fbpx

Perodua tingkatkan sasaran 240,000 unit untuk 2022, rancang eksport kereta terpakai ke luar negara

perodua myvi 2022 drive 01

PERODUA kini dalam landasan untuk melepasi sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2021. Kini mereka meningkatkan sasaran kepada 240,000 unit untuk 2022, iaitu tambahan 20 peratus dari tahun ini.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata angka 240,000 itu adalah jangkaan awal namun mereka akan berkongsi ramalan lebih tepat pada Januari 2022 depan.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Menurut Dato’ Zainal, tahun 2021 merupakan ‘tahun paling mencabar setakat ini’ dan 2022 dijangkakan menjadi ‘tahun pemulihan’.

“Kami percaya perkara buruk telah berlalu (lockdown berkaitan Covid-19) dan insya-Allah, walaupun ada risiko lain dalam pasaran, kami melihat 2022 sebagai tahun pemulihan,” katanya kepada para media dalam sesi pandu uji Myvi facelift di Johor Bahru.

“Jualan kenderaan dijangka meningkat dalam tempoh enam bulan pertama 2022 kerana pembeli mahu mendapat manfaat dari insentif pengecualian cukai oleh kerajaan,” katanya.

Angka 240,000 sebenarnya sasaran jualan Perodua untuk 2020 sebelum berlakunya Covid-19 dan memaksa mereka mengubah semula sasaran kepada 210,000.

Sasaran sama ditetapkan untuk 2021, tetapi masalah lain pula berlaku seperti lockdown dan isu-isu bekalan komponen menyebabkan angka sasaran diturunkan kepada 214,000.

Mungkin mereka dapat mencapai 240,000 untuk 2022? Sama-sama kita lihat.

Eksport kereta terpakai ke luar negara

Jadi, dengan sasaran jualan yang tinggi dan menjadi antara jenama paling popular di Malaysia, sudah tentu terdapat lambakan kenderaan Perodua di sini.

Bagi membolehkan pelanggan menaik taraf atau menukar kereta lama mereka kepada kenderaan baharu, Perodua mempunyai saluran untuk berbuat demikian iaitu Perodua Pre-Owned Vehicle (POV).

Jadi, apa berlaku kepada kenderaan terpakai yang tidak habis dijual? Ada sebarang cara pelupusan?

Perodua Myvi S-Edition di Brunei. Sumber: Motoqar

Menariknya, Dato’ Zainal berkata, “Kami sedang melihat kepada kemungkinan untuk mengeksport kereta-kereta terpakai ini ke luar negara.”

“Saya tidak boleh umumkan lagi negara mana, tetapi kami masih mengkaji, malah telah menghantar beberapa unit kereta untuk ujian dan penilaian.”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved