Arkib Tag: Bezza

Perodua setuju beli balik Bezza rosak lepas 8 jam dibeli

KEMELUT seorang pemilik Perodua Bezza yang rosak selepas 8 jam dibeli akhirnya berakhir apabila Perodua bersetuju untuk membeli semula kereta berkenaan dengan harga penuh.

Perkara itu dikongsikan pemilik kenderaan berkenaan, Nagakanni Subramaniam menerusi satu hantaran pada akaun Facebook miliknya pada Jumaat.

“Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama, dan semua bayaran sebelum ni pun saya akan dapat semula pemulangan wang,” tulisnya.

Tambah Nagakanni, Perodua juga menawarkan kepadanya untuk membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau menolak tawaran tersebut dan membeli kereta lain.

“Saya perlu buat keputusan ni dalam tujuh hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni.

“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Perodua Bezza rosak 8 jam selepas dibeli, wanita buat laporan polis

HAJAT seorang wanita untuk bergembira dengan kereta barunya tidak tercapai apabila kereta tersebut didakwa rosak lapan jam selepas dibeli.

Dalam satu hantaran di Facebook, Nagakanni Subramaniam berkata dia juga masih perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM537 walaupun sudah lebih dua bulan keretanya rosak.

Menceritakan kronologi episod malang itu, Nagakanni berkata dia membeli sebuah Perodua Bezza 1.3X pada 17 Oktober 2023 dari sebuah wakil pengedar di Segamat, Johor.

Pada pukul 7.40 malam, iaitu lapan jam selepas kereta itu dibeli, Nagakanni mendakwa enjin keretanya tidak dapat hidupkan.

Keesokan harinya, keretanya ditunda ke pusat servis Perodua Segamat di mana dia dimaklumkan bahawa enjin keretanya sudah rosak.

Susulan itu Nagakanni meminta Perodua untuk menggantikan dengan kereta baharu. Dia diminta untuk menunggu jawapan dari ibu pejabat Perodua yang mengambil masa hingga sebulan.

Pada 9 November, seorang eksekutif jualan pelanggan memaklumkan bahawa enjin keretanya itu rosak disebabkan kehadiran bendasing seperti gula.

“Masalahnya, saya pun tak bawa makanan atau gula dalam tempoh lapan jam tu, apatah lagi nak usik enjin,” tulisnya.

Eksekutif tersebut turut memaklumkan bahawa Nagakanni perlu membuat pinjaman baharu untuk mendapatkan kereta baharu.

Menurutnya, dia enggan berbuat demikian kerana masih terikat dengan pinjaman pertama yang dibuat untuk Bezza itu.

Pada 8 Disember lalu, Nagakanni berkata pihak Perodua sedang membuat siasatan dalaman bagi mencari punca-punca kesilapan.

“Atau kata lain, mereka belum boleh bagi black and white approval untuk tukar kereta saya dengan kereta baru,” katanya lagi.

Dalam hantaran itu, Nagakanni turut memuat naik dua laporan polis yang dibuat berasingan pada 18 dan 19 Oktober lalu.

Bezza model terlaris Perodua untuk 2023, jualan keseluruhan naik 22 peratus dalam Q3 2023

PERODUA Bezza menjadi model terlaris dijual sepanjang sembilan bulan 2023, diikuti oleh Axia dan Myvi. Jualan keseluruhan Perodua untuk 2023 setakat ini ialah 233,337 unit.

Perodua juga melaporkan kenaikan jualan sebanyak 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini dengan 88,537 unit berbanding 69,011 unit pada suku sama tahun lepas. Ini berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.

Peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan keluarkan – iaitu kenaikan sebanyak 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.

“Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, pengeluar kereta kompak itu telah menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6 peratus  daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap  aspek kecekapan kos dan kualiti,” tambahnya.

Dato’ Sri Zainal berkata dengan berlakunya semua penambahbaikan ini, jangkaan jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.

“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

“Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambahbaik kapasiti pengeluaran kami dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang kami hargai. Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” kata Dato’ Sri Zainal.

Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada bulan September 2023, kenaikan sebanyak 17.7 peratus daripada 24,626 pada September 2022.

Manakala dalam aspek pengeluaran, Perodua telah menghasilkan 31,447 kenderaan pada September 2023, peningkatan sebanyak 8.2 peratus daripada 29,077 unit pada September tahun lalu.

Perodua keluarkan 153,813 kenderaan 1H 2023, Bezza model terlaris!

PERODUA mengeluarkan 153,813 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, iaitu peningkatan 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Bagi angka jualan pula, Perodua menjual sebanyak 144,690 kenderaan untuk 1H 2023 berbanding 127,343 unit untuk tempoh sama 2022, peningkatan sebanyak 13.6 peratus.

Bezza menjadi model terlaris Perodua setakat tahun ini dengan 40,555 unit terjual dari Januari hingga Jun. Ini diikuti Perodua Myvi sebanyak 32,319 unit dan Axia dengan 28,199 unit.

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Menurutnya, Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini kerana syarikat kereta kompak itu akan menambah baik lagi kecekapan operasinya.

“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) yang lebih pantas daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 kenderaan pada suku kedua 2023 (2Q23), peningkatan sebanyak 1 peratus daripada 68,316 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dato’ Sri Zainal berkata prestasi pengeluaran Perodua pada suku pertama 2023 sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Penjana.

Pada 2Q23, Perodua merekodkan jualan 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Sebagai contoh, Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada sebanyak 2,500 kenderaan telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Perodua jual 144,690 kereta pada separuh pertama 2023, Bezza paling laris

TEMPOH enam bulan pertama 2023 menyaksikan Perodua mengeluarkan sebanyak 153,813 unit kenderaan dari kilangnya di Sungai Choh, Rawang. Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Bagi prestasi jualan pula, syarikat itu berjaya menjual sebanyak 144,690 unit kenderaan dalam tempoh separuh pertama tahun ini, 13.6 peratus lebih tinggi berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Perodua, Bezza muncul sebagai model terlarisnya setakat tahun ini dengan 40,555 unit didaftarkan, diikuti oleh Myvi dengan 32,319 unit dan Axia dengan 28,199 unit.

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini.

“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 unit kenderaan pada suku kedua 2023, peningkatan sebanyak 1 peratus daripada 68,316 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pada suku kedua tahun ini, Perodua merekodkan jualan sebanyak 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau memberi contoh Axia E yang dilancarkan baru-baru ini yang mendapat sambutan baik, di mana 2,500 unit model itu telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.

Tambah Dato’ Sri Zainal lagi, walaupun tempahan amat menggalakkan, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi termasuk kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.

“Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami,” katanya.

Pendaftaran Perodua separuh pertama 2022 melonjak 30 peratus, sasaran kekal 247,800 unit tahun ini

PERODUA menjual 127,343 kenderaan untuk enam bulan pertama 2022 dengan lonjakan 30 peratus daripada 97,290 unit yang dijual untuk tempoh sama pada 2021.

Ini berikutan permintaan kukuh untuk kenderaan pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.

Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Perodua Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 29,183 unit dan Perodua Bezza sebanyak 28,719 unit.

Walaupun begitu, Perodua Bezza semakin popular kerana ia merupakan model yang paling dicari pada masa ini.

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil,” katanya.

Dato’ Zainal berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding bulan Mei.

Walaubagaimanapun, beliau juga menyatakan bahawa isu-isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan memohon agar para pelanggan dapat memahami keadaan ini.

“Kami ingin memohon maaf kerana para pelanggan kami terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk meningkatkan lagi pengeluaran kami,” katanya.

Dato’ Zainal berkata langkah ini termasuk bekerjasama dengan para pembekal kami, dan dalam beberapa kes tertentu, Perodua turut menyediakan kakitangannya untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti terus mengalir.

“Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya.

Mengenai kekurangan alat ganti, komunikasi dengan para pembekal dan rakan kongsinya masih lagi berterusan untuk mencari komponen alternatif, katanya.

Beliau berkata, di sebalik isu ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit.

Saksi diseru tampil bantu kes Bezza langgar orang, lawan arus di SKVE

SAKSI kemalangan di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala Bandar Saujana Putra diminta tampil membantu siasatan polis.

Polis berkata, individu menyaksikan insiden tersebut diharap tampil dengan segera bagi memudahkan siasatan kes.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.

Jelas pihak polis, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan Perodua Bezza dipercayai melawan arus dan melanggar penunggang motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) . – Foto tangkap layar video tular di Facebook

Terdahulu, seorang lelaki memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di SKVE ditahan polis.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas mendapatkan rawatan ekoran kecederaan bahagian kepala di Hospital Banting, semalam.

Kejadian jam 2 petang semalam menyaksikan pemandu Perodua Bezza itu melanggar seorang penunggang motosikal.

Pemandu kereta itu kemudian bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal.

Susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Harga tidak ‘jatuh’, empat model kereta berbaloi dimiliki

MEMBELI kereta bukan suatu keputusan mudah memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi.

Justeru, tidak dinafikan ramai kalangan pengguna ‘memilih’ jenama serta model kereta sebelum membuat pembelian.

Hal ini bagi mengelak berdepan masalah berkaitan enjin, kos servis dan kejatuhan harga sekiranya ingin menjual semula kenderaan terbabit.

Maka, untuk artikel kali ini Engear dedahkan empat jenis kereta yang ‘hot’ di pasaran dan berbaloi dimiliki.

Perodua Myvi

Foto oleh Engear

Perodua Myvi antara kereta yang paling laku keras di negara ini.

Pada tahun 2019 dan 2020, sebanyak 81,966 unit Perodua Myvi telah terjual di pasaran Malaysia.

Harga bagi sebuah model baharu Perodua Myvi adalah sekitar RM45,700 sehingga RM58,800.

Apa yang menarik, harga Myvi terpakai masih ‘mahal’ iaitu sekitar RM38,000 sehingga RM40,000.

Perodua Axia

Foto ihsan Wikipedia

Pada tahun 2019 sehingga 2020, sebanyak 67,267 unit Perodua Axia telah terjual di pasaran Malaysia.

Harga baharu Perodua Axia adalah sekitar RM29,000 sehingga RM41,000.

Bagi kenderaan terpakai, Perodua Axia boleh dijual sehingga RM23,000 sehingga RM25,000.

Amat berbaloi bukan?

Perodua Bezza

Foto ihsan Bernama

Perodua Bezza merupakan satu lagi produk Perodua yang sangat laku keras di pasaran negara ini.

Model Bezza telah terjual lebih 45,656 unit pada tahun 2019 dan 2020.

Rata-rata pengguna memuji model ini yang dianggap sangat berbaloi dimiliki.

Apa tidaknya, model ini dikatakan berkualiti dan jarang menimbulkan masalah seperti kerosakan enjin serta lain-lain isu.

Proton Saga

Foto ihsan Proton

Proton Saga tidak perlu diperkenalkan lagi dan sangat legend dalam pasaran automotif negara ini.

Sejak generasi Saga pertama diperkenalkan pada tahun 1985, model ini sering mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Terdapat pelbagai sebab mengapa Saga menjadi pilihan iaitu pertama; harganya yang mampu milik dan kedua; kualiti yang sangat baik.

Contohnya, sebuah Proton Saga baharu boleh berharga sekitar RM32,000 sehingga RM40,000.

Bagi model terpakai, Proton Saga masih mempunyai harga tinggi iaitu sekitar RM23,000 sehingga RM27,000.

Ingin tahu lebih lanjut, tonton video yang telah disediakan.

Chiow!