fbpx

Honda City Hatchback facelift lancar suku kedua tahun ini

Honda City Hatchback facelift 01

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Honda City Hatchback versi facelift telah dibuka untuk tempahan di semua pengedar Honda seluruh negara. Pengganti kepada Jazz itu akan dilancarkan ke pasaran pada suku kedua tahun ini.

Sejak dilancarkan pada Disember 2021, City Hatchback kekal sebagai salah satu model hatchback terlaris dalam segmen Bukan Nasional dengan 10,300 unit terjual pada 2023, menjadikan jumlah jualan keseluruhan melebihi 28,700 unit setakat ini.

City Hatchback merupakan model kedua Honda Malaysia yang didatangkan dengan teknologi e:HEV. City Hatchback varian e:HEV RS telah menyumbang 16% kepada jumlah jualan hibrid Honda Malaysia setakat ini.

Untuk versi facelift, penampilan City Hatchback dinaik taraf dengan rekaan yang dikatakan lebih anggun dan dinamik berbanding sebelum ini.

Sebagai varian tertinggi, City Hatchback e:HEV RS tampil dengan bahagian luaran yang lebih sporty dengan gril honeycomb baharu, gril bawah hadapan dan rekaan bampar agresif dengan kemasan lampu kabus.

Turut disertakan bagi melengkapkan penampilan model ini adalah kemasan bawah bampar belakang, kemasan sisi dan rim 16 aloi inci dalam warna Berlina Black.

Dari segi trenkuasa, tiada sebarang perubahan. Varian RS kekal dengan gabungan enjin 1.5-liter dan motor elektrik yang menghasilkan 109 PS dan tork tertinggi dalam kelasnya iaitu 253 Nm.

Sementara itu, varian-varian lain akan terus dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter i-VTEC dengan kuasa sebanyak 121 PS dan 145 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis CVT.

Jika sebelum ini Honda Sensing hanya tersedia pada varian RS, model facelift ini menyaksikan teknologi bantuan pemandu itu dibekalkan secara standard untuk semua varian dengan tambahan ciri Lead Car Departure Notification (LCDN).

Tidak cukup dengan itu, varian RS turut mendapat satu lagi ciri tambahan iaitu Low Speed Follow (LSF).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved