fbpx

Pendaftaran Perodua separuh pertama 2022 melonjak 30 peratus, sasaran kekal 247,800 unit tahun ini

perodua myvi 2022 official photos 03

PERODUA menjual 127,343 kenderaan untuk enam bulan pertama 2022 dengan lonjakan 30 peratus daripada 97,290 unit yang dijual untuk tempoh sama pada 2021.

Ini berikutan permintaan kukuh untuk kenderaan pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.

Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Perodua Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 29,183 unit dan Perodua Bezza sebanyak 28,719 unit.

Walaupun begitu, Perodua Bezza semakin popular kerana ia merupakan model yang paling dicari pada masa ini.

Foto ihsan Bernama

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil,” katanya.

Dato’ Zainal berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding bulan Mei.

Walaubagaimanapun, beliau juga menyatakan bahawa isu-isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan memohon agar para pelanggan dapat memahami keadaan ini.

“Kami ingin memohon maaf kerana para pelanggan kami terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk meningkatkan lagi pengeluaran kami,” katanya.

Dato’ Zainal berkata langkah ini termasuk bekerjasama dengan para pembekal kami, dan dalam beberapa kes tertentu, Perodua turut menyediakan kakitangannya untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti terus mengalir.

“Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya.

Mengenai kekurangan alat ganti, komunikasi dengan para pembekal dan rakan kongsinya masih lagi berterusan untuk mencari komponen alternatif, katanya.

Beliau berkata, di sebalik isu ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved