fbpx

Perodua Alza terima 39,000 tempahan, 70% pelanggan pilih kit GearUp

perodua alza 2022 01

PERODUA memaklumkan bahawa Alza serba baharu telah menerima tambahan 9,000 tempahan pada bulan Julai, menjadikan tempahan keseluruhan sebanyak 39,000 sejak ia dibuka pada Jun lalu.

Setakat ini, kira-kira 4,000 unit MPV tujuh tempat duduk itu telah diserahkan kepada pelanggan. Tempoh menunggu pula dianggarkan antara lapan hingga 10 bulan berdasarkan kapasiti pengeluaran iaitu 3,000 unit sebulan.

Perkara ini disahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media khas di Kota Bharu hari ini (4 Ogos 2022).

Menurut Dato’ Sri Zainal, daripada jumlah tempahan tersebut, kira-kira 70% pelanggan memilih untuk mendapatkan kit badan GearUp yang menawarkan kelengkapan tambahan dan penampilan lebih sporti.

Dalam pada itu, Perodua berkata permintaan untuk model-model keluarannya kekal kukuh dengan tempahan mencecah 24,265 unit pada bulan lalu.

Selain itu, jualan Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7% kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual pada jangkamasa sama pada tahun lepas.

Dato’ Sri Zainal berkata terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jualan ini.

“Faktor pertama disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.”

“Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 pada masa itu,” kata beliau.

Tambah Dato’ Sri Zainal lagi, bilangan tempahan kenderaan baharu, walaupun tidak setinggi prestasi Januari hingga Jun tahun ini, adalah lebih baik daripada apa yang dijangkakan. Ini membuktikan bahawa industri automotif masih ada potensi yang cerah.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved