fbpx

Perodua jual 144,690 kereta pada separuh pertama 2023, Bezza paling laris

Perodua Bezza

TEMPOH enam bulan pertama 2023 menyaksikan Perodua mengeluarkan sebanyak 153,813 unit kenderaan dari kilangnya di Sungai Choh, Rawang. Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Bagi prestasi jualan pula, syarikat itu berjaya menjual sebanyak 144,690 unit kenderaan dalam tempoh separuh pertama tahun ini, 13.6 peratus lebih tinggi berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Perodua, Bezza muncul sebagai model terlarisnya setakat tahun ini dengan 40,555 unit didaftarkan, diikuti oleh Myvi dengan 32,319 unit dan Axia dengan 28,199 unit.

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini.

“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 unit kenderaan pada suku kedua 2023, peningkatan sebanyak 1 peratus daripada 68,316 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pada suku kedua tahun ini, Perodua merekodkan jualan sebanyak 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau memberi contoh Axia E yang dilancarkan baru-baru ini yang mendapat sambutan baik, di mana 2,500 unit model itu telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.

Tambah Dato’ Sri Zainal lagi, walaupun tempahan amat menggalakkan, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi termasuk kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.

“Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved