Honda hentikan jualan kereta di Korea Selatan akhir 2026

Honda CR-V generasi keenam diperkenal pada 2022

Honda Motor Co., Ltd.mengumumkan keputusan untuk menghentikan operasi jualan kereta di bawah anak syarikatnya, Honda Korea Co., Ltd. menjelang penghujung tahun 2026,

Keputusan ini diambil setelah mengambil kira perubahan persekitaran pasaran automotif global dan domestik Korea Selatan.

Honda menyatakan langkah ini sebahagian daripada strategi dalam menumpukan sumber korporat bagi memperkukuh daya saing syarikat untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Perniagaan Motosikal Honda Kekal Sebagai Teras Utama

Honda ADV 350 kekal ditawarkan di Korea SelatanBerbeza dengan kereta, perniagaan motosikal akan terus dikekalkan malah bakal dijadikan teras utama operasi Honda Korea.

Syarikat berhasrat untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen dua roda dengan menawarkan lebih banyak produk menarik serta meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.

Komitmen Perkhidmatan Lepas Jualan dan Waranti

Walaupun jualan kereta baharu akan dihentikan, Honda memberi jaminan kepada pemilik sedia ada di Korea Selatan bahawa perkhidmatan lepas jualan akan diteruskan seperti biasa.

Ini merangkumi penyelenggaraan berkala, servis kenderaan, bekalan alat ganti tulen serta sokongan waranti bagi memastikan kebajikan pelanggan tidak terjejas walaupun selepas operasi jualan ditamatkan.

Faktor Ekonomi dan Tekanan Pasaran Global

Menurut laporan AutoBlog, Ketua Pegawai Eksekutif Honda Korea, Lee Ji-hong menyatakan perubahan keadaan pasaran global dan tekanan kadar pertukaran mata wang menyebabkan perniagaan terjejas.

Hal ini disebabkan oleh model perniagaan Honda Korea yang mengimport kenderaan mereka secara terus dari kilang pembuatan di Ohio, Amerika Syarikat.

AutoBlog melaporkan bahawa nilai mata wang US Dollar yang kekal kukuh secara dasarnya telah menghapuskan margin keuntungan syarikat.

Dari segi prestasi jualan, Honda hanya mencatatkan angka sebanyak 1,951 unit kereta sahaja di Korea Selatan pada tahun lalu.

Jumlah tersebut menunjukkan kejatuhan ketara sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Barisan Produk yang Kian Hilang Daya Saing

Selain faktor ekonomi, AutoBlog turut menyebut bahawa barisan model Honda di Korea Selatan kini dianggap tidak lagi kompetitif dan mendatar.

Syarikat dilihat hanya bergantung sepenuhnya kepada model lama seperti Accord, CR-V, Odyssey dan Pilot.

Situasi ini sebenarnya telah dijangka memandangkan pesaing senegara iaitu Nissan telah lebih awal mengundur diri dari Korea Selatan pada tahun 2020.

Pengunduran Honda ini menjadikan Toyota sebagai satu-satunya jenama legasi Jepun yang masih bertahan dalam persaingan jualan kereta penumpang di semenanjung tersebut.

Profil dan Data Operasi Honda Korea Co., Ltd.

Honda Korea ditubuhkan pada Oktober 2001 yang pada awalnya dikenali sebagai Honda Motorcycle Korea Co., Ltd.

Jualan motosikal bermula pada Mei 2002 diikuti oleh jualan kereta pada Mei 2004.

Syarikat ini merupakan pelaburan modal 100 peratus daripada Honda Motor Co., Ltd. dengan modal sebanyak 12 bilion won.

Sehingga April 2026, syarikat diketuai oleh Presiden Jihong Lee dan menggaji seramai 84 kakitangan.

Ringkasan Maklumat Honda Korea Co., Ltd.

  • Penubuhan: Oktober 2001 (Honda Motorcycle Korea Co., Ltd.)
  • Mula Jualan Motosikal: Mei 2002
  • Mula Jualan Kereta: Mei 2004
  • Ibu Pejabat: Seoul
  • Modal: 12 bilion won
  • Pemilikan: 100 peratus Honda Motor Co., Ltd.
  • Produk Motosikal Utama: PCX125, Super Cub, FORZA350, ADV350, FORZA750, CBR600RR
  • Produk Kereta Utama: Accord, CR-V, Odyssey, Pilot
  • Jumlah Kakitangan: 84 orang (setakat April 2026)

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved