Auto China 2026: Chery Tiggo V buat penampilan sulung
Bertempat di Auto China 2026 di Beijing, Chery Group memperlihatkan model SUV baharu Tiggo V kepada umum.
Ia merupakan SUV keluarga pertama Chery yang boleh diubah bentuknya berdasarkan keperluan semasa.
Tiggo V turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan kemampuan meredah air sedalam 700 mm.
Pakej tiga-dalam-satu
Chery Tiggo V menggabungkan kestabilan SUV, keselesaan MPV dan praktikaliti trak pikap dalam satu pakej yang lengkap.
Menurut Chery, ‘V’ pada Tiggo V itu merujuk kepada tiga nilai iaitu:
- Versatility
- Value (nilai)
- Victory (kejayaan)
Dengan jarak roda sepanjang 2,800 mm, Tiggo V menawarkan ruang kabin luas dengan konfigurasi tiga baris dan tujuh tempat duduk.
Selain boleh dilaras kedudukannya, tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat untuk pelbagai konfigurasi, termasuklah mod katil.
Ruang kabin pula menempatkan sehingga 42 ruang storan, corong pendingin hawa untuk ketiga-tiga baris, kawalan iklim dua-zon automatik, serta sistem penapisan udara kabin N95 PM0.3.
Ubah jadi trak pikap
Tidak cukup dengan itu, Tiggo V boleh diubah menjadi sebuah trak pikap!
Dengan struktur belakang boleh ditanggalkan dengan mudah, Tiggo V boleh menyediakan ruang kargo yang lebih besar, ditambah pula dengan bukaan pintu yang lebar.
Terdapat juga sokongan untuk aksesori seperti khemah bumbung serta ruang storan tambahan untuk disesuaikan dengan pelbagai aktiviti luar.
Sistem Chery Super Hybrid
Tiggo V dipacu dengan unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) generasi ke-6 yang menawarkan pemanduan yang lancar dan prestasi responsif.
Versi plug-in hybrid (PHEV) menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 6 liter/100 km.
Versi enjin pembakaran dalaman tulen (ICE) pula menawarkan 7.84 liter/100 km.
Keselamatan
Chery Tiggo V menampilkan struktur binaan badan yang diperbuat daripada 76 peratus aluminium dan keluli berkekuatan tinggi.
Aspek keselamatan dibantu dengan sistem ADAS merangkumi:
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Bantuan Parkir Automatik (APA)
- Bantuan Parkir Kawalan Jauh (RPA)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.








