fbpx

Porsche 911 S/T – Enjin 4.0 NA dari GT3 RS, tapi tanpa spoiler besar, 518hp, manual sahaja

porsche 911 st 2023 01

Tidak cukup dengan lambakan varian Porsche 911, kini satu lagi versi diperkenalkan. Tapi model ini cukup menarik, dikenali sebagai Porsche 911 S/T.

Apa pula ceritanyanya dengan S/T ini? Ia mendapat segala enjin dan komponen prestasi dari GT3 Touring dan GT3 RS, tapi tanpa kehadiran spoiler besar yang agresif. Penampilannya nampak begitu kemas dan minimalis.

Dengan berat sekitar 1,386kg, ia merupakan model 911 generasi 992 paling ringan, malah lebih ringan dari 911 GT3 Touring.

Nadi kepada 911 S/T seperti dikatakan tadi ialah enjin 4.0-liter naturally aspirated dengan 518hp dari GT3 RS, dan manual 6-kelajuan ialah satu-satunya kotak gear untuk model ini.

911 S/T juga mendapat klac dan flywheel ringan khas, dan menurut Porsche, “Kereta ini mampu rev dengan sangat laju dan langsung”. Dari segi prestasi, ia mampu mencapai 96km/j dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksima 300km/j.

Diet yang menjadikan kereta ini ringan terdiri dari komponen CFRP (carbon-fibre-reinforced-plastic) pada hud depan, fender, pintu, bumbung, bar anti-oleng belakang, dan panel pengukuh di belakang. Rim pula adalah magnesium, bersaiz 20-inci depan dan 21-inci belakang.

Brek komposit seramik adalah standard, tetapi tiada sistem stereng roda belakang. Selain itu, terdapat cermin jenis ringan dan penggunaan penebat bunyi yang kurang berbanding varian 911 lain.

Porsche memastikan rekaan luar 911 S/T ini kemas dan minima. Terdapat ruang udara di bampar depan seperti GT3 Touring, tetapi versi S/T mendapat flap Gurney pada spoiler belakang aktifnya.

Untuk kabin, anda boleh pilih tempat duduk bucket CFRP atau Sports Seats Plus. Kemasan lain pula boleh dipilih antara balutan fabrik Classic Cognac dengan pinstripe hitam atau balutan kulit semi-aniline hitam dan Classic Cognac.

911 S/T juga hadir dengan pilihan Heritage Design Package yang memberikan warna Shore Blue Metallic dan rim putih Ceramica. Anda juga boleh pilih angka antara 0 hingga 99 untuk roundel yang ditampal di pintu. Kemudian ia mendapat lencana khas pada beberapa bahagian luar dan dalaman.

Porsche 911 S/T mengambil inspirasi dari 911 S yang mula dikeluarkan pada 1969. Hanya 1,963 unit akan dihasilkan bagi 911 S/T ini, dengan tanda harga USD291,650 (RM1.325 juta).

Selain itu, pembeli 911 S/T boleh menggandingkan kereta mereka dengan jam tangan Porsche Design Chronograph 1 – 911 S/T khas. Ia mempunyai tiga sub-dial untuk pelbagai fungsi, dan terdapat imej manual 6-kelajuan pada jam 1 dan 2. Kemas!

Jam tangan ini berharga USD13,500 (RM61,344) dan terhad kepada 1,963 utas.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved