fbpx

Ini 6 jenama kereta buatan Rusia, kenapa tak masuk Malaysia?

kenderaan rusia thumb

TELAH beberapa minggu berlaku konflik antara Rusia dan Ukraine, terdapat juga kesannya dalam industri automotif seluruh dunia, sebagai contoh kenaikan harga minyak mentah dunia.

Kami sejujurnya tidak menyokong keganasan dan sangat bersimpati dengan mereka yang menerima kesan dari konflik peperangan ini.

Apa pun, kali ini kita bercerita mengenai industri automotif Rusia dan kenderaan-kenderaan buatan negara itu. Kita hanya akan memfokus kepada enam jenama terbesar dan paling popular di sana.

1. LADA

Sebuah jenama kereta yang dikilangkan dan dimiliki oleh AvtoVAZ, sebuah syarikat Rusia yang dimiliki oleh French Groupe Renault. Avtovaz ialah pembuat atau pengilang kereta terbesar di Rusia dan Eropah Timur.

Lada mula muncul dalam pasaran pada 1973, menjadi jenama utama AvtoVAZ sehingga diambil alih oleh kumpulan Renault pada 2016.

Model popular termasuklah Lada Granta, Vesta, XRAY, dan Largus. Setiap model ini juga ada banyak varian dan bentuk badan seperti sedan, active, hatchback, cross, wagon, dan macam-macam.

2. UAZ

Berpangkalan di UlyanovskRussia, jenama ini menghasilkan kenderaan-kenderaan off-road, bas, dan trak. UAZ merupakan sebahagian dari kumpulan Sollers sejak 2000.

Dikenali dengan kenderaan utiliti UAZ-469 yang digunakan agak meluas sebagai kenderaan tentera di Eropah Timur dan seluruh dunia. Ala, macam Jeep tu. UAZ mula mengeluarkan kenderaan pada 1941 semasa perang Soviet.

3. Aurus

Ditubuhkan pada 2012, Aurus sebuah jenama kenderaan mewah dan kenderaan motorcade (pengiring).

Sebelum ini mereka hanya fokus kepada kenderaan pengiring, tetapi baru-baru ini mula mengeluarkan kenderaan pertama mereka untuk orang awam, iaitu Aurus Senat.

Senat mempunyai gaya mirip Rolls-Royce. Model lain adalah Limousine dan Arsenal.

4. GAZ

Seterusnya ialah GAZ, pengeluar yang berpangkalan di Nizhny Novgorod dan sebelum ini dikenali sebagai Gorky (1932-1990).

Mereka mengeluarkan kenderaan komersil ringan, van panel, bas mini, bas bandar, bas persiaran, malah ada bas elektrik.

GAZ dieksport ke lebih 40 negara, antara pengeluar utama di Eropah dalam segmen LCV (kenderaan komersil ringan).

5. Kamaz

Kamaz pula ialah pengeluar trak, bas, traktor, casis dan enjin, ibupejabat terletak di Naberezhnye Chelny.

Kamaz mula ditubuhkan pada 1969, dan sejak itu kenderaan berat mereka dieksport ke merata dunia seperti Amerika Latin, Timur Tengah, Afrika dan negara-negara Komanwel lain.

Setakat 2014, Kamaz merupakan pengeluar trak terbesar di Rusia, kilangnya mengeluarkan 43,000 trak setahun dengan pegangan pasaran sekitar 45 peratus.

Kalau korang tengok rali Dakar, mesti perasan dominasi pasukan Kamaz. Mereka merupakan pemenang kategori trak paling banyak dalam rali ini iaitu sebanyak 18 kali!

6. Ural

Satu lagi pengeluar trak, Ural, yang ditubuhkan pada 1941. Ural fokus dalam menghasilkan lori, traktor, casis, kenderaan khas dan kenderaan tentera.

Jenama lain

Sebenarnya ada banyak lagi jenama lain buatan Rusia, antaranya SeAZ, Aleko, Avtokam, VIS, dan ada juga jenama pakatan seperti Ford Sollers dan Renault Russia.

Apa model kenderaan penumpang paling popular di Rusia?

Kalau dilihat lima kenderaan paling popular di Rusia pada 2021 mengikut turutan dari paling popular adalah Lada Vesta, Lada Granta, Kia Rio, Hyundai Creta dan Hyundai Solaris. Sumber: Rusautonews.com.

Jadi Lada Vesta dan Granta ni pada 2021 masing-masing dijual sebanyak 113,698 dan 111,430 unit.

Kenapa kereta jenama Rusia tidak masuk Malaysia?

Kalau dilihat, kebanyakan pengeluar Rusia menghasilkan kenderaan komersil, berat, dan kenderaan khas mungkin kerana faktor cuaca ekstrem di sana. Kenderaan yang sesuai untuk permukaan lasak, off-road, salji tebal, dan kenderaan tentera.

Dan untuk jenama kenderaan penumpang pula, kebanyakannya nampak kurang menarik, sebagai contoh Aleko dan SeAZ Oka. Untuk kenderaan sebegini, banyak model lain jenama Jepun yang lebih terbukti dan lebih biasa dengan pasaran kita.

Untuk Lada pula, memang keretanya nampak lebih elok dan agak menarik, mungkin boleh laku di sini. Kereta-keretanya ada rupa seperti Renault, Opel, atau Volkswagen. Malah Lada Granta tu nampak gaya Proton Saga!

Tetapi jika dilihat Lada langsung tidak masuk ke pasaran Asia Tenggara, mungkin masing-masing tak memerlukan?

Lihatkan Ulasan (1)
  • Your article gave me a lot of inspiration, I hope you can explain your point of view in more detail, because I have some doubts, thank you.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved