Jualan Proton di Brunei meningkat 87%, X50 paling laris
PROTON mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 789 unit kenderaan di Brunei pada 2023, menunjukkan peningkatan sebanyak 87% berbanding 422 unit yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu melonjakkan jenama itu ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan, dengan pegangan pasaran sebanyak 5.4%, naik satu tempat dan meningkat 2.2% berbanding tahun 2022.
Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut ditutup pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi tahun sebelumnya.
Proton berkata X50 mendahului jualannya di Brunei dengan 476 unit terjual, merangkumi kira-kira 60% daripada jumlah jualannya dan memacu model itu ke tempat ketiga keseluruhan dalam segmen pasarannya.
Steven Xu, Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa, Proton berkata, “Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama kami.
Proton bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors, untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian.”
Sementara itu, model-model Proton lain turut disenaraikan dalam kedudukan 10 teratas segmen masing-masing pada tahun 2023.
Persona dan Iriz berada pada kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B manakala X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun berada dalam pasaran kurang daripada setengah tahun.
Dengan menggunakan kejayaan pada tahun 2023 sebagai landasan, Proton dan PAD Motors yakin dapat mencapai lebih daripada 1,000 unit jualan pada tahun 2024.
Kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran S70, yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari. Brunei merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.