Arkib Tag: BMW Motorrad

BMW R18 Roctane di Malaysia – harga dari RM160,000

BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan BMW R18 Roctane baharu pada acara BMW Premium Selection (BPS) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

R18 Roctane merupakan edisi kelima dalam rangkaian R18, menampilkan gabungan reka bentuk klasik dan teknologi kontemporari yang dipertingkatkan.

Diinspirasikan daripada R5, model ini dibina menggunakan rangka keluli tiub dua gelung, dengan lengan ayun belakang yang didatangkan dalam kemasan klasik.

Ia juga mempunyai ciri ergonomik yang seimbang dengan konfigurasi ‘pemijak kaki di tengah’ dan tempat duduk dua aras, papan lantai yang dipertingkatkan, pedal gear, dan hendal tinggi yang dicat warna hitam.

Terdapat dua warna yang ditawarkan iaitu Mineral Grey Metallic dan Manhattan Metallic Matt.

R18 Roctane mempunyai enjin boxer terbesar dan paling berkuasa dalam barisan Heritage BMW Motorrad. Dengan dengan sesaran 1,802 cc dan dua silinder, enjin itu menghasilkan 91 hp pada 4,750 rpm dan tork puncak 150 Nm.

Sistem elektrik pula merangkumi Automatic Stability Control (ASC) dan tiga mod tunggangan iaitu Rock, Roll dan Rain.

Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan ciri-ciri lain seperti Adaptive Headlights, Hill Start Control, Headlight Pro, Reverse Gear Aid, Daytime Riding Light dan Cruise Control.

Harga jualan R18 Roctane dijangka bermula sekitar RM160,000.

BMW R 1300 GS 2024 bawa banyak perubahan dan inovasi, enjin boxer lebih berkuasa

BMW telah mendedahkan motosikal yang ditunggu ramai, iaitu R 1300 GS 2024. Ia membawakan banyak teknologi dan inovasi untuk jentera adventure yang ikonik itu.

Pertamanya, casis R 1300 GS telah melalui transformasi dimana bingkai besi padanya telah berubah kepada aluminium ringan, tetapi masih kukuh. Ia juga mendapat komponen EVO Telelever di suspensi depan dan EVO Paralever di belakang untuk ketepatan dan kestabilan tunggangan.

Pemilik juga boleh memilih Dynamic Suspension Adjustment (DSA) yang mengawal penyerap hentak secara adaptif bagi keselesaan di pelbagai bentuk muka bumi. Sistem ini juga mengimbangi suspensi jika terdapat muatan yang dibawa.

Kawalan ketinggian juga dilaras secara adaptif, dan suspensinya adalah 20mm lebih tinggi, direka khas untuk GS. Terdapat empat mod tunggangan termasuklah mod Enduro baharu.

Nadi kepada BMW R 1300 GS 2024 ini ialah enjin boxer dua-silinder, kini lebih kompak dan berkuasa. Dengan sesaran 1,300cc, ia mampu menjana 145hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm.

Lampu bukan sahaja untuk menyuluh, tetapi juga memberikan identiti. Untuk GS 2024, BMW telah memberikan lampu Matrix LED sebagai standard dengan DRL berbetuk X unik. Jika anda pilih Headlight Pro, ia menambah ciri lampu isyarat diintegrasi pada pelindung tangan.

Ciri keselamatan pula termasuklah pilihan Riding Assistant merangkumi Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), dan Lane Change Warning (LCW).

Pelbagai varian model ditawarkan untuk BMW GS kali ini, seperti Triple Black, GS Trophy, dan Option 719 Tramuntana. Setiap satunya dengan kombinasi warna dan gaya tersendiri.

Ada yang teruja untuk motosikal ini tiba ke pasaran Malaysia?

BMW Motorrad GS Challenge 2023: Lima peserta wakili Malaysia di Namibia tahun depan

BMW Motorrad Malaysia telah menganjurkan acara BMW Motorrad GS Challenge edisi 2023 di Putrajaya pada 23 dan 24 September lalu.

Acara mendebarkan ini dihadiri lebih 180 pemilik dan peminat BMW Motorrad yang ingin menyaksikan penunggang jentera GS menguji kemahiran off-road masing-masing.

Terdapat pelbagai aktiviti dan cabaran off-road yang disediakan, termasuk laluan berliku ‘Follow the Trails’ yang mengujakan khusus buat para pemilik BMW G 310 GS.

Hari pertama acara menyaksikan 10 penunggang terbaik dipilih untuk mara ke pusingan yang seterusnya pada hari kedua, bagi merebut peluang menyertai jelajah ‘Follow the Trails’ (FTT) International BMW GS Trophy di Namibia pada tahun hadapan.

10 pemenang tersebut juga menerima hadiah-hadiah eksklusif daripada penaja tayar rasmi bagi acara BMW Motorrad GS Challenge 2023 iaitu Metzeler.

Selepas dua hari bersaing dengan sengit, lima finalis akhirnya berjaya mengatasi cabaran BMW Motorrad GS Challenge tahun ini seterusnya mendapat tempat untuk menyertai cabaran FTT Namibia 2024.

Lima pemenang tersebut adalah Asmawi Bin Ali, Diwaagar A/L Tambychandran, Affendy Syed Omar, Zulkifli Bin Zainal Abidin dan Azlan Shah Bin Ahmad Suhaimi.

BMW Group Malaysia jual lebih 1,600 unit EV dalam tempoh 8 bulan

BMW Group Malaysia mengumumkan pencapaian mereka sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di Malaysia dengan penyerahan kenderaan EV jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad melebihi 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan.

Menurut syarikat itu, angka tersebut melangkaui 1,557 unit jualan EV BMW dan MINI yang dicapai pada keseluruhan tahun 2022.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia ke atas “Sheer Electric Driving Pleasure” serta memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk mengetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia – dibantu dengan dukungan daripada para pelanggan, wakil pengedar, dan rakan-rakan kongsi kami.”

Tambah de Visser lagi, pencapaian itu juga mengiktiraf kedudukan BMW Group Malaysia dalam segmen EV premium dan seluruh ekosistem EV di negara ini.

Dalam usahanya untuk memacu peralihan kepada mobiliti elektrik, BMW Group Malaysia meluaskan lagi usaha sama strategik dengan Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses kepada pengecasan EV.

Kedua-dua organisasi ini kini memberi nafas kepada Charge Go, sebuah perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

Bagi meraikan pencapaiannya, BMW Group Malaysia turut berkerjasama dengan ChargEV di samping JomCharge dan Gentari untuk menawarkan pakej-pakej pengecasan tanpa had kepada pemilik EV BMW dan MINI.

Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran berpeluang membeli pakej-pakej berkenaan pada harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal solusi pengecasan tersebut.

Pakej ini menawarkan pengecasan tanpa had di semua fasiliti ChargEV atau JomCharge dan Gentari di seluruh negara selama 12 bulan setelah diaktifkan dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan.

BMW M 1000 RR kini dengan M Competition Package – RM289,500

BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan BMW M 1000 RR dengan M Competition Package, kira-kira dua tahun selepas jentera itu diperkenalkan buat pertama kali di negara ini.

Dengan penambahan M Competition Package, M 1000 RR bukan sahaja tampil lebih agresif dengan komponen-komponen aerodinamik baharu, malah bersifat lebih sporty dengan adanya pelbagai kelengkapan terkini.

M Competition Package merangkumi lengan ayun aluminium beranod yang lebih ringan (-220 g), sistem brek M, tuil klac, pelindung tuil brek, rantai M (M Endurance Chain) dan juga tempat letak kaki M.

Turut disertakan bersama pakej berkenaan adalah set roda M Carbon dan komponen-komponen karbon termasuk pelitup roda hadapan dan belakang, pelindung gegancu, pelitup sisi dan tangki.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 999 cc yang dilengkapi dengan sistem penyejukan air dan teknologi BMW ShiftCam bagi kawalan aci sesondol berciri boleh ubah pada saluran masuk.

Kini dengan M Engine Protector, enjin berkenaan menghasilkan 212 hp pada 15,000 rpm dan 113 Nm pada 11,000 rpm. Menurut BMW, superbike ini boleh mencapai kelajuan maksimum 314 km/j.

Kelengkapan lain yang tersedia termasuk paparan TFT berukuran 6.5 inci yang dikuasakan oleh pengantara OBD bagi M GPS-Laptrigger serta pelindung tempat duduk penumpang (Passenger Carbon Cover) yang merupakan sebahagian daripada Passenger Package.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori tambahan lain seperti penghadang angin (versi bertinta, gelembung atau gelembung bertinta), M Datalogger dan M Cover Kit.

Seperti sebelum ini, M 1000 RR boleh didapati dalam tiga kombinasi warna menarik iaitu Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red.

Harga jualan M 1000 RR dengan M Competition Package bermula dari RM289,500, iaitu RM40,000 lebih tinggi berbanding versi tanpa pakej tersebut yang dilancarkan pada 2021.

BMW CE 02 – ini bukan skuter atau motosikal elektrik tapi “eParkourer”

BEBERAPA tahun yang lalu, BMW Motorrad memperkenalkan skuter elektrik pertamanya iaitu CE 04, yang secara jujurnya nampak seperti sebuah jet ski futuristik dengan dua roda.

Kini, BMW Motorrad menambah satu lagi model ke portfolio elektriknya tetapi menurut syarikat itu, ia bukanlah sebuah skuter atau motosikal elektrik, sebaliknya ia digelar sebagai “eParkourer”.

Dikenali dengan nama CE 02, model ini dibangunkan untuk persekitaran bandar dan urban, dengan rekaan yang lasak, praktikal dan minimalis.

CE 02 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik pada tayar belakang yang mampu menghasilkan 15 hp dan 55 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 95 km/j. Jarak gerak maksimum adalah sekitar 90 km dengan satu cas penuh.

Untuk pemegang lesen kelas AM di Jerman, BMW Motorrad menawarkan versi kurang berkuasa yang mempunyai 5 hp, 55 Nm dan kelajuan maksimum 45 km/j.

Bagi versi standard, penunggang mempunyai dua mod iaitu Flow dan Surf. Flow ditala untuk tunggangan dalam persekitaran trafik di kawasan urban, manakala Surf adalah untuk gaya tunggangan yang lebih dinamik di luar kawasan bandar.

Mereka yang memilih spesifikasi tertinggi iaitu Highline boleh mencuba mod tambahan iaitu Flash untuk gaya tunggangan yang lebih sporty.

Dari segi pengecasan, CE 02 didatangkan dengan pengecas standard kediaman berkapasiti 0.9 kW yang boleh mengecas dari 20 hingga 80 peratus dalam tiga jam.

Bagaimanapun, dengan kabel pengecas pantas 1.5 kW yang disertakan secara standard bersama varian Highline, masa mengecas boleh dipendekkan kepada 1 jam 40 minit.

Untuk casis, CE 02 menggunakan kerangka keluli dengan rekaan double loop yang dipadankan dengan fork teleskopik bersama redaman hidraulik di depan dan lengan ayun tunggal bersama pramuatan boleh laras di belakang.

Ia dilengkapi dengan roda aloi berukuran 14 inci, sistem brek cakera pada bahagian depan dan belakang, serta ABS. Ketinggian tempat duduk adalah 750 mm, manakala berat keseluruhan mencecah 132 kg.

Dari segi kelengkapan pula, CE 02 didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, ciri Keyless Ride, soket pengecas USB-C dan paparan TFT.

Di samping ABS dan mod tunggangan, ciri-ciri elektronik yang terdapat pada model ini termasuk ASC (Automatic Stability Control), RSC (Recuperative Stability Control) dan Reverse Assistant.

Di Amerika Syarikat, versi asas CE 02 dijual pada harga bermula dari USD 7,599 (RM35,327). Versi Highline yang mempunyai banyak kelengkapan tambahan lain pula berharga USD9,069 (RM42,161).

BMW M 1000 R gegar pasaran Malaysia dengan 210 PS – harga dari RM158,500

BMW Motorrad Malaysia memperluaskan lagi barisan model mereka dengan pelancaran jentera roadster berprestasi tinggi iaitu M 1000 R. Secara asasnya, ia ‘kembar’ kepada S 1000 R yang lebih agresif.

Pertama sekali, jentera ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris yang telah ditala bagi menghasilkan 210 PS pada 13,750 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 45 PS berbanding versi S.

Bagaimanapun, jumlah tork yang dihasilkan menurun sedikit dari 114 Nm kepada 113 Nm, namun ia memuncak pada rev yang lebih tinggi iaitu 11,000 rpm berbanding 9,250 rpm pada versi S. Bukan itu sahaja, model ini juga boleh mencapai redline yang lebih tinggi iaitu 14,600 rpm.

Menurut BMW, model ini juga mempunyai cengkaman roda belakang yang lebih baik dalam semua gear dengan nisbah gear kedua hingga keenam yang lebih singkat yang lebih singkat. Nisbah gear keempat, kelima dan keenam juga lebih singkat bagi memberi sumbangan dari segi tujahan.

Suspensi dan casis M 1000 R juga telah diperhalusi untuk prestasi yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ia dilengkapi dengan pangkal spring fork boleh laras, peredam stereng boleh laras dan Dynamic Damping Control (DDC). Bar hendal tiub aluminiumnya juga tampak lebih lebar.

Dari segi aerodinamik, M 1000 R didatangkan standard dengan winglet M baharu yang boleh memberikan downforce tambahan untuk kestabilan yang lebih baik pada kelajuan tinggi. Penangkis angin turut disertakan bagi melawan rintangan aerodinamik tambahan yang tercetus ekoran penambahan kecil pada bahagian depan tadi.

Perincian rekaan aerodinamik ini memastikan jentera tersebut mempunyai kecenderungan wheelie yang lebih rendah, sekaligus dapat memecut dengan lebih cepat.

Untuk sistem brek pula, terdapat angkup M baharu, cakera berkembar berukuran 320 mm dengan ketebalan 5 mm serta pam brek radial. Semua ini ditemani sistem Brake Slide Assist yang membolehkan penunggang membuat aksi brake drift semasa memasuki selekoh.

Model ini mempunyai paparan TFT 6.5 inci yang menampilkan takometer baharu dan animasi M ketika enjin dihidupkan. Ciri-ciri lain yang ada termasuk Titanium ESD, bateri LiO, rim M, pelana M, rantai M Endurance, Keyless Ride, spoiler enjin, pemanas penggenggam dan bermacam lagi.

Turut disertakan adalah ciri-ciri elektronik seperti Shift Assistant Pro, mod-mod tunggangan Pro dan Cruise Control.

Ditawarkan dalam satu warna sahaja iaitu Lightwhite/M Motorsport, BMW M 1000 R dijual pada harga RM158,500 termasuk waranti tiga tahun dan program bantuan tepi jalan tiga tahun.

BMW S 1000 RR baharu kini di Malaysia – RM129,500

SELEPAS melancarkan BMW R 1250 R dan R 1250 RS tempoh hari, BMW Motorrad Malaysia akhirnya mengakhiri penantian peminat superbike dengan pelancaran BMW S 1000 RR baharu.

Apa yang baharu pada model ini? Untuk 2023, S 1000 RR didatangkan dengan winglet pada bahagian depan yang bukan sahaja membuatkan ia tampil lebih garang, malah mampu meningkatkan kecekapan aerodinamiknya.

Selain itu, BMW Motorrad turut menambah baik aspek geomteri casis dengan mendatarkan sudut kepala stereng sebanyak 0.5 darjah serta mengurangkan offset pada bahagian pengapit bertiga (triple clamp) sebanyak 3 mm.

Jentera ini masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris namun kuasanya telah dipertingkatkan kepada 210 PS pada 13,750 rpm, iaitu 3 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini. Jumlah tork yang dihasilkan pula adalah 113 Nm pada 11,000 rpm.

Turut diberi penambahbaikan adalah aspek elektronik, di mana ciri Slide Control baharu dalam sistem Dynamic Traction Control (DTC) mampu memberikan bantuan kepada penunggang semasa memecut keluar dari selekoh.

Ciri tersebut didatangkan dengan dua sudut drift preset bagi DTC yang memanfaatkan sensor sudut stereng bagi mengurangkan kegelinciran dan menstabilkan motosikal semasa dalam keadaan menyendeng.

Satu lagi ciri baharu yang disertakan adalah Brake Slide Assist yang merupakan sebahagian daripada ABS Pro. Juga memanfaatkan sensor stereng, ciri ini membolehkan penunggang membuat pratetapan sudut drift untuk memasuki selekoh pada kelajuan yang terkawal.

Di samping itu, S 1000 RR juga didatangkan dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada jentera ini termasuklah Race ABS, Hill Start Control, Shift Assist Pro, lampu isyarat LED, lampu depan dan belakang LED dan M GPS Laptrigger.

Turut disertakan adalah Dynamic Package yang merangkumi Riding Mode Pro, HSC Pro, Dynamic Brake Control, Dynamic Damping Control, pemanas penggenggam dan Cruise Control.

S 1000 RR boleh didapati dalam dua warna iaitu Style Passion dalam warna Racing Red dan M Package Lightwhite. Harga jualan bermula dari RM129,500 untuk Style Passion dan RM149,500 untuk M Package Lightwhite.

BMW R 1250 R, R 1250 RS masuk pasaran Malaysia

BMW Motorrad Malaysia terus memperluaskan penawaran mereka dalam pasaran motosikal premium tempatan, kali ini dengan pelancaran dua model baharu iaitu BMW R 1250 R dan R 1250 RS.

Secara asasnya, kedua-dua model ini menampilkan enjin dan ciri yang sama, cuma apa yang membezakan adalah bentuk badan. Model R merupakan motosikal jenis roadster manakala RS pula adalah jentera jelajah sport atau sport tourer.

Bercakap tentang enjin, R 1250 R dan R 1250 RS bernadikan enjin boxer dua silinder bersesaran 1,254 cc yang mampu memberikan kuasa sebanyak 136 PS dan 143 Nm.

Selain teknologi penyejukan udara/cecair, enjin berkenaan juga dilengkapi dengan tekonologi BMW ShiftCam yang membolehkan kuasa dibekalkan dengan lancar, sambil memelihara corak penggunaan bahan api dan emisi.

Teknologi lain yang terdapat pada jentera-jentera ini ialah sistem brek BMW Integral ABS Pro dan Dynamic Brake Control (DBC) yang bertindak untuk memberikan sokongan tambahan semasa pembrekan kecemasan.

Selain itu, kedua-duanya juga dilengkapi dengan Dynamic Traction Control (DTC) dan Riding Modes Pro yang menawarkan beberapa mod tunggangan seperti Pro dan Eco.

Kesemua ciri elektronik ini boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna. Terdapat beberapa pilihan paparan yang disediakan, termasuk skrin Sports yang memaparkan maklumat masa nyata seperti sudut sendengan, ABS Pro dan DTC.

Turut disertakan adalah soket kuasa 12 volt bersepadu dan juga soket USB-A berkuasa 5 volt dengan ciri pengecasan pantas untuk peranti mudah alih. Ciri Intelligent Emergency Call juga merupakan fungsi standard bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan dalam situasi kecemasan.

Sebagai pelengkap, kedua-dua model ini didatangkan dengan pakej Comfort, Touring dan Dynamic. Pakej Comfort merangkumi ciri Keyless Ride, peredam khas, kepala ekzos bersadur krom, pemanas pemegang dan kawalan tekanan tayar.

Pakej Touring pula membawakan GPS, Cruise Control, tongkat utama serta pendakap kotak simpanan, manakala pakej Dynamic mengandungi ciri-ciri keselamatan dan prestasi seperti Dynamic ESA dan Shift Assistant Pro.

R 1250 R dan R 1250 RS ditawarkan dalam varian Sport dan Triple Black, masing-masing dengan skema warna unik. Bagi R 1250 R, varian Sport didatangkan dalam warna Racingblue, manakala varian Triple Black dalam warna Blackstorm.

Sementara itu, varian Sport bagi R 1250 RS hadir dalam warna Lightwhite, Racingblue dan Racingred, manakala varian Triple Black membawakan warna Blackstorm.

 

Harga (atas jalan, tidak termasuk insurans) bagi R 1250 R adalah RM114,500, manakala harga R 1250 RS pula ialah RM118,500. Harga yang disebutkan termasuk waranti tiga tahun serta program bantuan tepi jalan tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.

BMW R nineT 100 Years Edition – 10 unit untuk pasaran Malaysia, RM129,500

BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan jentera BMW R nineT 100 Years serba baharu untuk pasaran tempatan.

Menurut syarikat itu, dari 1,923 unit yang dihasilkan (bersempena tahun kelahiran BMW Motorrad), hanya 10 unit model ini akan dibawa masuk ke Malaysia.

Apa yang membezakan model edisi terhad dengan versi standard ini adalah beberapa ciri istimewa, termasuk warna metalik Black Storm dan saduran krom pada bahagian tangki yang diinspirasikan dari model R 75/5 keluaran tahun 1969.

Selain itu, tangki itu dihiasi dengan jalur kembar berwarna putih, pad pencengkam serta lencana “100 Years”. Kemasan krom juga dapat dilihat pada pelitup tempat duduk belakang, sementara dapra hadapan pula didatangkan dalam warna hitam dengan jalur kembar putih.

Melengkapkan penampilan jentera eksklusif ini adalah sentuhan warna hitam dan “oxblood” pada bahagian tempat duduk, serta kemasan hitam pada tiub fork dan saluran udara.

Turut disertakan bersama adalah pakej aluminium, tangki minyak aluminium dan pakej Comfort yang merangkumi Riding Modes Pro, kawalan luncur (cruise control) dan pemanas tangan.

Seperti versi standard, R nineT 100 Years dikuasakan oleh enjin boxer empat lejang berkembar 1,170 cc yang mampu menghasilkan 109 hp pada 7,250 rpm dan 116 Nm pada 6,000 rpm.

Untuk membekalkan daya cengkaman yang setara dengan kuasanya, model ini didatangkan dengan brek cakera berkembar dengan empat angkup piston di hadapan dan brek cakera tunggal dengan dua angkup piston apung di belakang.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri keselamatan seperti BMW Motorrad ABS Pro, Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), serta mod tunggangan Rain dan Road.

Harga jualan BMW R nineT 100 Years bermula dari RM129,500, termasuk waranti tiga tahun dan program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

BMW Group Malaysia kekal nombor 1 tiga tahun berturut-turut

BMW Group Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun lalu dengan jumlah penyerahan sebanyak 14,400 unit kenderaan bagi tiga jenama di bawahnya iaitu BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Menurut kumpulan itu, 31 peratus daripada penyerahan kenderaan BMW dan MINI merupakan jenis kenderaan berkuasa elektrik, membawa jumlah keseluruhan kepada lebih 25,000 unit setakat ini.

Bagi jenama BMW, ia mencatat pertumbuhan berkadar lebih 37 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu dengan penyerahan melebihi 11,800 unit.

MINI pula merekodkan pertumbuhan lebih 25 peratus dengan penyerahan melebihi 1,300 unit, manakala BMW Motorrad berjaya menyerahkan lebih 1,300 buah motosikal, merekodkan pertumbuhan lebih 20 peratus.

Kejayaan BMW diterajui oleh model 3 Series yang mencatat lebih 2,300 penyerahan sepanjang tahun lalu, diikuti oleh 2 Series dengan 1,357 unit dan 5 Series dengan 1,328 unit. Jenama itu turut menyerahkan lebih 5,100 unit model SUV.

Sementara itu, pencapaian MINI dalam pasaran tempatan disumbangkan oleh Countryman dengan lebih 800 unit penyerahan. Angka itu mencakupi lebih 65 peratus daripada jumlah penyerahan bagi jenama MINI.

BMW Motorrad pula menyaksikan lebih 700 unit motosikal diserahkan kepada pelanggan yang ingin menjadikan ‘Hidup Sebuah Pengembaraan’. Penyumbang utama bagi kejayaan ini adalah BMW R 1250 GS Adventure dengan penyerahan melebihi 340 unit dan G 310 GS dengan 230 unit.

Untuk barisan kenderaan berkuasa elektrik, BMW dan MINI merekodkan penyerahan melebihi 4,000 unit kenderaan, di mana 31 peratus daripadanya adalah kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya. BMW iX mendapat permintaan luar biasa apabila lebih 970 unit berjaya diserahkan.

BMW Group Malaysia juga terus memperluaskan rangkaian pengecasan awamnya dengan menyediakan akses kepada lebih 610 fasiliti pengecasan di seluruh negara.

Ini termasuk lebih 330 buah stesen pengecasan ChargEV, dengan 26 daripadanya dikuasakan oleh ChargEV dan Yinson GreenTech di 17 cawangan Starbucks di Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

Kumpulan itu turut berganding bahu dengan JomCharge untuk membuka lebih 65 stesen pengecasan, dan Gnetari degnan 117 stesen pengecasan. Lebih 80 fasiliti BMW i Charging turut disediakan di kebanyakan pusat pengedaran BMW dan MINI, dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat tahun ini.

23 wakil pengedar BMW, MINI, BMW Motorrad dan BMW Premium Selection terima anugerah cemerlang

BMW Group Malaysia baru-baru ini mengadakan Malam Anugerah Pengedar tahunannya di Grand Hyatt Kuala Lumpur, di mana lebih daripada 200 orang wakil dan individu dari seluruh jaringan BMW hadir untuk meraikan pencapaian luar biasa mereka.

Malam anugerah itu menyaksikan sebanyak 23 pusat pengedaran BMW, MINI, BMW Motorrad dan BMW Premium Selection bertauliah dari seluruh negara telah diiktiraf atas standard perkhidmatan mereka yang cemerlang, dedikasi dalam membekalkan servis kenderaan dan khidmat pascajualan yang terbaik.

Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW

Sijil ini dipersembahkan kepada individu yang telah melalui latihan pengkhususan intensif dalam kepakaran bateri kenderaan elektrik serta kenderaan BMW i.

Barisan pakar yang diperakui ini terdiri daripada:
– Choo Yee Khai (Auto Bavaria Penang)
– Balamurali J. Keshenan (Auto Bavaria Tebrau)
– Chang Duen Khang, Chai Meng Wah dan Rampirabu Engiddaraman (Auto Bavaria Ara Damansara)
– Thamotharan Pannirselvan (Tian Siang Premium Auto Butterworth)
– Muhammad Faiz (Regas Premium Sabah)
– Yap Kah Jun dan Fong Song Yuan (Auto Bavaria Kuala Lumpur)
– Thang Chin Fai (Millennium Welt Seremban)

Anugerah Pengedar Pascajualan BMW 2022

Anugerah ini mengiktiraf pencapaian luar biasa individu dalam segmen Pascajualan yang merentasi kategori Teknikal, Pegawai Khidmat Pelanggan, Ketua Alat Ganti, Ketua Pascajualan dan Kategori Terbuka.

Pemenang anugerah kategori Terbuka:
– Wai Kit Peng (Auto Bavaria Kuala Lumpur)
– Supiyati binti Ahmad (Auto Bavaria Ara Damansara)
– Tuan Mohd Shafik bin Tuan Shamsuri (Millennium Welt Kuantan)

Pemenang anugerah kategori Teknikal:
– Thamotharan a/l Pannirselvan (Tian Siang Premium Auto Butterworth)
– Rodi Ajang Anthony (Regas Premium Auto)
– Ahmad Idris bin Md Derus (Quill Automobiles)

Pemenang anugerah kategori Pegawai Khidmat Pelanggan:
– Shim Kuan Guan (Regas Premium Sabah)
– Noor Haslina binti Jahaya (Lee Motors Auto Care)
– Tan Qi Herng (Millennium Welt Batu Pahat)

Pemenang kategori Ketua Alat Ganti:
– Pea Fong Fong (Lee Motors Auto Care)
– Bijamin Anak Changgan (Auto Bavaria Johor Bahru)

Pemenang kategori Ketua Pascajualan:
– Liew Sun Hoong (Quill Automobiles)
– Mohd Azlan Aladin (Auto Bavaria Penang)
– Anthony David (Auto Bavaria Ara Damansara)

Anugerah Pengedar BMW Motorrad 2022

Anugerah ini dibahagikan mengikut kategori kepada Juruteknik BMW Motorrad, Penasihat Servis BMW Motorrad, Pengurus Pascajualan BMW Motorrad, Penasihat Jualan BMW Motorrad, dan Pengurus Jualan BMW Motorrad.

Pemenang anugerah Juruteknik BMW Motorrad:
– Mohd Hanafi Abdul Ghapar (Auto Bavaria Ara Damansara)
– Muhammad Farkhan Iman (Chear Motorrad)

Pemenang anugerah kategori Penasihat Servis BMW Motorrad:
– Mohamad Sopian (EL Chong Motor)
– Tee Kean Chu (Auto Bavaria Penang)

Pemenang kategori Pengurus Pascajualan BMW Motorrad:
– Nicholas Yo (Regas Premium Auto)
– Eugene Francis (Millennium Welt Kuantan)

Pemenang kategori Penasihat Jualan BMW Motorrad:
– Gary Saw Kooi Hong (Auto Bavaria Penang)
Wee Wei Ping (EL Chong Motor)

Pemenang anugerah kategori Pengurus Jualan BMW Motorrad:
– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang)
– Theresa Tan (Regas Premium Sabah)

Anugerah Kelab MINI Issigonis 2022

Anugerah ini dibahagikan kepada kategori-kategori berikut – Pusat Pengedaran Terbaik MINI, Pengurus Jualan Terbaik MINI, dan Penasihat Jualan Terbaik MINI. Anugerah tersebut dibahagikan lagi di bawah MINI John Cooper Works (MINI JCW), MINI Cooper S, dan MINI Cooper.

Pemenang anugerah Penasihat Jualan Terbaik MINI:
– Cally Chan Li Beng (Auto Bavaria Penang) dan Eliz Wong Yoon Hiung (Millennium Welt Seremban) bagi kategori MINI Cooper
– Farizz Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Alan Yu Kok Yeong (Wheelcorp Premium) bagi kategori MINI Cooper S
– Belinda Ong Gaik Choo dan Lee Sok Yee (Auto Bavaria Ara Damansara) bagi kategori MINI JCW

Anugerah Pengurus Jualan Terbaik MINI jatuh kepada:
Wong Kim Kooi (Auto Bavaria Penang) bagi kategori MINI Cooper
– Michael John (Wheelcorp Premium) bagi kategori MINI Cooper S
– Victor Tan Wei Teck (Auto Bavaria Ara Damansara) bagi kategori MINI JCW

Pemenang Anugerah Pusat Pengedaran Terbaik MINI:
– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang) bagi kategori MINI Cooper
– Jayden Liew (Wheelcorp Premium) bagi kategori MINI Cooper S
– Azwan Yahaya (Ingress Auto Bangsar) bagi kategori MINI JCW

Penasihat Jualan Terbaik bagi Kontrak Terbiaya Tertinggi 2022

Anugerah ini adalah untuk individu-individu dari portfolio BMW Group Malaysia yang merentasi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Pemenang kategori Kontrak Terbiaya Tertinggi BMW:
– Chua Kok Sing (Auto Bavaria Ara Damansara)

Pemenang kategori Kontrak Terbiaya Tertinggi MINI:
– Lee Sok Yee (Auto Bavaria Damansara)

Pemenang kategori Kontrak Terbiaya Tertinggi BMW Motorrad:
– Ben Chear (Chear Motorrad)

Penasihat Jualan Terbaik bagi BMW Easy Drive 2022

Anugerah ini dianugerahkan kepada individu-individu cemerlang dalam segmen Perkhidmatan Kewangan.

Pemenang kategori Platinum:
– Tan Khoi Peng (Auto Bavaria Sungai Besi)

Pemenang kategori Berlian:
– Ungku Danish Akmal bin Ungku Ibrahim (Auto Bavaria Johor Bahru)

Pusat Pengedaran BMW Paling Suportif 2022

Anugerah Pusat Pengedaran BMW Paling Suportif 2022 telah diberikan kepada:
– Tian Siang Premium Auto Ipoh yang telah diwakili oleh prinsipal pengedar mereka, Tan Ka Kin.

Tembusan Tertinggi bagi Perkhidmatan Kewangan BMW 2022

Anugerah Tembusan Tertinggi bagi Perkhidmatan Kewangan BMW 2022 diberikan kepada:

– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang) bagi kategori Platinum
– Tan Ka Kin (Tian Siang Premium Ipoh) bagi kategori Berlian.

Tembusan Tertinggi bagi Perkhidmatan Kewangan MINI 2022

Anugerah Tembusan Tertinggi bagi Perkhidmatan Kewangan MINI 2022 jatuh kepada:
– Bryan Wong (Millenium Welt Seremban) bagi kategori Platinum
– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang) bagi kategori Berlian

Tembusan Tertinggi bagi Perkhidmatan Kewangan BMW Motorrad 2022
Anugerah Tembusan Tertinggi bagi Perkhidmatan Kewangan BMW Motorrad 2022 dimenangi oleh:
– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang) bagi kategori Platinum
– Gavin Tay (Regas Premium Auto) bagi kategori Berlian.

Anugerah Kelab BMW Vision 2022

Anugerah ini mengiktiraf pencapaian individual dalam kegiatan jualan – dianugerahkan dalam kategori Ketua Jualan BMW Premium Selection, dan ia merentasi kategori Perak, Emas, Platinum dan Berlian untuk Penasihat Jualan dan Ketua Jualan.

Pemenang kategori Ketua Jualan BMW Premium Selection:
– Pauline Lim (Regas Premium Auto) bagi kategori Penasihat Jualan (Luar Kawasan)
– Yap Poh Len (Sime Darby Auto Selection Ara Damansara) bagi kategori Penasihat Jualan (Sentral)
– Alex Koh (Sime Darby Auto Selection Tebrau) bagi kategori Ketua Jualan (Luar Kawasan)
– Karyn Ng (Wheelcorp Premium) bagi kategiru Ketua Jualan (Sentral)

Pemenang Penasihat Jualan:

Kategori Perak
– Felicia Wong (Millenium Welt Kuantan)
– Muriel Tan (Regas Premium Sabah)

Kategori Emas
– Lim Yu Yuan (Lee Motors Auto Care)
– Liau Jia Hao (Seong Hoe Premium Motors)

Kategori Platinum
– Wendy Lee (Millenium Welt Seremban)
– Saravanan a/l Samykanoo (Tian Siang Premium Auto Butterworth)
– Louise Lou (Tian Siang Premium Auto Ipoh)

Kategori Berlian
– Thilagaraj a/l Palanisamy (Quill Automobiles)
– Jamie Hoy (Quill Automobiles)
– Michellen Chan (Auto Bavaria Sungai Besi)
– Winnie Lim (Wheelcorp Premium)

Pemenang Ketua Jualan:

Kategori Perak
– Theresa Tan (Regas Premium Sabah)

Kategori Emas
– Josephine Tay (Regas Premium Auto)
– Gabriel Koh (Seong Hoe Premium Motors)

Kategori Platinum
– Wong Kim Kooi (Auto Bavaria Penang)
– Lee Chin Kwang (Auto Bavaria Johor Bahru)

Kategori Berlian
– Ray Law (Wheelcorp Premium)
– Mandy Tang (Auto Bavaria Sungai Besi)

Anugerah Kelab BMW Excellence 2022

Anugerah ini disampaikan kepada para individu dengan rekod prestasi yang cemerlang dan dianugerahkan mengikut empat kategori pada tahun ini iaitu Perak, Emas, Platinum dan Berlian.

Pemenang kategori Emas:
– Andy Tian (Auto Bavaria Tebrau)

Pemenang kategori Perak:
– Woon Choon Yuen (Millennium Welt Kuantan)

Pemenang kategori Platinum:
– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang) di tempat pertama
– Tan Ka Kin (Tian Siang Premium Auto Ipoh) di tempat kedua
– Danny Boey Tong Guan (Auto Bavaria Johor Bahru) di tempat ketiga

Pemenang kategori Berlian:
– Joe Lee Se Juan (Auto Bavaria Ara Damansara) di tempat pertama
– Muhd Azrul Azman (Auto Bavaria Sungai Besi) di tempat kedua
– Choong Chin Seong (Auto Bavaria Kuala Lumpur) di tempat ketiga

Anugerah BMW Club 50

Buat julung kali, Anugerah BMW Club 50 dipersembahkan dalam kategori ‘Member of Club 50 2021’ kepada prinsipal pengedar yang telah merekodkan jualan sebanyak 50% dan ke atas mengikut syer pasaran premium bagi negeri masing-masing.

Pemenang:
– Wong Loke Win (Auto Bavaria Penang)
– Tan Ka Kin (Tian Siang Premium Auto Butterworth dan Ipoh)
– Bryan Wong (Millennium Welt Seremban)
– Loy Suan Chiow (Seong Hoe Premium Motors)
– Dato’ Seri Abdul Razak (Raza Premium Auto)
– Woon Choon Yuen (Millennium Welt Kuantan)
– Gavin Tay (Regas Premium Auto)