fbpx

BMW Motorrad Concept CE 02 untuk mereka yang mahu cuba benda baru!

bmw ce 02 05

SELEPAS melancarkan CE 04 hampir dua bulan yang lalu, BMW Motorrad kini memperkenalkan pula skuter elektrik konsep yang dikenali sebagai Concept CE 02.

Menurut syarikat itu, ia dibangunkan khas untuk menarik perhatian golongan muda berusia 16 tahun ke atas yang tidak pernah menunggang motosikal sebelum ini, namun terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Kami ingin membangunkan jentera dua roda yang mudah diakses oleh semua orang yang mahu bebas bergerak dan berdikari,” kata Alexander Buckan, Ketua Jurureka Kenderaan BMW Motorrad.

Ini dapat dilihat menerusi reka bentuk Concept CE 02 yang ringkas dan kompak, berbeza dengan CE 04 yang bersaiz lebih besar. Selain itu, penggunaan pelana yang rata dan rendah, serta rim 15-inci yang dibalut tayar yang lebar membuatkan skuter elektrik ini kelihatan seronok untuk ditunggang.

Walaupun rekaan keseluruhannya boleh dikatakan agak basic, ia cukup lengkap dengan kelengkapan moden seperti lampu LED dengan empat elemen pencahayaan di hadapan dan dua di belakang, serta skrin digital berwarna yang memaparkan maklumat penting seperti status bateri, baki jarak tunggangan dan sebagainya.

Aspek praktikaliti juga tidak dilupakan. Penunggang boleh menyimpan barang mereka di dalam ruang penyimpanan kecil yang terletak di antara pelana dan rangka atau dengan menggunakan getah elastik yang disediakan di hadapan pelana.

Apa yang menarik, skuter ini juga mempunyai bracket pada bahagian bawah badan di mana penunggang boleh meletakkan papan seluncur mereka yang kemudiannya dijadikan sebagai tempat meletak kaki.

Dibangunkan bagi tujuan mobiliti di kawasan urban, Concept CE 02 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik berkapasiti 11kW (15PS) yang dipasang pada rangka dan disambungkan dengan tali sawat untuk menggerakkan roda belakang. Ini membolehkan ia memecut sehingga kelajuan 90km/j.

Spesifikasi bateri serta masa yang diperlukan untuk mengecas tidak didedahkan, namun menurut BMW Motorrad, skuter seberat 120kg ini mempunyai jarak tunggangan sejauh 90km.

Syarikat itu juga tidak menyatakan jika Concept CE 02 akan memasuki fasa produksi pada masa depan, namun ia tidak mustahil memandangkan CE 04 juga pernah diperkenalkan sebagai model konsep beberapa tahun sebelum ia dilancarkan ke pasaran.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved