekat eksport petrol dan diesel buat sementara

RUSIA pada Khamis telah menyekat eksport petrol dan diesel berkuat kuasa serta-merta. Ia bagi menstabilkan pasaran bahan api domestik, lapor agensi berita dpa.

Arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Mikhail Mishustin itu merupakan langkah sementara, tetapi tiada tarikh tamat diberikan.

“Sekatan sementara akan membantu memenuhi pasaran bahan api, yang seterusnya akan membolehkan penurunan harga untuk pengguna,” kata kerajaan dalam kenyataan di Moscow.

Hanya beberapa pengecualian dibenarkan, termasuk bekalan yang dipersetujui negara itu dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia yang didominasi Moscow, termasuk negara seperti Kazakhstan dan Belarus, lapor agensi berita Interfax.

Langkah itu diambil ekoran kenaikan mendadak harga bahan api di Rusia. Di sesetengah wilayah, bekalan petrol dan diesel semakin berkurangan, terutama di selatan negara itu yang memerlukannya untuk pertanian.

Kerajaan Rusia sebelum ini cuba meningkatkan jumlah bahan api yang didagangkan di bursa domestik. Ia juga memantau harga, khususnya yang perlu dibayar oleh pengguna pertanian.

Rusia masih menjadi antara pengeksport utama petrol dan diesel walaupun berlaku sekatan Barat ekoran perangnya terhadap Ukraine.

Proton X90 kini tembus pasaran Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei

WALAUPUN berdepan pelbagai cabaran, Proton tetap meneruskan rancangannya untuk meluaskan jangkauannya di luar sempadan Malaysia.

Ini kerana pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa merupakan salah satu tonggak utama bagi matlamat jangka panjang pengeluar kereta nasional itu.

Justeru itu, bulan Ogos menyaksikan Proton melancarkan SUV terbarunya iaitu X90 di tiga pasaran eksport.

Mauritius merupakan pasaran eksport pertama yang menerima X90, apabila model itu itu telah diperkenalkan pada 4 Ogos di Le Salon de L’ Automobile, SVICC, Pailles.

Ia diikuti dengan pasaran Afrika Selatan ketika Proton Afrika Selatan mempamerkan X90 di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami dari 25 hingga 27 Ogos.

Pada hari yang sama, Proton Brunei melancarkan X90 di majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan Tan Kah Boon, Pengerusi Pad dan Econ Motors.

Menurut Proton, populariti model keluarannya telah melonjak di Brunei dengan pencapaian tertinggi dalam sejarah. Kumpulan pertama unit X90 telah dijual dengan pantas dan model lain turut diminati pembeli dalam pasaran dengan anggaran Jumlah Volume Industri (TIV) tahunan sebanyak 13,000 unit.

Bagi Ogos, jualan kenderaan Proton mencecah paras tiga angka buat kali pertama apabila 100 unit didaftarkan.

“Tahun 2023 mencabar perniagaan eksport Proton kerana kebanyakan pasaran eksport kami mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal. Walau bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, dan Iraq,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.

Mengenai prestasi jualan untuk pasaran eksport bagi tahun 2022, Proton berkata volum berkembang pesat (5,406 unit), menandakan peningkatan sebanyak 79 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Volvo Car Malaysia akan eksport EV ke Vietnam dan Filipina mulai tahun ini

VOLVO Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa ia akan memulakan eksport kenderaan elektrik (EV) yang di pasang di Shah Alam ke Vietnam dan Filipina tahun ini. Syarikat itu telah pun menghantar EV ke Indonesia bermula tahun lalu.

Perjalanan elektrifikasi VCM bermula dengan pelancaran EV pertamanya di Malaysia iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric pada mac 2022. Model itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, dengan pesanan melebihi 400 unit dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan.

Pada Disember 2022, VCM memperkenalkan pula EV pemasangan tempatannya yang kedua iaitu C40 Recharge Pure Electric. Lebih 100 unit telah dipesan secara dalam talian dalam tempoh 10 hari selepas tarikh pelancarannya.

Dengan pelancaran dua model ini, syarikat itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya di mana 75 peratus daripada jumlah jualan keseluruhannya datang daripada barisan Recharge Pure Electric menjelang 2025, dan untuk menjadi syarikat EV penuh menjelang 2030.

Selain melancarkan model-model EV menarik yang dipasang secara tempatan, VCM turut memperkenalkan platform jualan dalam talian sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EV.

VCM merupakan pengeluar aputomotif pertama di negara ini yang menawarkan barisan penuh PHEV pemasangan tempatan dan juga yang pertama yang mempunyai kilang pemasangan tempatan yang menghasilkan kenderaan EV.

Pengarah Urusan VCM, Charles Frump berkata, “Cita-cita Volvo Car Malaysia ke arah elektrik sepenuhnya di Malaysia kini semakin menjadi realiti. Kilang pemasangan kami memainkan peranan penting dalam cita-cita elektrifikasi kami kerana kami akan membawa kenderaan elektrik ke dua lagi negara ASEAN – Vietnam dan Filipina.”

“Pengeksportan kenderaan elektrik kami yang dipasang secara tempatan adalah salah satu daripada usaha kami untuk mendorong Malaysia menjadi hab bagi kenderaan elektrik di rantau ASEAN,” katanya.

Chery kekal pengeksport kenderaan no.1 di China 20 tahun berturut-turut!

SETELAH mencapai jualan 105,483 unit pada Disember, Chery Group telah mencipta sejarah dengan jualan global 2022 sebanyak 1,232,727 unit (+28.2 peratus berbanding 2021), termasuk 451,337 unit di luar China (+67.7 peratus berbanding 2021).

Ini bukan sahaja kali pertama jualan tahunan Chery telah melebihi sejuta unit, malah merupakan rekod eksport tahunan – Chery kini telah menjadi pengeksport kenderaan penumpang jenama China nombor satu selama 20 tahun berturut-turut. Setakat ini, Chery mempunyai 11.2 juta pengguna global, termasuk 2.4 juta di luar China.

Chery terus membangunkan produk berdaya saing bertaraf global melalui interaksi rapat dengan pelanggannya di seluruh dunia.

2022 menyaksikan syarikat tersebut memecahkan rekod eksport bulanan sendiri sebanyak empat kali berturut-turut, dengan empat bulan di mana eksport melebihi 50,000 unit.

Didorong oleh siri Tiggo 7 dan Tiggo 8, jumlah eksport kumulatif Chery kini menyumbang satu perlima daripada jumlah eksport kenderaan jenama China dalam tempoh yang sama.

Di samping transformasi industri automotif yang berkembang pesat, Chery telah memperkenalkan ahli profesional global terkemuka, menubuhkan pasukan ketua saintis serta mengusahakan penciptaan kilang inovasi teknologinya untuk sentiasa membangunkan teknologi baharu melalui produk baharu.

Setakat hujung 2022, Chery telah memohon sebanyak 25,795 paten dan memperoleh 17,177, di mana 37 peratus merupakan ciptaan, menempatkannya antara yang terulung dalam industri.

Jalinan kerjasama antarabangsa

Berdasarkan prinsip kerjasama ke arah manfaat bersama, Chery terus mengembangkan rangkaian rakan niaganya dan mewujudkan beberapa penjalinan antarabangsa untuk inovasi bersama, inovasi bersepadu serta kerjasama terbuka.

Syarikat tersebut telah berganding bahu dengan Haier, Huawei, Luxshare Precision, CATL, iFLYTEK, Horizon Robotics dan perusahaan yang lain dalam pelbagai bidang seperti internet industri, penyelesaian pintar, sistem bateri traction dan kerjasama ekosistem.

Proton masuk semula ke pasaran Afrika Selatan, lancar X50 dan X70

PENGELUAR kereta nasional Proton kini secara rasmi kembali ke Afrika Selatan, kira-kira 10 tahun selepas ia keluar dari pasaran itu.

Pelancaran semula jenama itu berlaku pada acara yang dianjurkan oleh Combined Motor Holdings (CMH), pengedar rasmi Proton, serentak dengan pelancaran tempatan X70 dan X50.

Kedua-dua model tersebut kini boleh didapati dalam versi CBU di negara itu dan kemudiannya akan disertai oleh Saga pada awal tahun 2023.

Semasa pelancaran, Jebb McIntosh, Ketua Pegawai Eksekutif CMH berkata, “Apabila jenama Proton terbuka untuk pengedaran, CMH mengambil peluang atas beberapa sebab, terutamanya kerana kami mendapati terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta biasa di sini.”

Tambah Jebb lagi, CMH merancang itu membuka 25 pusat pengedaran dalam tempoh enam bulan. Setakat ini, sebanyak 17 cawangan pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal.

Jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaan Proton. Di samping menuntut semula bahagian pasaran dalam pasaran automotif Malaysia, Proton juga ingin mengeksploitasi potensi yang terpendam dalam pasaran antarabangsa bagi menjadi jenama automotif terkemuka di rantau ini.

Bagi tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9 peratus berbanding dengan jumlah jualan bagi tahun 2021. Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran eksport, syarikat berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi.

“Proton sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana kami percaya ia adalah salah satu tonggak kepada peningkatan jumlah keseluruhan kami. Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Mengenai matlamat syarikat, Roslan berkata Proton mensasarkan untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini di samping mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara.

Chery jadi jenama China pertama eksport lebih 50k kenderaan sebulan

CHERY mengumumkan bahawa pada Julai tahun ini, ia telah menjual 50,614 unit kenderaan di luar China (+90.1% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu) daripada jumlah jualan global 131,533 kenderaan (+57.7% YoY). Ini menjadikannya jenama kenderaan China pertama yang mengeksport lebih daripada 50,000 kenderaan sebulan.

Ini dicapai ketika syarikat masih bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk kesan COVID-19 dan kesukaran logistik. Dari Januari hingga Julai 2022, Chery telah mengeksport hampir 200,000 kenderaan (+36.8% YoY), mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah jualan globalnya setakat tahun ini.

Chery amat komited terhadap strategi globalisasinya dan terus mencatat perkembangan yang ketara serta stabil di pasaran luar negara. Sejak permulaan tahun, syarikat tersebut telah memecahkan rekod eksport bulanan jenama kenderaan China yang dipegang oleh Chery sendiri beberapa kali, mencatat kadar peningkatan purata 60.5% dalam tiga bulan yang lalu.

Siri Tiggo 8 dan Tiggo 7 terus mendapat sambutan baik semakin ramai pengguna global. Dalam tujuh bulan pertama 2022, 31,263 unit siri Tiggo 8 telah dieksport (+43.3% YoY). Siri tersebut juga digunakan sebagai kenderaan presiden dan penyambut tetamu rasmi di beberapa negara dan wilayah.

Di Mesir, Chery menjual 1,846 kenderaan pada Julai, meningkatkan jumlah jualan Januari-Julai kepada 12,591 unit, manakala penguasaan pasarannya mencapai 11.42% bagi tempoh Januari-Jun. Di Afrika Selatan pula, jualan Chery pada Julai mencapai 1,262 unit, melonjakkan jumlah jualan Januari-Julai kepada 6,380 unit dan mewakili 4.01% penguasaan pasaran yang merupakan rekod baharu.

Pada separuh kedua 2022, Chery akan terus mengukuhkan jenama, produk dan operasi pelanggannya serta mempercepatkan pelancaran kenderaan baharu, termasuk OMODA 5. Model pertama di bawah siri global baharu OMODA ini disasarkan kepada generasi muda di seluruh dunia dengan ciri-ciri berteknologi tinggi serta reka bentuk yang bergaya.

Selain itu, sejajar dengan trend automotif global ke arah kenderaan tenaga baharu (NEV), Chery menyasarkan untuk melancarkan NEV di 14 negara pada tahun ini, termasuk Brazil, Argentina dan Chile. Ia akan merangkumi trenkuasa elektrik penuh, hibrid plug-in dan sistem mild-hybrid 48V.

Proton Wira 1.5 Aeroback di UK ini mahu dijual dengan RM4.4k sahaja, perbatuan cuma 51k km!

SEBUAH Proton Wira 1.5LXi Hatchback disenaraikan untuk dijual di Worcester, Worcestershire, United Kingdom (UK) dengan harga GBP800 (RM4,356).

Wira 1.5 Hatchback atau lebih dikenali sebagai Aeroback di Malaysia ini didaftarkan pada tahun 2000 dan menurut iklan di laman Facebook UK Spec Proton, kereta ini mempunyai perbatuan cuma sekitar 32,000 batu (51,499km).

Jika dilihat pada gambar, memang Wira ini nampak masih sangat cantik dan terjaga, keadaannya dikira sangat baik untuk kereta berusia 22 tahun. Kereta 10 tahun pun belum tentu dapat kekalkan keadaan sebegini!

Proton Wira ini dikatakan hanya dimiliki oleh seorang pemilik sebelum ini, dan ia juga secara kasar menunjukkan satu petanda baik sekiranya anda mahu cari kereta terpakai.

Bahagian dalaman juga kelihatan terjaga rapi dengan karpet bersih, papan pemuka kemas, tempat duduknya sedikit kusam tetapi kusyennya masih berbentuk cantik.

Menurut iklan ini lagi, Proton Wira 1.5 ini telah lulus ujian MOT (Ministry of Transport, seperti ujian Puspakom di Malaysia), mempunyai tayar baharu dan boleh dipandu dengan baik.

Proton Wira 1.5LXi ini merupakan model S edisi terhad yang diberikan potongan harga oleh Proton UK untuk menghabiskan stok-stok lama sebelum model dengan enjin VDO-Siemens diperkenalkan.

Inilah sebabnya Wira ini tidak mempunyai rim sport dan mempunyai pakej jaminan yang lebih ringkas semasa ia masih baharu. Oh ya, Wira 1.5 ini dilengkapi sunroof yang datang dari kilang!

Apa pun, cukup menarik untuk melihat model-model Proton lama (era sebelum Waja) yang masih dalam keadaan baik, lebih-lebih lagi di pasaran eksport seperti UK.

Jika anda seorang rakyat Malaysia yang tinggal di UK, adakah anda akan beli kereta ini? Terasa nostalgia pula melihat Wira Aeroback dengan panel hitam di tiang-C dan tulisan ‘proton’ di situ.

Di Malaysia, Proton Wira pernah ditawarkan varian 1.3 GL, 1.5 GL, 1.5 GLi, 1.6 XLi dan 1.8 EXi. Bergantung kepada varian, Wira boleh didapati dengan pilihan sedan dan Aeroback serta pilihan transmisi manual 5-kelajuan serta automatik 3-kelajuan.

Perodua tingkatkan sasaran 240,000 unit untuk 2022, rancang eksport kereta terpakai ke luar negara

PERODUA kini dalam landasan untuk melepasi sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2021. Kini mereka meningkatkan sasaran kepada 240,000 unit untuk 2022, iaitu tambahan 20 peratus dari tahun ini.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata angka 240,000 itu adalah jangkaan awal namun mereka akan berkongsi ramalan lebih tepat pada Januari 2022 depan.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Menurut Dato’ Zainal, tahun 2021 merupakan ‘tahun paling mencabar setakat ini’ dan 2022 dijangkakan menjadi ‘tahun pemulihan’.

“Kami percaya perkara buruk telah berlalu (lockdown berkaitan Covid-19) dan insya-Allah, walaupun ada risiko lain dalam pasaran, kami melihat 2022 sebagai tahun pemulihan,” katanya kepada para media dalam sesi pandu uji Myvi facelift di Johor Bahru.

“Jualan kenderaan dijangka meningkat dalam tempoh enam bulan pertama 2022 kerana pembeli mahu mendapat manfaat dari insentif pengecualian cukai oleh kerajaan,” katanya.

Angka 240,000 sebenarnya sasaran jualan Perodua untuk 2020 sebelum berlakunya Covid-19 dan memaksa mereka mengubah semula sasaran kepada 210,000.

Sasaran sama ditetapkan untuk 2021, tetapi masalah lain pula berlaku seperti lockdown dan isu-isu bekalan komponen menyebabkan angka sasaran diturunkan kepada 214,000.

Mungkin mereka dapat mencapai 240,000 untuk 2022? Sama-sama kita lihat.

Eksport kereta terpakai ke luar negara

Jadi, dengan sasaran jualan yang tinggi dan menjadi antara jenama paling popular di Malaysia, sudah tentu terdapat lambakan kenderaan Perodua di sini.

Bagi membolehkan pelanggan menaik taraf atau menukar kereta lama mereka kepada kenderaan baharu, Perodua mempunyai saluran untuk berbuat demikian iaitu Perodua Pre-Owned Vehicle (POV).

Jadi, apa berlaku kepada kenderaan terpakai yang tidak habis dijual? Ada sebarang cara pelupusan?

Perodua Myvi S-Edition di Brunei. Sumber: Motoqar

Menariknya, Dato’ Zainal berkata, “Kami sedang melihat kepada kemungkinan untuk mengeksport kereta-kereta terpakai ini ke luar negara.”

“Saya tidak boleh umumkan lagi negara mana, tetapi kami masih mengkaji, malah telah menghantar beberapa unit kereta untuk ujian dan penilaian.”