Arkib Tag: aplikasi

Anda kini boleh pandu EV Ora Good Cat melalui aplikasi GoCar, dari RM157 sehari

GOCAR Malaysia, peneraju platform mobiliti sebagai perkhidmatan berdasarkan kepada permintaan dan Yinson GreenTech telah bekerjasama untuk menawarkan kenderaan elektrik (EV) Ora Good Cat melalui program GoCar Share.

Usaha sama itu hadir menerusi satu kerjasama di antara GoCar dan bahagian perniagaan pajakan YGT EV, drivEV.

Sebagai permulaan, EV Ora Good Cat boleh didapati untuk tempahan GoCar Share Round Trip (pergi-balik) di lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang seperti Berjaya Times Square, The Linc, Lalaport KL, Eco Ardence, Eco Grandeur dan GoCar Malaysia PJ.

Penguna GoCar boleh merasai pengalaman memandu Ora Good Cat pada harga mampu milik iaitu RM23.90 sejam dengan akses percuma ke atas semua pengecas AC dalam rangkaian YGT. Bukan itu sahaja, lebih lama tempoh tempahan pengguna, lebih banyak penjimatan boleh mereka nikmati.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, “Kami sangat teruja untuk mengukuhkan kerjasama dengan Yinson GreenTech. GoCar sentiasa mengutamakan aspek mobiliti lebih pintar dan mapan.

“Kami juga berbesar hati kerana mampu menawarkan model-model kenderaan elektrik yang menarik kerana kami yakin ramai orang awam ingin mencubanya.”

Pengarah Urusan drivEV, Kelvin Soon berkata, “Matlamat drivEV adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat untuk mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerjasama dengan GoCar dalam memperkenalkan Ora Good Cat merupakan satu permulaan ke arah matlamat yang betul. Kami merancang untuk menambah lebih banyak rangkaian model EV dan mengembangkan perkhidmatan ini ke lokasi-lokasi lain supaya orang ramai lebih mudah mengaksesnya.”

Pengenalan Ora Good Cat melalui GoCar hanyalah permulaan Kerjasama di antara GoCar dan drivEV yang merancang untuk memperkenalkan model-model lebih menarik serta meluaskan perkhidmatannya melangkaui kawasan Lembah Klang.

Untuk merasai sendiri pengalaman memandu Ora Good Cat menerusi GoCar Share atau model-model lain yang ditawarkan oleh GoCar Share, sila muat turun aplikasi mudah alih GoCar.

Aplikasi Gentari Go tawar koridor pengecasan EV dari Singapura ke Thailand

GENTARI Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd (Gentari) telah melancarkan Gentari Go, sebuah aplikasi yang direka khusus untuk pengguna yang ingin beralih kepada tenaga bersih.

Menurut Gentari, aplikasi tersebut adalah platform pengalaman pelanggan yang menawarkan gaya hidup mampan bersepadu dengan menyatukan ekosistem tenaga bersih Gentari.

Menampilkan mobiliti hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, Gentari Go kini diaktifkan di Malaysia dengan pelancaran serantau dirancang untuk Asia Tenggara dan India pada tahun ini.

Di samping memberikan pengguna akses kepada lebih 70% titik pengecasan di Malaysia menerusi kerjasama dengan EV Connection dan ChargeEV, aplikasi tersebut turut memperkasakan pengecasan merentas sempadan.

Ini menerusi Koridor Pengecasan EV pertama dari Singapura ke Thailand yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Pengendali Titik Pengecasan (CPO) serantau seperti CDG Engie, City Energy Go dan EVolt, serta pengurusan titik pengecasan yang diperakui iaitu Virta.

Kerjasama itu memberikan pengguna Gentari Go akses kepada lebih 2,000 pengecas di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.

Bukan itu sahaja, aplikasi itu menawarkan pilihan untuk menyewa EV menerusi GoCar bagi membantu pengguna membuat peralihan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada EV.

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan penyelesaian tenaga rumah menerusi pengecasan EV di kediaman serta tenaga solar.

Aplikasi Gentari Go kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store. Sempena pelancaran, pelanggan boleh menikmati diskaun 10% untuk 10 transaksi pengecasan seterusnya dengan aplikasi itu. Ia sah di semua titik pengecasan Gentari di seluruh Malaysia.

Aplikasi Toyota MY App dikemas kini untuk lebih mudah digunakan

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pelancaran aplikasi Toyota MY yang ditambah baik. Boleh digunakan sama ada pada platform iOS atau Android, aplikasi telefon pintar itu menggabungkan Toyota Drive dan Toyota 24Seven menjadi satu aplikasi mudah.

Ia direka untuk solusi pemilikan kenderaan yang memudahkan pengguna dan sesuai untuk menguruskan fungsi-fungsi kenderaan.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, “Toyota mengampilkasikan falsafah ‘kaizen’ yang bermaksud tambah baik secara berterusan. Ianya bukan diamalkan pada reka bentuk dan pembuatan kenderaan, tetapi juga kepada pengalaman pelanggan kami.”

Pemilik Toyota kini boleh mengakses segala maklumat kenderaan, membuat temu janji servis, melihat kutipan mata Loyal-T, memohon bantuan 24Seven, mencari pusat servis berdekatan, dan membuat pelbagai fungsi dengan mudah pada aplikasi baharu ini.

Aplikasi ini juga akan menjadi platform pusat untuk pelbagai berita dan promosi terbaharu dari Toyota.

Dengan pengenalan aplikasi baharu ini, kedua-dua aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven akan ditamatkan. Anda boleh muat turun aplikasi baharu Toyota MY App di pautan-pautan di bawah:

Peranti iOS: https://apps.apple.com/my/app/toyota-drive/id1182883397
Peranti Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=umwt.com.toyotadrive.android

Shell lancar aplikasi mudah alih – boleh tebus bahan api, kumpul mata BonusLink

SHELL Malaysia telah melancarkan aplikasi mudah alih tersendiri yang direka yang membolehkan pelanggan mengisi minyak dengan lebih mudah dan membuat pembayaran dengan lebih selesa tanpa perlu keluar dari kereta.

Dinamakan Shell App, ia dilengkapi dengan sistem pengesahan keselamatan 3-D Secure sebagai jaminan kepada pengguna untuk pengalaman yang lebih selesa dan bebas daripada ancaman penipuan siber.

Dengan Shell App, pelanggan kini boleh menebus bahan api atau croffle kegemaran mereka sambil mengumpul mata ganjaran. Menerusi integrasi BonusLink di dalam aplikasi itu, pelanggan boleh mengumpul mata BonusLink daripada 3,000 peniaga, pada masa yang sama tebus ganjaran eksklusif dari Shell.

Selain itu, aplikasi ini turut menawarkan promosi dan tawaran yang diubah suai mengikut cita rasa mereka. Pengguna Shell App juga boleh memantau setiap perbelanjaan dan mata BonusLink yang terkumpul dalam aplikasi ini.

Pelanggan juga boleh menggunakannya untuk meninjau lokasi stesen-stesen Shell berdekatan serta fasiliti dan kemudahan yang tersedia seperti surau, ATM, Shell café atau pusat cuci kereta.

“Shell App bukan hanya memudahkan pelanggan kami untuk membuat pembayaran minyak dengan lebih selamat dari dalam kereta, malahan memastikan perjalanan mereka lebih mudah dan memberi lebih ganjaran. Harapan kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang menyeluruh dan menjadikan segalanya lebih selesa untuk anda,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar, Mobiliti, Malaysia.

Shell App kini boleh digunakan di 650 stesen minyak Shell dan dijangka tersedia di seluruh negara menjelang akhir tahun 2023. Untuk muat turun, layari Apple App Store dan Google Play.

Belia dan pelajar Malaysia layak tuntut kredit eBeliaRahmah bernilai RM200 dalam Setel

SETEL baru-baru ini dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet untuk program eBeliaRahmah. Usaha itu merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan serta membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

Jadi, mulai 26 Jun hingga 31 Ogos 2023, belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar Malaysia sepenuh masa yang berdaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia layak menuntut kredit eBeliaRahmah RM200 secara ‘one-off’ melalui aplikasi Setel.

Cara memohon

Untuk memohon RM200 kredit e-tunai mulai 26 Jun 2023, belia yang layak perlu memuat turun atau mengemas kini kepada versi terkini aplikasi Setel dan melengkapkan pengesahan akaun melalui e-KYC.

Insentif ini akan dikreditkan ke e-wallet eBeliaRahmah pengguna dalam aplikasi selepas permohonan berjaya, dan akan dimaklumkan melalui notifikasi semerta dan mesej peti masuk aplikasi.

eBeliaRahmah perlu digunakan sebelum 31 Ogos 2023 dan tidak boleh dipindahkan ke akaun e-wallet lain.

“Setel berbesar hati untuk menyokong program eBeliaRahmah, selari dengan tujuan kami untuk memupuk budaya masyarakat tanpa tunai dan mempromosikan transaksi kewangan yang lebih selamat dan efisien,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.

“Diperkasa dengan penerimaan di lebih 1.6 juta kedai runcit di seluruh negara dan di rangkaian stesen minyak terbesar Malaysia yang merangkumi lebih 1,000 stesen Petronas di seluruh negara, belia yang layak memohon eBeliaRahmah melalui aplikasi Setel boleh membeli-belah di kedai runcit yang memaparkan kod QR Setel, DuitNow, dan di mana-mana stesen Petronas.

Setel berharap dapat membantu meringankan beban kewangan belia melalui insentif tambahan kami dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi bagi perniagaan tempatan dan menyokong peralihan mereka ke arah pembayaran tanpa tunai dengan lancer,” tambahnya.

Setel kini tawar ciri bantuan auto – penukaran bateri dan tayar, jump-start dan lain-lain

APLIKASI Setel kini tidak lagi terhad kepada pengisian petrol sahaja. Terbaru, pengguna aplikasi itu boleh mendapatkan perkhidmatan bantuan auto seperti menukar bateri, ‘jump-start’, menukar tayar, bantuan mengisi minyak kecemasan, membuka kenderaan terkunci serta menunda.

Menurut Setel, kemudahan ini boleh diakses oleh pengguna pada bila-bila masa dan bantuan akan dihulurkan dalam kadar segera.

Lebih menarik lagi, bagi setiap transaksi ini, pengguna Setel juga dapat memperoleh mata ganjaran Mesra yang boleh digunakan untuk menebus petrol dan pelbagai ganjaran menarik yang lain.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkata, “Kemudahan bantuan kenderaan ini menyenangkan pengguna kenderaan dengan akses ke atas pelbagai aneka keperluan di hujung jari mereka. Usaha sama dengan Bateriku.com ini dapat mempercepatkan usaha pemberian bantuan kepada pengguna Setel yang terkandas, mengurangkan stres yang dialami oleh mereka.”

Untuk menggunakan perkhidmatan bantuan auto, pengguna hanya perlu menekan butang ‘Auto Assistance’ di laman utama aplikasi Setel. Selepas menekan butang ini, pengguna akan dapat melihat semua jenis bantuan yang ditawarkan berserta harga.

Selepas memilih bantuan yang dikehendaki, pengguna perlu memasukkan lokasi, info tambahan seperti mercu tanda dan warna kenderaan,nombor pendaftaran serta jenama dan mode kenderaan. Bantuan akan dihantar ke lokasi selepas pengesahan dilakukan.

Azarol Faizi bin Zakaria Ansari, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com menambah, “Pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya semakin meningkat. Justeru itu, sebagai pembekal perkhidmatan bantuan tepi jalan nombor 1 di negara, misi kami adalah untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih mudah dimanfaatkan oleh semua pengguna kenderaan di Malaysia, melalui inisiatif integrasi API dengan pelbagai aplikasi mobil seperti Setel.

Setakat ini, Bateriku.com telah memberi khidmatnya kepada hampir satu juta pelanggan di seluruh negara dan kejayaan ini ditunjangi oleh ekosistemnya yang inklusif yang terdiri daripada juruteknik gig (Bhero), usahawan (BPpreneur), rakan bengkel (BBuddy) dan 130 buah outlet fizikal Bateriku.com di seluruh negara. Kami berbesar hati untuk menawarkan solusi bantuan tepi jalan kami secara langsung buat pengguna Setel, dan kami juga komited untuk membekalkan pengalaman kepenggunaan yang terbaik.”

Cari bengkel untuk kereta anda lebih mudah dengan aplikasi Autonest

KITA sering tercari-cari pakej servis dan penyelenggaraan terbaik untuk kereta kerana terlalu banyak bengkel dan pusat servis di luar sana.

Jadi, satu aplikasi telah dilancarkan baru-baru ini untuk membantu anda buat pilihan tepat, iaitu Autonest.

Anggaplah Autonest ini sebagai aplikasi seperti Foodpanda untuk industri kereta. Ia dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kini boleh didapati di Google Play dan Apple App Store.

Menurut Autonest, Malaysia merupakan negara dengan kadar pemilikan kenderaan tertinggi di Asia Tenggara dan menurut kajian mereka, kira-kira 90 peratus pemilik kenderaan kurang arif mengenai bab penyelenggaraan, jadi mereka sering berbelanja lebih dari sepatutnya.

Autonest menawarkan satu platform untuk pemilik kenderaan dengan menghimpunkan segala jenis servis.

Menerusi aplikasi ini, anda boleh mencari servis berdekatan dan terus membuat temujanji. Jadi ini pasti menjimatkan masa selain segala proses ini adalah telus.

Selain itu, semua bengkel dan peniaga di dalam aplikasi ini boleh dinilai oleh pelanggan bagi menggalakkan penambahbaikan dari segi perkhidmatan yang diberikan.

Menurut Autonest lagi, mereka kini mempunyai lebih 100,000 pengguna aktif dan lebih 500 wakil dari industri automotif yang berdaftar.

Buat masa ini, perkhidmatan adalah tertumpu kepada Lembah Klang dan Johor. Mereka berharap dapat mengembangkan lagi sayap hingga ke zon utara dan pantai timur.

Share Round Trips, GoCar beri potongan 30 peratus kepada pelanggan

PLATFORM perkongsian kenderaan GoCar menawarkan potongan 30 peratus untuk perkhidmatan ‘Share Round Trips’ bermula semalam sehingga 11 Februari.

Tawaran itu bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada 1 Februari nanti.

Memetik kenyataan GoCar, tawaran boleh digunakan pada semua kumpulan perkongsian kereta termasuk tempahan timbal balik.

Kadar dikenakan pula adalah serendah RM68 sehari (terhad kepada RM80) tanpa had perbatuan.

Tawaran ini boleh ditebus dengan menggunakan kod promosi “GOHUAT” pada bahagian pembayaran di aplikasi mudah alih GoCar.

Bagaimanapun, kod promosi hanya sekali sah digunakan dan tempahan kereta hendaklah melebihi tiga hari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Go Car berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan.

Jelas Wong Goe Mun, ia diharap dapat meringankan beban pengguna yang terkesan denga keadaan ekonomi tidak menentu.

“Para pengguna dapat berjimat cermat serta mengurangkan beban mereka ketika sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Pengguna GoCar baharu akan dikenakan yuran keahlian RM20 selepas mendaftar menerusi aplikasi mudah ahli tersebut.

Ia terbuka kepada semua pemandu berumur 18 tahun ke atas termasuk pemegang lesen P.

Keterangan lanjut boleh didapati di pautan disediakan atau muat turun aplikasi GoCar.

Google Maps akan mula papar harga tol dalam aplikasi

GOOGLE Maps akan mula memaparkan harga tol dalam aplikasi mereka. Sebelum ini, aplikasi navigasi itu hanya menunjukkan laluan ke lokasi sama ada mempunyai tol atau tidak tanpa memaparkan sebarang kos.

Menurut Soya Cincau, berdasarkan mesej yang dihantar kepada ahli program pratonton Google Maps, ciri utama yang akan ditambah selepas ini adalah paparan harga secara automatik, untuk tol di jalan raya dan kos tambahan lain di laluan navigasi pengguna.

Mereka telah diminta untuk menyelesaikan tinjauan bagi membantu pasukan pembangun Google Maps menambah ciri itu.

Kos tol ini akan dipaparkan pada laluan tertentu sebelum pengguna pilih untuk melaluinya. Jadi anda boleh pilih laluan perjalanan berdasarkan faktor masa atau kos selepas ini.

Kemungkinan ciri ini akan mula dilancarkan kepada pengguna dalam beberapa minggu akan datang. Namun, tidak diketahui lagi sama ada ia akan dilancarkan untuk semua pengguna atau di negara tertentu sahaja.

Ciri ini sudah tersedia di Waze sejak 2019, ia menganggarkan harga tol berdasarkan maklumat yang ditambah oleh komuniti Waze.

Perkara ini pastinya memudahkan pengguna, lebih-lebih lagi jika baki di dalam Touch n Go tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya pengguna boleh ambil laluan tanpa tol atau tambah nilai Touch n Go sebelum memulakan perjalanan.