Arkib Kategori: MALAYSIA

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé dipertontonkan di Malaysia – harga anggaran dari RM1,290,000

Serentak dengan pelancaran model AMG GT Coupé, Mercedes-Benz Malaysia turut mempertontonkan model baharu AMG GT 4-Door Coupé untuk pasaran tempatan.

Unit yang dipamerkan ini hadir dalam trim AMG GT 55, namun pasaran Malaysia disahkan mendapat trim AMG GT 63.

Harga jualan anggaran bermula dari RM1,290,000.

Spesifikasi

Jentera ini hadir dengan tetapan tiga motor elektrik jenis axial flux, menghasilkan kuasa keseluruhan 1,169 hp dan daya kilas 2,000 Nm.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 2.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 260 km/j.

Pek bateri 106 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 697 km untuk sekali cas penuh.

AMG GT 4-Door Coupé ini turut menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 350 kW.

Ini membolehkan bateri dicas sepantas 16 minit dari 10-80% SoC.

Antara teknologi yang dimuatkan termasuklah sistem stereng gandar belakang, spoiler belakang aktif, suspensi AMG Active Ride Control serta sistem brek seramik AMG.

Dari sudut luaran, terdapat ciri seperti:

  • rim tempa AMG 21-inci
  • tayar sports AMG
  • angkup brek berwarna kuning
  • kemasan luaran AMG
  • AMG Night Package I & II
  • sistem Digital Light

Untuk ruang kabin, ia mendapat kelengkapan seperti:

  • skrin kluster 10.2 inci
  • skrin tengah 14.9 inci
  • skrin hadapan penumpang 14 inci
  • skrin paparan head-up
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • sistem bunyi 3D Burmester
  • sistem bunyi 4D AMGFORCE
  • upholsteri kulit Nappa/mikrofiber
  • trim gentian karbon AMG
  • roda stereng AMG Performance dengan kemasan gentian karbon/mikrofiber
  • bumbung panorama dengan fungsi SKY CONTROL

Dari segi keselamatan, sedan coupé ini hadir dengan ciri seperti:

  • MB.Drive Assist
  • MB.Drive Parking Assist 360
  • sistem bunyi akustik
  • sistem pemantauan tekanan tayar
  • beg udara sisi untuk penumpang belakang

Mercedes-AMG GT 63 Pro 4MATIC+ Coupé 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM2.1 juta

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model Mercedes-AMG GT 63 Pro 4MATIC+ Coupé 2026 sempena kepulangan semula sukan F1 ke tanah air.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga anggaran RM2,088,888.

Spesifikasi

AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dipacu enjin 4.0 liter bentangan V8 menghasilkan kuasa 612 hp dan 850 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Speedshift MCT 9G, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 3.2 saat dan kelajuan maksimum 317 km/j.

Casis Coupé ini turut disokong dengan ciri seperti suspensi AMG Active Ride Control, sistem lif gandar depan, sistem stereng gandar belakang, serta sistem brek komposit seramik AMG.

Antara kelengkapan di bahagian luar termasuklah:

  • rim AMG 21-inci
  • pakej aerodinamik AMG
  • pakej karbon AMG
  • AMG Night Package II
  • Digital Light
  • kemasan krom gelap pada jeriji radiator AMG

Ruang kabin mendapat kelengkapan seperti:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin tengah 11.9 inci
  • skrin paparan head-up
  • sistem bunyi keliling Burmester
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • upholsteri kulit Nappa
  • trim gentian karbon AMG
  • tali pinggang keledar kuning
  • roda stereng AMG Performance

Antara ciri keselamatan yang dimuatkan:

  • Driving Assistance Package
  • Parking Package
  • sistem pemantauan tekanan tayar
  • kamera 360 darjah

Edisi Motorsports Collectors

Edisi istimewa ini hanya diproduksikan 200 unit untuk satu dunia, dan hanya unit terhad ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Harga jualan bermula dari RM2,588,888.

Antara ciri eksklusif yang ditawarkan:

  • kemasan warna obsidian black dengan bintang Mercedes-Benz
  • rim tempa 21 inci AMG
  • kemasan warna hijau PETRONAS pada komponen aerodinamik dan angkup brek
  • tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R

Untuk ruang kabin, ia mendapat ciri seperti:

  • upholsteri tempat duduk kulit Nappa hitam/mikrofiber
  • kemasan jahitan warna PETRONAS
  • Multicontour Seat Package
  • roda stereng AMG Performance balutan kulit nappa/mikrofiber
  • pemanas roda stereng
  • sistem audio Burmester 3D
  • panel ambang pintu dengan skrip AMG berwarna hijau PETRONAS

Chery Tiggo Cross Sport Edition bakal tiba di Malaysia, eksklusif varian Turbo

Chery Malaysia mempertontonkan ahli baharu dalam keluarga Tiggo Cross, iaitu Chery Tiggo Cross Sport Edition.

Antara ciri yang dimuatkan pada model baharu ini termasuklah lip depan aerodinamik, diffuser belakang yang lebih garang, serta lencana Sport pada pintu tailgate.

Menurut Chery, Tiggo Cross Sport Edition ini akan ditawarkan secara eksklusif dalam varian Turbo.

Varian Sport Edition itu turut dilihat mengekalkan rim aloi 18 inci, rel bumbung serta spoiler belakang yang sama seperti model Turbo.

Buat masa ini tiada sebarang perincian lanjut diumumkan, selebihnya bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi pada bulan depan.

Untuk info, Chery Tiggo Cross Turbo dipacu enjin 1.5 liter turbo menghasilkan kuasa 147 PS dan 210 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar 6-kelajuan.

 

Proton e.MAS rai serahan kenderaan ke-40 ribu, terus tawar pelbagai manfaat pemilikan

Dalam tempoh 20 bulan, Proton e.MAS kini meraikan pencapaian terbaharu dengan penyerahan kenderaan yang ke-40,000.

Sebagai meraikan komuniti yang semakin berkembang, Proton e.MAS menawarkan pelbagai manfaat pemilikan yang dipertingkatkan.

Ia merangkumi aspek pengecasan, perkhidmatan selepas jualan, ganjaran, serta perkhidmatan digital.

Diskaun pengecasan

Gambar sekadar hiasan

Bermula 1 Oktober 2026 (11 pagi) hingga 5 Oktober 2026 (11 pagi), pemilik boleh menikmati diskaun pengecasan 40% menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Menerusi aplikasi yang sama, pemilik juga boleh mengakses rangkaian 12 pengendali titik pengecasan (CPO) serta menikmati manfaat berikut:

  • kadar RM1.20/kWh di pengecas DC Handal
  • diskaun 20% di stesen pengecas RExharge (dari 5 Oktober-31 Disember 2026)

Keyakinan sepanjang tempoh pemilikan

Dari segi perkhidmatan selepas jualan, Proton e.MAS menawarkan manfaat berikut:

  • diskaun 10% bagi servis dan penyelenggaraan
  • kad Touch ‘n Go eksklusif bagi 1,000 pelanggan pertama yang membuat servis

Pelanggan yang ingin menukar kenderaan pula layak menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM1,000 menerusi Carsome dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.

Pembelian atau pembaharuan polisi insurans (e.MAS Care Elite atau Care Flex) menawarkan manfaat berikut:

  • kredit pengecasan percuma bernilai RM100 (sah untuk 5,000 pelanggan pertama dari 1 Oktober-31 Disember 2026)
  • peluang sertai cabutan bertuah (hadiah termasuk jam Huawei Watch GT 7 dan Band 11)

Pengalaman digital lebih lancar

Aplikasi Proton e.MAS sedia ada bakal dikemas kini dan dijangka diperkenalkan menjelang akhir 2026.

Antara ciri baharu yang ditambah ialah PassGo, iaitu platform ganjaran berasaskan konsep “pandu dan nikmati ganjaran”.

Bermula 29 September, pemilik boleh mengumpulkan satu mata bagi setiap kilometer yang dipandu, tertakluk kepada terma dan syarat.

Mata terkumpul boleh ditebus untuk pelbagai ganjaran seperti baucar Grab, TnG, Foodpanda, Lazada serta barangan eksklusif.

Lebih banyak ganjaran

Tawaran yang disediakan oleh Proton e.MAS tidak terhad kepada aspek pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan.

Pemilik yang layak boleh menikmati diskaun 10% untuk minuman di cawangan ZUS Coffee yang terpilih.

Pelanggan yang memilih penyelesaian tenaga solar kediaman menerusi Huawei FusionSolar boleh menerima rebat segera RM5,000 dan berpeluang memenangi pakej percutian selama lima hari empat malam ke Shenzhen, China.

Proton e.MAS turut mengumumkan pertandingan “Where Does Your e.MAS Take You?” yang terbuka kepada pemilik e.MAS.

Dengan berkongsi gambar atau video pengalaman dalam Facebook Rasmi Komuniti Proton e.MAS, mereka berpeluang memenangi hadiah utama berupa model diecast Proton e.MAS 7 selain 40 baucar TnG bernilai RM50 setiap satu.

Pencapaian bermakna

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Penyerahan 40,000 kenderaan e.MAS merupakan satu pencapaian bermakna buat kami.

“Seiring dengan perkembangan komuniti, tanggungjawab kami semakin besar untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat.

Jelasnya, Proton e.MAS kini mempunyai rangkaian 60 pengedar di seluruh negara dan bakal berkembang kepada lebih 70 cawangan termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat Badan & Cat menjelang akhir 2026.

“Perkembangan berterusan ini memastikan pelanggan kami sentiasa mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemilikan mereka.

 

BMW R 1300 GS 2026 kini dengan Automated Shift Assistant, harga dari RM145,000

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan model BMW R 1300 GS yang kini dilengkapi dengan sistem Automated Shift Assistant (ASA).

Motosikal adventure touring ini dijual pada harga RM145,000.

Penukaran gear lebih mudah

Ciri ASA ini membenarkan penunggang untuk melakukan penukaran gear secara manual atau automatik sepenuhnya.

Terdapat dua mod disediakan iaitu:

  • M – penunggang boleh membuat penukaran gear dengan kawalan klac dibuat secara automatik
  • D – penukaran gear dilakukan secara automatik berdasarkan kelajuan semasa

Dengan memudahkan urusan penukaran gear, ciri ASA ini menjadikan pengalaman tunggangan yang lebih selesa tanpa menjejaskan karakter dinamik BMW R 1300 GS.

ASA merupakan sebahagian daripada Pakej Dynamic yang dipertingkatkan, di mana ia turut merangkumi:

  • Larasan suspensi dinamik (DSA)
  • Gear Shift Assistant Pro
  • Riding Modes Pro
  • Brek sports

Pakej Touring & Comfort

Selain Pakej Dynamic, BMW Motorrad Malaysia turut menawarkan dua pakej tambahan terdiri daripada pakej Touring dan pakej Comfort.

Pakej Touring menawarkan pemasangan modul GPS, sistem penguncian berpusat, pelindung tangan tambahan serta pemegang beg sisi kiri dan kanan.

Pakej Comfort pula menampilkan kit penumpang, cermin penghadang angin larasan elektrik dan topang tengah.

Ciri standard yang ditawarkan termasuklah larasan ketinggian adaptif, lampu utama Deluxe dan bateri ringan M.

Enjin

Jentera ini dikuasakan oleh enjin boxer dua silinder 1,300 cc menghasilkan 145 hp @ 7,750 rpm dan 149 Nm @ 6,500 rpm.

Warna

BMW R 1300 GS ASA ditawarkan dalam pilihan warna White Aluminium Metallic dan Black Storm Metallic.

Denza Malaysia tawar penggantian penapis kabin PM2.5 percuma untuk Denza D9

Denza Malaysia mengumumkan Program Denza Care yang menawarkan penggantian penapis pendingin hawa kabin secara percuma khusus untuk model Denza D9.

Inisiatif ini menegaskan usaha Denza dalam menyediakan ruang kabin yang bersih terutama ketika kualiti udara luar merosot ketika musim jerebu.

Sistem penapisan udara kabin Denza menawarkan tiga lapisan utama:

  • penapisan mikro-sieve elektrostatik – menangkap partikel halus, habuk dan asap sehingga tahap PM2.5 dengan kecekapan lebih tinggi berbanding penapis kabin standard
  • perlindungan karbon teraktif – menyahaktif gas berbahaya, pelepasan asap industri serta bau kayu terbakar yang sinonim dengan jerebu
  • pengurusan kualiti udara masa nyata – mampu membersihkan udara dalaman dalam tempoh beberapa minit selepas kenderaan dihidupkan

Program Denza Care ini ditawarkan kepada pemilik persendirian Denza D9, sah dari 1 Oktober hingga 30 November 2026.

Ia terbuka kepada semua pemilik baharu dan pemilik Denza D9 sedia ada.

Mereka boleh menebus penggantian penapis kabin AC PM2.5 secara percuma di mana-mana pusat servis premium Denza dengan mengemukakan dokumen repair order (RO) terdahulu atau dokumen pembelian kenderaan baharu.

 

Bahrain GP: PUMA Malaysia buka pintu House of Speed kepada peminat F1 di Pavi KL

PUMA Malaysia memulakan kempen We Own The Week bersempena dengan kembalinya sukan Formula Satu (F1) ke tanah air.

Menerusi kempen ini, PUMA mahu mendekatkan peminat kepada aksi sebenar melalui siri pengalaman perlumbaan yang lebih menyeluruh di tengah ibu kota.

House of Speed di Pavi KL

Sebagai sebahagian daripada We Own The Week, PUMA akan membuka pintu House of Speed di Pavilion Kuala Lumpur.

Bermula dari 29 September hingga 4 Oktober, House of Speed akan menghimpunkan perlumbaan, prestasi, produk serta pengalaman interaktif dalam satu destinasi berkelajuan tinggi.

Pengunjung juga boleh menguji kemahiran diri di beberapa stesen cabaran dan membawa pulang barangan eksklusif PUMA.

Salah satu tarikan utama ialah simulator perlumbaan di mana peminat boleh memandu, menguji kepantasan dan masa tindak balas serta merasai sendiri pengalaman berada di dalam litar lumba.

Koleksi terkini PUMA

Peminat juga boleh meneroka koleksi terkini PUMA termasuk barangan berlesen rasmi daripada Scuderia Ferrari HP dan McLaren Mastercard F1 Team.

Peminat yang berbelanja RM400 dan ke atas akan menerima hadiah eksklusif, menambahkan lagi nilai pengalaman di House of Speed.

 

Zeekr Malaysia perluas rangkaian jualan & selepas jualan dengan EON

Zeekr Intelligent Technology Malaysia menandatangani perjanjian pengedaran dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).

Kerjasama terbaharu ini menandakan satu lagi langkah strategik Zeekr Malaysia dalam usaha memperluas rangkaian runcit dan selepas jualan di Malaysia.

Pengalaman meluas EON

Sebagai salah satu peruncit automotif terkemuka, EON mempunyai pengalaman luas dalam operasi runcit automotif terutama dalam segmen EV.

Sebelum kerjasama terbentuk, wakil EON telah melawat fasiliti Zeekr di China untuk melihat sendiri teknologi, kemampuan pembuatan serta pendekatan terhadap mobiliti elektrik.

Lawatan tersebut mengukuhkan keyakinan EON terhadap Zeekr dan membuka jalan kepada perjanjian yang ditandatangani tersebut.

Perluas akses pelanggan

Di bawah fasa pertama kerjasama, EON akan membuka Zeekr Pop-up Store di AEON Mall Shah Alam yang akan mula beroperasi Oktober 2026.

Kedai dengan keluasan 1,340 kaki persegi ini membolehkan pelanggan mendekati dan meneroka barisan EV premium (X, 009 & 7X) serta mendapatkan maklumat lajut tentang tawaran pemilikan.

Pop-up store ini akan berfungsi sebagai pusat sentuhan pelanggan sementara Zeekr House Glenmarie dibangunkan yang dijangka siap suku pertama 2027.

Fasiliti baharu ini bakal menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan perkhidmatan jualan, penyerahan kenderaan dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung

Melangkah ke hadapan, Zeekr Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan automotif berpengalaman bagi membina ekosistem pemilikan yang lebih kukuh dan mudah diakses untuk pelanggan di seluruh Malaysia.

iCaur 03 RWD kini dipasang di Malaysia, harga & spesifikasi kekal

iCaur Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan (CKD) bagi model SUV elektrik iCaur 03 varian RWD bulan ini.

Penghantaran kumpulan pertama iCaur 03 RWD CKD pula dijadualkan pada bulan Oktober 2026.

Untuk makluman, program pemasangan model CKD telah bermula di kilang Shah Alam pada suku kedua tahun ini.

Sama seperti model iWD, iCaur 03 RWD mengekalkan penawaran spesifikasi seperti model CBU.

Ia dipacu motor elektrik yang menggerakkan roda belakang, dengan kuasa 184 PS dan 220 Nm dan 5 mod pemanduan.

Pek bateri LFP 65.7 kWh menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 426 km.

iCaur 03 RWD turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan pantas DC sehingga 80 kW.

SUV ini dijual pada harga RM119,740 atas jalan tanpa insurans.

MODENAS jalin kerjasama dengan Kolej KEDA tawar latihan teknologi motosikal elektrik

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dengan Kolej KEDA mengumumkan pembukaan EV Motorcycle Industry-Academia Centre of Excellence (EV-MIACE).

Fasiliti ini terletak di Jabatan Teknologi Motosikal Kolej KEDA di Sik, Kedah.

Inisiatif ini menjadikan kolej KEDA institusi pertama di Kedah membangunkan pusat kecemerlangan EV khusus untuk mengintegrasikan pengetahuan industri, teknologi dan kepakaran teknikal dalam pendidikan TVET.

Pendedahan teknologi EV

Di bawah kerjasama ini, pelajar akan didedahkan kepada sistem motosikal elektrik jenama MODENAS.

MODENAS pula akan menyediakan sokongan penasihat bagi pembangunan modul pengajaran, berkongsi teknologi semasa dan kepakaran teknikal, serta menyumbang peralatan pembelajaran.

Pelajar yang mengikuti modul akan menerima pengiktirafan kemahiran dan pensijilan daripada MODENAS.

Untuk permulaan, seramai 25 pelajar akan mengikuti program ini bermula September hingga Disember 2026 dan menerima pensijilan MODENAS.

Kerjasama ini akan diteruskan pada tahun 2027 dengan dua kursus jangka pendek untuk 60 peserta.

Bermula tahun 2028 hingga 2030, Kolej KEDA menetapkan sasaran untuk berperanan sebagai rakan latihan industri bagi program peningkatan dan pemerkasaan kemahiran di bawah skim Akademi Dalam Industri (ADI).

Harley-Davidson serah 3 unit motosikal kepada PDRM untuk tujuan penilaian

Route 77 Harley-Davidson Kuala Lumpur baru-baru ini menyerahkan tiga unit motosikal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian konsep (POC).

Tiga model yang diserahkan itu ialah:

  • Low Rider ST
  • Street Glide
  • Pan America

Program POC ini membolehkan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) meneliti aspek kesesuaian, prestasi, pengendalian serta praktikaliti terutama bagi tugasan pengiring dan tugas rasmi.

Bakal beraksi di LTdL 2026

Acara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 akan menjadi medan terbaik untuk anggota JSPT merasai sendiri karakter setiap platform dalam persekitaran operasi sebenar.

Penggunakan sepanjang LTdL 2026 merupakan sebahagian daripada proses penilaian POC dan tidak bermaksud ia akan digunakan secara kekal oleh PDRM.

Menurut Pengarah JSPT, hasil daripada POC ini akan membantu pihaknya untuk membuat penilaian objektif berdasarkan keperluan operasi semasa.

“Dengan LTdL berlangsung sepanjang tempoh penilaian, ia menyediakan persekitaran dunia sebenar untuk anggota kami menilai motosikal ini dalam keadaan tunggangan dan operasi sebenar.

Inisiatif ini turut mencerminkan kerjasama antara sektor swasta dan PDRM dalam menilai platform serta teknologi motosikal yang berpotensi menyokong keperluan operasi trafik dan tugas pengiring yang semakin berkembang.

 

Honda City 2026 facelift rasmi di Malaysia – 4 varian, harga serendah RM89,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan sedan segmen B Honda City 2026 versi facelift untuk pasaran tempatan.

Harga jualan bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • City 1.5L E – RM89,900
  • City 1.5L V – RM94,900
  • City 1.5L RS – RM99,900
  • City 1.5L e:HEV RS – RM111,900

Honda Malaysia menawarkan jaminan kenderaan sehingga 8-tahun tanpa had perbatuan yang turut sah untuk semua model petrol dan hibrid Honda.

Perubahan

Berbeza dengan versi terdahulu, City facelift menampilkan imej kosmetik yang diperbaharui, serta beberapa naik taraf pada ruang kabin.

Dari segi luaran, City facelift membawakan lampu utama LED yang lebih nipis, struktur jeriji serta bampar yang disemak semula.

Varian RS pula hadir dengan ciri eksklusif seperti bar LED melintang penuh, perumah lampu belakang jernih Albino Design serta rim aloi 16 inci warna dua tona (Berlina Black/Dark Clear).

Untuk ruang kabin, terdapat skrin paparan Display Audio 10 inci baharu yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, diikuti dengan lampu suasana.

Varian RS mendapat ciri tambahan berikut:

  • pedal sport
  • brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Auto Hold
  • kamera keliling 360 darjah

Sementara varian e:HEV RS hadir dengan ciri eksklusif slot pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Pilihan enjin

Honda City facelift masih lagi dibekalkan dengan pilihan enjin i-VTEC 1.5L DOHC (121 PS/145 Nm) yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Varian e:HEV RS pula menawarkan kuasa keseluruhan 109 PS/253 Nm yang menggerakkan roda depan menerusi kotak gear e-CVT.

Keselamatan

Secara standard, City facelift dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, cagak ISOFIX, serta bantuan kestabilan kenderaan.

Kelengkapan Honda SENSING ditawarkan kepada semua varian, merangkumi fungsi seperti:

  • sistem informasi titik buta (BSI)
  • sistem pemantauan trafik silang (CTM)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS)
  • bantuan pengekalan lorong (LKAS)
  • amaran keluar lorong (LDW)
  • bantuan mengikut kelajuan rendah (LSF)
  • mitigasi keluar jalan (RDM)
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • peringatan pergerakan kenderaan hadapan (LCDN)

 

Proton Capital tawar lebih banyak pilihan pembiayaan kepada pelanggan

Proton secara rasmi melancarkan syarikat baharu Proton Capital Sdn Bhd sebagai cabang pembiayaan automotif khusus.

Ia bertujuan menjadikan proses pemilikan kenderaan lebih mudah diakses untuk pelanggan yang layak.

Pembiayaan untuk pelanggan yang layak

Proton Capital berhasrat menyediakan pengalaman pembiayaan bersepadu, cekap dan berfokuskan pelanggan bermula daripada permohonan sehingga proses penyerahan kenderaan.

Untuk peringkat awal, Proton Capital akan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan individu yang layak termasuklah:

  • pekerja bergaji
  • individu bekerja sendiri
  • pelanggan yang mempunyai sumber pendapatan lain yang boleh disahkan

Permohonan boleh dibuat menerusi 12 cawangan yang mengambil bahagian di sekitar Lembah Klang.

Setiap permohonan akan diteliti berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada, maklumat kredit serta kemampuan pembayaran balik pemohon.

Proton Capital juga menyasarkan kelulusan dalam tempoh satu hari bekerja untuk permohonan yang lengkap.

Lebih banyak pilihan untuk pelanggan

Pada peringkat pelancaran, Proton Capital akan menawarkan pembiayaan sewa beli konvensional untuk kereta Proton baharu, termasuk pakej kadar tetap standard dan pakej khusus untuk teksi Proton S70.

Syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk secara berperingkat, termasuk pembiayaan khusus untuk perkhidmatan e-hailing.

Buat masa ini, pembiayaan yang disediakan adalah dalam bentuk konvensional manakala pembiayaan patuh syariah pula akan diperkenalkan menjelang awal November.

 

HLYM serah 200 unit pertama Yamaha XMax 300 Tech Max di Malaysia

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyerahkan 200 unit pertama skuter premium XMax 300 Tech Max kepada pemilik di seluruh negara.

Skuter tersebut dilancarkan secara rasmi di Karnival GenBlu yang berlangsung pada bulan Ogos.

XMax 300 dipacu enjin silinder tunggal 292 cc sejukan cecair berkuasa 27.6 hp @ 7,250 rpm dan 28.9 Nm @ 5,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

Hadir dengan warna Crystal Graphite, model ini dijual pada harga RM28,499 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran).

Skuter XMax 300 Tech Max ini boleh didapati di 17 pengedar sah Yamaha Big Bike di seluruh negara.

Proton S70 2026 dapat 2 varian baharu, enjin 1.5L NA, harga dari RM56,800

Proton secara rasmi memperkenalkan dua varian baharu bagi sedan S70, iaitu S70 Lite dan S70 Prime.

Dua varian baharu ini diposisikan sebagai pengganti secara tidak langsung kepada model Persona yang bakal dihentikan penawarannya kelak.

Harga jualan (selepas rebat) adalah seperti berikut:

  • S70 Lite – RM56,800 (harga asal RM59,800)
  • S70 Prime – RM59,800 (harga asal RM62,800)

Rebat RM3,000 itu sah untuk pelanggan yang melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2026.

Bersempena dengan pelancaran, Proton turut menawarkan pakej berikut:

  • jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
  • pengecualian kos buruh sebanyak 6-kali
  • pembiayaan 9-tahun dengan kadar 2.35% PA
  • nilai tukar beli sehingga RM2,000

Unit pacuan

Berbeza dengan varian S70 sedia ada, dua varian baharu S70 ini mendapat enjin 1.5 liter i-GT.

Kuasa 120 PS dan 150 Nm itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT jenis torque converter.

Kelengkapan

Secara standard, S70 Lite didatangkan dengan ciri seperti unit lampu utama halogen, lampu DRL LED, rim aloi 16 inci, serta jeriji dengan kemasan hitam.

Masuk ke dalam ruang kabin, S70 Lite mendapat ciri seperti:

  • tempat duduk balutan fabrik
  • panel meter analog dengan skrin MID
  • skrin infohibur 8-inci
  • brek parkir elektrik (EPB)

S70 Prime pula mendapat naik taraf ciri seperti:

  • rim aloi 17-inci
  • lampu utama LED automatik
  • cermin sisi boleh lipat automatik
  • roda stereng balutan leatherette
  • tempat duduk leatherette
  • sistem pendingin hawa automatik

Kedua-dua varian turut mendapat sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Keselamatan

Ciri keselamatan standard terdiri daripada enam beg udara, penderia parkir belakang, serta kamera undur, manakala S70 Prime pula mendapat tambahan penderia parkir hadapan.

Selain itu, ia turut hadir dengan kelengkapan seperti:

  • sistem pemantauan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan penukaran lorong (LCA)

Warna

Terdapat lima warna tersedia iaitu Quartz Black, Marine Blue, Space Grey, Snow White dan Armour Silver.

Morbidelli C252V 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM16,988

Morbidelli Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan ketibaan model cruiser C252V 2026 untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam tiga pilihan warna (Bulk Black, Moss Green dan Urban Silver), C252V dijual pada harga RM16,998.

Spesifikasi

Cruiser ini dikuasakan enjin dua silinder bentangan V sesaran 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 25.5 hp @ 9,000 rpm dan 25 Nm @ 5,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear 6-kelajuan dengan sistem pacuan tali sawat, dibantu dengan klac slipper.

C252V menggunakan sistem kawalan pendikit dwi-kabel untuk pecutan yang lebih responsif.

Suspensi cruiser ini terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik diikuti penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 115 mm & 47 mm.

Brek pula menggunakan unit rotor tunggal di depan dan belakang.

Antara ciri lain yang dimuatkan:

  • kunci mekanikal
  • rim 16 inci
  • tangki bahan api 15.5 liter
  • tinggi pelana 690 mm
  • skrin paparan LCD
  • port pengecasan USB Type-A
  • sistem lampu LED penuh
  • sistem ABS dua-saluran & kawalan cengkaman

Hyundai Stargazer 2026 rasmi di Malaysia – 3 varian, harga dari RM99,800

Hyundai Motor Malaysia secara rasmi melancarkan MPV tiga baris tempat duduk Hyundai Stargazer 2026 untuk pasaran tempatan.

Unit import sepenuhnya (CBU) ini ditawarkan dalam tiga varian, harga jualan seperti berikut:

  • Style 7-tempat duduk – RM99,800
  • Prime 7-tempat duduk – RM109,800
  • X 6-tempat duduk – RM121,800

HMY turut menawarkan skim perlindungan nilai jual semula untuk tahun ketiga, keempat dan kelima dengan nilai sehingga 70%.

Selain itu, promosi Early Bird menawarkan manfaat berikut:

  • jaminan 8-tahun/160,000 km
  • pakej servis percuma 8 kali atau 4 tahun
  • All-star Reward RM1,000 untuk pemilik Hyundai sedia ada
  • Yuran tempahan RM88

Unit pacuan

Hyundai Stargazer dipacu enjin 4-silinder sebaris 1.5 liter dengan hamburan kuasa 113 hp @ 6,300 rpm dan 144 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi IVT (Intelligent Variable Transmission).

Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart.

Dimensi

Stargazer membawakan ukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,695 mm dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Varian X pula mempunyai ukuran dimensi sedikit panjang, iaitu sekitar 4,610 mm, lebar 1,820 mm, dan tinggi 1,740 mm.

Radius putaran adalah sekecil 5.4 meter.

Ruang kargo pula sebesar 185 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,892 liter.

Kelengkapan luaran

Secara standard, Hyundai Stargazer hadir dengan padanan rim 16 inci manakala dua varian tertinggi mendapat rim 17 inci.

Dari segi luaran, Hyundai Stargazer mendapat ciri seperti:

  • lampu utama LED dengan fungsi automatik
  • lampu nyalaan siang DRL LED
  • struktur jeriji lebar
  • lampu belakang dengan grafik huruf H

Varian X pula hadir dengan kelengkapan seperti:

  • logo H berwarna hitam
  • jeriji radiator hitam/perak
  • rekaan bampar yang lebih sporti
  • plastik pelindung gerbang roda
  • spoiler belakang
  • rel bumbung
  • brek cakera di belakang

Ruang kabin

Versi asas didatangkan dengan ciri seperti skrin paparan LCD 4.2 inci, skrin tengah 8-inci, sistem audio dengan 4-pembesar suara serta upholsteri tempat duduk fabrik.

Varian Prime pula hadir dengan ciri lebih premium seperti:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • upholsteri kombinasi fabrik/leatherette
  • meja lipat baris kedua
  • brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold
  • sistem audio 6-pembesar suara

Sementara varian X mendapat ciri eksklusif seperti:

  • tempat duduk kapten baris kedua
  • upholsteri balutan leatherette
  • tombol gear pada kolum stereng
  • konsol tengah jenis terapung
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Keselamatan

Stargazer Style hanya dilengkapi dengan dua beg udara sahaja.

Varian Prime dan X pula hadir dengan enam beg udara, serta pakej Hyundai SmartSense merangkumi 13 fungsi termasuklah:

  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LVDA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA)
  • Bantuan Keluar Selamat (SEA)

Warna

Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Titan Gray Metallic, Creamy White Pearl, dan Midnight Black Pearl, serta warna Gravity Gold Matte eksklusif untuk varian X.

Hyundai Stargazer X

ZXMOTO Malaysia pertonton 820R, 450 Rally & MX250, bakal masuk Malaysia

Sempena pelancaran jenama dan tiga model baharu tempoh hari, ZXMOTO Malaysia turut mempamerkan tiga lagi model motosikal yang bakal masuk ke pasaran tempatan.

Tiga model yang dimaksudkan itu ialah ZXMOTO 820R, 450 Rally dan MX250.

ZXMOTO 820R

Ini merupakan model ‘kembar’ naked kepada supersport 820RR yang dilancarkan baru-baru ini.

820R dipacu enjin 3-silinder 818.8 cc sejukan cecair dan minyak, menghasilkan kuasa 130 hp dan 78 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan:

  • peredam stereng terbina
  • penukaran gear pantas dua-arah
  • skrin paparan TFT berwarna
  • sistem lampu LED
  • tangki bahan api 18 liter

Selain itu, ia turut mendapat suspensi boleh laras depan dan belakang, unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman serta beberapa pilihan mod tunggangan.

ZXMOTO 450 Rally

Ini pula motosikal endurance yang diinspirasikan daripada jentera rali Dakar.

Enjin silinder tunggal 450 cc sejukan cecair itu mampu menjana kuasa 60 hp.

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah:

  • sistem lampu LED
  • fork hadapan KYB jenis terbalik boleh laras sepenuhnya
  • lengan ayun aloi aluminium berkembar
  • sistem tangki berkembar, kapasiti 32 liter
  • cagak khas untuk pemasangan skrin tambahan dan sistem navigasi
  • tinggi pelana 960 mm

ZXMOTO MX250

Untuk peminat sukan motocross, ZXMOTO MX250 ini juga antara model yang bakal masuk Malaysia.

Ia dipacu enjin silinder tunggal 250 cc dengan kuasa sekitar 41 hp dan daya kilas 27 Nm.

Antara ciri yang tersedia:

  • fork hadapan KYB jenis terbalik boleh laras sepenuhnya
  • lengan ayun aloi aluminium berkembar
  • penyerap hentak belakang KYB
  • tangki bahan api 6.5 liter
  • angkup brek dua-omboh di depan
  • tinggi pelana 960 mm

Jetour T2 i-DM 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM162,800

Jetour Malaysia secara rasmi melancarkan Jetour T2 i-DM untuk pasaran tempatan.

T2 versi plug-in hybrid (PHEV) ini dijual pada harga dari RM162,800.

Pakej Early Bird bernilai RM3,000 ditawarkan kepada 2,000 pendaftaran terawal, merangkumi pilihan pengecas dinding 7 kW atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000.

Kedua-dua pilihan didatangkan dengan kabel penyesuai V2L secara percuma.

Spesifikasi unit pacuan

T2 i-DM dipacu oleh sistem PHEV yang terdiri daripada:

  • enjin 1.5L turbo TGDi
  • transmisi 3-kelajuan
  • motor elektrik berkembar

Secara keseluruhan, SUV ini mampu menjana kuasa 355 hp dan 610 Nm.

Pek bateri LFP 18.4 kWh menawarkan jarak pandu sifar emisi sehingga 100 km, serta jarak pandu gabungan sehingga 1,200 km.

Ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan pantas DC 57 kW, membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa 27 minit.

SUV ini turut menawarkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.

Kelengkapan

Dari segi penampilan, Jetour T2 i-DM mengekalkan rupa paras yang hampir sama dengan T2 2.0L turbo.

Ia menampilkan ciri seperti lampu hadapan LED automatik, skrip JETOUR bercahaya, rim aloi Trailblazer 20 inci, pintu belakang dengan fungsi Electric Suction, serta kehadiran tayar ganti.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, sistem audio Sony dengan 12-pembesar suara, serta pengecas tanpa wayar 50W.

Selain itu, tempat duduk hadapan didatangkan dengan fungsi pengudaraan, fungsi memori dan fungsi aluan.

Tidak ketinggalan, ciri seperti tombol gear kristal bercahaya, cermin pandang belakang dengan fungsi kelam automatik dan pencahayaan ambien Cosmic Multicolour.

Keselamatan

Secara standard, T2 i-DM dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan panorama serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 pula merangkumi:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan lorong (LAI)
  • pengesanan titik buta (BSD)
  • kawalan jelajah bersepadu (ICA)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHB)

Program Insurans Jetour

Pemilik boleh mendapatkan perlindungan tambahan seperti:

  • perlindungan pengecas dinding sehingga RM5,000
  • perlindungan liabiliti peribadi pihak ketiga sehingga RM50,000 bagi kecederaan, kematian atau kerosakan berpunca daripada penggunaan pengecas EV

Jetour Malaysia turut menawarkan Perlindungan Risiko Khas kepada 2,000 pemilik pertama yang berdaftar atau sehingga 28 Februari 2027.

Mitsubishi Malaysia umum pemenang peraduan “Buy 1 Free 1” Xforce

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan Saidahtul Khairunnisa binti Martius, 39 dari Ipoh, Perak sebagai pemenang hadiah utama peraduan “Buy 1 Free 1” Xforce.

Beliau membawa pulang sebuah Mitsubishi Xforce Ultimate baharu.

Nurhidayah binti Mokhtar memenangi hadiah kedua berupa iPhone 17 Pro Max manakala Choong Ye Siew membawa pulang iPad Pro sebagai hadiah tempat ketiga.

Hadiah luar jangkaan

Saidahtul menjelaskan, “Saya terkejut dan teruja bila tiba di bilik pameran kerana langsung tidak tahu apa yang berlaku. Menang sebuah Mitsubishi Xforce baharu memang di luar jangkaan.

“Apa yang menarik perhatian saya pada Xforce ialah rekaannya yang bergaya dan selepas memandunya, saya dapati ia sangat selesa. Pengalaman pemanduan keseluruhan memberi rasa yakin dan selamat di jalan raya.

“Saya amat bersyukur kepada MMM atas pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini, dan tidak sabar untuk mencipta lebih banyak memori indah bersama keluarga dengan Xforce kami.

Xforce sebagai teman setia

Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “Kami mengucapkan tahniah kepada Saidahtul Khairunnisa atas kemenangan Hadiah Utama peraduan ‘Buy 1 Free 1’ Xforce.

“Kami berharap detik baharu ini membawa lebih banyak perjalanan bermakna, pengalaman baharu dan momen yang dinanti-nantikan.

“Kami juga berharap Xforce bukan sekadar sebuah kenderaan, tetapi menjadi teman setia dalam detik-detik penting. Inilah pengalaman yang kami mahu setiap pemilik Xforce rasai sepanjang perjalanan mereka bersama Xforce.”