Kia Sales Malaysia buka gudang alat ganti berpusat di Shah Alam

Gudang alat ganti Kia

Kia Sales Malaysia (KSM) terus mengukuhkan operasi selepas jualan dengan pembukaan gudang alat ganti berpusat di Shah Alam.

Ia sekali gus meningkatkan tahap ketersediaan alat ganti serta sokongan terhadap pemilik Kia di seluruh negara.

Ketersediaan alat ganti hampir lengkap

Terletak di One Logistics Hub Shah Alam, gudang alat ganti berpusat ini mempunyai keluasan kira-kira 20,000 kaki persegi dan disokong oleh sembilan kakitangan khusus.

Penghantaran alat ganti terkini membolehkan KSM mencapai tahap ketersediaan alat ganti hampir lengkap untuk model semasa dan terdahulu.

Antaranya termasuklah Picanto, Cerato, Forte, Stinger, Seltos, Optima, EV6, EV9 serta pelbagai generasi Carnival, Sorento dan Sportage.

Gudang ini turut disokong sistem pesanan dan inventori yang lebih cekap, bermula dari pesanan pengedar hinggalah kepada kawalan kualiti dan penghantaran.

Berpandukan piawaian global Kia, gudang ini menyasarkan penghantaran hari sama di Lembah Klang serta mengurangkan tempoh pemprosesan pesanan bagi kawasan lain.

Dengan proses yang ditambah baik dan pemeriksaan berperingkat, gudang ini berjaya mencapai kadar ketepatan penghantaran alat ganti sebanyak 100% sejak beroperasi.

Kerjasama dengan pengedar

KSM turut bekerjasama dengan rangkaian pengedar untuk memperkukuh pengurusan inventori dan memastikan pengisian semula stok dibuat tepat pada masanya.

Pasukan pengedar juga telah menjalani latihan bagi memastikan proses dan aliran kerja yang konsisten.

Sistem bersepadu pula membolehkan KSM memantau tahap inventori pengedar serta menyokong pengisian semula berdasarkan keperluan semasa.

Kesemua usaha ini bertujuan untuk mewujudkan rantaian bekalan alat ganti yang lebih lancar dari hujung ke hujung.

Usaha perkukuh ekosistem selepas jualan

Operasi gudang ini merupakan sebahagian daripada usaha KSM untuk membangunkan ekosistem perkhidmatan selepas jualan yang kukuh.

Antara usaha lain termasuklah pengurangan harga purata 15% bagi hampir semua alat ganti tulen seperti yang diumumkan awal 2026.

Selain itu, Kia turut melancarkan pakej penyelenggaraan prabayar Kia Maintenance Plan (KMP) yang lebih fleksibel.

Pelan 5-tahun ini merangkumi item penyelenggaraan berjadual utama (minyak enjin, penapis minyak enjin, penapis udara kabin, bendalir brek & palam pencucuh), pemeriksaan pelbagai titik serta kos servis.

Harga pakej KMP adalah seperti berikut:

  • Sportage 1.6T – RM2,989
  • Carnival 2.2D – RM3,580
  • Sportage 2.0 – RM3,680

Pelanggan juga boleh memilih pelan KMP sehingga 11 bulan dari tarikh pendaftaran, dengan syarat kenderaan tersebut belum mencapai tempoh penggantian pelincir yang pertama.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved