Aplikasi Gentari Go tawar koridor pengecasan EV dari Singapura ke Thailand
GENTARI Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd (Gentari) telah melancarkan Gentari Go, sebuah aplikasi yang direka khusus untuk pengguna yang ingin beralih kepada tenaga bersih.
Menurut Gentari, aplikasi tersebut adalah platform pengalaman pelanggan yang menawarkan gaya hidup mampan bersepadu dengan menyatukan ekosistem tenaga bersih Gentari.
Menampilkan mobiliti hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, Gentari Go kini diaktifkan di Malaysia dengan pelancaran serantau dirancang untuk Asia Tenggara dan India pada tahun ini.
Di samping memberikan pengguna akses kepada lebih 70% titik pengecasan di Malaysia menerusi kerjasama dengan EV Connection dan ChargeEV, aplikasi tersebut turut memperkasakan pengecasan merentas sempadan.
Ini menerusi Koridor Pengecasan EV pertama dari Singapura ke Thailand yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Pengendali Titik Pengecasan (CPO) serantau seperti CDG Engie, City Energy Go dan EVolt, serta pengurusan titik pengecasan yang diperakui iaitu Virta.
Kerjasama itu memberikan pengguna Gentari Go akses kepada lebih 2,000 pengecas di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.
Bukan itu sahaja, aplikasi itu menawarkan pilihan untuk menyewa EV menerusi GoCar bagi membantu pengguna membuat peralihan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada EV.
Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan penyelesaian tenaga rumah menerusi pengecasan EV di kediaman serta tenaga solar.
Aplikasi Gentari Go kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store. Sempena pelancaran, pelanggan boleh menikmati diskaun 10% untuk 10 transaksi pengecasan seterusnya dengan aplikasi itu. Ia sah di semua titik pengecasan Gentari di seluruh Malaysia.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.