Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

BYD Sealion 7 2026 rasmi di Malaysia – 3 varian, harga dari RM164 ribu

BYD Sime Motors secara rasmi mengumumkan kemas kini bagi model SUV elektrik BYD Sealion 7 2026.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Sealion 7 Dynamic – RM163,800
  • Sealion 7 Premium – RM188,800
  • Sealion 7 Performance – RM203,800

300 pelanggan pertama untuk varian Dinamik boleh mendapatkan pakej pengecas dinding atau rebat sehingga RM4,000, menjadikan harga jualan kini serendah RM159,800.

Varian Premium pula menawarkan pakej pengecas dinding serta nilai tukar beli sehingga RM3,888.

Sementara varian Performance pula menawarkan pakej pengecas dinding dan nilai tukar beli sehingga RM2,888.

Spesifikasi dinaik taraf

Berbanding Sealion 7 yang dilancarkan tahun lepas, Sealion 7 2026 kini menggunakan senibina elektrik 800V.

Berbanding model terdahulu, Sealion 7 kini menyokong pengecasan DC sehingga 230 kW.

Varian asas Dynamic pula masih mengekalkan senibina 400V dengan keupayaan pengecasan DC sehingga 110 kW.

Perincian bagi setiap varian adalah seperti berikut:

Dynamic

  • motor elektrik pacuan roda belakang
  • kuasa 228 hp/380 Nm
  • pek bateri 71.8 kWh
  • pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat
  • jarak pandu NEDC 520 km

Premium

  • motor elektrik pacuan roda belakang
  • kuasa 308 hp/380 Nm
  • pek bateri 91.39 kWh
  • pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat
  • jarak pandu NEDC 650 km

Performance

  • motor elektrik berkembar pacuan semua roda (AWD)
  • kuasa 523 hp/690 Nm
  • pek bateri 91.39 kWh
  • pecutan 0-100 km/j dalam 4.5 saat
  • jarak pandu NEDC 600 km

Selain itu, BYD Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Ultraviolet untuk varian Premium.

Dimensi

BYD Sealion 7 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,830 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,620 mm dan jarak antara roda 2,930 mm.

Secara standard, ia hadir dengan rim bersaiz 19 inci sementara varian Performance pula mendapat tetapan rim 20 inci.

Ruang kargo adalah sebesar 520 liter (500 liter untuk varian Dynamic) diikuti dengan ruang frunk 58 liter.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, ia masih lagi mengekalkan penawaran seperti model terdahulu.

Antara ciri yang tersedia termasuklah:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin tengah 15.6 inci
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci
  • upholsteri kulit
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • slot pengecasan tanpa wayar 50W
  • sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara

Keselamatan

Secara standard, BYD Sealion 7 dilengkapi dengan sembilan beg udara, serta kelengkapan keselamatan termaju termasuklah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Pengekalan Lorong Kecemasan (ELKA)
  • Bantuan Keluar Lorong (LDA)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTA & RCTA)
  • Sistem Brek Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTB & RCTB)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)

Ciri Amaran Tumpuan Pemandu (DAW) dan skrin paparan head-up dikecualikan daripada varian Dynamic.

Omoda C7 & C7 PHEV buat kemunculan di KLFW 2026 tahun ini

Omoda | Jaecoo Malaysia diumumkan sebagai Rakan Automotif Rasmi bagi acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Omoda | Jaecoo Malaysia akan menampilkan model SUV terbaharu Omoda C7 dan Omoda C7 PHEV.

KLFW 2026 akan berlangsung di Esplanane KLCC Park bermula 3 hingga 9 Ogos 2026.

Bakal dilancarkan tahun ini

Omoda C7 bakal menyertai keluarga OJ Malaysia, di mana ia akan dilancarkan secara rasmi pada tahun ini.

Model serba baharu ini membawakan evolusi terkini falsafah rekaan Omoda “Art in Motion” menampilkan identiti futuristik serta rekaan badan aerodinamik.

Untuk pasaran Malaysia, Omoda C7 boleh didapati dalam versi petrol 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Terdapat juga varian Omoda C7 PHEV yang menggunakan sistem Super Hybrid (SHS) menggabungkan enjin 1.5L turbo dengan transmisi hibrid DHT.

Perincian ringkas bagi kedua-dua varian boleh dibaca pada pautan INI.

Kerjasama dengan BEHATI

Selain itu, OJ Malaysia turut memperkenalkan kolaborasi khas bersama label fesyen BEHATI.

Jenama itu sangat terkenal dengan gabungan busana budaya tradisional dan gaya avant-garde moden.

Kerjasama eksklusif ini meraikan kreativiti berani dan rekaan progresif, selari dengan falsafah model Omoda C7.

 

BYD Racco EV 2026 rasmi di Jepun, jarak gerak cecah 320 km, harga jualan dari RM54 ribu

BYD Auto Japan secara rasmi melancarkan kei car BYD Racco EV 2026 untuk pasaran Jepun.

Terdapat tiga varian ditawarkan di sana, dengan harga jualan bermula dari 2,145,000 yen (RM54 ribu) hingga 2,497,000 yen (RM62 ribu).

Dimensi

BYD Racco EV direka untuk memenuhi piawaian kei car yang ketat di Jepun.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak antara roda 2,520 mm.

Radius putaran adalah sekecil 4.8 meter.

Unit pacuan

BYD Racco EV hadir dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan 64 PS dan daya kilas 160 Nm.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu bateri LFP 35.84 kWh dengan jarak pandu sejauh 320 km, dan bateri LFP 22.40 kWh menawarkan jarak gerak sejauh 210 km untuk sekali cas penuh.

Kei car ini menyokong pengecasan AC 6 kW, pengecasan pantas DC 50 kW serta fungsi pemanasan bateri pra-pengecasan.

Selain itu, terdapat juga fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 1.5 kW.

Tetapan casis & suspensi

Casis BYD Racco EV ini disokong oleh tetapan suspensi topang MacPherson di depan dibantu dengan sistem torsion-beam di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera untuk kedua-dua gandar.

Kelengkapan

BYD Racco EV membawakan kelengkapan seperti unit lampu LED, rim bersaiz 15 inci, serta pintu gelangsar bebas tangan lengkap dengan bantuan projeksi logo.

Untuk ruang kabin, kei car ini mendapat ciri seperti skrin sentuh sebesar 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, sistem pemantauan keliling, serta sistem pengesanan kehadiran bayi.

Racco EV juga turut menawarkan ruang kargo sebesar 280 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,372 liter.

Selain ruang kargo yang besar, kei car ini turut menawarkan beberapa ruang storan, serta fungsi pemanas untuk pemegang cawan.

Perodua lancar model Alza & Traz di Sri Lanka, harga dari RM234 ribu

Perodua baru-baru ini melancarkan dua model terbaharunya di pasaran Sri Lanka, iaitu Perodua Alza dan Perodua Traz.

Bersempena pelancaran, 50 pelanggan terawal Traz mendapat harga istimewa Rs. 19,200,000 (RM234 ribu), atau sehingga Rs 19,950,999 (RM243 ribu) dengan aksesori tambahan.

Perodua Alza pula dijual pada harga Rs. 19,950,000 (RM243 ribu).

Pasaran eksport terbesar Perodua

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua, Sri Lanka kekal menjadi satu daripada pasaran eksport terbesar Perodua.

Sejak tahun 1997, jumlah jualan kenderaan di sana melebihi 20,000 unit.

Perodua kini mengeksport model siap pasang sepenuhnya (CBU) ke enam negara termasuklah Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, dan Papua New Guinea.

“Kami juga merancang untuk mengeksport kenderaan pra-milik kami dan setakat ini kami telah mengembangkan pasaran termasuklah ke Timor Leste tahun ini,” jelasnya lagi.

Keyakinan terhadap jenama Perodua

Chanaka Yatawara, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan United Motors Lanka PLC berkata, sejak sekatan import kenderaan dibatalkan pada tahun 2025, pihaknya telah menjual hampir 3,000 unit kenderaan.

Keadaan ini mencerminkan kepercayaan kuat pelanggan di Sri Lanka terhadap jenama Perodua.

“Dengan keupayaan pengeluaran Perodua yang telah terbukti serta rangkaian jualan serta servis Kumpulan United Motors, kami yakin Traz dan Alza akan terus meraih kepercayaan di kalangan keluarga serta pemilik perniagaan di Sri Lanka,” katanya.

Suzuki Fronx, Jimny AllGrip Plus kini ditawarkan menerusi platform langganan Flux

Naza Eastern Motors kini menawarkan Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Plus menerusi platform langganan kenderaan Flux.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Naza Eastern Motors dengan Flux bagi membuka jalan kepada akses pemilikan Suzuki yang lebih fleksibel kepada rakyat Malaysia.

Majlis tandatangan MoU tersebut dihadiri oleh Mohd Rizal Jailan, CEO Naza Automotive Group; Sivakumar Krishnan, Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia; Aziz Ayman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Flux serta Christine A, Pengarah Komersial Flux.

Integrasi Flux dalam rangkaian pengedar

Dengan menempatkan Flux dalam rangkaian pengedar, ia membolehkan pelanggan untuk memahami cara langganan berfungsi.

Menurut Rizal, pihaknya kini melihat permintaan meningkat terhadap solusi mobiliti yang lebih fleksibel dan sesuai dengan gaya hidup berbeza.

“Tidak semua pelanggan yang datang ke bilik pameran bersedia untuk pembelian tradisional.

“Dengan adanya Flux dalam bilik pameran, kami boleh menerangkan cara langganan berfungsi dan membantu pelanggan memilih apa yang bersesuaian dengan gaya hidup mereka,” ujarnya lagi.

Jenama Suzuki lebih mudah diakses

Aziz Ayman menyifatkan kerjasama ini hadir pada masa yang tepat untuk menjadikan jenama Suzuki lebih mudah diakses.

“Semua perkara yang merumitkan pemilikan kereta termasuklah pinjaman, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan susut nilai telah digantikan dengan satu bayaran bulanan dan kebebasan untuk berubah mengikut kehidupan.

“Pemandu kekal menikmati pengalaman memandu Suzuki dan Flux akan uruskan selebihnya.”

Jelasnya lagi, pelanggan Suzuki melalui Flux akan turut menerima kereta gantian percuma bagi memastikan urusan harian tidak terjejas.

Promosi Merdeka

Sempena sambutan Merdeka yang ke-69, Flux menawarkan diskaun eksklusif 69% untuk bulan pertama dan terakhir bagi pelan langganan terpilih 24 hingga 36 bulan.

Promosi ini sah sehingga 6 September 2026.

Berikut merupakan yuran bulanan untuk pelan langganan 36-bulan:

  • Suzuki Fronx: RM2,225
  • Suzuki Jimny AllGrip Plus: RM3,278

LS2 pamer koleksi terbaharu, jangka masuk Malaysia bermula September 2026

Bersempena penganjuran LS2 Asia & Oceania International Convention 2026, LS2 Malaysia turut memperkenalkan rangkaian koleksi terbaharu mereka.

Ia merangkumi koleksi bagi separuh kedua tahun 2026 serta koleksi penuh tahun 2027 (Winter & Summer).

Antara koleksi yang diumumkan termasuklah:

Pakaian

  • jaket Breakout
  • seluar Breakout
  • jaket Phoenix Air
  • seluar Tailor
  • jersi & seluar Gravel

Sarung tangan

  • Dart III
  • Flow
  • Flex

But

  • Lotus
  • Assault

Beg

  • Siri Move Ahead
    – Holdall (40L)
    – Duffel (50L)
    – Roll (30L)
  • Siri Shield Pro
    – Universal Tank Base
    – beg tangki (10L-13L)
    – backpack (23L-40L)
    – waist bag (3L)
    – phone holder (2L)

Topi keledar

  • Explorer Evo
  • Ranger
  • Valiant III

Koleksi terbaharu ini dijangka memasuki pasaran Malaysia secara berperingkat bermula September 2026.

Maklumat lanjut berkenaan harga serta tarikh pelancaran akan diumumkan secara rasmi kelak.

Prestasi jualan

LS2 turut mengumumkan pertumbuhan jualan memberangsangkan sebanyak 58% sepanjang tempoh Julai 2025 hingga Jun 2026.

Ia merupakan satu pencapaian pertumbuhan tertinggi dan terbaik dalam sejarah LS2 di Malaysia.

Pencapaian ini turut mencerminkan momentum kukuh jenama LS2 di pasaran Malaysia, serta kepercayaan daripada pelanggan, pengedar dan rakan niaga di seluruh negara.

 

Honda Vario 160 2026 kini dengan tiga warna baharu, harga RM10,498

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran tiga warna baharu bagi skuter Honda Vario 160 2026.

Warna yang dimaksudkan itu ialah:

  • Matte Black
  • Silver Blue
  • Gray Gold

Harga jualan bermula dari RM10,498 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi tidak berubah

Skuter ini masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 156.9 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Casis kerangka eSAF itu ditampung oleh tetapan suspensi fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada tetapan cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS saluran tunggal.

Antara ciri lain termasuklah

  • unit lampu LED
  • panel meter LCD
  • sistem kunci pintar
  • soket pengecasan USB
  • Idling Stop System (ISS)
  • ruang storan bawah pelana 18 liter

F1: Litar Sepang sah jadi tuan rumah GP Bahrain 2026

Setelah sekian lama, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal digegarkan kembali dengan deruman jentera F1 tahun ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2-4 Oktober 2026.

Keputusan tersebut dicapai menerusi kerjasama khas antara F1, FIA, kerajaan Bahrain dan kerajaan Malaysia untuk memastikan kalendar acara terus berjalan seperti biasa.

Salah satu litar ikonik F1

Bagi kebanyakan peminat, Litar Sepang merupakan salah satu litar yang ikonik dalam sukan F1.

Selain menawarkan reka bentuk dan laluan yang teknikal, pelumba juga perlu berdepan dengan cabaran cuaca tropika yang tidak menentu.

Kali pertama perlumbaan F1 dianjurkan di lokasi tersebut adalah pada tahun 1999, beberapa bulan selepas ia dibuka secara rasmi.

Selain F1, Litar Sepang juga turut menjadi lokasi bagi acara perlumbaan berprestij lain seperti Super GT, MotoGP, Sepang 1000KM, serta Porsche Carrera Cup Asia.

Berita gembira buat peminat

Stefano Domenicali, Presiden dan CEO F1 berkata, “Kami dengan sukacitanya mengesahkan Malaysia akan menjadi hos bagi GP Bahrain 2026.

“Sekali lagi, sukan ini menunjukkan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan menyampaikan detik yang mengujakan semua pengikut F1.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kerajaan Bahrain, kerajaan Malaysia dan Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.

“Lebih penting, ia merupakan satu berita gembira buat para peminat kami. Mereka dapat menikmati kalendar F1 penuh dan dalam masa yang sama melihat sukan ini kembali ke lokasi yang hebat.

“Sepang mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah F1, dan ia bakal menawarkan suasana perlumbaan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peminat,” ujarnya lagi.

 

Ekspedisi Discover Borneo Castrol rakam jiwa Malaysia Timur

Castrol Malaysia baru-baru ini menamatkan ekspedisi Discover Borneo merentas negeri Sabah dan Sarawak.

Konvoi selama 7 hari dari Kota Kinabalu ke Kuching meliputi jarak sejauh kira-kira 2,000 km melalui bandar-bandar utama seperti Sipitang, Lawas, Miri, Bintulu, dan Sibu.

Ekspedisi ini turut mendapat sokongan daripada Toyota Malaysia yang menyediakan Toyota Hilux dan Fortuner 4×4, serta King Diesel yang menyokong koordinasi perjalanan.

Rakam jiwa Malaysia Timur

Discover Borneo merupakan satu platform penceritaan untuk mengetengahkan naratif Malaysia Timur sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Sepanjang perjalanan, pasukan konvoi berjaya merakam komuniti, budaya, landskap dan cerita harian Malaysia Timur dalam bentuk dokumentari.

Selain itu, mereka juga menemukan jalan-jalan indah, pasar tempatan, interaksi komuniti, lokasi warisan dan pengalaman makanan.

Kesemua ini mencerminkan kepelbagaian Sabah dan Sarawak di luar laluan pelancongan biasa.

Demonstrasi mobiliti boleh diharap

Ekspedisi ini turut disokong oleh Castrol CRB Turbomax dengan Durashield™ Technology yang direka untuk melindungi enjin daripada haba, deposit dan kehausan.

Prestasinya terserlah sepanjang perjalanan jauh dengan keadaan cuaca panas lembap dan perlu menempuh pelbagai kondisi jalan di Malaysia Timur.

Konvoi tersebut turut singgah di bengkel Castrol Auto Service Sibu untuk pemeriksaan sebelum meneruskan perjalanan ke pedalaman Sarawak.

Bagi Castrol, ekspedisi ini menunjukkan bagaimana mobiliti yang boleh diharap membuka akses dan kesinambungan perjalanan dalam dunia mencabar.

Detik penting

Salah satu detik penting ialah kunjungan ke rumah panjang di Engkudu Atas, Sarikei.

Di situ, pasukan konvoi diperkenalkan dengan kraftangan rotan, alat muzik tradisional seperti engkromong, serta pelbagai hidangan Dayak.

Menurut Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina, “Sebagai anak Sarawak, Discover Borneo sangat dekat di hati.

“Di sini, 4×4 bukan sekadar untuk off-road, akan tetapi ia cara orang bekerja, bergerak dan berhubung.

Jelasnya lagi, pemanduan melebihi 2,000 km merentasi laluan yang paling mencabar ini memerlukan lebih daripada sekadar pelincir bagus, dan disinilah wujudnya peranan rangkaian Castrol Auto Service dan Castrol CRB Turbomax.

Discover Borneo akan diterbitkan sebagai siri dokumentari di Facebook, Instagram dan YouTube.

Kelibat prototaip Toyota GR MR2 dikesan di Fuji Speedway – nampak garang!

Ini mungkin sekali penampilan pertama model berprestasi tinggi terbaharu daripada Toyota Gazoo Racing.

Gambar yang muncul dalam akaun X @You_SuiKoyoAZ menampilkan sebuah model misteri yang dipercayai prototaip MR2 serba baharu sedang memecut di litar Fuji Speedway.

Ciri unik

Jentera tersebut membawakan bentuk coupe dua pintu, diikuti dengan rekaan fender lebar pada gandar depan dan belakang.

Unit lampu depan dan belakang pula diambil daripada Toyota GR Yaris facelift, sementara bahagian belakang pula menampilkan sayap belakang rekaan leher angsa.

Kehadiran liang penyejukan udara yang besar pada fender belakang mencadangkan jentera ini mempunyai tetapan enjin tengah.

Enjin serba baharu

“Toyota MR2” baharu ini bakal dipacu enjin empat silinder sebaris G20E serba baharu.

Enjin yang lebih kompak berbanding nadi 2.4 liter turbo sedia ada itu dijangka mampu menghamburkan kuasa 300 hp dan 400 Nm, dan boleh mencecah sehingga 400 hp/550 Nm dalam versi yang lebih berkuasa.

MR2 baharu ini dijangka tidak akan mengikut resepi asal MR2 yang menggunakan tetapan enjin tengah dan pacuan roda belakang.

Sebaliknya ia bakal menggunakan sistem pacuan semua roda yang dibantu dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan juga belakang.

Barisan model GR semakin berkembang

Selain MR2, Toyota sebelum ini pernah memperlihatkan sebuah lagi model prototaip yang diuji ketika perlumbaan rali awal tahun lalu.

Model ujian tersebut dipercayai merupakan Celica serba baharu dengan spesifikasi rali yang disediakan untuk musim WRC 2027.

Berdasarkan laporan terdahulu, Toyota sememangnya sedang merancang untuk menghidupkan semula nama Celica.

Persoalannya, adakah “Celica baharu” ini bakal berkongsi resepi yang sama dengan MR2 baharu atau membawakan pendekatan yang berbeza?

Ford Ranger 2026 varian XL, Sport & Platinum rasmi di Malaysia – harga dari RM127,888

Sime Darby Auto ConneXion-Ford hari ini secara rasmi memperkenalkan tiga lagi varian baharu trak pikap Ford Ranger 2026.

Harga jualan bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • Ford Ranger Platinum – RM205,888
  • Ford Ranger Sport 3.0L – RM159,888
  • Ford Ranger Sport 2.0L – RM145,888
  • Ford Ranger XL – RM127,888

Sejak dilancarkan pada tahun 2022, sudah lebih 24,000 unit Ford Ranger generasi baharu direkodkan berada di jalan raya Malaysia.

Pengenalan tiga varian baharu ini dilihat mampu memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai di Malaysia, dengan keupayaan seperti:

  • kapasiti muatan 1,000 kg
  • keupayaan tunda sehingga 3.5 tan
  • keupayaan meredah air sedalam 800 mm

Selain itu, Ford Ranger juga dilengkapi dengan skrin infohibur 12 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, kawalan iklim dua zon serta teknologi bantuan pemandu pintar.

Ford Ranger Platinum

Ini merupakan pilihan premium yang mampu menawarkan prestasi tinggi serba boleh.

Varian Platinum ini dipacu enjin diesel bentangan V6 3.0 liter menghasilkan 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Antara kelengkapan yang hadir pada varian Platinum termasuklah:

  • rim aloi 20 inci
  • jeriji Platinum
  • sistem rak fleksibel
  • kemasan Platinum pada ruang kabin
  • tempat duduk kulit dengan fungsi pemanas dan pengudaraan untuk baris depan
  • sistem audio Bang & Olufsen 8 pembesar suara
  • pilihan warna Acacia Green, Meteor Grey & Absolute Black

Ford Ranger Sport

Ini pula disifatkan sebagai sebuah kenderaan serba guna yang lebih seimbang untuk prestasi dan kegunaan harian.

Ranger Sport ditawarkan dengan pilihan enjin diesel 2.0L turbo 170 PS/405 Nm dengan sistem pacuan empat roda separuh masa.

Sementara varian enjin bentangan V6 3.0 liter turbo 250 PS/600 Nm pula dipadankan dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa.

Ciri yang wujud pada Ranger Sport ini termasuklah:

  • kemasan badan hitam
  • roda aloi 18 inci
  • kemasan tempat duduk dwi-tona
  • pilihan warna Lightning Blue, Meteor Grey, Absolute White & Arctic White

Ford Ranger XL

Varian XL ini pula lebih sesuai dijadikan sebagai sebuah ‘kuda kerja‘ lasak untuk pengusaha perniagaan, pengendali kenderaan dan pengguna komersial.

Ia dipacu enjin diesel 2.0 liter turbo tunggal yang mampu menjana 170 PS @ 3,500 rpm dan 405 Nm @ 1,750-2,500 rpm, serta transmisi automatik 10-kelajuan.

Antara ciri yang hadir pada varian XL termasuklah:

  • rim keluli 16 inci
  • lampu utama halogen
  • pilihan warna Arctic White, Meteor Grey & Absolute Black

 

Raymond Tan dilantik sebagai Pengarah Urusan tempatan pertama BMW Group Malaysia

BMW Group Malaysia mengumumkan pelantikan Raymond Tan Chor Ann sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 September 2026.

Pengarah Urusan semasa, Benjamin Nagel akan menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan BMW Group Importer Markets bagi pasaran Taiwan, Hong Kong dan Macao.

Pengalaman luas

Raymond merupakan sebahagian daripada pasukan perintis BMW Group Malaysia pada tahun 2003.

Berkhidmat sebagai Pengurus Perancangan Produk dan Harga, beliau bertanggungjawab membentuk strategi produk serta kedudukan pasaran di Malaysia.

Beliau kemudian menyertai ibu pejabat BMW Group di Munich sebagai Pengurus Produk Serantau yang bertanggungjawab terhadap perancangan produk dan penyelarasan strategi pasaran di peringkat antarabangsa.

Selepas itu, Raymond kembali ke Malaysia sebagai Ketua Pemasaran sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jualan yang menyelia operasi jualan serta prestasi rangkaian pengedar di seluruh negara.

“Saya amat teruja untuk kembali ke Malaysia sebagai Pengarah Urusan tempatan pertama BMW Group Malaysia,” ujarnya.

Dalam peranan baharunya, Raymond akan memimpin operasi BMW Group Malaysia dan memperkukuh jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Fokus beliau termasuk memberikan pengalaman pelanggan premium, memacu mobiliti premium, serta mengukuhkan aspirasi BMW Group Malaysia untuk menjadi pilihan utama dalam segmen premium menerusi konsep keterbukaan teknologi dan kuasa pilihan.

Xpeng G6 kini ditawarkan sebagai unit CKD, harga jualan kekal dari RM158,888

Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Xpeng di Malaysia mengumumkan tempahan untuk SUV elektrik Xpeng G6 kini dibuka.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan kekal tidak berubah seperti berikut:

  • Xpeng G6 Standard Range – RM158,888
  • Xpeng G6 Long Range – RM178,888
  • Xpeng G6 AWD Performance – RM189,888

Untuk tempoh terhad, setiap pembelian didatangkan dengan pakej pengecas dinding percuma bernilai RM5,000 dan perlindungan insurans sehingga RM5,000.

Untuk info, Xpeng G6 dipasang di fasiliti EP Manufacturing Berhad yang terletak di Melaka.

Spesifikasi tidak berubah

Xpeng G6 CKD masih lagi mengekalkan spesifikasi seperti model CBU yang ditawarkan sebelum ini.

Varian Standard Range dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 248 hp dan 440 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.94 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 202 km/j.

Varian Long Range pula mampu menjana kuasa 292 hp dan 440 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.

Sementara varian AWD Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik 480 hp dan 660 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.13 saat.

Enam mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

Bateri & pengecasan

G6 Standard Range dibekalkan dengan pek bateri LFP 68.5 kWh menawarkan jarak pandu WLTP 480 km.

Sementara dua varian tertinggi mendapat bateri berkapasiti 80.8 kWh dengan jarak pandu mencecah 525 km (510 km untuk versi AWD).

Secara standard, G6 menyokong pengecasan AC 11 kW.

Pengecasan pantas DC pula sehingga 451 kW (382 kW untuk varian Standard Range), membolehkan bateri dicas 10-80% SoC dalam 12 minit.

Keselamatan

Kesemua varian G6 CKD mendapat kelengkapan keselamatan standard XPILOT Assist yang merangkumi fungsi seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Bantuan Parkir Autonomi (APA)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Jetour T1 2026 rasmi di Malaysia – 2 varian, harga dari RM129,800

Jetour Malaysia secara rasmi melancarkan SUV baharu Jetour T1 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian ditawarkan, dengan harga jualan seperti berikut:

  • T1 1.5L TGDi 2WD – RM129,800
  • T1 2.0L TGDi XWD – RM146,800

Sempena pelancaran, 2,000 orang pelanggan pertama akan menerima rebat tunai RM2,000 serta kadar faedah serendah 1.68%.

Pilihan enjin

Varian asas dibekalkan dengan 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 184 PS dan 290 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar 7-kelajuan.

Varian paling premium pula hadir dengan nadi 2.0 liter turbo menghasilkan 254 PS dan 390 Nm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi klac berkembar DCT 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda XWD.

Varian 2.0L XWD turut menawarkan sehingga 7 + X mod pemanduan.

Dimensi

Jetour T1 merupakan sebuah SUV kompak menampilkan casis unibodi yang dibina berdasarkan senibina Kunlun.

Lebih kecil berbanding T2, Jetour T1 membawakan ukuran sepanjang 4,706 mm, lebar 1,967 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda 2,800 mm.

Varian 1.5L mendapat rim 18 inci manakala varian 2.0L pula hadir dengan rim 19 inci.

Kelengkapan

Ciri standard yang didatangkan pada Jetour T1 termasuklah:

  • lampu LED depan dan belakang
  • pintu tailgate berkuasa
  • tempat duduk balutan leatherette
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa
  • skrin infohibur 12.8 inci
  • sistem audio 8-pembesar suara
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • 7 port pengecasan USB
  • slot pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W

Varian 2.0L pula mendapat ciri yang lebih premium seperti:

  • skrin infohibur sebesar 15.6 inci
  • sistem audio Sony Premium dengan 9-pembesar suara
  • tempat duduk pemandu depan larasan kuasa dan fungsi memori
  • tempat duduk penumpang depan larasan kuasa lengkap dengan perehat kaki
  • bumbung kaca panorama
  • lampu selamat datang

Keselamatan

Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta sistem pemantauan keliling panorama.

Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 secara standard, merangkumi 14 fungsi termasuklah:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Jelajah Bersepadu (ICA)
  • Intervensi Bantuan Laluan (LAI)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHB)

Warna

Jetour T1 boleh didapati dalam pilihan warna Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black.

Jetour T1 1.5L TGDi 2WD

Jetour T1 2.0L TGDi XWD

Jetour T1 @ KLIMS 2026

smart #5 Brabus kini ditawarkan dalam warna eksklusif Laser Red, unit terhad

smart Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu Laser Red eksklusif untuk smart #5 Brabus dan tersedia dalam unit terhad.

smart #5 Brabus Laser Red Edition masih lagi mengekalkan spesifikasi asas varian Brabus, dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda menghasilkan 646 PS dan 710 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat.

Pek bateri NMC 100 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 540 km untuk sekali cas penuh.

Antara kelengkapan eksklusif yang hadir pada varian Brabus termasuklah:

  • Launch Mode
  • angkup brek merah
  • rim Brabus Monoblock Z 21 inci
  • suspensi sport
  • mod pemanduan Brabus
  • upholsteri Alcantara & Dinamica
  • ekosistem digital yang dipacu cip AMD V2000

Serentak dengan pengumuman Edisi Laser Red, smart Malaysia turut mengumumkan perubahan harga jualan untuk model tahun 2026:

Untuk info, harga jualan smart #5 ketika dilancarkan tahun lepas bermula dari RM199,800 untuk varian Premium dan mencecah sehingga RM249,800 untuk varian Brabus.

Castrol lancar program eHailing Heroes bantu 3,000 pemandu e-hailing di Lembah Klang

Castrol Malaysia baru-baru ini melancarkan program eHailing Heroes dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM).

Program selama 12 bulan ini bertujuan untuk mengurangkan kos penyelenggaraan yang perlu  dihadapi pemandu e-hailing.

Ia sekali gus memastikan perjalanan lebih lancar sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis pelancaran berlangsung di Rom 8 Studio dan disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Akbal Setia, Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia yang turut merangkap Ketua Sekretariat VM2026.

Fasa pertama sehingga 3,000 kenderaan e-hailing

Untuk permulaan, eHailing Heros akan menyokong sehingga 3,000 kenderaan e-hailing di sekitar Lembah Klang.

Setiap peserta akan menerima:

  • servis Castrol Magnatec bersubdisi
  • penjenamaan kenderaan
  • akses ke rangkaian Castrol Auto Servis seluruh negara

Pemandu yang melengkapkan 8,000 km jarak perjalanan yang disahkan akan menerima e-baucar RM80 untuk pakej servis Castrol Magnatec yang boleh ditebus di bengkel Castrol Auto Servis terpilih.

Pemandu e-hailing boleh membuat pendaftaran menerusi pautan https://www.castrolezrewards.com/ehailinghero/home

Kenapa Castrol Magnatec?

Setiap hari, kenderaan e-hailing beroperasi dalam keadaan ekstrem seperti kesesakan trafik, jarak perjalanan yang tinggi, serta pemanduan berhenti-mula yang kerap.

Teknologi molekul pintar Castrol Magnatec akan melekat dan membentuk lapisan perlindungan pada komponen kritikal enjin, memberikan 50% perlindungan yang lebih baik terhadap kehausan semasa enjin dipanaskan dan dihidupkan semula.

Ini adalah selari dengan janji utama Castrol Magnatec, iaitu Perlindungan Tanpa Henti Dari Setiap Permulaan.

Diskaun tambahan

Selain promosi untuk pemandu e-hailing, Castrol turut menawarkan diskaun 10% bermula Ogos untuk rangkaian minyak enjin kereta penumpang.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu lebih ramai pemilik kenderaan menjaga kondisi kereta mereka.

Sistem Titan Flow oleh Touch ‘n Go tawar kadar ketepatan sehingga 99.98 peratus

Touch ‘n Go baru-baru ini mengadakan sesi ujian lapangan teknologi Titan Flow bersama para pengamal media di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ujian tersebut dibuat di lorong RFID Dipertingkatkan yang ditandai simbol bintang emas di Plaza Tol Dato Keramat.

Demonstrasi ini bertujuan untuk membuktikan bagaimana gabungan teknologi buatan tempatan mampu menawarkan pengalaman yang lebih lancar, selamat dan dipercayai.

Gabungan pelbagai teknologi

Teknologi Titan Flow ini menggabungkan sistem identifikasi frekuensi radio (RFID) sebagai sistem pengesanan utama, dibantu dengan teknologi berikut:

  • Pengecaman Nombor Plat Kenderaan Automatik (ANPR)
  • Kecerdasan Buatan (AI)
  • Pembelajaran Mesin (ML)
  • LiDAR

Reka bentuk berlapis itu membolehkan sistem mencapai kadar ketepatan pengesanan sehingga 99.98 peratus.

Biarpun teknologi semakin berkembang, RFID kekal menjadi nadi utama dalam sistem Titan Flow atas faktor lebih stabil dan kurang terjejas oleh faktor persekitaran seperti cahaya mahupun cuaca.

Ia bukan sekadar memudahkan pengguna, tetapi turut direka untuk meningkatkan kelancaran pergerakan di plaza tol.

Gabungan teknologi pintar membolehkan setiap transaksi diproses dengan lebih tepat tanpa menjejaskan pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.

Langkah ke arah pelaksanaan MLFF

Sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), lorong RFID Dipertingkat kini memanfaatkan teknologi teras yang ada pada Titan Flow.

Teknologi ini dibangunkan berasaskan ekosistem yang telah terbukti dengan lebih 4.7 juta pengguna RFID berdaftar, 27 juta pengguna TNG eWallet, serta berbilion transaksi diproses setiap tahun.

Dengan asas yang mantap, ia membolehkan Touch ‘n Go terus mempercepat pembangunan infrastruktur mobiliti pintar dan memperkenalkan penyelesaian kutipan tol generasi baharu yang lebih pantas dan lancar.

SOS Balance lancarkan lagi aliran trafik

Bagi memastikan pengalaman mobiliti kekal lancar, ciri SOS Balance yang diperkenalkan dalam aplikasi TNG eWallet membantu pengguna meneruskan perjalanan walaupun kekurangan baki kredit.

Hasilnya, ciri tersebut menyokong kira-kira 36 juta perjalanan bagi mengurangkan risiko terkandas, sekali gus melancarkan aliran trafik.

Teknologi dibangunkan oleh rakyat Malaysia

Menurut Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go menjelaskan teknologi tersebut dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan.

“Apa yang menjadikan Titan Flow begitu bermakna ialah ia lahir dari pemahaman hampir tiga dekad terhadap cara rakyat Malaysia bergerak.

“Fokus kami adalah untuk membangunkan pengalaman yang lancar, boleh dipercayai dan selamat, sambil mengekalkan tahap ketepatan serta akauntabiliti yang diperlukan oleh pengendali lebuh raya.

Kerjasama dengan GWM Malaysia

Ujian lapangan ini turut mendapat kerjasama GWM Malaysia yang menyediakan kenderaan untuk digunakan media sepanjang sesi pandu lalu.

Cui Anqui, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia berkata, “Di GWM, kami melihat masa depan mobiliti sebagai sesuatu yang melangkaui kenderaan semata-mata, ia melibatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

“Kerjasama dengan Touch ‘n Go dalam ujian lapangan Titan Flow mencerminkan komitmen bersama kami untuk menjadikan mobiliti harian rakyat Malaysia lebih pintar, saling berhubung dan lancar,” ujarnya lagi.

iCaur V23 versi CKD kini di Malaysia, harga kekal RM132,780

iCaur Malaysia mengumumkan model iCaur V23 versi pemasangan tempatan (CKD) bakal tiba di bilik pameran menjelang akhir bulan ini.

Program CKD iCaur V23 bermula secara rasmi pada bulan Julai, sekali gus menjadi satu lagi perkembangan penting dalam perancangan jangka panjang iCaur untuk pasaran tempatan.

Varian tunggal iWD

iCaur V23 versi CKD hanya ditawarkan dalam varian pacuan semua roda pintar (iWD).

Namun, pihak iCaur Malaysia menjamin spesifikasi dan tahap kualiti yang sama seperti versi import sepenuhnya (CBU).

Harga jualan asal turut dikekalkan pada RM132,780.

Versi iWD dipacu oleh tetapan dua motor elektrik berkuasa 211 PS dan 292 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat.

Pek bateri NMC 81.76 kWh pula menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 430 km.

Ia turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC sehingga 104 kW, serta fungsi V2L sehingga 3.3 kW.

Spesifikasi penuh iCaur V23 boleh dibaca pada pautan INI.

Tempahan Jaecoo J5 EV kini dibuka, harga anggaran dari RM125,000

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi SUV elektrik Jaecoo J5 EV 2026.

Harga jualan EV pertama jenama itu dianggarkan bermula dari RM125,000.

Spesifikasi ringkas

Jaecoo J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda depan, menghasilkan kuasa 208 hp dan 288 Nm.

Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL 58.9 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 402 km (data WLTP).

J5 EV turut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan bateri dicas 30-80% SoC dalam masa 28 minit, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Pencapaian sempena ulang tahun kedua

Selain pembukaan tempahan EV pertama, Omoda | Jaecoo Malaysia turut meraikan ulang tahun kedua serta penghantaran lebih 32,000 unit kenderaan di seluruh negara.

Sebanyak lebih 8,100 unit kenderaan telah diedarkan sehingga Julai 2026, menjadikan Omoda | Jaecoo sebagai jenama kelima terlaris di Malaysia.

Penyumbang utama bagi prestasi tersebut ialah Jaecoo J5 yang diperkenalkan pada Mac 2026.

Sejak dilancarkan, SUV ini merekodkan lebih 2,500 penghantaran dalam tempoh empat bulan.

Komitmen terhadap elektrifikasi

Komitmen jenama itu terhadap mobiliti tenaga baharu turut diterjemahkan menerusi prestasi jualannya.

Pada separuh pertama (H1 2026), penghantaran bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) meningkat kepada 2,300 unit berbanding 244 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dengan pengenalan Jaecoo J5 EV, ia bakal mengukuhkan lagi portfolio NEV jenama Omoda | Jaecoo di samping menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia.

Perlumbaan maya 12 Hours of Spa berlangsung 18 Julai ini, himpun pelumba terbaik Asia

eRacing GP mengumumkan penganjuran perlumbaan endurans 12 Hours of Spa secara maya yang akan diadakan esok (18 Julai) bertempat di Litar Spa-Francorchamps.

Ia bakal menghimpunkan pasukan sim racing terbaik dari seluruh Asia.

Takluk litar ikonik dunia

Litar Spa-Francorchamps merupakan salah satu litar ikonik dalam dunia sukan permotoran.

Perlumbaan khas ini menuntut peserta untuk berdepan perlumbaan 12 jam tanpa henti menerusi strategi serta pertukaran pemandu yang lancar.

Selain itu, mereka juga perlu berdepan dengan perubahan kondisi trek dan selekoh lagenda seperti Eau Rouge, Raidillon dan Blanchimont.

Perlumbaan 12 jam ini akan bermula jam 11.00 pagi 18 Julai dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial eRacing GP.

Persaingan lima negara

Acara yang paling dinantikan dalam kalendar eRacing GP ini bakal disertai lebih 30 pasukan daripada lima negara.

Antara nama-nama yang perlu diberi perhatian termasuklah Aleef Hamilton, pelumba sim terbaik Singapura yang akan bergandingan dengan Alister Yoong (Malaysia).

Ia juga turut disertai oleh juara musim lalu, Apex Racing Brunei sementara Thailand pula diwakili OVERME.team yang diketuai pelumba terkenal Thanprasit Sartsuk.

Malaysia menerusi Pepega Racing menurunkan tiga pasukan yang turut disertai oleh bekas pelumba Toyota Gazoo Racing Rookies, iaitu Justin Rahul Dev dan Genevieve Ooi – satu-satunya pelumba wanita di grid.

Tiga kelas utama

Perlumbaan ini menampilkan tiga kelas utama, iaitu:

  • Hypercars (GTP)
  • LMP2
  • GT3

Kelas Hypercars (GTP) menyediakan pilihan jentera lumba BMW M Hybrid V8, Cadillac V-Series.R GTP, Ferrari 499P dan Porsche 963 GTP.

Kelas LMP2 pula menggunakan Dallara P217.

Sementara kategori GT3 menawarkan enam pilihan jentera lumba seperti BMW M4 GT3 EVO, Corvette Z06 GT3.R, Ferrari 296 GT3, McLaren 720S GT3 EVO, Mercedes-AMG GT3 (2020) dan Porsche 911 GT3 R (992).

Menurut Alex Yoong, pengasas eRacing GP berkata, “Perlumbaan endurans adalah cabaran tertinggi dalam sukan permotoran.

“Acara seperti ini bukan sekadar tentang kelajuan, tetapi juga kerja berpasukan, persediaan, dan ketahanan,” ujarnya lagi.

Sokongan daripada Royal Selangor

Acara perlumbaan tahun ini mendapat sokongan daripada Royal Selangor, jenama pewter terkemuka dunia.

Selain mata kejuaraan dan pengiktirafan, para peserta akan turut merebut trofi Royal Selangor edisi khas.

Menurut Hilda Razali, Ketua Pemasaran Global Royal Selangor International, “Kerjasama Royal Selangor dengan eRacing GP mencerminkan nilai yang dikongsi antara pertukangan tradisional dan sukan permotoran moden – dedikasi, ketelitian dan usaha mencapai kesempurnaan.”