Porsche 911 GT3 R rennsport sebuah jentera yang tidak mematuhi sebarang peraturan
ACARA Rennsport Reunion 7 sedang berlangsung di California, dan Porsche menjadikannya medan untuk meraikan sejarah mereka dalam perlumbaan. Porsche melancarkan 911 GT3 R rennsport, sebuah model yang tidak sah untuk mana-mana perlumbaan GT3 pun.
Ya, nama rennsport itu dengan huruf R kecil. Tetapi segala-gala pada kereta ini tidaklah kecil, sebagai contoh spoiler belakangnya yang memerlukan pemegang tambahan untuk menahan downforce yang mampu dijana.
Enjinnya tidak kecil berbanding 911 lain, kerana ia dipacu unit 4.2-liter flat-six yang cukup untuk menghasilkan 611hp, hasil dari nisbah mampatan lebih tinggi. Ia juga boleh di-rev sehingga 9,400rpm. Bayangkan bunyinya…
Memandangkan tiada sebarang peraturan perlumbaan yang perlu dipatuhi oleh GT3 R rennsport ini, Porsche telah membiarkan bahagian belakangnya terbuka untuk menjimatkan berat.
Sistem ekzos misalnya boleh dibiarkan terbuka sepenuhnya atau dipasang dengan peredam dan catalytic converter untuk kegunaan di litar.
Kotak gear sequential 6-kelajuan adalah dari GT3 R tetapi telah diberikan sedikit modifikasi, dan ia menyalurkan kuasa hanya ke roda belakang.
Porsche 911 GT3 R rennsport diberikan rim istimewa BBS 18-inci, dibaluti tayar Michelin yang diperbuat khas untuk kereta ini. Suspensi juga diambil terus dari GT3 lumba, tetapi terdapat talaan khas untuk rennsport.
Badan kereta ini memang tarikan utama. Menurut Porsche, hanya bumbung dan hud depan dikongsi dengan GT3 R. Bahagian lain seperti ruang udara, panel, dan sirip semuanya direka semula.
Tiada cermin sisi, sebaliknya diganti dengan kamera yang memaparkan pandangan ke dalam skrin di kokpit.
Rekaan spoiler belakang Porsche 911 GT3 R rennsport ini mengambil inspirasi dari model ikonik 935/77. Malah, Porsche berkata GT3 R rennsport dianggap sebagai pengganti kepada 935.
Model khas dan istimewa sebegini bukan sahaja jentera prestasi tanpa kompromi, tetapi juga bakal menjadi barang yang dikumpul golongan ultra-kaya.
Hanya 77 unit GT3 R rennsport akan dihasilkan, dan harganya bermula dari USD1,046,000 (RM4.9 juta). Tujuh warna dan tiga rekaan luar boleh dipilih oleh pembeli.
Saban hari kita lihat kebanyakan kereta direka untuk mematuhi piawaian dan peraturan ketat. Jadi sekali-sekala, menarik untuk kita dapat lihat bagaimana hasilnya bila pereka dan jurutera bebas menghasilkan karya mereka.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.
819257 920236Would love to perpetually get updated wonderful blog ! . 880102