fbpx

Merdeka ke-64: BMW Malaysia catat 64 unit tempahan SUV elektrik iX

bmw ix xdrive40 04

BMW Group Malaysia telah menerima 64 pratempahan bagi BMW iX, bertepatan dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64.

Pratempahan bagi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) ini telah dibuka di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000, hanya lima hari yang lalu.

“Kami berbesar hati untuk melihat warga Malaysia menunjukkan keyakinan mereka untuk memilih mobiliti lestari sebagai gaya hidup mereka, ia turut memperlihatkan kepercayaan kami bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik,” ujar Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

“Sejak sekian yang lama, kami telah memberi komitmen untuk membentuk mobiliti masa hadapan negara, dan kami akan terus memupuk peralihan ke arah mobiliti elektro dengan menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia serta meluaskan lagi jaringan pengedar BMW i dengan segera di bandar-bandar utama Malaysia,” tambahnya.

BMW iX ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, iaitu xDrive40 (RM419,630) dan xDrive40 Sport (RM472,630).

xDrive40 menggunakan konfigurasi elektrik dwi-motor, satu di depan dan satu di belakang. Ini menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda.

Sistem ini menjana 240kW (322hp) dan 630Nm tork, membolehkan iX memecut ke 100km/j dalam 6.1 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 200km/j.

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion 76.6kWh, cukup untuk jarak pemanduan 425km. Untuk pengecasan pula, anda boleh guna pengecas AC 11kW yang akan mengambil masa tujuh jam 15 minit.

Pengecas laju DC pula menggunakan penyambung CCS2 pada kadar 150kW, membolehkan bateri pada tahap 10% mencapai 80% dalam hanya 31 minit.

Kelengkapan mewah dan canggih

BMW iX dilengkapi dengan lampu depan LED dengan bantuan High Beam, rim aerodinamik 21-inci, fungsi Comfort Access, dan kemasan tingkap berwarna hitam berkilat.

Bahagian kabin pula mendapat paparan instrumen dengan skrin melengkung 12.3-inci Live Cockpit Professional dan skrin sesentuh 14.9-inci di tengah.

Kemasan kulit pada iX adalah dari sintetik Sensatec dengan pilihan warna Mocha atau Black. Ciri lain adalah tempat duduk dengan fungsi memori, pengecas wireless, dan sistem audio HiFi.

Sementara itu, varian lebih tinggi xDrive Sport didatangkan dengan rim 22-inci, lampu BMW Laserlight, kemasan brek Sport Line, lampu lebih gelap, dan grafik krom pada gril.

Kemasan dalam juga lebih premium dengan bumbung panorama kaca Sky Lounge, sistem audio Harman Kardon 18 pembesar suara, dan kemasan kayu pada konsol tengah.

Ciri keselamatan pada BMW iX termasuklah pakej Driving Assist, dan Parking Assistant. Varian Sport ditambah dengan Parking Assistant Plus dan Driving Assistant Professional.

BMW iX xDrive40 serta BMW iX xDrive40 Sport sedia ditempah melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000.

Para pemilik juga dapat memanfaatkan waranti bateri yang terhad hingga lapan tahun atau 160,000 km, mana-mana yang dipenuhi dahulu.

Buat masa ini, 100 pelanggan terawal yang menempah BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport yang sulung dapat menikmati tawaran eksklusif yang meliputi pemasangan alat pengecasan secara percuma serta akses pengecasan awam bertempoh 1 tahun secara percuma.

Tawaran ini terhad sehingga 22 September 2021, tertakluk kepada terma dan syarat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved