fbpx

Perodua keluarkan 153,813 kenderaan 1H 2023, Bezza model terlaris!

perodua bezza

PERODUA mengeluarkan 153,813 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, iaitu peningkatan 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Bagi angka jualan pula, Perodua menjual sebanyak 144,690 kenderaan untuk 1H 2023 berbanding 127,343 unit untuk tempoh sama 2022, peningkatan sebanyak 13.6 peratus.

Bezza menjadi model terlaris Perodua setakat tahun ini dengan 40,555 unit terjual dari Januari hingga Jun. Ini diikuti Perodua Myvi sebanyak 32,319 unit dan Axia dengan 28,199 unit.

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Menurutnya, Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini kerana syarikat kereta kompak itu akan menambah baik lagi kecekapan operasinya.

“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) yang lebih pantas daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 kenderaan pada suku kedua 2023 (2Q23), peningkatan sebanyak 1 peratus daripada 68,316 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dato’ Sri Zainal berkata prestasi pengeluaran Perodua pada suku pertama 2023 sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Penjana.

Pada 2Q23, Perodua merekodkan jualan 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Sebagai contoh, Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada sebanyak 2,500 kenderaan telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved