Arkib Tag: d27a

Baru 2 jam diambil dari pengedar, Perodua Alza dilanggar dari belakang

KEGEMBIRAAN seorang wanita mendapat kereta baru tidak kekal lama apabila Perodua Alza miliknya terlibat dalam kemalangan 2 jam selepas ia diambil dari pengedar.

Dalam satu kiriman ringkas di laman Faceook ‘Perodua Alza D27A Malaysia’, Ea Sya berkata dia dan keluarga baru sahaja mengambil kereta tersebut dari Kuala Lumpur dan sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru.

Lebih malang lagi, dia mendakwa telah menunggu selama lapan bulan sebelum menerima Alza itu. Namun selepas hanya 2 jam memandunya, MPV itu dilanggar dari belakang di sebuah lebuh raya.

Seperti yang boleh dilihat, impak perlanggaran tersebut menyebabkan kerosakan yang teruk pada bahagian belakang dan depan. Bagaimanapun, keadaan pemandu dan penumpang tidak diketahui dan tidak dinyatakan dalam kiriman tersebut.

Melihat kepada keadaan Alza itu, ada kemungkinan ia akan diisytiharkan sebagai total lost. Kalau boleh dibaik pulih pun, ia akan mengambil masa yang lama dan feel memandu sudah tentu tidak sama seperti kereta baru.

Perodua Alza generasi baharu dilancarkan ke pasaran pada Julai 2022. Populariti MPV itu terbukti apabila menerima lebih 30,000 tempahan dalam tempoh sebulan selepas tempahannya dibuka. Ini menyebabkan tempoh menunggu berlanjut sehingga 10 bulan.

Perodua Alza 2022 kereta keluarga yang berbaloi – Pandu Uji

TANPA sebarang keraguan, Perodua Alza baharu adalah kereta yang paling banyak diperkatakan tahun ini. Ini melihat kepada cakap-cakap dalam kalangan netizen di media sosial dan juga trafik dan ‘engagement’ yang dijana setiap kali kami membuat apa-apa kiriman mengenai model itu.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Alza generasi pertama sudah berada di pasaran sejak November 2009 lagi, jadi sudah tentu ramai yang tidak sabar menantikan ketibaan model penggantinya.

Pada Julai lalu, Alza generasi kedua akhirnya dilancarkan dan kali ini, ia tampil dengan pembaharuan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan reka bentuk luaran dan dalaman, malah platform, enjin dan juga teknologi.

Majoriti pengamal media (termasuk Engear) sebenarnya sudah dijemput untuk melihat model itu dengan lebih dekat beberapa minggu sebelum tarikh pelancarannya. Penulis bagaimanapun hanya berpeluang untuk ‘bersuai kenal’ dengannya semasa trip pandu uji media ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Jujurnya, penulis berasa agak teruja bukan sahaja kerana destinasi pandu uji yang agak ‘rare’, namun penulis ingin merasai sendiri kehebatan MPV tujuh tempat duduk ini, selain memahami kenapa begitu ramai yang menantikan ketibaannya ke pasaran.

Dari segi reka bentuk, Alza baharu jelas lebih bergaya dan segar jika dibandingkan dengan model sebelum ini. Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa ia kelihatan agak berserabut namun bagi penulis, ia membuatkan Alza kelihatan lebih moden, sekaligus lebih sesuai dengan kehendak pembeli masa kini.

Perjalanan bermula dari ibu pejabat Perodua di Rawang, seterusnya melalui Batang Kali untuk tembus ke Lebuhraya Karak. Dari situ, konvoi mengikuti Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2, sebelum keluar menerusi susur Kuala Terengganu. Jarak perjalanan adalah sekitar 650 km.

Oleh kerana tiga pemandu telah ditetapkan bagi setiap kereta, penulis hanya berpeluang untuk mengambil alih stereng Alza selepas berhenti makan tengahari di Kuantan.

Pemanduan sepanjang 200 km itu 100 peratus di atas laluan lurus LPT, namun sekurang-kurangnya penulis dapat merasakan prestasi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan mengetahui sejauh mana penjimatan yang mampu ditawarkan oleh enjin.

Apa yang penulis boleh katakan, prestasi yang ditunjukkan oleh enjin NA 1.5-liter empat silinder 2NR-VE itu agak memuaskan walaupun dengan ketiadaan pengecas turbo. Apa yang lebih penting, gandingan enjin itu dengan transmisi D-CVT dirasakan sempurna kerana RPM dikekalkan sekitar 2,000 hingga 2,100 pada kelajuan 110 km/j dan ke atas.

Pendek kata, untuk situasi pemanduan di atas lebuh raya, RPM kekal di bawah tahap 2,500 walaupun kenderaan sudah melebihi halaju kebangsaan. Ini bermakna Alza sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga yang selesa dan menjimatkan.

Bercakap tentang penjimatan, tahap penggunaan bahan api yang ditunjukkan oleh komputer jatuh mendadak akibat ‘didera’ oleh pemandu pertama namun dengan corak pemanduan yang menjimatkan, penulis berjaya mencatat bacaan sekitar 19 km/l sebelum tiba di susur keluar Kuala Terengganu. Tidak jauh berbeza dengan angka yang dicanang oleh Perodua iaitu 22 km/l.

Untuk ‘ride and handling’, platform DNGA terasa selesa walaupun berdepan keadaan permukaan LPT2 yang umum tahu berombak dan tidak rata. Lantunan masih boleh dirasakan di dalam kabin namun tidaklah sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

Penggunaan platform baharu itu juga menghasilkan ruang belakang yang lebih besar. Bagi penulis yang mempunyai ketinggian sekitar 167 cm, ruang kaki masih luas walaupun tempat duduk pemandu digelongsorkan ke belakang. Bahagian ‘backrest’ juga tidak terlalu tegak.

Tempat duduk barisan ketiga, seperti yang dijangka, lebih sesuai untuk kanak-kanak kerana saiz kerusinya yang agak kecil. Namun jika tidak digunakan, ia boleh dilipat rata bagi mendapatkan ruang but maksimum dengan kapasiti mencecah hampir 500 liter!

Malah untuk keselesaan seisi keluarga, Alza baharu juga didatangkan dengan corong pendingin hawa belakang yang diletakkan pada bahagian bumbung, lengkap dengan tombol kawalan kelajuan. Selain itu, terdapat juga dua port pengecas USB, serta pemegang cawan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Sebagai konklusi, penulis boleh katakan yang Alza sangat sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga mampu milik. Walaupun mempunyai kekurangan dari segi prestasi enjin, model ini cukup serba serbi dari segi praktikaliti, keselesaan dan teknologi.

Spesifikasi Perodua Alza

Harga: Dari RM62,500 hingga RM75,500
Enjin: 1.5-liter empat silinder Dual-VVTi
Kotak gear: D-CVT
Kuasa: 105 hp
Tork: 138 Nm

Perodua Alza terima 39,000 tempahan, 70% pelanggan pilih kit GearUp

PERODUA memaklumkan bahawa Alza serba baharu telah menerima tambahan 9,000 tempahan pada bulan Julai, menjadikan tempahan keseluruhan sebanyak 39,000 sejak ia dibuka pada Jun lalu.

Setakat ini, kira-kira 4,000 unit MPV tujuh tempat duduk itu telah diserahkan kepada pelanggan. Tempoh menunggu pula dianggarkan antara lapan hingga 10 bulan berdasarkan kapasiti pengeluaran iaitu 3,000 unit sebulan.

Perkara ini disahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media khas di Kota Bharu hari ini (4 Ogos 2022).

Menurut Dato’ Sri Zainal, daripada jumlah tempahan tersebut, kira-kira 70% pelanggan memilih untuk mendapatkan kit badan GearUp yang menawarkan kelengkapan tambahan dan penampilan lebih sporti.

Dalam pada itu, Perodua berkata permintaan untuk model-model keluarannya kekal kukuh dengan tempahan mencecah 24,265 unit pada bulan lalu.

Selain itu, jualan Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7% kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual pada jangkamasa sama pada tahun lepas.

Dato’ Sri Zainal berkata terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jualan ini.

“Faktor pertama disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.”

“Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 pada masa itu,” kata beliau.

Tambah Dato’ Sri Zainal lagi, bilangan tempahan kenderaan baharu, walaupun tidak setinggi prestasi Januari hingga Jun tahun ini, adalah lebih baik daripada apa yang dijangkakan. Ini membuktikan bahawa industri automotif masih ada potensi yang cerah.

Perodua Alza catat lebih 30,000 tempahan, tempoh menunggu sampai 10 bulan

PERODUA Alza serba baharu yang dilancarkan semalam (20 Julai 2022) telah menerima lebih 30,000 tempahan sejak 23 Jun lalu, dengan 65% daripadanya adalah untuk varian AV. Ini merupakan jumlah tempahan tertinggi dalam sejarah pengeluar kenderaan tempatan itu.

“Pencapaian ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah para pelanggan ingin memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan yang akan tamat tempoh pada 30 Jun 2022,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau lagi, daripada lebih 200,000 tempahan yang diterima oleh Perodua buat masa ini, hampir 15% adalah model Perodua Alza serba baharu.

Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran, Dato’ Zainal turut berkata bahawa tempoh menunggu untuk Alza serba baharu adalah sekitar 10 bulan. Ini memandangkan kilang pengeluaran Perodua di Sungai Choh, Rawang mampu mengeluarkan kira-kira 3,000 unit atau 36,000 unit Alza setahun.

“Tetapi jangan risau, kita akan cuba tingkatkan pengeluaran dan cuba memenuhi apa-apa permintaan daripada pelanggan,” kata Dato’ Zainal.

Alza serba baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan AV, dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM75,500. Ia merupakan model kedua Perodua yang menggunakan platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) selepas Ativa.

Mengenai pembangunan Alza serba baharu, Dato’ Zainal berkata syarikat itu melabur RM770 juta untuk membangunkan model tersebut sejak April 2018.

Apa yang menarik, ia dibangunkan secara bersama oleh pasukan pereka dan jurutera Malaysia dan rakan sejawatan mereka di Daihatsu Motor Co., Jepun. Jadi, jangan kata ini model ‘rebadge’ ya!

Toyota Veloz dibuka untuk tempahan – 1.5, D-CVT, RM95,000

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Veloz kini dibuka. Telah dilancarkan di Indonesia pada November lepas, crossover tujuh tempat duduk itu akan menggantikan Avanza yang telah menjadi satu MPV popular dalam segmen-B.

Tidak seperti Avanza yang dibina pada platform semi-monocoque, Veloz menggunakan pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga menjadi asas kepada Ativa.

Dari segi ukuran, Veloz lebih besar dari Avanza secara kasar. Crossover baharu ini berukuran 2,750mm panjang, 1,730mm lebar, dan 1,700mm tinggi. Veloz juga menawarkan ruang dalaman yang besar hampir menyamai saiz MPV segmen-C.

Toyota Veloz dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE dengan Dual VVT-i, mampu emnghasilkan sekitar 106hp pada 6,000rpm dan 138Nm tork pada 4,200rpm. Transmisinya ialah D-CVT yang sama pada Ativa dan Myvi baharu, menggantikan kotak gear automatik 4-kelajuan pada Avanza sebelum ini.

Kuasa disalurkan ke roda depan, jadi pemanduannya pasti sangat berbeza berbanding Avanza.

Toyota Veloz dilengkapi dengan lampu LED dengan DRL LED, rim 17-inci, rel bumbung, sistem pendingin hawa automatik, brek parkir elektrik (EPB), pengecaj tanpa-wayar Qi, dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense.

Crosover ini dibuka untuk tempahan dengan harga RM95,000 (atas jalan, tanpa insurans), dan ditawarkan dengan lima pilihan warna; Silver Metallic, Blue Metallic, White, Metallic Bluish Black, dan Red Metallic.

Perodua Alza 2022 kini dibuka untuk tempahan! Tiga varian, dari RM62k, ASA, 1.5 dengan D-CVT

PERODUA hari ini secara rasmi membuka tempahan untuk Alza 2022 serba baharu yang akan menggantikan model sebelumnya yang telah berada dalam pasaran sejak 2009.

Alza baharu dengan namakod D27A ini hadir dengan penambahbaikan ketara dari segi spesifikasi dan teknologi.

Menurut risalah rasmi yang dikongsi Perodua, Alza 2022 ini ditawarkan dengan pilihan tiga varian, iaitu X, H dan AV manakala harga tentatif adalah antara RM62,000 hingga RM75,000. Harga adalah untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan cukai jalan.

Tentatif harga ini juga nampaknya serupa dengan imej yang tular awal pagi ini iaitu RM62,000 untuk X, RM68,000 untuk H, dan RM75,000 untuk AV.

Alza 2022 akan menawarkan ruang lebih besar berbanding model terhadulu, terutamanya di barisan ketiga, serta dilengkapi dengan pendingin hawa di barisan ketiga.

Untuk ruang kargo, Alza 2022 mempunyai kapasiti sebanyak 137 liter. Tetapi dengan tempat duduk barisan ketiga dilipat, ruang ini ditambah menjadi 498 liter.

Seperti dijangka sebelum ini, Perodua Alza D27A 2022 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Dual VVTi dan kotak gear D-CVT sama seperti Myvi 2021.

Padanan powertrain ini mampu memberikan penjimatan sehingga 22km/liter untuk Alza, lantas memberikan MPV ini penarafan EEV.

Ciri-ciri terkini bagi model Perodua termasuk Panoramic View 360⁰, Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, brek cakera belakang, dan mod pemanduan (Normal, Eco, Power).

Ciri keselamatan lain adalah standard untuk semua varian seperti 6 beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.

Ciri Advanced Safety Assist (ASA) juga standard, yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Semua varian juga mempunyai sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist.

Perodua Alza 2022 didatangkan dalam 5 warna: Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

“Kami mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami, dan Perodua Alza baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambahbaik ground clearance (kelegaan tanah) Perodua Alza baharu kepada 160mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV,” tambahnya.

“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” kata Dato’ Zainal.

Berminat? Anda boleh mula membuat tempahan dengan mengunjungi mana-mana 188 bilik pameran Perodua seluruh negara atau layari laman web rasmi untuk maklumat lanjut.

Perodua Alza 2022 D27A ditayang buat pertama kali dalam video!

PERODUA nampaknya sudah mula mendedahkan sedikit demi sedikit rupa sebenar Alza baharu dalam satu video yang disiarkan di laman Youtube mereka.

Video itu memfokuskan kepada Perodua Smart Build iaitu konsep kelestarian pengeluar itu. Walaubagaimanapun perincian Alza 2022 itu sangat terhad kerana hanya bayang-bayangnya yang didedahkan.

MPV dengan namakod D27A itu seperti yang ramai ketahui bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Lakaran Perodua Alza D27A.

Berdasarkan maklumat setakat ini, Perodua Alza 2022 akan berkongsi pelantar dengan Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia, tetapi dengan beberapa perubahan kecil.

Alza D27A dilihat bakal dilengkapi dengan rupa depan berbentuk-X sama seperti Ativa, manakala lampu depannya lebih bersegi dari kembarnya Avanza dan Xenia.

Rekaan lampu belakang pula tidak jauh berbeza dari Avanza, dimana Alza D27A dilihat mempunyai nyalaan berbentuk-L yang seolah-olah dihubungkan oleh logo Perodua di tengah.

Untuk enjin, ura-ura mengatakan ia berkemungkinan besar dipacu oleh enjin 1.5-liter 2NR-VE dengan teknologi Dual VVT-i. Ya, enjin empat-silinder ini merupakan enjin sama pada Toyota Avanza, dengan output sekitar 106hp dan 138Nm tork.

Transmisi pula dijangka menggunakan D-CVT seperti yang telah diberikan pada Ativa dan Myvi 2021.

Kami akan kongsikan apabila kami mendapat maklumat lanjut mengenai MPV hangat ini. Ramai yang menunggu?

Untuk harga, kami jangkakan Alza serba-baharu ini akan dijual lebih mahal sedikit dari model sedia ada kerana ia kini dibangunkan pada platform berbeza serta mendapat kelengkapan lebih moden.

Anda boleh tonton video tersebut di bawah:

 

Perodua Alza 2022 D27A kini dibuka untuk tempahan, harga bermula RM69k?

PERODUA Alza serba baharu dijangka dilancarkan tahun ini bagi menggantikan model sedia ada yang telah berada dalam pasaran kira-kira 13 tahun.

Satu posting dalam kumpulan Facebook mendakwa bahawa tempahan untuk MPV baharu dengan nama kod D27A itu telah mula dibuka, dan tiga varian ditawarkan iaitu X, H dan AV.

Posting itu juga mendakwa pelancaran akan dilakukan sekitar Jun ini dengan harga permulaan sekitar RM69,000.

Untuk pengetahuan, pihak Perodua belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan pelancaran, harga, mahu pun penawaran varian.

Engear juga berhubung dengan wakil Perodua untuk pengesahan dan ya, tiada sebarang maklumat rasmi yang diketahui berkenaan dakwaan siaran Facebook itu.

Jika hendak berspekulasi, boleh dikatakan penawaran tiga varian dan pelancaran pada Jun itu nampak masuk akal.

Dari segi harga, agak signifikan lebih mahal dari model sedia ada. Sebagai perbandingan, Perodua Alza sedia ada dijual pada harga sekitar RM50k hingga RM61k dan jika benar harga Alza 2022 bermula pada RM69k, ia harus dijustifikasi dengan penambahan ciri yang benar-benar mantap.

Apa pun, sebelum adanya sebarang kenyataan rasmi, anda harus berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi tempahan. Ya, kami faham ini satu model menarik dan ramai yang menantikannya.

Yang pasti, Perodua Alza D27A akan dibina dari platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) yang menjadi asas kepada Ativa serta Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia terbaharu.

Dijangkakan Alza 2022 akan dipacu enjin 1.5-liter 2NR-VE naturally-aspirated dengan 106hp dan 138Nm tork, dipadankan dengan kotak gear CVT buat pertama kali. Ianya merupakan unit D-CVT sama seperti terdapat pada Myvi baharu.

Pengeluaran Perodua Alza akan dilanjutkan hingga Mac-April 2022, pengganti baharu menyusul?

KAMI ada melaporkan sebelum ini bahawa pengeluaran Perodua Alza akan dihentikan bulan ini bagi memberi laluan kepada model pengganti serba baharu.

Namun dalam laporan terkini, Perodua mengumumkan mereka akan melanjutkan pengeluaran MPV popular itu sehingga hujung Mac atau April 2022.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media semalam (26 Januari 2022).

Menurutnya, hal ini disebabkan pengeluaran yang tertangguh disebabkan banjir, lockdown dan beberapa perkara lain dalam ekosistem. Selepas itu, penggantinya dengan kod nama D27A akan menyusul.

“Diharapkan peralihan dari model lama kepada baharu nanti akan berjalan lancar,” kata Zainal.

Walaupun sudah lebih 12 tahun dalam pasaran, Perodua Alza sedia ada ini terus popular dan mendapat permintaan tinggi.

“Kami masih mempunyai kira-kira 3,200 unit tempahan Alza dan dengan segala persediaaan di kilang pengeluaran, kami patut dapat menyerahkannya kepada semua pelanggan,” tambahnya.

Perodua menjual 14,828 unit Alza sepanjang 2021 dengan purata jualan 1,200 unit setiap bulan.

Lakaran Perodua Alza 2022. Imej oleh: Theophilus Chin

Selepas ini, kita boleh terus menantikan D27A iaitu kembar kepada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia. Ketiga-tiga MPV ini dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga digunakan oleh Ativa.

Dijangkakan juga Perodua Alza 2022 ini akan menggunakan enjin 1.5-liter 2NR-FE dari Myvi 2022 dan dipadankan dengan kotak gear D-CVT.

Zainal turut menambah dengan kapasiti R&D dan pengeluaran sekarang, Perodua mampu menawarkan dua Minor Change (facelift) dan satu Full Model Change (baharu sepenuhnya) setiap tahun.

Alza D27A baharu sah lancar tahun depan! Perodua mahu beri teknologi terkini

PERODUA telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan Alza serba baharu tahun depan. MPV dengan kod nama D27A ini akan mendapat generasi kedua setelah lebih 12 tahun berada dalam pasaran.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad semasa kami menyertai sesi pandu uji Myvi facelift 2022 bersama rakan-rakan media lain ke Johor Bahru beberapa hari lepas.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Ketika ditanya para media, Dato’ Zainal walaubagaimanapun berkata dia tidak dapat memastikan dengan tepat bila Alza baharu itu akan dilancarkan.

“Akan ada satu model baharu tahun depan (Alza), tetapi kami tidak boleh beritahu bila kerana beberapa perkara seperti Covid-19,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Perodua mampu memperkenalkan satu model baharu (Full Model Change atau FMC) serta dua facelift (Minor Change) setiap tahun.

“Berdasarkan kapasiti R&D dan jumlah kakitangan kami seperti jumlah jurutera, pada masa ini kami mampu memperkenalkan satu FMC dan dua MC setiap tahun,” katanya.

Alza satu model unik

Dato’ Zainal turut berkongsi bahawa Perodua Alza merupakan satu model unik dengan jumlah pengikut dan peminat tersendiri.

“Hingga kini, kami masih menerima kira-kira 1,500 unit tempahan setiap bulan.

“Jika mengambil kira dari sudut perniagaan, saya tak akan menggantikannya dengan model baharu kerana ia satu model yang telah dilunaskan (fully amortised).

“Tetapi, Perodua ialah satu syarikat kereta yang bertanggungjawab. Kami mahu rakyat Malaysia mendapat ciri keselamatan serta menikmati teknologi baharu,” tambah Dato’ Zainal.

Lakaran Perodua Alza 2022. Imej oleh: Theophilus Chin

Kita boleh jangkakan Perodua Alza 2022 akan menjadi kembar kepada Toyota Avanza/Daihatsu Xenia.

Ia akan menampilkan ciri dan teknologi terkini seperti lampu depan LED dengan Adaptive Driving Beam, dan mungkin beberapa varian lebih tinggi akan mendapat Autonomous Emergency Braking serta Adaptive Cruise Control.

Enjin berkemungkinan mengekalkan penggunaan 1.5-liter Dual VVT-i NR seperti sekarang, tetapi kami yakin ia akan dipadankan dengan kotak gear baharu D-CVT (sama seperti Myvi dan Ativa).