fbpx

Proton Wira 1.5 Aeroback di UK ini mahu dijual dengan RM4.4k sahaja, perbatuan cuma 51k km!

proton wira 1.5 aeroback uk 11

SEBUAH Proton Wira 1.5LXi Hatchback disenaraikan untuk dijual di Worcester, Worcestershire, United Kingdom (UK) dengan harga GBP800 (RM4,356).

Wira 1.5 Hatchback atau lebih dikenali sebagai Aeroback di Malaysia ini didaftarkan pada tahun 2000 dan menurut iklan di laman Facebook UK Spec Proton, kereta ini mempunyai perbatuan cuma sekitar 32,000 batu (51,499km).

Jika dilihat pada gambar, memang Wira ini nampak masih sangat cantik dan terjaga, keadaannya dikira sangat baik untuk kereta berusia 22 tahun. Kereta 10 tahun pun belum tentu dapat kekalkan keadaan sebegini!

Proton Wira ini dikatakan hanya dimiliki oleh seorang pemilik sebelum ini, dan ia juga secara kasar menunjukkan satu petanda baik sekiranya anda mahu cari kereta terpakai.

Bahagian dalaman juga kelihatan terjaga rapi dengan karpet bersih, papan pemuka kemas, tempat duduknya sedikit kusam tetapi kusyennya masih berbentuk cantik.

Menurut iklan ini lagi, Proton Wira 1.5 ini telah lulus ujian MOT (Ministry of Transport, seperti ujian Puspakom di Malaysia), mempunyai tayar baharu dan boleh dipandu dengan baik.

Proton Wira 1.5LXi ini merupakan model S edisi terhad yang diberikan potongan harga oleh Proton UK untuk menghabiskan stok-stok lama sebelum model dengan enjin VDO-Siemens diperkenalkan.

Inilah sebabnya Wira ini tidak mempunyai rim sport dan mempunyai pakej jaminan yang lebih ringkas semasa ia masih baharu. Oh ya, Wira 1.5 ini dilengkapi sunroof yang datang dari kilang!

Apa pun, cukup menarik untuk melihat model-model Proton lama (era sebelum Waja) yang masih dalam keadaan baik, lebih-lebih lagi di pasaran eksport seperti UK.

Jika anda seorang rakyat Malaysia yang tinggal di UK, adakah anda akan beli kereta ini? Terasa nostalgia pula melihat Wira Aeroback dengan panel hitam di tiang-C dan tulisan ‘proton’ di situ.

Di Malaysia, Proton Wira pernah ditawarkan varian 1.3 GL, 1.5 GL, 1.5 GLi, 1.6 XLi dan 1.8 EXi. Bergantung kepada varian, Wira boleh didapati dengan pilihan sedan dan Aeroback serta pilihan transmisi manual 5-kelajuan serta automatik 3-kelajuan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved