Arkib Tag: 911 gt3

Porsche Malaysia bekerjasama dengan Krithin sokong lebih ramai capai impian

SAMA seperti Ferry Porsche pada 75 tahun lepas yang mahu membina kereta sports impian, Krithin Paul Pereira juga mempunyai impian.

Sorang artis, pereka, dan jurutera, Krithin juga mempunyai minat mendalam terhadap kereta sports. Walaupun menghidap Cerebral Palsy, beliau mengatasi cabaran setiap hari dan menzahirkan minatnya melalui karya-karya seni unik.

Selepas membuat penampilan semasa pelancaran Porsche Cayenne CKD beberapa bulan lepas, Krithin kini bekerjasama dengan Porsche Malaysia untuk satu projek khas.

Beliau membuat lukisan Cayenne pada kemeja-T untuk meraih sumbangan terhadap Amirs Therapy Gym – tempat dimana Krithin mendapatkan rawatannya.

Porsche Malaysia mula berjumpa Krithin di pembukaan pejabat Porsche Club Malaysia di Sungai Besi. Kemudian Krithin dijemput oleh pihak Porsche Malaysia dalam beberapa acara penting, termasuklah di kilang pemasangan CKD Cayenne di Kulim, Kedah yang juga merupakan kilang Cayenne pertama di luar Eropah.

Hasil karya Krithin juga menarik perhatian dan menerima pengiktirafan Porsche AG dan beliau mendapat jemputan melawat kilang syarikat itu di Stuttgart. Krithin berpeluang berinteraksi dengan para pereka dan mengalami sensasi pemanduan 911 GT3 di litar Hockenheimring.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Porsche Malaysia untuk peluang ini. Amirs Therapy Gym mempunyai tempat istimewa di hati saya, dimana mereka membantu saya membina kekuatan fizikal dan mental saya,” kata Krithin.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran hidup, saya selalu memberitahu kepada diri saya yang saya boleh lakukannya kerana saya pengimpi tanpa had. Dan saya juga mahu membantu orang lain mencapai impian mereka dalam hidup juga,” tambahnya.

Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance, wakil Porsche Malaysia berkata: “Sejak saya bertemu Krithin, dia telah memberi inspirasi kepada kami dalam pelbagai cara.

“Kami memberi peluang dia bersama kami untuk pelancaran Cayenne di Malaysia dan kini, kami teruja menyambung perjalanan ini untuk memberi semangat kepada orang lain pula,” kata Christopher.

Porsche 911 GT3 R rennsport sebuah jentera yang tidak mematuhi sebarang peraturan

ACARA Rennsport Reunion 7 sedang berlangsung di California, dan Porsche menjadikannya medan untuk meraikan sejarah mereka dalam perlumbaan. Porsche melancarkan 911 GT3 R rennsport, sebuah model yang tidak sah untuk mana-mana perlumbaan GT3 pun.

Ya, nama rennsport itu dengan huruf R kecil. Tetapi segala-gala pada kereta ini tidaklah kecil, sebagai contoh spoiler belakangnya yang memerlukan pemegang tambahan untuk menahan downforce yang mampu dijana.

Enjinnya tidak kecil berbanding 911 lain, kerana ia dipacu unit 4.2-liter flat-six yang cukup untuk menghasilkan 611hp, hasil dari nisbah mampatan lebih tinggi. Ia juga boleh di-rev sehingga 9,400rpm. Bayangkan bunyinya…

Memandangkan tiada sebarang peraturan perlumbaan yang perlu dipatuhi oleh GT3 R rennsport ini, Porsche telah membiarkan bahagian belakangnya terbuka untuk menjimatkan berat.

Sistem ekzos misalnya boleh dibiarkan terbuka sepenuhnya atau dipasang dengan peredam dan catalytic converter untuk kegunaan di litar.

Kotak gear sequential 6-kelajuan adalah dari GT3 R tetapi telah diberikan sedikit modifikasi, dan ia menyalurkan kuasa hanya ke roda belakang.

Porsche 911 GT3 R rennsport diberikan rim istimewa BBS 18-inci, dibaluti tayar Michelin yang diperbuat khas untuk kereta ini. Suspensi juga diambil terus dari GT3 lumba, tetapi terdapat talaan khas untuk rennsport.

Badan kereta ini memang tarikan utama. Menurut Porsche, hanya bumbung dan hud depan dikongsi dengan GT3 R. Bahagian lain seperti ruang udara, panel, dan sirip semuanya direka semula.

Tiada cermin sisi, sebaliknya diganti dengan kamera yang memaparkan pandangan ke dalam skrin di kokpit.

Rekaan spoiler belakang Porsche 911 GT3 R rennsport ini mengambil inspirasi dari model ikonik 935/77. Malah, Porsche berkata GT3 R rennsport dianggap sebagai pengganti kepada 935.

Model khas dan istimewa sebegini bukan sahaja jentera prestasi tanpa kompromi, tetapi juga bakal menjadi barang yang dikumpul golongan ultra-kaya.

Hanya 77 unit GT3 R rennsport akan dihasilkan, dan harganya bermula dari USD1,046,000 (RM4.9 juta). Tujuh warna dan tiga rekaan luar boleh dipilih oleh pembeli.

Saban hari kita lihat kebanyakan kereta direka untuk mematuhi piawaian dan peraturan ketat. Jadi sekali-sekala, menarik untuk kita dapat lihat bagaimana hasilnya bila pereka dan jurutera bebas menghasilkan karya mereka.

Porsche 911 S/T – Enjin 4.0 NA dari GT3 RS, tapi tanpa spoiler besar, 518hp, manual sahaja

Tidak cukup dengan lambakan varian Porsche 911, kini satu lagi versi diperkenalkan. Tapi model ini cukup menarik, dikenali sebagai Porsche 911 S/T.

Apa pula ceritanyanya dengan S/T ini? Ia mendapat segala enjin dan komponen prestasi dari GT3 Touring dan GT3 RS, tapi tanpa kehadiran spoiler besar yang agresif. Penampilannya nampak begitu kemas dan minimalis.

Dengan berat sekitar 1,386kg, ia merupakan model 911 generasi 992 paling ringan, malah lebih ringan dari 911 GT3 Touring.

Nadi kepada 911 S/T seperti dikatakan tadi ialah enjin 4.0-liter naturally aspirated dengan 518hp dari GT3 RS, dan manual 6-kelajuan ialah satu-satunya kotak gear untuk model ini.

911 S/T juga mendapat klac dan flywheel ringan khas, dan menurut Porsche, “Kereta ini mampu rev dengan sangat laju dan langsung”. Dari segi prestasi, ia mampu mencapai 96km/j dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksima 300km/j.

Diet yang menjadikan kereta ini ringan terdiri dari komponen CFRP (carbon-fibre-reinforced-plastic) pada hud depan, fender, pintu, bumbung, bar anti-oleng belakang, dan panel pengukuh di belakang. Rim pula adalah magnesium, bersaiz 20-inci depan dan 21-inci belakang.

Brek komposit seramik adalah standard, tetapi tiada sistem stereng roda belakang. Selain itu, terdapat cermin jenis ringan dan penggunaan penebat bunyi yang kurang berbanding varian 911 lain.

Porsche memastikan rekaan luar 911 S/T ini kemas dan minima. Terdapat ruang udara di bampar depan seperti GT3 Touring, tetapi versi S/T mendapat flap Gurney pada spoiler belakang aktifnya.

Untuk kabin, anda boleh pilih tempat duduk bucket CFRP atau Sports Seats Plus. Kemasan lain pula boleh dipilih antara balutan fabrik Classic Cognac dengan pinstripe hitam atau balutan kulit semi-aniline hitam dan Classic Cognac.

911 S/T juga hadir dengan pilihan Heritage Design Package yang memberikan warna Shore Blue Metallic dan rim putih Ceramica. Anda juga boleh pilih angka antara 0 hingga 99 untuk roundel yang ditampal di pintu. Kemudian ia mendapat lencana khas pada beberapa bahagian luar dan dalaman.

Porsche 911 S/T mengambil inspirasi dari 911 S yang mula dikeluarkan pada 1969. Hanya 1,963 unit akan dihasilkan bagi 911 S/T ini, dengan tanda harga USD291,650 (RM1.325 juta).

Selain itu, pembeli 911 S/T boleh menggandingkan kereta mereka dengan jam tangan Porsche Design Chronograph 1 – 911 S/T khas. Ia mempunyai tiga sub-dial untuk pelbagai fungsi, dan terdapat imej manual 6-kelajuan pada jam 1 dan 2. Kemas!

Jam tangan ini berharga USD13,500 (RM61,344) dan terhad kepada 1,963 utas.

Porsche 718 Spyder RS – 493hp, 4.0 NA, enjin ICE terakhir untuk Cayman/Boxster

SEPERTI dapat dijangka selepas Porsche memberikan 718 Cayman GT4 RS kepada peminat sukan permotoran, kini versi tiada bumbung pula dilancarkan, iaitu 718 Spyder RS.

Ianya berasaskan 718 Boxster, tetapi ditala menjadi ekstrem, penuh dengan komponen motorsports. Tetapi versi Spyder RS juga menggunakan bumbung fabrik manual yang boleh ditanggalkan bila tidak diperlukan.

Bumbung fabrik berserta deflektor angin mempunyai berat keseluruhan 18.3kg, iaitu 7.6kg lebih ringan dari bumbung 718 Spyder. Ia juga 16.5kg lebih ringan berbanding bumbung 718 Boxster.

Bercakap mengenai berat, 718 Spyder RS adalah seberat 1,410kg, kira-kira 40kg lebih ringan dari versi bukan RS. Ya, bab berat cukup penting bagi model-model RS seperti ini.

Satu lagi perkara penting ialah, Porsche 718 Spyder RS ini dipacu oleh enjin 4.0-liter naturally-aspirated yang sama seperti Cayman GT4 RS, dan enjin ini akan menjadi unit ICE (pembakaran dalaman) terakhir bagi model 718 (Cayman dan Boxster).

Enjin yang juga dikongsi dengan 911 GT3 ini menjana 493hp dan 450Nm tork, dan output disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear dwi-klac PDK 7-kelajuan.

Ini memberikan prestasi 0-100km/j dalam hanya 3.4 saat, dan 0-200km/j dalam masa 10.9 saat. Kelajuan maksima ialah 308km/j (7km/j lebih rendah dari Cayman GT4 RS).

Prestasi ini disumbang juga oleh rim 20-inci forged yang boleh dinaik taraf dengan rim magnesium. Selain itu, Spyder RS diberikan dengan talaan suspensi dan penyerap hentak lebih selesa, menurut Porsche untuk memberikan pengalaman berbeza dari Cayman GT4 RS.

Untuk lebih eksklusif, 718 Spyder RS boleh ditingkatkan dengan Weissach Package yang akan memberikannya muncung ekzos dari 935 2018, yang merupakan tribute dari jentera LeMans 935/78 (Moby Dick).

Porsche 718 Spyder RS kini boleh mula ditempah di Jerman dengan harga €151,215 (RM739,247) dan diikuti pasaran luar kemudian. Pembeli jentera sports ini akan turut mendapat jam tangan khas dengan bekas titanium.

Porsche 718 Spyder RS ini juga akan membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed pada Julai depan.

Pasukan Sime Darby Racing dilancar, akan berentap dalam Porsche Carrera Cup Asia 2023

PORSCHE Malaysia – diwakili oleh Sime Darby Auto Performance – hari ini memperkenalkan pasukan lumba mereka, Sime Darby Racing.

Ia dijadualkan membuat kemunculan pertamanya di Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) 2023, dengan kerjasama Earl Bamber Motorsport (EBM) dan pelumba muda negara, Nazim Azman yang akan memandu jentera 911 GT3 Cup itu.

Pasukan Malaysia bakal berentap dengan jentera lumba yang dihiasi dengan corak batik kebanggaan negara, dan akan bersaing dalam kategori PCCA PRO.

Musim Porsche Carrera Cup Asia ke-20 bakal merentasi benua ini sekali lagi pada 2023, selepas dua musim perlumbaannya tertumpu di China.

Malaysia telah diberi penghormatan untuk membuka tirai perlumbaan 2023, yang seterusnya akan bersambung di Korea, Jepun, Thailand, Singapura sebelum berakhir di pangkalan Porsche Motorsport Asia Pasifik di Shanghai, China.

Siri one-make menetapkan standard teknikal yang sama untuk semua pasukan, dan kereta GT3 Cup generasi ke tujuh ini dibina berasaskan 911 generasi-992 yang membawakan lebih downforce dan teknologi berbanding sebelum ini untuk prestasi yang lebih baik.

Bersama-sama dengan Earl Bamber Motorsport (EBM), Porsche Malaysia membawakan rakan teknikal yang sangat berpengalaman untuk Pasukan Sime Darby Racing.

Pasukan itu dibangunkan oleh juara PCCA sebanyak dua kali, pemandu Porsche Works yang berkaliber dan juara 24 Hours of Le Mans sebanyak dua kali, Earl Bamber yang terkenal dalam dunia sukan pemotoran.

Dengan kerjasama EBM dan Porsche Malaysia, bekas pelumba FIA Formula 3, Nazim akan mewakili Pasukan Sime Darby Racing di PCCA 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter berkata, “Penyertaan kami dalam Porsche Carrera Cup Asia tahun ini menggariskan komitmen kami terhadap DNA sukan pemotoran Porsche sejak sekian lama.

“Kami yakin dengan prestasi kami untuk musim yang akan datang ini terutama sekali dengan adanya kerjasama mantap daripada Earl Bamber Motorsport dan Nazim.”

“Kami juga berbesar hati kerana dapat terus menyokong bakat teknikal muda tempatan dengan pemindahan ilmu menerusi kerjasama Porsche Motorsport Asia Pacific bagi meningkatkan lagi kepakaran teknikal mereka dalam sukan pemotoran,” tambah Hunter.

Pengarah Urusan Porsche Motorsport Asia Pasifik, Alexandre Gibot pula berkata, “Kami sangat teruja kerana dapat melihat pasukan lumba Malaysia yang diwakili oleh Porsche Malaysia turut serta dalam perlumbaan musim ini.

“Kami berbesar hati kerana Nazim Azman menjadi sebahagian daripada program pembangunan PCCA Talent Pool, dan kami tidak sabar untuk melihat beliau berlatih bersama-sama juara perlumbaan Porsche tatkal dia memulakan perjalanan perlumbaannya,” tambahnya.

Nazim Azman, pelumba negara yang mewakili pasukan itu berkata: “Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Porsche Malaysia dan Earl Bamber Motorsport untuk mewakili Pasukan Sime Darby Racing di Porsche Carrera Cup Asia 2023.

“Memandangkan ini adalah kali pertama saya berlumba menggunakan kereta GT semusim penuh, saya percaya bahawa peluang ini akan meluaskan lagi pengalaman dan pengetahuan saya dalam perlumbaan GT.”

Kembali untuk jadual penuh Asia, tirai perlumbaan musim ini akan dibuka di Litar Antarabangsa Sepang untuk pusingan 1 dan 2 pada 28 hingga 30 April 2023.

Siri ini kemudiannya akan menjelajah ke seluruh rantau Asia sebelum kembali ke Malaysia untuk pusingan 9 dan 10 pada 25 hingga 27 Ogos 2023, serta pusingan 3 Siri Kejohanan Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.

5 pandu uji pilihan Engear sepanjang 2021

JIKA semalam kami ada tulis senarai pelancaran pilihan sepanjang tahun, kali ini Amirul mahu berkongsi lima pandu uji paling bermakna untuk 2021.

Ayat romantik? Bukanlah… Paling bermakna di sini mungkin bermaksud pandu uji itu sangat unik dan istimewa yang mungkin akan diingati untuk satu tempoh yang lama.

Tidak semestinya kereta itu berharga RM1.1 juta atau berkuasa 650hp, pandu kereta biasa pergi adventure bersama kawan pun boleh jadi bermakna.

Tanpa berlengah lagi, jom tengok kereta pertama!

1. Perodua Ativa

Ini bukan sahaja penting untuk Perodua, tetapi Ativa akan diingati kerana ia membawakan satu pakej yang jauh maju ke depan dari model-model lain pengeluar itu.

Dengan enjin turbo pertama, kotak gear D-CVT, padat dengan teknologi dan ciri keselamatan, serta rupa yang cukup moden dan bergaya membuatkan Amirul hampir menyambar satu. Harga pun boleh tahan.

Perodua Ativa juga mengubah persepsi mengenai kemampuan sebenar pengeluar nasional yang berpangkalan di Rawang itu, membuatkan kami tidak sabar menunggu produk mereka yang akan datang.

2. Suzuki Swift Sport

Suzuki Swift Sport ini ada yang menepati jangkaan, ada yang di luar jangkaan penulis. Yang menepati jangkaan ialah betapa luasnya kabin walaupun sebuah hatchback sporti dan betapa menjimatkan minyak jika dipandu secara biasa.

Tetapi yang di luar jangkaan ialah betapa selesa kereta ini walaupun mempunyai pengendalian mantap, serta betapa lazatnya stereng Swift Sport ini. Sterengnya cukup tepat dan responsif lalu menyumbang kepada keseluruhan kepuasan pemanduan.

Bukan kuasa dan pecutan semata-mata, tetapi maklumbalas dan feel stereng juga penting untuk kereta sebegini. Suzuki Swift Sport membuktikan anda tidak semestinya perlu kuasa 300-400hp untuk berseronok.

3. Porsche Taycan

Kereta ketiga ini sedikit istimewa, kerana ianya elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Porsche Taycan. Lebih istimewa lagi, kami dapat memandunya di Litar Antarabangsa Sepang, tempat paling sesuai untuk meneroka kebolehan sebenar kereta ini.

Semua varian telah kami uji di Sepang, dari Taycan 4S, Taycan Turbo hingga yang paling berkuasa, Taycan Turbo S. Dengan dua motor elektrik berkuasa tinggi di gandar depan dan belakang, Porsche Taycan menjanjikan pecutan 0 ke 100km/j dengan kepantasan sebuah supercar, kira-kira 3 hingga 4 saat sahaja.

Pemanduannya juga cukup solid seperti sebuah Porsche biasa 911 atau Cayman, dapat menakluki selekoh-selekoh di litar Sepang dengan cukup meyakinkan dan selamba. Kira tak segan lah kalau parkir Porsche Taycan ini di acara track day bersebelahan dengan Mitsubishi Evo, Ferrari 458 atau Mercedes-AMG C63.

Dalam acara sama pemanduan Taycan, Amirul juga diberi peluang memandu 911 GT3 terbaharu. Nikmat enjin NA (naturally-aspirated) tekan hingga 9,000rpm itu lain macam…

4. Land Rover Defender

Amirul tidak pernah memandu Land Rover atau Range Rover terkini sebelum ini. Tetapi pernah memandu Land Rover Defender klasik beberapa tahun lepas.

Jadi, pengalaman pemanduan Land Rover Defender 2021 dikira sangat unik walaupun hanya untuk tempoh masa yang singkat.

Ada yang berkata dengan harga permulaan sekitar RM800,000 dan padat dengan teknologi, ‘sayang’ untuk memandunya di laluan off-road mencabar. Tetapi harus diingat, semua Land Rover direka untuk mampu mengharungi laluan lasak.

Jadi jika diberi peluang, pasukan Engear akan cuba pandu Defender ini masuk jalan kebun!

5. Toyota Harrier

Amirul jarang sukakan SUV tetapi Toyota Harrier dirasakan wajar tersenarai dalam kompilasi ini. Ya, ia tidak lagi mendapat enjin turbo seperti Harrier generasi sebelum ini, tetapi enjin 2.0-liter NA itu dibantu oleh kotak gear Direct Shift CVT yang menjadikan pemanduannya cukup lancar.

Ditambah pula dengan kabin yang begitu senyap dan mewah, penumpang anda pasti gembira balik kampung dengan Harrier 2021 ini.

Oh ya, rupa luarannya pun kini semakin berani dengan lampu belakang dramatik serta beberapa ciri canggih seperti bumbung suria elektrokromik yang boleh dimalapkan. Menarik.

Penghargaan khas

Izinkan Amirul tambah satu lagi kereta, dikira sebagai penghargaan khas dalam artikel ini. Ya, Toyota GR Yaris! Mana boleh lupa kereta paling istimewa yang dipandu sepanjang tahun 2021.

Silap-silap GR Yaris ini boleh jadi kereta paling istimewa dipandu sepanjang masa.

Kenapa? Terlalu banyak sebab. Antaranya, ia direka hasil dari homologasi khas untuk menyertai kejuaraan rali WRC (World Rally Championship), ia mendapat enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia, dan banyak komponen unik padanya tidak dikongsi dengan model-model Toyota lain.

GR Yaris juga satu-satunya kereta pandu uji dengan transmisi manual yang dipandu sepanjang 2021. Dan paling Amirul suka, mod pemanduan Normal, Sport dan Track yang bukan melaras respon enjin, sebaliknya mengawal agihan kuasa pada gandar depan dan belakang.

Sekian sahaja beberapa artikel kompilasi hujung tahun, anda boleh baca artikel lain di sini.

Selamat Tahun Baharu 2022 dan jumpa lagi!