Ferrari Purosangue sudah pun dikenali sebagai salah satu SUV berprestasi tinggi terbaik di dunia, dengan prestasi cemerlang dalam aspek kuasa.
Kini, bagi menjadikan jentera itu lebih lengkap, Ferrari memperkenalkan satu naik taraf baharu iaitu pakej Handling Speciale yang memberi fokus kepada pengendalian.
Pengendalian tanpa abaikan keselesaan
Melalui pakej ini, Ferrari menambah baik talaan suspensi Purosangue, sekaligus menyerlahkan lagi karakternya sebagai sebuah grand tourer.
Dari sudut teknikal, sistem suspensi aktif telah dikalibrasi semula, sekali gus mengurangkan pergerakan badan sehingga 10%.
Penukaran gear juga menjadi lebih pantas dan agresif, khususnya dalam mod Manettino, Race dan ESC Off, serta ketika menggunakan mod manual penuh dengan kelajuan enjin melebihi 5,500 rpm.
Bukan itu sahaja, bunyi di dalam kabin turut dipertingkatkan bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.
Penampilan lebih eksklusif
Dari segi penampilan, versi Handling Speciale ini diberikan beberapa sentuhan khas yang membezakannya dengan versi standard.
Ini termasuk rekaan rim unik dengan kemasan diamond-cut, pelindung sisi gentian karbon, kemasan hitam matte pada hujung ekzos, serta logo Prancing Horse hitam di bahagian belakang.
Selain itu, terdapat juga tulisan Ferrari dengan kemasan satin dan plak khas di dalam kabin.
Nadi V12 kekal
Tiada perubahan pada bahagian mekanikal utama. Purosangue masih menggunakan enjin 6.5 liter V12 aspirasi semula jadi yang menghasilkan 725 PS dan 716 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac yang kini lebih pantas hasil penambahbaikan tersebut.
Dengan gabungan ini, pecutan 0 hingga 60 bsj (0 hingga 96 km/j) boleh dicapai dalam kira-kira 3.2 saat.
Harga belum diumumkan
Ferrari masih belum mendedahkan harga rasmi bagi pakej Handling Speciale ini, namun, seperti mana-mana produk Ferrari, ia pastinya bukan murah. Di Malaysia, Purosangue tanpa pakej ini dijual pada harga bermula dari RM5 juta.
BMW memperkenalkan siri edisi khas BMW Frozen Edition untuk pasaran Jepun.
Koleksi ini berasaskan model M Performance yang diberikan peningkatan estetik melalui penggunaan warna BMW Individual Frozen yang eksklusif.
Selain warna kusam (matte) yang menonjol, penggunan sejumlah komponen gentian karbon memberikan imej yang lebih sporty.
Jualan telah dibuka di seluruh pengedar sah BMW Jepun dengan penghantaran dijadualkan bermula pada pertengahan April tahun ini.
BMW X1 M35i xDrive Frozen Edition
Model ini mewakili SAV yang memfokuskan kepada kelincahan pemanduan di atas jalan raya.
Ia merupakan satu-satunya SAV premium dalam segmen kompak yang menggabungkan aspek praktikaliti gaya hidup aktif.
Kedudukan kerusi semi-command memberikan pandangan yang lebih luas dan rasa selamat semasa pemanduan.
Sebagai varian paling berkuasa dalam keluarga X1, model ini dibangunkan oleh BMW M GmbH dengan penerapan teknologi litar lumba.
Rangkaian Kuasa BMW X1 M35i xDrive
Enjin: 2.0L 4-silinder sebaris BMW TwinPower Turbo petrol.
Output Maksimum: 317 ps (233 kW)@5,750 rpm.
Tork Maksimum: 400 Nm@2,000 sehingga 4,500 rpm.
Transmisi: 7-kelajuan dua klac dengan fungsi M Sport Boost.
Sistem Pacuan: xDrive pacuan semua roda dengan LSD mekanikal pada gandar hadapan serta adaptive M suspension.
Spesifikasi Frozen Edition (X1)
Warna badan:BMW Individual Frozen Black (metalik) atau BMW Individual Frozen Pure Grey (metalik).
Bahan & warna tempat duduk: Kombinasi M Alcantara/Veganza Black dengan jahitan biru.
Roda: Aloi ringan M 20-inci gaya Y-spoke 872M.
Aksesori luaran: Lencana asal Frozen Edition, penutup cermin sisi karbon BMW M Performance, logo M sisi hitam kilatan tinggi, penutup tangki minyak karbon BMW M Performance.
BMW X3 M50 xDrive Frozen Edition
Model ini menonjolkan keseimbangan agihan berat 50:50 yang ideal dengan sistem pacuan semua roda pintar xDrive.
Ia hadir sebagai jentera M Performance yang dilengkapi dengan pembeza M Sport kawalan elektronik dan stereng variable sport.
Sistem brek M Sport dengan angkup merah kilatan tinggi turut disertakan untuk prestasi hentian mantap.
Penggunaan sistem hibrid ringan 48V membantu memberikan lonjakan prestasi yang lebih responsif untuk pemanduan harian.
Rangkaian Kuasa BMW X3 M50 xDrive
Enjin: 3.0L 6-silinder sebaris BMW TwinPower Turbo petrol.
Output Maksimum Enjin: 381 ps (280 kW)@5,500 rpm.
Tork Maksimum Enjin: 540 Nm@1,900 sehingga 4,800 rpm.
Output Keseluruhan Sistem: 398 ps (293 kW).
Tork Keseluruhan Sistem: 580 Nm.
Transmisi: 8-kelajuan automatik.
Spesifikasi Frozen Edition (X3)
Warna badan:BMW Individual Frozen Black (metalik) atau BMW Individual Frozen Pure Grey (metalik).
Ciri tambahan: Bumbung kaca panoramik (tilt & slide), Comfort Package (ventilasi tempat duduk aktif depan, pemanas tempat duduk depan dan belakang, pemanas stereng).
Aksesori luaran: Kemasan aluminium halus, penutup paip ekzos karbon, dan lencana model hitam.
BMW M340i xDrive Sedan & Touring Frozen Edition
Sebagai penanda aras dalam segmen kompak premium, Siri 3 Frozen Edition menawarkan pilihan badan Sedan dan Touring.
Jentera ini mengekalkan DNA pemanduan lincah dengan agihan berat 50:50 yang seimbang.
Kedua-dua varian ini menggunakan adaptive M suspension dan unit brek M Sport untuk mengimbangi prestasi enjin 6-silinder yang bertenaga.
Ia turut dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemanduan termaju untuk keselamatan penumpang.
Rangkaian Kuasa BMW M340i xDrive
Enjin: 3.0L 6-silinder sebaris BMW TwinPower Turbo petrol.
Output Maksimum: 387 ps (285 kW)@5,800 rpm.
Tork Maksimum: 500 Nm@1,800 sehingga 5,000 rpm.
Transmisi: 8-kelajuan automatik.
Sistem Pacuan: xDrive pacuan semua roda dengan pembeza M Sport.
Spesifikasi Frozen Edition (3 Series)
Bahan & warna tempat duduk: Kulit Vernasca Black dengan jahitan biru.
Roda: Aloi ringan M 19-inci gaya 995M.
Ciri dalaman: Kemasan karbon M, pemanas stereng, tempat duduk M sport (depan), kemasan galvanic.
Aksesori luaran: Lencana asal Frozen Edition, penutup cermin sisi karbon BMW M Performance, penutup tangki minyak karbon BMW M Performance.
Harga Jualan
BMW X1 M35i xDrive Frozen Edition: ¥8,740,000 (RM220,772)
BMW X3 M50 xDrive Frozen Edition: ¥11,480,000 (RM289,985)
BMW M340i xDrive Frozen Edition: ¥11,090,000 (RM280,133)
BMW M340i xDrive Touring Frozen Edition: ¥11,440,000 (RM288,974)
Berada di Jepun, siri edisi khas ini hanya ditawarkan dalam spesifikasi pemanduan sebelah kanan sahaja.
Range Rover SV Ultra 2026 diperkenalkan sebagai kemuncak tertinggi dalam hierarki kemewahan dan eksklusiviti jenama Britain tersebut.
Model ini menggabungkan kemasan paling teliti dengan penggunaan teknologi audio pertama di dunia untuk meningkatkan lagi keselesaan penumpang.
Langkah ini dilihat sebagai usaha Range Rover untuk memperkukuh hubungan antara kesejahteraan dan pengalaman mendengar di dalam kabin.
Dengan pelbagai kemasan eksklusif, ia kini menetapkan tanda aras baharu bagi segmen SUV mewah di peringkat global.
Peminat jenama ini pastinya akan menghargai perincian teliti yang dibawakan.
Sebelum ini, Range Rover SV standard sudah pun menerima pujian tinggi, namun varian Ultra ini membawa segalanya ke tahap yang lebih hebat.
Range Rover SV Ultra Eksklusif dengan Titan Silver
Luaran SV Ultra ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna dengan rona Titan Silver eksklusif untuk varian ini sahaja.
Formulasi cat baharu ini menggunakan kepingan aluminium halus dan teknologi pigmen canggih bagi menghasilkan impak visual yang luar biasa.
Permukaan badan kini kelihatan sangat reflektif yang menyerupai logam cecair dengan kualiti seperti cermin.
Perincian luaran diperkemas lagi dengan riasn Satin Platinum Atlas dan Silver Chrome pada bahagian gril serta grafik sisi.
Bagi melengkapkan penampilan, SUV mewah ini dilengkapi rim aloi 23 inci yang menampilkan riasan Satin Platinum.
Penutup hab Range Rover baharu turut diperkenalkan untuk sentuhan akhir yang lebih segar dan premium.
Ruang Dalaman dan Bahan Bebas Kulit
SV Ultra hadir dengan ruang dalaman bebas kulit iaitu Ultrafabrics™ bersama gabungan warna dua tona iaitu Orchid White dan Cinder Grey.
Kelembutan bahan ini membolehkan corak buatan laser yang halus dan liang rumit dihasilkan pada ruang dalaman.
Buat pertama kali, tempat duduk menampilkan corak mozek buatan laser yang rumit pada bahagian atas.
Corak ini diteruskan sehingga ke bahagian tepi dan penyandar belakang untuk permukaan yang lebih terperinci dan kohesif.
Penggunaan venir palma rotan (rattan palm veneer) baharu pula memberikan tekstur semula jadi melalui struktur liang terbuka yang unik.
Dengan teknik yang dipatenkan, urat pada venir ini ditingkatkan dengan rona Orchid White untuk menyerlahkan bentuk linear dan kedalaman bahan tersebut.
Perincian Mewah dan Keselesaan Penumpang
Bahan daripada palma digunakan di bawah skrin sesentuh tunggal dan merentasi kabin sehingga ke meja boleh gerak secara elektrik di bahagian belakang.
Malah, pintu berkuasa untuk ruang penyejuk bersepadu turut menerima sentuhan bahan yang sama.
Tema cerah ini diteruskan dengan kemasan seramik putih berkilat, pembesar suara Orchid Pearl SV, tali pinggang keledar Orchid White dan plat pemijak berjenama SV Ultra.
Kusyen hiasan baharu turut menggunakan tekstil Kvadrat daripada campuran bulu dan poliester kitar semula.
Setiap elemen reka bentuk ini bertujuan untuk mewujudkan suasana tenang di dalam kabin.
Teknologi SV Electrostatic Sound Pertama di Dunia
Range Rover SV Ultra merupakan kenderaan pertama yang memperkenalkan teknologi bunyi elektrostatik high-fidelity.
Sistem SV Electrostatic Sound ini menggunakan 21 transduser filem nipis yang ringan untuk mencipta auditorium peribadi bagi setiap kerusi penumpang.
Panel elektrostatik ini disepadukan di dalam penyandar kepala, penyandar kerusi dan lokasi pembesar suara sedia ada termasuk di bahagian bumbung.
Membran ultra ringan setebal 1 mm di dalamnya bertindak balas sehingga 1,000 kali lebih pantas daripada pembesar suara tradisional.
Selain bunyi yang lebih jelas, sistem ini 90 peratus lebih ringan dan menjimatkan tenaga berbanding pembesar suara biasa.
Ia juga diperbuat daripada 100 peratus bahan kitar semula tanpa menggunakan elemen nadir bumi.
Pengalaman Audio Satu Kereta
Sistem audio ini berfungsi secara harmoni dengan teknologi Body and Soul Seat (BASS) dan Sensory Floor.
Teknologi BASS menggunakan perisian beroptimumkan AI untuk menganalisis media secara masa nyata dan menjana denyutan fizikal pada kerusi.
Sensory Floor pula menambah maklum balas haptik melalui empat transduser di bawah alas kaki di setiap ruang kaki penumpang.
Ini membolehkan penumpang merasai setiap persembahan muzik dengan lebih mendalam seolah-olah berada di dalam sebuah dewan konsert.
Terdapat enam program BASS yang boleh dipilih, antaranya mod Calm dan Invigorating.
Mod ini menawarkan manfaat yang boleh diukur pada variabiliti kadar denyutan jantung (HRV) penumpang bagi mengurangkan kebimbangan atau meningkatkan tindak balas kognitif.
Pilihan Rangkaian Kuasa Range Rover SV Ultra
Range Rover SV Ultra 2026 menawarkan pilihan rangkaian kuasa untuk prestasi dan kecekapan tinggi:
P550e Plug-in Electric Hybrid: Enjin petrol 2,996 cc 6 silinder, kuasa 550 ps@5,500 hingga 6,500 rpm, tork 800Nm@2,000 hingga 5,000 rpm. Motor elektrik 160 kW (218 ps).
P615 V8 Petrol Mild Hybrid: Enjin 4,395 cc V8 turbo berkembar, kuasa 615 ps@ 5,855 hingga 7,000 rpm, tork 750Nm@1,800 hingga 5,400 rpm.
Versi Elektrik: Menyusul pada akhir tahun ini.
Spesifikasi Teknikal Range Rover SV Ultra
Range Rover SV Ultra PHEV (P550e)
Kuasa maksimum: 550 ps
Tork maksimum: 800Nm
Laju maksimum: 241 km/j
Pecutan 0-100 km/j: 5.0 saat (0-96 km/j dalam 4.8 saat)
Jarak pemanduan elektrik (WLTP EAER): 119 km
Kapasiti tangki bahan api: 71.5 liter
Pengecasan awam: Kurang daripada 60 minit (80 peratus) menggunakan pengecas pantas DC 50 kW
Pengecasan rumah: Bermula daripada 5 jam (0-100 peratus) menggunakan pengecas AC 7 kW
Range Rover SV Ultra Petrol V8 MHEV (P615)
Kapasiti enjin: 4,395 cc
Kuasa maksimum: 615 ps
Tork maksimum: 750Nm
Laju maksimum: 261 km/j
Pecutan 0-100 km/j: 4.5 saat (0-96 km/j dalam 4.3 saat)
Bersempena dengan acara Beijing Auto Show 2026, iCaur memperlihatkan model SUV V27 versi pemanduan sebelah kanan (RHD).
Dalam masa yang sama, pihak iCaur Malaysia turut mengesahkan model ini bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi.
iCaur V27 debut buat kali pertama di Dubai pada Ogos 2025, dan berikut merupakan perincian tentang SUV off-road ini berdasarkan model pasaran tersebut.
Dimensi
V27 merupakan sebuah SUV saiz pertengahan, dengan ukuran dimensi yang jauh lebih besar berbanding 03 dan V23.
Ia berukuran sepanjang 5,045 mm, lebar 1,976 mm, tinggi 1,894 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm, hampir menyamai saiz Land Rover Defender.
Jarak kelegaan tanah setinggi 224 mm, selain menawarkan sudut pendekatan 24 darjah dan sudut pelepasan 23 darjah.
Ruang kargo adalah sebesar 715 liter dan boleh mencapai sehingga 1,818 liter.
Casis
Nampak gagah, tapi sebenarnya V27 menggunakan binaan casis unibodi dan senibina papan selaju.
Suspensi pula terdiri daripada tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang.
Prestasi
iCaur V27 merupakan sebuah SUV REEV (Range Extender) yang digerakkan oleh motor elektrik 248 hp/300 Nm yang memacu roda, atau tetapan dua motor elektrik yang memacu semua roda berkuasa 449 hp/505 Nm.
Enjin 1.5 liter turbo berkuasa 154 hp/220 Nm itu hanyalah bertindak sebagai unit pengecas bateri semata-mata.
Bateri dan jarak pandu
Terdapat dua pilihan pek bateri Lithium Iron Phosphate, iaitu 20.47 kWh atau 34.31 kWh.
Jarak pandu sifar emisi boleh mencecah sejauh 200 km (data CLTC).
Dengan bantuan tangki minyak penuh 60 liter, jarak pemanduan keseluruhan boleh mencapai sehingga 1,230 km.
V27 turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW atau pengecasan pantas DC 60 kW di mana bateri boleh dicas sepantas 30 minit dari 20-80 peratus.
Terdapat juga fungsi V2L (vehicle-to-load) sehingga 6 kW.
Ciri luaran dan dalaman
V27 membawakan reka bentuk kotak dengan rujukan elemen rekaan daripada SUV popular, seperti Toyota Land Cruiser 70 Series dan Land Rover Defender.
Antara ciri luaran V27 termasuklah:
lampu utama LED serta lampu DRL bulat
rekaan bampar agresif
lampu membelok asing
gerbang roda lebar
lampu belakang LED
tayar simpanan pada pintu tailgate
tiang D yang agak tebal
Ruang kabin pula menempatkan kelengkapan seperti:
skrin kluster digital 8.88 inci
skrin tengah 15.4 inci
sistem audio (8/15 pembesar suara)
slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
kawalan iklim dua zon automatik
corong udara baris kedua
penapis udara PM2.5
sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
Lebih banyak info bakal kita ketahui menjelang pengenalan rasmi iCaur V27 di tanah air dalam masa terdekat.
Lepas, jenama premium baharu di bawah Chery Group membuat kemunculan rasmi dan mengumumkan strategi NEV di acara Beijing Auto Show 2026.
Berbekalkan sistem R&D global Chery Group dan platform pintar LEX, Lepas menyasarkan pelbagai segmen daripada kompak hingga saiz pertengahan-besar.
Setiap kenderaan Lepas akan dibangun berdasarkan tiga tonggak utama:
Leopard Aesthetics
Elegant Technology
Exquisite Space
Dalam usaha menawarkan pemanduan yang premium, Lepas mahu mencipta kelebihan tersendiri menerusi aspek berikut:
bahasa reka bentuk
sistem bateri-motor-elektronik
kokpit pintar
ciri ADAS
Lepas L6 EV
Ia merupakan SUV elektrik berteknologi tinggi yang direka untuk kegunaan keluarga dan profesional urban.
Ia memfokuskan kepada tiga tiang utama, iaitu reka bentuk berkarisma, pengalaman pintar serta ruang dalaman serba guna.
Lepas L6 EV menampilkan rekaan badan jenis low-slung dan lebar serta unit lampu “Hunting Eye” yang menyumbang kepada visual graviti rendah dan penampilan lebih gagah di dalam kelasnya.
Ciri pintar seperti VPD, H-NOA, Bosch IPB 2.0 dan Super AI Agent sangat membantu dalam pelbagai senario pemanduan, parkir dan pengalaman dalam kabin.
Lepas L4 EV
SUV elektrik ini pula direka untuk mobiliti urban ringan.
Ia membawakan penggayaan dinamik “Hunting Motion” yang membawakan warna badan kontras dan roda Leopard Shadow yang menjadikannya lebih menonjol.
Lepas L4 EV dipacu oleh motor elektrik 218 hp, dan turut menampilkan suspensi bebas multi-link di belakang, casis talaan khusus, serta 21 fungsi ADAS.
Dengan sokongan pengecasan pantas dan jarak pandu sejauh 500 km, Lepas L4 EV sememangnya direka untuk memenuhi keperluan pergerakan harian dan perjalanan hujung minggu.
Chery sekali lagi mengambil langkah berani dengan mempamerkan demonstrasi ujian keselamatan dunia sebenar bersempena Beijing Auto Show 2026.
Bertempat di Longshan Test Centre, Chery Group mensimulasikan situasi pelanggaran trafik berisiko tinggi melibatkan tiga kenderaan termasuklah SUV Tiggo 7 dan Tiggo 9.
Ujian ini dibuat bagi menilai keupayaan sebenar keselamatan SUV Tiggo, dan membuktikan komitmen Chery untuk menjadi jenama paling selamat untuk seisi keluarga.
Ujian berdasarkan situasi sebenar
Tidak seperti ujian pelanggaran standard, demonstrasi awam ini memberi tumpuan kepada senario kemalangan yang berlaku dalam dunia sebenar melibatkan pelbagai kenderaan seperti:
kemalangan berantai di lebuh raya
rempuhan dua arah di persimpangan jalan
Dalam ujian di Wuhu, Tiggo 9 menerima hentaman hadapan 50 km/j daripada Tiggo 7, dan dalam masa yang sama dirempuh dari belakang pada kelajuan 40 km/j oleh sebuah lagi kenderaan.
Di sini, aspek seperti struktur badan, koordinasi sistem penahan dan keupayaan tindak balas kecemasan pasca-pelanggaran diuji pada tahap jauh melebihi piawaian ujian biasa.
Tiggo 9 kekal utuh
Hasil ujian menunjukkan:
ruang penumpang kekal utuh tanpa sebarang perubahan (deformasi) ketara pada tiang A, B, C atau D
sistem penahan utama seperti beg udara dan tali pinggang berfungsi dengan tepat seperti yang direka
keempat-empat pintu yang dikunci terbuka secara automatik untuk memastikan penumpang mudah diselamatkan selepas pelanggaran
tiada kebocoran bahan api dikesan, dan lampu amaran kecemasan diaktifkan
Struktur badan Tiggo 9 menggunakan 85 peratus keluli kekuatan tinggi, termasuklah 21 peratus keluli hot-stamp untuk mengukuhkan kawasan kritikal kabin.
Seni bina pemindahan beban dioptimumkan supaya dapat membantu menyerap tenaga hentaman dengan lebi berkesan.
Kesemua sistem keselamatan yang dibekalkan membentuk perlindungan berperingkat sebelum, semasa dan selepas impak.
Prestasi konsisten merentasi barisan Tiggo
Dalam masa yang sama, struktur casis Tiggo 7 terbukti berkesan dalam ujian komposit ini.
Ia membuktikan keupayaan Chery menawarkan tahap keselamatan tinggi secara konsisten bukan sekadar untuk model flagship semata-mata, tapi untuk semua keluarga Tiggo.
Di peringkat global, pelbagai model Tiggo menerima penarafan 5 bintang daripada Euro NCAP, ANCAP dan ASEAN NCAP.
Inisiatif pengesahan keselamatan global
Ujian pelanggaran komposit ini merupakan sebahagian daripada inisiatif siri pengesahan keselamatan berprofil tinggi yang dijalankan di seluruh dunia.
Honda Motor Co., Ltd.mengumumkan keputusan untuk menghentikan operasi jualan kereta di bawah anak syarikatnya, Honda Korea Co., Ltd. menjelang penghujung tahun 2026,
Keputusan ini diambil setelah mengambil kira perubahan persekitaran pasaran automotif global dan domestik Korea Selatan.
Honda menyatakan langkah ini sebahagian daripada strategi dalam menumpukan sumber korporat bagi memperkukuh daya saing syarikat untuk jangka masa sederhana dan panjang.
Perniagaan Motosikal Honda Kekal Sebagai Teras Utama
Berbeza dengan kereta, perniagaan motosikal akan terus dikekalkan malah bakal dijadikan teras utama operasi Honda Korea.
Syarikat berhasrat untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen dua roda dengan menawarkan lebih banyak produk menarik serta meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.
Komitmen Perkhidmatan Lepas Jualan dan Waranti
Walaupun jualan kereta baharu akan dihentikan, Honda memberi jaminan kepada pemilik sedia ada di Korea Selatan bahawa perkhidmatan lepas jualan akan diteruskan seperti biasa.
Ini merangkumi penyelenggaraan berkala, servis kenderaan, bekalan alat ganti tulen serta sokongan waranti bagi memastikan kebajikan pelanggan tidak terjejas walaupun selepas operasi jualan ditamatkan.
Faktor Ekonomi dan Tekanan Pasaran Global
Menurut laporan AutoBlog, Ketua Pegawai Eksekutif Honda Korea, Lee Ji-hong menyatakan perubahan keadaan pasaran global dan tekanan kadar pertukaran mata wang menyebabkan perniagaan terjejas.
Hal ini disebabkan oleh model perniagaan Honda Korea yang mengimport kenderaan mereka secara terus dari kilang pembuatan di Ohio, Amerika Syarikat.
AutoBlog melaporkan bahawa nilai mata wang US Dollar yang kekal kukuh secara dasarnya telah menghapuskan margin keuntungan syarikat.
Dari segi prestasi jualan, Honda hanya mencatatkan angka sebanyak 1,951 unit kereta sahaja di Korea Selatan pada tahun lalu.
Jumlah tersebut menunjukkan kejatuhan ketara sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Barisan Produk yang Kian Hilang Daya Saing
Selain faktor ekonomi, AutoBlog turut menyebut bahawa barisan model Honda di Korea Selatan kini dianggap tidak lagi kompetitif dan mendatar.
Syarikat dilihat hanya bergantung sepenuhnya kepada model lama seperti Accord, CR-V, Odyssey dan Pilot.
Situasi ini sebenarnya telah dijangka memandangkan pesaing senegara iaitu Nissan telah lebih awal mengundur diri dari Korea Selatan pada tahun 2020.
Pengunduran Honda ini menjadikan Toyota sebagai satu-satunya jenama legasi Jepun yang masih bertahan dalam persaingan jualan kereta penumpang di semenanjung tersebut.
Profil dan Data Operasi Honda Korea Co., Ltd.
Honda Korea ditubuhkan pada Oktober 2001 yang pada awalnya dikenali sebagai Honda Motorcycle Korea Co., Ltd.
Jualan motosikal bermula pada Mei 2002 diikuti oleh jualan kereta pada Mei 2004.
Syarikat ini merupakan pelaburan modal 100 peratus daripada Honda Motor Co., Ltd. dengan modal sebanyak 12 bilion won.
Sehingga April 2026, syarikat diketuai oleh Presiden Jihong Lee dan menggaji seramai 84 kakitangan.
Ringkasan Maklumat Honda Korea Co., Ltd.
Penubuhan: Oktober 2001 (Honda Motorcycle Korea Co., Ltd.)
Mula Jualan Motosikal: Mei 2002
Mula Jualan Kereta: Mei 2004
Ibu Pejabat: Seoul
Modal: 12 bilion won
Pemilikan: 100 peratus Honda Motor Co., Ltd.
Produk Motosikal Utama: PCX125, Super Cub, FORZA350, ADV350, FORZA750, CBR600RR
Bersempena dengan acara pameran Beijing Auto Show 2026, jenama Omoda | Jaecoo (OJ) meraikan dua pencapaian penting, iaitu:
sambutan ulang tahun ketiga
jualan global melebihi satu juta unit
Dalam tempoh masa tiga tahun selepas debut global, Omoda | Jaecoo telah bertapak di lebih 64 pasaran antarabangsa.
Pencapaian ini menjadikannya antara pemain global yang paling pesat berkembang.
SHS sebagai teras utama
Di sebalik kebangkitan global jenama OJ ini ialah Super Hybrid System (SHS) yang dibangunkan oleh Chery Group.
Lebih daripada sekadar unit rangkaian kuasa, SHS menawarkan manfaat seperti:
prestasi tinggi
kecekapan luar biasa
jarak pemanduan lebih jauh
boleh disesuaikan dengan pelbagai pasaran dunia dari Amerika Latin, Eropah hingga Asia Tenggara
Kini digunakan pada model produksi utama, SHS menegaskan komitmen OJ untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih praktikal dan relevan dengan kehidupan harian.
Super Hybrid Marathon
Menjelang Beijing Auto Show 2026, OJ turut menganjurkan pemanduan jarak jauh Super Hybrid Marathon pada 25-26 April 2026.
Konvoi ini melibatkan wakil media daripada sembilan pasaran utama merentasi laluan sepanjang 625 km, terdiri daripada J5 HEV, Omoda 5 HEV dan Jaecoo J7 HEV.
Perjalanan bermula dari Wuhu melalui Tasik Chaohu dan Huoshan, sebelum bermalam di Doushahe Hot Spring Town dan kembali melalui lebuh raya sejauh 309 km.
Pencapaian di Malaysia & peringkat global
Di Malaysia, OJ telah menjual lebih 17,800 unit kenderaan untuk tahun 2025, dengan pertumbuhan sebanyak 153 peratus tahun ke tahun dan dijangka melepasi 25,000 unit kumulatif sejak debut pada 2024.
Di peringkat global:
OJ berkembang pesat di 16 pasaran Eropah dan jualan melebihi 220,000 unit dalam tempoh dua tahun
raih lebih 2 peratus pegangan pasaran dalam tempoh 9 bulan di UK, dan masuk kelompok 10 teratas dalam 17 bulan
muncul sebagai jenama paling dikenali pengedar di Sepanyol dengan skor kepuasan 9.9/10 (kajian VCON 2025)
Lebih daripada sekadar jenama automotif
OJ kini bukan sekadar sebuah pengeluar automotif.
Bertempat di Beijing Auto Show 2026, jenama itu turut mempamerkan teknologi baharu seperti:
robot humanoid Mornine yang dibangunkan bersama pasukan AiMOGA
Valet Parking Driver (VPD) membolehkan kereta mencari petak parkir sendiri
BYD Yuan Plus yang juga dikenali sebagai Atto 3 merupakan salah satu model global BYD yang paling popular dengan rekod jualan melebihi 1.1 juta unit di 116 pasaran seluruh dunia.
Pameran Auto Beijing menyaksikan kemunculan sulung bagi generasi ketiga Yuan Plus yang membawakan reka bentuk tajam serta teknologi pengecasan FLash.
Model ini turut dilengkapi dengan sistem pemanduan automatik bantuan LiDAR dan God’s Eye serta kabin pintar.
Reka Bentuk Luaran dan Estetika Yuan Plus
Reka bentuk Yuan Plus baharu menggunakan jarak roda yang lebih panjang berbanding model generasi kedua dengan aplikasi golden ratio antara struktur badan dan kawasan kaca.
Garisan karakter yang diinspirasikan landskap bandar menghiasi bahagian sisi manakala tiang-D mencipta kesan bumbung terapung.
Luaran model ini turut dilengkapi pemegang pintu separa tersembunyi dan lampu belakang LED reka bentuk baharu yang memberikan kesan tiga dimensi.
Logo bahagian belakang juga bercahaya bagi menyerupai lambang tenaga yang terbentuk daripada gugusan bintang yang bertumpu.
Ruang Kabin dan Kemudahan Dalaman
Bahagian dalaman membawakan gabungan elemen barangan sukan yang kuat dan perabot rumah yang lebih lembut.
Stereng dua jejari baharu menggunakan butang dengan profil cekung bagi meningkatkan mutu sentuhan serta kebolehgunaan.
Sistem ini membolehkan penukaran gear dilakukan tanpa perlu melepaskan tangan daripada stereng.
Kabin dilimpahi cahaya semula jadi melalui bumbung kaca panoramik yang luas dan terdapat 39 ruang penyimpanan di seluruh kereta termasuk but belakang berkapasiti 750 liter.
Selain itu but hadapan berkuasa elektrik berkapasiti 180 liter boleh dibuka dengan satu sentuhan mudah bagi memudahkan pengguna apabila tangan penuh dengan barang belian.
Ciri Premium dan Teknologi
Yuan Plus dilengkapi sistem audio 16 pembesar suara dan tempat duduk penumpang hadapan khas dengan fungsi baring tambahan untuk berehat semasa perjalanan jauh.
Model ini turut dilengkapi peti sejuk berkuasa penyaman udara yang boleh memanaskan dan mendinginkan barangan.
Pengecasan telefon tanpa wayar pula adalah sebesar 50W. Kemudahan lain termasuk pengecasan USB Type-C 60W dan pencahayaan ambien 256 warna.
Rangkaian Kuasa Yuan Plus
Yuan Plus dibekalkan Bateri Blade Genersi Ke-2 dengan kapasiti 57.545 kWj dan 68.547 kW dan menggunakan sistem pacuan roda belakang.
Output kuasa maksimum yang dihasilkan adalah 200 kW (272 ps) atau 240 kW (327 ps). Model ini juga boleh menggunakan teknologi baharu Pengecas Flash BYD.
Jarak gerak gabungan CLTC pula adalah sejauh 540 km atau 630 km.
Spesifikasi BYD Yuan Plus (Atto 3) Generasi Ke-3
Dimensi: Panjang 4,665 mm Lebar 1,895 mm Tinggi 1,675 mm
Jarak roda: 2,770 mm
Saiz roda: 18 atau 19 inci
Jenis pacuan: Pacuan roda belakang
Rangkaian kuasa: EV
Kuasa maksimum: 200 kW (272 ps) atau 240 kW (327 ps)
Jenis bateri: Bateri Blade Genersi Ke-2
Kapasiti bateri: 57.545 kWj atau 68.547 kWj
Jarak gerak gabungan CLTC: 540 km atau 630 km
Suspensi: MacPherson strut (depan) dan five-link (belakang) dengan DiSus-C Intelligent Damping
Dengan jarak roda sepanjang 2,800 mm, Tiggo V menawarkan ruang kabin luas dengan konfigurasi tiga baris dan tujuh tempat duduk.
Selain boleh dilaras kedudukannya, tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat untuk pelbagai konfigurasi, termasuklah mod katil.
Ruang kabin pula menempatkan sehingga 42 ruang storan, corong pendingin hawa untuk ketiga-tiga baris, kawalan iklim dua-zon automatik, serta sistem penapisan udara kabin N95 PM0.3.
Ubah jadi trak pikap
Tidak cukup dengan itu, Tiggo V boleh diubah menjadi sebuah trak pikap!
Dengan struktur belakang boleh ditanggalkan dengan mudah, Tiggo V boleh menyediakan ruang kargo yang lebih besar, ditambah pula dengan bukaan pintu yang lebar.
Terdapat juga sokongan untuk aksesori seperti khemah bumbung serta ruang storan tambahan untuk disesuaikan dengan pelbagai aktiviti luar.
Sistem Chery Super Hybrid
Tiggo V dipacu dengan unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) generasi ke-6 yang menawarkan pemanduan yang lancar dan prestasi responsif.
Versi plug-in hybrid (PHEV) menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 6 liter/100 km.
Versi enjin pembakaran dalaman tulen (ICE) pula menawarkan 7.84 liter/100 km.
Keselamatan
Chery Tiggo V menampilkan struktur binaan badan yang diperbuat daripada 76 peratus aluminium dan keluli berkekuatan tinggi.
Aspek keselamatan dibantu dengan sistem ADAS merangkumi:
Sekilas pandang, kereta roadster ini nampak seperti ia keluar daripada kilang pengeluaran Aston Martin di Gaydon, United Kingdom. Walau bagaimanapun, tersembunyi di sebalik rekaan bergaya ini adalah sebuah Mazda MX-5/Miata Sport generasi ketiga (NC) keluaran tahun 2007.
Inspirasi daripada DB5
Seperti yang boleh dilihat, MX-5 ini direka semula sepenuhnya, dengan pengaruh yang kuat daripada Aston Martin DB5. Bahagian hadapannya menampilkan sepasang lampu bulat, skup pada bahagian bonet, serta gril signatur jenama British itu.
Di belakang pula, terdapat empat lampu berbentuk bulat serta sepasang muncung ekzos yang keluar daripada bahagian tengah bampar. Penampilan klasik MX-5 ini dilengkapkan dengan rim 16 inci dengan kemasan krom yang kelihatan tidak ubah seperti rim Borrani yang digunakan pada DB5.
Tidak cukup dengan itu, logo Mazda digantikan dengan logo Aston Martin, manakala nombor plat pula tertera ‘DB 007’, satu penghormatan kepada James Bond yang menggunakan DB5 dalam filem Goldfinger.
Ruang dalaman juga klasik
Ruang dalaman turut diberi wajah baharu, dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah, serta stereng kayu klasik Nardi, lengkap dengan logo Aston Martin.
Namun begitu, di bawah bonet, enjin asal 2.0-liter empat silinder dikekalkan. Enjin tersebut menghasilkan 166 hp dan 190 Nm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Setakat ini, odometer menunjukkan bacaan sekitar 26,000 batu (kira-kira 41,842 km).
Sambutan agak popular
Direka oleh Simpson Design dari Washington, MX-5 unik ini boleh menjadi milik anda memandangkan ia kini dibuka untuk bidaan menerusi laman web Bring a Trailer.
Semakan pada laman web berkenaan menunjukkan kereta ini mendapat sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat, dengan bidaan terkini USD20,500 (RM81,270).
Situasi geopolitik global dan peperangan yang berlarutan telah menyebabkan harga diesel melonjak tinggi sekali gus membuktikan betapa rapuhnya ekosistem bahan api fosil ketika ini.
Kesan rantaian ini mengakibatkan kos logistik barangan keperluan menjadi semakin mahal bagi pemain industri.
Sebagai jalan keluar, beralih kepada kenderaan elektrik (EV) dilihat sebagai langkah paling ampuh.
Di Eropah, trend ini menjadi lebih menarik apabila kereta kompak boleh diubah suai menjadi kenderaan komersial untuk kegunaan profesional.
Leapmotor T03 LCV
Leapmotor memperluaskan portfolio EV mereka melalui pelancaran Leapmotor T03 LCV.
Berbanding dengan pasaran tempatan yang diisi dengan SUV elektrik B10 dan C10, Leapmotor di Eropah mempunyai kereta kompak T03.
Menggunakan nama LCV bermakna model ini diubah suai kepada kenderaan komersial ringan elektrik yang dibangunkan khusus untuk keperluan logistik.
Keperluan Logistik Last-Mile
Dengan peraturan emisi yang semakin ketat dan peluasan zon rendah emisi, Leapmotor melihat peluang pasaran yang jelas untuk kenderaan komersial kompak yang praktikal.
Dibangunkan daripada model penumpang T03, varian LCV ini telah diubah suai sepenuhnya untuk kegunaan profesional.
Model ini mengekalkan dimensi luaran yang kecil namun memiliki ruang kargo dengan isipadu 657 liter.
Pelanggan ditawarkan dengan satu konfigurasi badan tertutup dalam tiga pilihan warna iaitu Caribbean Blue, Light White dan Canopy Grey.
Rangkaian Kuasa Leapmotor T03 LCV
Motor elektrik: 70 kW (95 ps)
Tork maksimum: 158Nm
Kapasiti bateri: 37.3 kWj
Jarak gerak WLTP: Sehingga 256 km
Pengecasan AC: Sehingga 6.6 kW
Pengecasan pantas DC: Sehingga 45 kW
Masa cas DC (30–80%): Kira-kira 36 minit
Ruang Kargo dan Dimensi
Rekaan T03 LCV mengimbangi saiz kompak untuk pemanduan di lorong sempit dengan kapasiti muatan yang munasabah untuk operasi harian:
Panjang: 3,620 mm
Lebar: 1,652 mm
Tinggi: 1,577 mm
Isipadu kargo: 657 liter
Beban maksimum: Sehingga 220 kg
Sebagai perbandingan, bayangkan Perodua Axia dijadikan kenderaan komersial begini malah T03 sebenarnya lebih pendek dan langsing berbanding model kompak tersebut.
Teknologi dan Ciri Keselamatan
Walaupun berorientasikan komersial, aspek keselesaan dan teknologi tetap diutamakan.
Kabin dilengkapi kluster instrumen digital 8 inci dan skrin sentuh pusat 10.1 inci.
Perkhidmatan digital merangkumi navigasi dalam talian, ketersambungan 4G, kawalan suara serta kemas kini over-the-air.
Pemilik juga boleh menggunakan Leapmotor App untuk pengurusan jarak jauh bagi pengecasan, kawalan suhu dan status kenderaan.
Dari segi keselamatan, T03 LCV dilengkapi beg udara hadapan, sisi dan tirai serta sensor parkir belakang dengan kamera undur.
Ia turut hadir dengan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang lengkap.
Ini termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, Intelligent Speed Assist, Driver Drowsiness Detection dan Advanced Driver Distraction Warning.
Harga dan Ketersediaan
Proses akhir pengeluaran T03 akan dijalankan di Kilang Mirafiori yang terletak di Turin, Itali.
Pesanan akan mula dibuka pada April 2026 untuk negara-negara Eropah yang terlibat dalam pelancaran awal.
Harga Leapmotor T03 LCV bermula daripada 14,590 euro atau kira-kira RM67,887 tidak termasuk cukai VAT.
Spesifikasi Leapmotor T03 LCV
Motor elektrik: 70 kW (95 ps)
Tork: 158Nm
Bateri: 37.3 kWj
Jarak gerak: 256 km
Masa pengecasan DC: 36 minit (30–80%)
Dimensi: Panjang 3,620 mm, lebar 1,652 mm dan tinggi 1,577 mm.
Isipadu kargo: 657 liter
Beban maksimum: 220 kg
Ciri keselamatan: Beg udara hadapan, sisi dan tirai, kamera undur, sensor parkir, ADAS
Teknologi kabin: Skrin sentuh 10.1 inci, instrumen digital 8 inci, ketersambungan 4G, kemas kini OTA
Zeekr baru-baru ini melancarkan model baharu 8X untuk pasaran China, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) saiz penuh.
Diposisikan di bawah model 9X, Zeekr 8X dijual pada harga bermula dari 329,800 yuan (RM191 ribu) sementara model paling premium pula berharga 473,800 yuan (RM275 ribu).
Spesifikasi & Teknologi
Zeekr 8X dibina berdasarkan platform super hibrid Haohan-S 900V yang turut dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo dan konfigurasi dua atau tiga motor elektrik.
Versi dwi-motor mampu menghasilkan kuasa 885 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat.
Varian tiga motor elektrik pula berupaya menghamburkan kuasa setinggi 1,381 hp, membolehkannya memecut sepantas 2.96 saat dari 0-100 km/j.
Bateri 70 kWh pula membenarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 410 km, dengan jarak keseluruhan mampu mencecah 1,416 km.
Teknologi pengecasan pantas 6C pula membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa hanya 9 minit.
Pemanduan
Zeekr 8X menggunakan sistem casis digital terkini yang dipadankan dengan suspensi udara adaptif dan kawalan redaman aktif.
Sistem ini turut menyokong agihan daya kilas pantas dan larasan ketinggian boleh ubah.
Tidak ketinggalan, bantuan pemandu termaju yang disokong oleh unit LiDAR dan cip pemprosesan berkembar Nvidia Drive Thor-U dengan kemampuan memproses sehingga 1,400 TOPS.
Sistem ini menyokong bantuan navigasi lebuh raya dan fungsi parkir automatik.
Dimensi
Zeekr 8X membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,780 mm dengan jarak antara roda 3,069 mm.
Biarpun lebih kecil berbanding model 9X, Zeekr 8X masih lagi dikategorikan sebagai SUV saiz penuh.
SUV ini turut mengekalkan bahasa rekaan terkini Zeekr, dengan ciri seperti jeriji depan besar menegak, lampu hadapan berasingan dan juga unit LiDAR pada bumbung.
Kabin
Ruang kabin Zeekr 8X didatangkan dengan ciri seperti berikut (bergantung kepada varian):
skrin kluster digital 13.02 inci untuk pemandu
skrin paparan head-up 44 inci
skrin infohibur 16 inci dengan resolusi 3.5K
skrin penumpang sebagai opsyen
skrin bumbung 17 inci 3K OLED
sistem audio Naim dengan 29 pembesar suara dan ciri Dolby Atmos
tempat duduk gaya aviasi
Kapasiti kargo pula mampu mencapai sehingga 2,200 liter.
Ucapkan selamat datang kepada Mercedes-Benz C-Class Electric, jawapan dan pesaing terus kepada sedan elektrik BMW i3.
Nama EQ tidak lagi digunakan untuk merujuk kepada penawaran model EV, malah imej ‘telur’ yang wujud pada sedan EQS dan EQE juga lesap habis.
Luaran
Sekali imbas, anda boleh bayangkan sebuah GLC Electric yang tampil dalam bentuk badan sedan.
C-Class EV ini membawakan rekaan jeriji retro moden yang diinspirasikan daripada model klasik (W111 & W108) serta konsep Vision Iconic.
Untuk lebih menonjol, Mercedes memadankan 1,050 lampu piksel pada struktur tersebut.
Motif bintang juga turut dikekalkan pada bahagian depan dan belakang, diikuti 162 bintang bercahaya pada bumbung kaca panoramik.
Secara keseluruhan, C-Class EV mempunyai angka pekali seretan 0.22 Cd.
Ruang kabin
Untuk sedan elektrik ini disediakan dengan dua pilihan skrin lebar:
Hyperscreen bersaiz 39.1 inci
Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster 10.3 inci dan dua skrin 14 inci
Varian asas pula hadir dengan skrin kluster digital pemandu dan skrin infohibur tengah, manakala skrin penumpang digantikan dengan panel animasi digital (atau rangka gambar digital).
Antara ciri lain termasuklah kaca tingkap berlamina, sistem pendingin hawa yang lebih senyap dan penebat tambahan untuk ruang kabin yang lebih selesa.
Dengan platform EV baharu, C-Class EV mampu menawarkan jarak roda 97 mm lebih panjang, menjadikannya C-Class yang paling luas.
Ruang kargo belakang adalah sebesar 470 liter, diikuti dengan ruang frunk sebesar 101 liter.
Jarak pandu cecah 762 km
Untuk permulaan, C-Class EV ditawarkan dalam varian C400 4Matic yang dipacu motor elektrik berkembar 482 hp/800 Nm.
Ia dipadankan dengan pek bateri 94.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 762 km (data WLTP).
Sedan elektrik ini turut menyokong pengecasan pantas DC 330 kW, membolehkan jarak 325 km dicapai dalam tempoh 10 minit sahaja.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 209 km/j.
Terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan varian RWD dengan jarak pandu sekitar 800 km.
Aspek pemanduan
C-Class Electric ini dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang (sehingga 4.5 darjah) bertujuan untuk mengurangkan radius putaran kepada 11.2 meter.
Ia juga turut berguna untuk kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan berkelajuan tinggi.
Selain itu, Mercedes bakal menawarkan opsyen suspensi udara adaptif dengan ramalan redaman menggunakan data Google Maps dan maklumat masa nyata untuk mengesan permukaan jalan.
Hyundai Motor America mengumumkan harga sedan berprestasi Hyundai Elantra N TCR Edition 2026.
Model terhad ini penghormatan kepada kejayaan Hyundai memenangi enam kejuaraan berturut-turut kategori Pengeluar TCR siri IMSA Michelin® Pilot Challenge.
Elantra N TCR Edition ditawarkan secara eksklusif dengan warna Performance Blue sebagai simbolik kepada warisan jenama Hyundai N.
Untuk rekod, generasi Elantra ini pernah memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2021 melalui Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).
Ketika itu, ia ditawarkan dalam varian 1.6 Premium sebelum varian 1.6 Executive diperkenalkan pada harga RM139,888.
Sedan dari Korea Selatan ini digerakkan enjin 1.6 liter Smartstream yang menghasilkan 123 ps dan 154 Nm.
Ciri Eksklusif Elantra N TCR Edition
Sayap belakang gentian karbon swan neck rekaan TCR yang boleh dilaras
Rim aloi tempa 19 inci rekaan TCR warna hitam kilat
Angkup brek hadapan monoblok empat omboh
Lencana khas TCR Edition pada but belakang
Stereng balutan Alcantara dengan tanda tengah atas berwarna Performance Blue
Tombol gear, sarung gear, tuas brek tangan dan penyandar lengan konsol tengah daripada Alcantara
Tali pinggang keledar pemandu dan penumpang hadapan berwarna Performance Blue
Plat ambang pintu aluminium N Performance
Lampu permukan jalan khusus TCR
Perincian Harga dan Varian Elantra N TCR Edition
Hyundai Elantra N TCR Edition 2026 ditawarkan pada harga bermula USD39,250 (RM155,233) bagi model kotak gear manual.
Varian yang dilengkapi dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan bermula dari USD40,750 (RM161,166).
Komponen N Performance (IONIQ 5 N dan Elantra N)
Hyundai turut melancarkan barisan komponen N Performance baharu untuk IONIQ 5 N dan Elantra N di pasaran Amerika Syarikat.
Antara komponen yang ditawarkan termasuk:
Nat roda hitam N Performance
Alas kaki N
Plat ambang pintu besi
Penutup hab roda
Stereng Alcantara
Pelekat N Performance
Sayap belakang gentian karbon (khusus Elantra N)
Cermin sisi gentian karbon tanpa kamera (khusus Elantra N)
Tombol gear dan sarung gear Alcantara untuk transmisi manual atau automatik (khusus Elantra N)
Tuas parkir Alcantara (khusus Elantra N)
Penyandar lengan konsol tengah Alcantara (khusus Elantra N)
Rim aloi tempa 19 inci berwarna hitam pudar (khusus Elantra N)
Rangkaian Kuasa Elantra N
Hyundai Elantra N dikuasakan enjin 2.0 turbo dengan kuasa 276 ps dan meningkat sehingga 286 ps apabila fungsi N Grin Shift diaktifkan pada julat 5,500 hingga 6,000 rpm.
Tork yang dihasilkan adalah 392 Nm pada julat 2,100 hingga 4,700 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui pilihan transmisi manual enam kelajuan atau transmisi lapan kelajuan klac berkembar basah.
Spesifikasi Hyundai Elantra N 2026
Enjin 2.0L turbo suntikan terus Flat Power 4 silinder
Kuasa maksimum 276 ps atau 286 ps dengan N Grin Shift @ 5,500 hingga 6,000 rpm
Tork maksimum 392 Nm @ 2,100 hingga 4,700 rpm
Gerek dan lejang 86 x 86 mm
Nisbah mampatan 9.5:1
Sistem injap 16-valve Swing Arms MLA
Sistem ambilan TIS dan VIA
Sistem ekzos dengan outlet lubang besar
Sistem emisi WCC
Pacuan roda hadapan FWD
Transmisi manual 6 kelajuan atau N8 DCT
Mod manual SHIFTRONIC dengan pedal gear paddle shifters
Mod pemanduan Eco, Normal, Sport dan N Custom 1 dan 2
Kereta elektrik kompak Honda Super-One kini menerima sentuhan magis daripada Mugen, dan hasilnya memang nampak seperti jentera litar yang mampu menggugat iman peminat kei-car.
Gaya retro dengan sentuhan motorsport
Super-One sendiri sudah membawa elemen retro yang diinspirasikan daripada City Turbo II, tetapi Mugen menaikkan lagi tahap agresifnya. Bahagian hadapan kini dilengkapi spoiler bawah berwarna hitam serta bonet dengan liang udara.
Perubahan paling ketara terletak pada sisi, dengan tambahan fender lebar lengkap dengan liang udara yang membedrikan imej jentera litar. Ia turut dipadankan dengan skirt sisi lebih besar, cermin sisi gentian karbon, serta rim forged aluminium 16 inci. Di belakang pula, terdapat spoiler bumbung besar dan bampar lebih sporty.
Kabin lebih sporty dan fokus pemandu
Masuk ke dalam, tempat duduk standard digantikan dengan kerusi semi-bucket daripada Recaro, lengkap dengan logo Mugen pada perehat kepala.
Di samping itu, pelbagai aksesori tambahan turut ditawarkan seperti karpet lantai, pelapik ruang kargo, scuff plate, serta kemasan pelindung pintu dengan logo Mugen. Logo tersebut juga boleh dilihat pada bahagian stereng.
Pengendalian lebih tajam namun kuasa tidak berubah
Dengan suspensi lebih rendah dan trek lebih lebar, Super-One sememangnya mempunyai talaan casis yang lebih agresif berbanding model asasnya iaitu N-One. Walau bagaimanapun, untuk pengendalian lebih mantap, Mugen menawarkan peredam prestasi yang dibangunkan dengan kerjasama Yamaha.
Namun begitu, trenkuasa elektriknya tidak disentuh. Ia kekal dengan motor tunggal yang menghasilkan 94 hp dalam mod Boost. Untuk menambah sedikit ‘emosi’, Honda menyertakan sistem bunyi tiruan yang mensimulasikan pertukaran gear dan bunyi enjin melalui pembesar suara.
Masih dalam pembangunan
Setakat ini, Mugen belum mengumumkan harga bagi pakej naik taraf ini kerana ia masih dalam peringkat pembangunan. Pelancarannya di Jepun dijadualkan sekitar Mei 2026, sebelum diperluaskan ke pasaran lain termasuk Eropah dan Australia.
Porsche telah memperkenalkan ahli terbaharu dalam barisan GT yang dibangunkan khas untuk penggemar pengalaman pemanduan tulen. Dikenali sebagai 911 GT3 S/C, ia menggabungkan enjin naturally aspirated, transmisi manual, serta buat kali pertamanya bagi model GT3, bumbung jenis convertible.
Enjin high-revving dengan transmisi manual
Nadi penggerak 911 GT3 S/C merupakan enjin flat-six 4.0 liter yang menghasilkan 510 PS dan 450 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan nisbah pendek. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 313 km/j.
Enjin ini mampu berputar sehingga 9,000 rpm, memberikan ngauman yang lebih mengujakan, lebih-lebih lagi apabila bumbung dibuka.
Bumbung boleh buka beri pengalaman unik
Ini merupakan 911 GT3 pertama yang dilengkapi bumbung boleh buka automatik sepenuhnya. Ia boleh dibuka atau ditutup dalam 12 saat, pada kelajuan sehingga 50 km/j.
Walaupun dengan mekanisme tambahan tersebut, penggunaan gentian karbon dan magnesium, serta komponen seperti brek karbon seramik dan rim magnesium centre lock bermakna berat keseluruhan masih rendah iaitu 1,497 kg.
Kabin fokus pemandu
Berbeza dengan 911 Cabriolet, 911 GT3 S/C hanya ditawarkan sebagai dua tempat duduk, sama seperti model Speedster terdahulu.
Ruang dalaman memfokuskan kepada pemandu dengan penggunaan bahan ringan, tempat duduk Sports Seats Plus, serta kluster instrumen digital dengan mod Track Screen yang memberikan pemandu maklumat penting ketika beraksi di litar.
Casis lebih canggih, rekaan lebih menonjol
911 GT3 S/C menggunakan suspensi hadapan jenis double wishbone, yang merupakan pertama kali untuk 911 dengan bumbung terbuka. Digabungkan dengan talaan casis ala GT3 Touring dan tayar berprestasi tinggi, ia menjanjikan pengendalian lincah terutamanya di jalan berselekoh.
Dari segi penampilan, model ini menonjol dengan bumbung hitam, rekaan badan berinspirasikan 911 S/T, serta spoiler belakang boleh tarik dengan Gurney flap. Pembeli juga boleh memilih pakej Street Style untuk penampilan yang lebih unik.
Praktikaliti tidak dilupakan
Untuk pelanggan yang inginkan lebih ruang storan, Porsche turut menawarkan kotak simpanan yang boleh dimuatkan di belakang tempat duduk. Kotak tersebut hanya seberat 10 kg dan mempunyai kapasiti 80 liter.
Apa yang menarik, kotak itu boleh disuaikan mengikut konfigurasi ruang kabin.