Merdeka ke-64: BMW Malaysia catat 64 unit tempahan SUV elektrik iX

BMW Group Malaysia telah menerima 64 pratempahan bagi BMW iX, bertepatan dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64.

Pratempahan bagi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) ini telah dibuka di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000, hanya lima hari yang lalu.

“Kami berbesar hati untuk melihat warga Malaysia menunjukkan keyakinan mereka untuk memilih mobiliti lestari sebagai gaya hidup mereka, ia turut memperlihatkan kepercayaan kami bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik,” ujar Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

“Sejak sekian yang lama, kami telah memberi komitmen untuk membentuk mobiliti masa hadapan negara, dan kami akan terus memupuk peralihan ke arah mobiliti elektro dengan menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia serta meluaskan lagi jaringan pengedar BMW i dengan segera di bandar-bandar utama Malaysia,” tambahnya.

BMW iX ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, iaitu xDrive40 (RM419,630) dan xDrive40 Sport (RM472,630).

xDrive40 menggunakan konfigurasi elektrik dwi-motor, satu di depan dan satu di belakang. Ini menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda.

Sistem ini menjana 240kW (322hp) dan 630Nm tork, membolehkan iX memecut ke 100km/j dalam 6.1 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 200km/j.

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion 76.6kWh, cukup untuk jarak pemanduan 425km. Untuk pengecasan pula, anda boleh guna pengecas AC 11kW yang akan mengambil masa tujuh jam 15 minit.

Pengecas laju DC pula menggunakan penyambung CCS2 pada kadar 150kW, membolehkan bateri pada tahap 10% mencapai 80% dalam hanya 31 minit.

Kelengkapan mewah dan canggih

BMW iX dilengkapi dengan lampu depan LED dengan bantuan High Beam, rim aerodinamik 21-inci, fungsi Comfort Access, dan kemasan tingkap berwarna hitam berkilat.

Bahagian kabin pula mendapat paparan instrumen dengan skrin melengkung 12.3-inci Live Cockpit Professional dan skrin sesentuh 14.9-inci di tengah.

Kemasan kulit pada iX adalah dari sintetik Sensatec dengan pilihan warna Mocha atau Black. Ciri lain adalah tempat duduk dengan fungsi memori, pengecas wireless, dan sistem audio HiFi.

Sementara itu, varian lebih tinggi xDrive Sport didatangkan dengan rim 22-inci, lampu BMW Laserlight, kemasan brek Sport Line, lampu lebih gelap, dan grafik krom pada gril.

Kemasan dalam juga lebih premium dengan bumbung panorama kaca Sky Lounge, sistem audio Harman Kardon 18 pembesar suara, dan kemasan kayu pada konsol tengah.

Ciri keselamatan pada BMW iX termasuklah pakej Driving Assist, dan Parking Assistant. Varian Sport ditambah dengan Parking Assistant Plus dan Driving Assistant Professional.

BMW iX xDrive40 serta BMW iX xDrive40 Sport sedia ditempah melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000.

Para pemilik juga dapat memanfaatkan waranti bateri yang terhad hingga lapan tahun atau 160,000 km, mana-mana yang dipenuhi dahulu.

Buat masa ini, 100 pelanggan terawal yang menempah BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport yang sulung dapat menikmati tawaran eksklusif yang meliputi pemasangan alat pengecasan secara percuma serta akses pengecasan awam bertempoh 1 tahun secara percuma.

Tawaran ini terhad sehingga 22 September 2021, tertakluk kepada terma dan syarat.

BMW C400 X dan C400 GT pilihan terbaharu skuter premium di Malaysia, dari RM44k

PENAMBAHAN terbaharu BMW Motorrad di Malaysia adalah skuter premium C400 X dan C400 GT yang baru dilancarkan semalam.

Harga adalah seperti berikut:

C400 X: RM44,500
C400 GT: RM48,500

Harga adalah atas jalan, tanpa insurans, dengan jaminan 3 tahun.

Untuk penampilan, C400 X didatangkan dengan trim berbentuk V, postur badan menegak, lampu depan LED dan DRL sebagai standard.

BMW C400 GT pula mendapat lampu LED berkembar, lampu DRL, dan perisai angin yang sesuai untuk tujuan kembara.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 350cc silinder tunggal yang menjana 34hp dan 35Nm tork, dengan kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT. Enjin ini juga mematuhi piawaian Euro 5 dan dikawal dengan pendikit elektronik.

Terdapat juga torsional drivetrain swing arm yang mengurangkan gegaran.

Ciri standard lain pada C400 X dan GT adalah soket 12V, pengecas USB, paparan FTF berwarna 6.5-inci, fungsi BMW Motorrad Connected untuk sambungan telefon pintar, Automatic Stability Control yang ditambahbaik, dan angkup brek baharu dengan ABS.

Hanya satu warna untuk BMW C400 X iaitu Black Storm (Style Triple Black) baharu. Sementara itu, C400 GT hadir dengan tiga warna – Black Storm (Style Triple Black) baharu, Callisto Grey, dan Alpine White.

BMW M3 dan M4 Competition mendarat di Malaysia, 510hp, dari RM640k

SEDAN prestasi tinggi BMW kini telah tiba di Malaysia, bukan sebuah, tetapi sepasang iaitu M3 dan M4 Competition.

Harga adalah seperti berikut:

BMW M3 Competition

Harga: RM639,664 (RM664,800 sebelum pengecualian cukai SST)

Harga dengan jaminan lanjutan: RM691,040

BMW M4 Competition

Harga: RM659,357 (RM684,800 sebelum pengecualian cukai SST)

Harga dengan jaminan lanjutan: RM711,040

Jika dilihat pada harga, pengecualian cukai SST bermakna anda boleh mendapat penjimatan sehingga RM25,443. Jaminan lanjutan pula merangkumi pakej dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis 5-tahun.

Kedua-dua BMW G80 M3 Competition dan G82 M4 Coupe Competition adalah hampir serupa dari segi mekanikal. Perbezaan utama adalah dari segi gaya badan; M3 ialah sedan empat-pintu manakala M4 ialah coupe dua-pintu.

BMW M3 dan M4 Competition dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo S58, 6-silinder sebaris yang menjana 510hp dan 650Nm tork. Dengan kotak gear M Steptronic 8-kelajuan, pecutan 0-100 dapat dicapai dalam 3.9 saat sahaja.

M3 G82 dan M4 G82 generasi terkini hadir dengan gaya lebih agresif, menampilkan gril kidney menegak kemasan hitam, dan warna sama juga didapati pada lip depan, pemijak tepi, penutup cermin sisi, spoiler, serta diffuser. Bumbung pula adalah gentian karbon berwarna hitam Shadow Line, sebahagian dari BMW Individual.

Kelengkapan luaran lain adalah lampu LED, ekzos krom hitam, rim 19-inci depan dan 20-inci belakang dengan rekaan 826 M bicolour, dan tayar 275/35 depan serta 285/30 belakang.

Selain itu, kelengkapan standard pada M3 dan M4 adalah suspensi Adaptive M, pembeda M Sport, M Drive Professional dengan 10 tahap Traction Control, pengira catatan masa, dan drift analyser.

Bahagian kabin M3 dan M4 pula dilengkapi kemasan kulit Merino hitam, tempat duduk M Sport, stereng M, pedal kaki M, pendingin hawa tiga-zon, Comfort Access, paparan instrumen digital 12.3-inci, dan unit infotainmen Navigation Professional 10.25-inci.

Untuk pasaran Malaysia, BMW M3 dan M4 boleh dipilih dengan tujuh warna; Sao Paulo Yellow, Isle of Man Green, Alpine White, Brooklyn Grey Metallic, Toronto Red, Portimao Blue dan Black Sapphire.

Galeri BMW M3 Competition

Galeri BMW M4 Competition

BMW henti jualan Z4 dengan transmisi manual di Australia, 2 unit saja terjual sejak 2019!

BMW Z4 menjadi model terkini yang dihentikan penawaran transmisi manualnya di Australia, hanya dua unit sahaja terjual sejak 2019. Ini menjadikannya antara versi paling rare pernah dijual di negara itu.

“Disebabkan hanya dua unit BMW Z4 sDrive20i terjual dengan transmisi manual sejak suku pertama 2019, kami tidak akan jual lagi varian ini,” kata jurucakap BMW di Australia.

“Walaubagaimanapun, Z4 sDrive20i masih akan ditawarkan dengan kotak gear standard automatik 8-kelajuan Steptronic Sport,” tambahnya.

Gambar oleh: BMW Blog

Varian Z4 dengan kotak gear manual 6-kelajuan ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk model asas sDrive20i yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder, menghasilkan 195hp dan 320Nm tork. Ia berharga AUD89,900 (RM276k) sebelum pilihan tambahan lain.

Model Z4 dengan tiga-pedal itu mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.8 saat (0.2 saat lebih perlahan dari automatik), dan mempunyai kelajuan maksima 241km/j.

Penyingkiran model manual dari Z4 itu mengikut jejak langkah 2-Series Coupe dan M2 Competition yang menerima nasib sama awal tahun ini.

Ini menjadikan hanya M3 dan M4 yang kekal ditawarkan dengan kota gear manual di Australia. Manual juga merupakan pilihan khas untuk 118i dan 218i Gran Coupe.

BMW 320i Sport baharu bukan sekadar “BMW”

ADAKAH anda masih tercari-cari model kereta apa hendak dibeli tahun ini dengan kualiti yang super awesome?

Jika ya, penulis sarankan anda mempertimbangkan untuk membeli sebuah BMW 320i Sport baharu.

Selain memiliki harga yang tidak terlalu ‘kayangan’, model BMW baharu ini memiliki antara spesifikasi terkini untuk keselesaan pemandu dan penumpang.

Tak percaya? Jom semak ciri menarik yang ada pada BMW 320i Sport 2021 ini.

Spesifikasi enjin BMW 320i Sport baharu

BMW 320i Sport didatangkan dengan enjin petrol TwinPower Turbo 2.0 liter yang dipadankan dengan Transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan.

Ia mampu menjana kelajuan mencecah 235 km/j dengan output maksimum 184 kuasa kuda pada paras 5,000-6,500 rpm dan puncak tork 300 Nm pada paras 1,350-4,000 rpm.

Untuk rekod, BMW 320i Sport mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.1 saat!

Papan meter digital yang direka untuk memberi paparan lebih selesa untuk pemandu. – Foto oleh BMW Malaysia

Rekaan menarik

Model terbaharu ini didatangkan dengan lampu kabus diod pemancar cahaya (LED).

Varian ini turut dilengkapi dengan set roda aloi ringan V-Spoke Style 780 Bicolour bersaiz 18 inci.

Selain itu, sedan sport premium ini juga tampil dengan BMW Live Cockpit Professional yang serba canggih.

Pada masa sama, ia turut dilengkapi skrin paparan bersaiz 10.25 inci dengan resolusi 1920×720 dan kluster paparan instrumen pula menampilkan skrin 12.3 inci.

Antara kelebihan lain BMW 320i Sport baharu ini adalah seperti berikut:

  • Takometer dengan keupayaan pergerakan rpm berlawanan arah jam berserta paras bahan api, kelajuan dan suhu enjin dalam gelung tiub
  • ‘Widget’ yang boleh dikonfigurasi meliputi papan skor sukan, data pemanduan, penggunaan dan keefisienan bahan api serta meter Daya G
  • Memiliki bantuan Mengundur (Reversing Assistant)
  • Kamera Pandangan Belakang (Rear View Camera) dikuasakan sistem operasi BMW 7.0 terkini
  • BMW Intelligent Personal Assistant yang membolehkan pemandu mengawal fungsi kenderaan, navigasi dan sistem hiburan dengan lebih mudah
  • Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) serta Telekhidmat (Teleservices) yang bertindak balas secara automatik jika berlaku kemalangan

Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Phytonic Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange.

Harga jualan bagi BMW 320i Sport baharu dengan waranti lanjutan dan pakej servis, tanpa SST (atas jalan, tanpa insurans) adalah RM 243,883.65.

BMW 630i GT M Sport serendah RM418,000! Bikin ramai tak keruan!

KEUNIKAN dan kemewahan jentera keluaran BMW makin terserlah menerusi model 630i GT M Sport baharu.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, 630i GT M Sport baharu ini didatangkan dengan spesifikasi terbaik yang mampu memenuhi setiap keperluan dan kehendak pelanggan.

Kenderaan ‘grand tourer’ ini memilki keupayaan dan keselesaan jarak jauh selain mampu ‘beraksi’ lasak.

Bagaimanapun, ciri-ciri mewah masih dikekalkan disulami beberapa fungsi teknologi terkini.

Menarik mengenai 630i GT M Sport

Ciri-ciri menarik terdapat pada 639i GT M Sport ini adalah reka bentuk yang sangat memukau.

Bahagian hadapan model ini dilengkapi gril ‘kidney’ dengan lampu hadapan pemancar cahaya diod atau LED.

Bagi menjamin tahap penglihatan maksimum, model ini turut didatangkan teknologi pencahayaan laser dinamik pada sistem lampu hadapan LED Matrix.

Jarak capaian lampu laser ini mampu mencecah sehingga 650 meter iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kenderaan konvensional lain.

Bahagian belakang yang 'kemas' dan 'menonjol'.

BMW 630i GT M Sport juga didatangkan dengan set roda aloi ringan M 20 inci termasuk tayar bercampur dan ‘run-flat’.

Angkup brek M Sport berwarna biru  dengan  designasi “M” turut  menyerlahkan  lagi  kelasakan  jentera  Gran Turismo  baharu  ini.

Bentuk bampar baharu dan sisipan yang didatangkan dengan pakej M Sport amat menarik sekali.

Spoiler  belakang berciri aktif  disediakan  sebagai  standard,  lantas meningkatkan daya turun (downforce) pada paras kelajuan tinggi.

Spoiler belakang akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan 120 km/j dan diturunkan semula apabila jentera diperlahankan pada 80 km/j.

Sejauh mana kuasa 630i GT M Sport?

BMW 630i GT M Sport disertai Comfort Access System dan BMW Display Key.

Jentera ini mampu menjana output maksimum serta kelajuan tertinggi mencecah 250km/j.

Penggunaan bahan api direkodkan pada paras 7.3 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 kilometer dengan emisi CO2 berkadar 166g/km.

Ruang dalaman yang memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang

Berikut antara fungsi lain terdapat pada BMW 630i GT M Sport baharu:

  • Paparan instrumen digital
  • Paparan Kawalan (Control Display)
  • Tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan
  • Stereng berkulit M dan papar pandu  (head-up display)
  • Penyaman udara automatik dengan empat zon kawalan
  • Bumbung kaca panoramik dwi-bahagian
  • Sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara
  • Driving Assistant dan Parking Assistant Plus
  • Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go
  • BMW Intelligent Personal Assistant

Pengguna yang berminat dengan BMW 630i GT M Sport baharu boleh membuat tempahan dengan bayaran RM 3,000 melalui platform BMW Shop Online.

BMW 630i GT M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula serendah RM 4,778.00

Bagaimanapun, ia berdasarkan anggaran pinjaman 80 peratus bagi tempoh lima tahun sahaja.

Harga BMW 630i GT M Sport Baharu dianggarkan sekitar RM 430,800.00 termasuk SST dan RM 417,659.05 (tanpa SST).

BMW218i Gran Coupe kereta mewah mampu milik

SEBUT nama BMW218i Gran Coupe ramai yang menganggap ia antara salah satu model termahal syarikat pengeluar asal Jerman itu.

Namun, jangan terkejut ia tidak semahal disangka.

Setakat artikel ini ditulis, BMW218i Gran Coupe bernilai sekitar RM211,367 sekaligus menjadikan ia antara model kenderaan mewah mampu milik.

Persoalannya, mengapa harganya tidak terlalu mahal berbanding model kereta mewah lain?

Apa keistimewaan yang ada pada BMW ini?

Reka bentuk unik

Tidak sah review sesebuah kenderaan jika gagal menilai aspek reka bentuk.

Model ini mempunyai keunikan tersendiri yang mana ia didatangkan dengan frameless doors.

Walau berkonsepkan coupe yang kebiasaan memiliki dua pintu tetapi bagi model ini ia mempunyai empat pintu!

Kidney grill terdapat pada model ini juga menampakkan rekaan lebih ‘seksi’ dan agresif.

Di samping itu, lampu diod pemancar cahaya (LED) yang ada pada BMW218i Gran Coupe ini juga amat menawan!

Antara bahagian kereta ini paling digemari penulis adalah reka bentuk belakangnya yang mempunyai elemen geometry.

Tayar yang didatangkan dengan size 18 inci juga agak cantik walau ia kelihatan sedikit kecil kerana reka bentuk kereta ini.

Rekaan dalaman

BMW ini tidak ketinggalan dengan rekaan dalaman yang cantik.

Butang yang ada sangat praktikal dan mudah dicapai bagi tujuan navigasi.

Bagaimanapun, ruangan dalaman model ini tidak seluas kenderaan sedan BMW yang lain.

Ia mungkin sedikit sempit bagi individu yang tinggi dan lebih selesa jika hanya dua penumpang di tempat duduk belakang.

Prestasi memukau

Memilki sistem pacuan roda bahagian depan nampaknya ia tidaklah mengecewakan.

Paling kagum kenderaan ini bukan sahaja stabil pada kelajuan tinggi malah cukup ‘sedap’ ketika mengambil selekoh.

BMW218i Gran Coupe memiliki enjin 1.5 turbo 3 silinder.

Kuasa yang dihasilkan pula adalah 140hp dan 220nm tork.

Enjin kereta ini dipadankan dengan 7 kelajuan dual-clutch transmission. 

Apa yang paling hebat, model ini mampu mencapai kelajuan 0-100km/h hanya dalam 8.7 saat.

Kesimpulannya, jika anda ingin miliki kereta BMW yang praktikal, model ini adalah jawapannya.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” images=”472307,472306,472301,472300,472293,472291,472292″]

BMW 740Le G12…bukan sekadar seronok jadi penumpang!

NAMA Bayerische Motoren Werke atau BMW bukan suatu yang asing dalam dunia automotif.

Sejak diasaskan lebih 105 tahun lalu, jenama BMW terus melangkah gah dengan teknologi-teknologi terkini demi kepuasan pengguna.

Saya masih ingat akan kereta BMW model E38 750iL yang ditonjolkan dalam filem ‘Tomorrow Never Dies‘ di mana ia digunakan oleh ejen 007 James Bond lakonan Pierce Brosnan.

Walaupun kereta kegunaan Bond itu dilengkapi ciri-ciri futuristic bertujuan sebagai ‘penambah rasa’ filem berkenaan, ia berjaya mencuri perhatian saya.

Saya sangat sukakan BMW E38 sehingga hampir membelinya beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan memandangkan waktu itu saya hanya memerlukan sebuah kenderaan lebih kecil untuk kegunaan harian.

Minat saya terhadap model E38 begitu mendalam sehingga merasakan ia satu-satunya jentera terbaik pernah dihasilkan syarikat pengeluar asal Jerman itu.

Saya mempunyai persepsi tersendiri terhadap lain-lain kenderaan buatan BMW apatah lagi membabitkan model 7 Series.

Pada saya, BMW 7 Series terlalu besar dan pastinya tidak sesuai untuk kegunaan harian.

BMW sentiasa mengutamakan kekemasan interior dalaman sekaligus menonjolkan kesan eksklusif. – Foto ihsan Trinity Quest Sdn Bhd

Ada apa dengan 7 Series?

Tahun lalu persepsi saya terhadap model 7 Series berubah sepenuhnya apabila BMW Malaysia telah melancarkan model baharunya iaitu BMW 740Le dengan kod nama G12.

Pertama kali melihat kereta ini pada gambaran saya ia terlalu besar dan kelihatan ‘ganas’.

Selepas empat kali dijemput memandu uji oleh BMW, saya akhirnya berkesempatan merasai pengalaman mengendalikan model itu baru-baru ini.

Pada mulanya, saya dapat bayangkan hujung minggu bersama BMW 740Le hanya akan memberi pengalaman ‘biasa-biasa’, sama seperti lain-lain jenama kereta mewah bertaraf antarabangsa.

Jangkaan saya 100 peratus meleset sebaik memandu kereta ini. Saya langsung tidak merasai bahawa kereta ini mempunyai size yang besar dan paling penting ia tidak mempunyai blind spot begitu ketara.

'Tegap' dan berkuasa tinggi. Tidak dinafikan enjin dihasilkan BMW antara yang terbaik di dunia.

Seterusnya, saya dapati enjin kereta ini sangat senyap. Menggunakan enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six dan dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan, saya dapat katakan ia sangat terbaik.

Enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six mampu menghasilkan 282hp hingga 394hp! Bayangkan kereta sebesar ini mampu ‘berlari’ dari 0-100km/j dalam masa 5.1 saat!

Mungkin anda tertanya-tanya dengan kuasa sebesar itu, pasti ia memerlukan penggunaan petrol yang tinggi bukan?

Sebenarnya jika dipandu dengan cermat, anda tidak perlu risau mengenai konsumsi bahan bakar.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itu realiti sebenar. Penggunaan gabungan enjin elektrik pastinya membantu kepada penjimatan bahan bakar.

Selain itu, kemasan dalaman kereta ini sememangnya tiada kekurangan. Saya merasakan kemasan dalaman BMW ini lebih praktikal terutama meter digital yang sangat jelas dan mudah digunakan.

Sistem bunyi pada kereta ini juga sangat bagus kerana ia dilengkapi dengan pembesar suara daripada Harmon Kardon. Selain itu, kerusi belakang model ini turut mempunyai fungsi kerusi urut yang pasti memberi keselesaan berganda buat penumpang.

Jika pemandu tidak tahu arah tuju dan mahu menggunakan sistem navigasi, penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem tablet yang disediakan untuk mencari arah.Sangat canggih!

BMW 7 Series tetap selesa untuk dipandu di kawasan bandar walau mempunyai reka bentuk yang besar. – Foto oleh EnGear

Setakat ini semua tentang kereta ini sangat bagus, namun bagaimana pula dengan pemanduan kereta ini?

Saya merasakan kereta ini layak mendapat markah yang tinggi untuk pengendalian kerana walaupun ianya besar tetapi dapat dikawal dengan begitu mudah.

Sistem Xdrive pada kereta ini bermaksud keempat-empat tayar bergerak serentak memberikan cengkaman yang lebih baik di jalan raya.

Justeru, kepada anda yang berminat untuk memiliki sebuah BMW 7 series mungkin model ini boleh dipertimbangkan.