Semua kiriman oleh Amirul Mukminin

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.

Yamaha TMax Tech Max kini dalam warna Dark Magma, Tech Black

YAMAHA TMax Tech Max, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2022, kini boleh didapati dalam dua warna baharu bagi model tahun 2024 iaitu Dark Magma dan Tech Black.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan pada skuter maxi ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 562 cc, silinder berkembar DOHC bertaraf Euro 5 yang menghasilkan 46.9 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi jenis V-belt automatik.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, penghadang angin dan tempat duduk boleh laras, serta penutup tangki minyak pintar.

Skuter ini juga didatangkan dengan skrin TFT berukuran tujuh inci yang mempunyai tiga mod paparan serta boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi MyRide-Link untuk memainkan muzik dan menggunakan sistem navigasi.

Selain itu, terdapat juga teknologi Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) berserta Accelerator Position Sensor Grip (APSG) yang memberikan respon pendikit yang lebih lancar.

Harga jualan TMax Tech Max baharu tidak berubah iaitu RM74,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma.

Audi RS6 Avant GT adalah super wagon dengan 630 PS, 850 Nm

ANDA mungkin sudah lupa tetapi kira-kira tiga tahun yang lalu, Audi pernah memperkenalkan model konsep RS6 GTO yang diinspirasikan daripada jentera lumba Audi 90 quattro IMSA GTO.

Model konsep itu kini nampaknya telah direalisasikan menerusi model edisi terhad yang dikenali sebagai RS6 Avant GT.

Hanya 660 unit akan ditawarkan dan semuanya akan dipasang di Böllinger Höfe, kilang yang sama di mana R8, e-tron GT quattro dan RS e-tron GT dikeluarkan.

Seperti yang boleh dilihat, ia tidaklah 100% sama seperti RS6 GTO namun ada beberapa elemen yang telah dibawa daripada kereta konsep tersebut ke model baharu ini.

Ini termasuk gril Singleframe dan lubang ambilan udara yang dicat warna hitam berkilat, liang udara pada dapra hadapan serta spoiler berkembar pada bahagian belakang.

Livery pada RS6 Avant GT nampak sedikit berlainan dengan livery RS6 GTO namun masih mengekalkan warna tradisional Audi Sport iaitu hitam, kelabu dan merah.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan hud dan dapra yang diperbuat daripada gentian karbon. Ini merupakan kali pertama RS6 Avant diberikan ciri-ciri berkenaan.

Rim didatangkan dalam saiz 22 inci dan boleh didapati dalam warna putih, hitam berkilat atau hitam matte, bergantung kepada warna badan yang dipilih.

Sementara itu, ruang dalaman yang berwarna hitam diserikan lagi menerusi aksen yang didatangkan dalam warna merah dan tembaga yang boleh dilihat pada stereng, bahagian sisi konsol tengah, perehat tangan, pintu dan karpet.

RS6 Avant GT didatangkan standard dengan kerusi bucket RS yang dibalut upholsteri kulit dan Dinamica. Kerusi berkenaan turut dihiasi dengan jahitan honeycomb berwarna Express Red pada bahagian tengah dan jahitan tembaga pada bahagian sisi.

Turut disertakan adalah balutan mikrofiber Dinamica pada papan pemuka, konsol tengah dan pintu, tali pinggang keledar merah dan nombor sisi pengeluaran pada konsol tengah.

Seperti RS6 Avant Performance, versi GT ini dikuasakan oleh enjin TFSI 4.0-liter bi-turbo V8 yang menghasilkan 630 PS dan 850 Nm.

Bagaimanapun, dari segi prestasi, model ini ternyata lebih hebat dengan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam hanya 3.3 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding Performance.

Untuk pecutan 0-200 km/j pula, ia mengambil masa hanya 11.5 saat manakala pecutan maksimum adalah 305 km/j.

Bagi menjadikan ia lebih lincah di selekoh, Audi turut memasang sistem suspensi coilover boleh laras. Menurut Audi, sistem suspensi berkenaan mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm berbanding model standard.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh mendapatkan sistem suspensi sport plus RS dengan Dynamic Ride Control (DRC) atau sistem suspensi udara adaptif RS.

Penambahbaikan lain yang terdapat pada jentera ini termasuk bar penstabil yang lebih keras (30% di hadapan, 80% di belakang), differential yang ditala semula dan tayar Continental Sport Contact 7 berukuran 285/30.

TNG eWallet akan kenakan caj 1% untuk tambah nilai guna kad kredit

MULAI 23 Februari ini, semua tambah nilai Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) menggunakan kad kredit akan dikenakan caj satu peratus.

Bagaimanapun, TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) berkata tambah nilai melalui kad debit dan DuitNow kekal percuma tanpa sebarang caj.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TNGD, Alan Ni, langkah itu diambil bagi mengekang pengeluaran wang melampau menggunakan kad kredit ke akaun bank.

Selain itu, katanya, ia bagi mengurangkan kos besar kad kredit yang ditanggung oleh TNGD selama ini.

Pengguna TNG eWallet disarankan untuk menggunakan DuitNow untuk membuat tambah nilai kerana ia menggunakan proses pemindahan dana antara bank.

“Sebagai institusi kewangan terbesar yang menguruskan lebih 20 juta pengguna yang disahkan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), kita mesti mencari keseimbangan antara kemudahan, keselamatan dan kemampanan kos jangka panjang syarikat.

“Untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, kami masih membenarkan kad kredit sebagai satu daripada saluran tambah nilai tetapi kami juga menggesa pengguna untuk menambah nilai eWallet mereka melalui DuitNow atau kad debit, yang kedua-duanya adalah percuma.

“Apabila membuka akaun eWallet, pengguna diberikan nombor akaun DuitNow sama seperti akaun bank. Anda boleh menemui nombor akaun DuitNow ini pada bahagian profil eWallet,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, TNGD pernah menurunkan had tambah nilai kad kredit percuma kepada RM1,000 sebulan berbanding RM5,000 sebelumnya.

Dengan langkah itu, TNGD menjelaskan, ia sebagai cara mengekang pengeluaran kad kredit ke akaun bank.

Proton jual 12,882 unit kenderaan pada Januari 2024

PROTON telah mengumumkan prestasi jualan bagi bulan Januari 2024, yang menyaksikan mereka berjaya menjual sebanyak 12,882 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, ia merupakan permulaan tahun terbaiknya sejak 2013. Angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3% berbanding bulan Disember 2023 dan 10.3% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, pegangan pasaran syarikat bagi bulan Januari dianggarkan sebanyak 19.5%, iaitu 3.3% lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6% berbanding bulan Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan tahun 2023.

Melihat kepada pecahan mengikut model, Saga mengekalkan popularitinya dengan 6,129 unit dijual, diikuti dengan SUV paling popular di Malaysia iaitu X50 dengan 2,002 unit dan pendahulu sedan segmen B iaitu Persona dengan 1,846 unit.

Di tangga keempat adalah model terbaharu Proton iaitu S70, yang merekodkan jualan sebanyak 1,442 unit pada bulan lalu. Sedan itu kini mempunyai lebih 8,000 tempahan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif yang diterima daripada pelanggan.

Bukan itu sahaja, S70 telah memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei, apabila 15 unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada bulan Februari.

Model teratas Proton iaitu X90 turut mencatatkan prestasi yang baik dengan 365 unit berjaya dijual bulan lalu, membolehkan ia kekal sebagai peneraju pasaran SUV segmen D.

Ford Ranger Platinum gabung kemewahan dan praktikaliti

Pada awal-awal dahulu, trak pikap sering digunakan untuk urusan kerja seperti membawa muatan besar atau mengharungi laluan mencabar.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai yang menjadikan trak pikap sebagai kenderaan pilihan bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga untuk memenuhi gaya hidup mereka pada hujung minggu.

Menyedari perubahan trend ini, pengeluar-pengeluar mula menawarkan varian-varian baharu yang menggabungkan kemewahan dengan praktikaliti serta ketahanan sebuah trak pikap.

Salah satu daripada pengeluar tersebut adalah Ford, yang telah melancarkan varian baharu Ranger ke pasaran tempatan iaitu Ford Ranger Platinum.

Diposisikan di antara varian WildTrak dan Raptor, Ranger Platinum tampil dengan pelbagai elemen bertaraf premium yang menjadikan ia lebih menonjol di jalan raya.

Ini termasuk lampu LED matrix, gril yang direka semula dan rim aloi berukuran 20 inci dalam kemasan dwi tona. Tulisan PLATINUM pada bahagian bonet dan tailgate membezakan ia dengan varian-varian yang lain.

Di dalam, suasana mewah dapat dilihat dan dirasakan menerusi kehadiran upholsteri kulit dengan corak jahitan yang menyerlah, lambang PLATINUM pada tempat duduk dan kemasan kayu pada papan pemuka.

Untuk keselesaan penumpang, kerusi pemandu dan penumpang hadapan dilengkapi dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan pelarasan 10 hala. Tidak cukup dengan itu, kerusi pemandu juga mempunyai fungsi memori.

Sistem infohibur boleh diakses menerusi panel instrument digital berukuran 12.4 inci atau skrin sentuh potret 12 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto wayarles.

Mereka yang gemar mendengar muzik pasti akan terhibur setiap kali menaiki Ranger Platinum kerana ia didatangkan dengan sistem audio Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara.

Tidak dilupakan juga, dari aspek praktikaliti, Ranger Platinum membawakan dua ciri baharu yang berguna iaitu power roller shutter dan Flexible Rack System.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.0 liter Bi-Turbo diesel yang menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Walaupun tampil mewah, keupayaan Ranger Platinum sebagai sebuah trak pikap tidak boleh dipertikaikan dengan kapasiti muatan maksimum 1,000 kg dan kapasiti tunda sehingga 3,500 kg.

Bukan itu sahaja, ia mempunyai sudut pendekatan 30 darjah, sudut pelepasan 25.6 darjah dan boleh mengharungi air setinggi 800 mm.

Ford Ranger Platinum dijual pada harga RM183,888 dan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,00 km.

Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan waranti kepada enam atau tujuh tahun atau sehingga 40,000 km dengan pakej waranti lanjutan Premium Care (EWP).

19 topi keledar Shoei, Arai bernilai RM63,200 dicuri

SEORANG peniaga topi keledar berputih mata apabila 19 topi keledar jenama Arai dan Shoei bernilai RM63,200 lesap dicuri orang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemiliknya mendakwa telah keluar dari kediamannya di Taman Bukit Kuchai, Puchong pada jam 2 petang dalam keadaan pintu biliknya berkunci.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun menyedari kehilangan topi keledar itu selepas pulang ke bilik sewanya pada jam kira-kira 4.45 petang.

“Suspek disyaki masuk ke bilik mangsa melalui pintu pagar hadapan rumah yang tidak berkunci. Kemudian suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang bilik mangsa yang terletak di tingkat atas,” katanya.

Tambah beliau lagi, tempat kejadian adalah di sebuah rumah teres dua tingkat dan bilik mangsa berada di tingkat atas.

Siasatan awal mendapati mangsa menjalankan perniagaan menjual topi keledar jenama Arai dan Shoei sejak tahun 2011 di laman Facebook dan TikTok.

“Polis telah mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek terlibat untuk tindakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, kejadian itu turut dikongsikan di laman grup Facebook RXZ Members – Official yang memaparkan senarai jenis topi keledar yang hilang selain memohon jasa baik semua pihak untuk sebarkan berita ini agar barang terbabit dapat dipulangkan semula.

Kerajaan pertimbang wajibkan penggunaan selimut pemadam api EV

PEMILIK kenderaan elektrik (EV) mungkin akan diwajibkan oleh kerajaan untuk menggunakan selimut pemadam api sebagai langkah keselamatan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketetapan itu bagaimanapun tertakluk kepada hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jawatankuasa EV.

Tambah beliau, selimut pemadam api yang berharga kira-kira RM4,800 hingga RM5,000 seunit itu bukan sahaja mampu mengawal kebakaran dengan mengekang haba sehingga 1,000 darjah Celsius malah boleh menghalang pelepasan gas toksik.

“Hari ini saya menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut pemadam api EV yang merupakan perkhidmatan terbaharu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) bagi meningkatkan keselamatan kenderaan EV yang akan memenuhi jalan raya di negara kita tidak lama lagi.

“SIRIM melakukan ujian ke atas selimut pemadam api EV dan meluluskan penggunaannya,” katanya selepas demonstrasi selimut pemadam api oleh SIRIM dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat lalu.

Tengku Zafrul memberitahu, produk keselamatan tersebut buat masa ini diwajibkan untuk dimiliki operator stesen pengecas EV sahaja. Namun, beliau berharap rumah pemilik EV, pejabat swasta dan kerajaan turut wajib dimiliki produk sama.

“Ujian ke atas produk itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikannya sebagai langkah merangka garis panduan keselamatan bagi penggunaan kenderaan EV seperti saranan oleh KPKT.

“Kita di MITI juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat dan piaiwaian yang ditetapkan oleh SIRIM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, SIRIM dalam proses untuk merangka Piaiwaian Keselamatan Selimut Kebakaran Untuk Industri agar garis panduan tersebut juga digunapakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis tersebut.

Jeep Wagoneer S – SUV elektrik pertama Jeep ada 600 hp, empat skrin

JEEP telah mendedahkan perincian awal serta beberapa foto teaser Wagoneer S, SUV elektrik pertamanya yang dikatakan akan dilancarkan ke pasaran pada musim luruh tahun ini.

Pertama sekali, Wagoneer S merupakan sebuah SUV saiz pertengahan yang dikatakan mempunyai ukuran badan yang hampir sama dengan Grand Cherokee.

Ia dibina atas platform STLA-Large yang dibangunkan oleh Stellantis dan dikhabarkan mempunyai konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana 600 hp, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.5 saat sahaja.

Kapasiti bateri yang akan digunakan tidak didedahkan namun ura-ura mengatakan yang ia menawarkan jarak pandu maksimum sejauh 800 km.

Melihat foto ruang dalaman yang disiarkan, Wagoneer S didatangkan dengan konfigurasi empat skrin yang merangkumi kluster instrumen digital, paparan sistem infohibur, paparan untuk penumpang hadapan dan satu lagi skrin yang disediakan khusus untuk kawalan sistem pendingin hawa.

Tidak cukup dengan itu, Wagoneer S juga akan menampilkan sistem audio premium McIntosh yang mempunyai 19 pembesar suara, sistem pencahayaan ambien dengan pilihan warna dan bumbung suria panoramik berkembar.

Turut kelihatan adalah konsol tengah EV ini yang menempatkan butang Start/Stop, tombol pemilih gear dan suis toggle Selec-Terrain yang membolehkan pemandu memilih mod Sand, Snow, Eco, Auto dan Sport.

Pemandu Thailand tersangkut di jambatan gantung gara-gara GPS

GPS sepatutnya membantu pemandu tiba ke destinasi dengan lebih cepat namun kadang-kala teknologi itu tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan pengguna tersesat.

Itulah yang berlaku kepada seorang pemandu di Thailand baru-baru ini. Lebih malang lagi, wanita itu bukan sahaja tersesat malah keretanya tersangkut di sebuah jambatan gantung berketinggian 120 meter akibat mengikuti arahan GPS.

Menurut laman web Thaiger yang memetik laporan ThaiRath, kejadian berlaku pada 28 Januari lalu di Sungai Yom yang terletak di daerah Sung Men di Phrae.

Kereta jenis Honda City yang dipandu wanita malang itu tidak dapat bergerak selepas salah satu daripada tayar hadapannya tersangkut di celah kayu jambatan tersebut. Difahamkan kereta itu berada 15 meter dari hujung jambatan.

Wanita tersebut memberitahu pasukan penyelamat bahawa itu merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke kawasan tersebut untuk melawat rakan beliau yang tinggal di seberang sungai.

Beliau tidak tahu bahawa terdapat sebuah jambatan baru yang terletak 30 hingga 40 meter dari jambatan gantung itu.

Sebelum kejadian itu berlaku, wanita itu dikatakan sudah menyeberangi jambatan tersebut namun selepas menemui jalan mati, beliau mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Malangnya, ketika itulah salah satu daripada lantai kayu jambatan tersebut patah sehingga menyebabkan tayar keretanya tersepit.

“Saya keluar untuk meminta bantuan penduduk tempatan. Saya bukan orang tempatan dan tidak tahu jalan di sini. Pada masa akan datang, saya berharap akan ada tanda amaran kepada pemandu supaya tidak menyeberangi jambatan,” katanya.

Toyota Hilux mild hybrid 48V masuk pasaran Australia bermula Mac

TOYOTA Hilux Hybrid 48V, yang dilancarkan di Eropah pada Disember tahun lalu, kini telah pun diperkenalkan di Australia menerusi versi facelift.

Sama seperti model pasaran Eropah, Hilux facelift untuk negara Down Under itu menggabungkan enjin turbodiesel 2.8-liter empat silinder sedia ada dengan teknologi mild hybrid yang terdiri daripada penjana motor, bateri 48 volt dan penukar DC/DC.

Menurut Toyota, teknologi tersebut memberikan Hilux sistem Stop/Start, membantu menjadikan enjin lebih lancar serta meningkatkan kecekapan bahan api kira-kira 6 hingga 10 peratus, bergantung kepada varian.

Untuk pasaran Australia, teknologi mild hybrid 48V itu disertakan secara standard pada varian 4X4 Rogue dan SR5 double cab automatik, dan ditawarkan secara opsyen untuk 4X4 SR double cab.

Selain itu, semua varian mild hybrid turut dilengkapi dengan sistem Multi-Terrain Select yang menawarkan enam mod pemanduan.

Bagaimanapun, tidak seperti di Eropah, Hilux facelift Australia diberikan penampilan lebih segar. Gril oktagon telah direka semula, manakala bampar hadapan kini kelihatan lebih menonjol dengan liang berbentuk trapezoid dan perumah lampu kabus baharu.

Sesetengah varian juga mendapat gril bercorak sarang lebah dan peredam tailgate.

Dari segi kelengkapan, semua varian SR double cab automatik kini menampilkan enam sensor parkir (dua di hadapan, empat d belakang), manakala varian SR5, Rogue dan GR Sport mendapat pad pengecas wayarles dan dua port USB-C.

Hilux facelift akan tiba di bilik pameran Toyota di seluruh Australia bermula Mac ini, dengan harga jualan antara AUD54,130 hingga AUD71,530 (RM167,800 hingga RM221,739) untuk varian-varian mild hybrid.

Mitsubishi Xpander HEV, Xpander Cross HEV dilancarkan di Thailand

MITSUBISHI Motors Corporation secara rasminya melancarkan Xpander dan Xpander Cross versi hibrid (Hybrid Electric Vehicle atau HEV) di pasaran Thailand.

Ini merupakan kali pertama crossover tujuh tempat duduk itu menerima trenkuasa hibrid elektrik sejak ia memasuki pasaran pada 2017.

Tidak seperti versi petrol yang dikuasakan oleh enjin 1.5-liter, kedua-dua model baharu ini menampilkan enjin 1.6-liter yang secara sendirinya menghasilkan 95 hp dan 134 Nm.

Apabila digandingkan dengan motor elektrik, Xpander HEV mendapat kuasa keseluruhan sebanyak 116 hp dan 255 Nm yang disalurkan ke roda hadapan.

Enjin kitaran Atkinson itu mempunyai kecekapan pembakaran yang lebih tinggi dan pam air elektrik yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 34 peratus untuk pemanduan urban dan 15 peratus untuk pemanduan dalam situasi bercampur-campur.

Trenkuasa hibrid yang digelar sebagai e:Motion itu menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Tarmac, Gravel, Mud, Wet, Charge dan EV.

Selain itu, ia juga mempunyai Active Yaw Control (AYC) yang bertindak untuk mengawal daya brek di antara tayar hadapan kiri dan kanan.

Dari segi rekaan, model-model HEV ini mengekalkan rupa facelift yang diperkenalkan pada 2022. Bagaimanapun, ia boleh dibezakan dengan versi petrol menerusi lencana HEV pada gril dan tailgate, dan lencana Hybrid EV pada pintu hadapan.

Bukan itu sahaja, Mitsubishi turut memberikan aksen biru pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan rim.

Ruang dalaman pula menampilkan meter LCD berukuran lapan inci, skrin sentuh berukuran 9.0 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, brek parkir elektronik dan tuil gear baharu dengan teknologi Shift-by-Wire.

Menurut Mitsubishi, material penyerap dan penebat bunyi juga telah ditambah pada bahagian-bahagian penting untuk memastikan kabin sentiasa senyap terutamanya semasa memecut dan memandu pada kelajuan tinggi.

Di Thailand, Xpander dan Xpander Cross HEV masing-masing dijual pada harga 933,000 baht (RM124,544) dan 961,000 baht (RM128,282).

Lagi kanak-kanak maut akibat ditinggalkan di dalam kereta

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan, pada 8.01 malam.

Hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah taska yang berdekatan, kira-kira 2 petang.

“Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya, pada 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bedah siasat sudah dijalankan pada jam 2 petang semalam (31 Januari) dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.

Hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.

Insiden menyanyat hati seperti ini terlalu kerap berlaku dan sebagai seorang bapa, penulis sangat terkesan. Sebagai peringatan bersama, ini beberapa langkah yang boleh diambil untuk elakkan daripada tertinggal anak di dalam kereta:

  • Letakkan barang anak (beg pakaian, mainan dan sebagainya) di kerusi penumpang hadapan
  • Letakkan barang anda (telefon, beg atau dompet) di kerusi belakang
  • Jadikan memeriksa kerusi belakang sebelum meninggalkan kereta sebagai tabiat
  • Tinggalkan nota atau sticky note pada papan pemuka sebagai peringatan
  • Pesan kepada pasangan atau ahli keluarga untuk ingatkan anda

WTC Automotif bakal lancar GAC Emkoo, Aion Y Plus tahun ini

DI samping GS3 Emzoom, WTC Automotif (WTCA) turut mempertontonkan dua lagi model yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi iaitu GAC Emkoo dan GAC Aion Y Plus.

Emkoo merupakan SUV segmen C yang akan bersaing dengan Honda CR-V dan Proton X70, dan dikatakan akan dilancarkan pada tahun ini.

Sementara itu, GAC Aion Y Plus adalah model SUV elektrik yang dipasarkan di bawah sub-jenama milik GAC iaitu Aion. Menurut WTCA, model ini dijangka akan memasuki pasaran tempatan pada separuh pertama tahun ini.

Seperti yang boleh dilihat, Emkoo mempunyai reka bentuk yang berani dan agresif yang diserlahkan menerusi gril berbentuk V dan lampu LED ‘Eyes of Revelation’. Ruang dalamannya pula mengetengahkan konsep digital dan inovasi dengan kluster instrumen digital separa terapung.

Di China, model ini boleh didapati dengan enjin 1.5-liter turbo, 2.0-liter turbo dan hibrid. Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui namun ada ura-ura yang mengatakan ia akan didatangkan dengan enjin 1.5-liter turbo yang menghasilkan 177 PS dan 270 Nm iaitu sama seperti GS3 Emzoom.

Aion Y Plus dibina menggunakan platform GAC Aion Electric Platform (AEP2.0) yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM2 bilion dan mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk dibangunkan.

Menurut syarikat itu, platform tersebut mempunyai ukuran tapak roda terpanjang dalam segmennya iaitu 2,750 mm dan lantai yang rata untuk penumpang belakang.

Bukan itu sahaja, kerusi hadapannya boleh dilipat rata menjadi katil berkembar dengan ukuran lebar 1.8 meter. Penumpang belakang pula boleh menikmati ruang kaki sepanjang 1,022 mm yang dikatakan paling luas dalam industri.

Dari segi trenkuasa, Aion Y Plus dilengkapi dengan bateri Magazine berkapasiti 63.2 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 490 km (NEDC) atau 430 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

GAC GS3 Emzoom dibuka untuk tempahan – harga bawah RM130k

WTC Automotif Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Warisan TC Holdings Bhd, mengumumkan bahawa GAC GS3 Emzoom kini sudah dibuka untuk tempahan.

Menurut syarikat itu, tempahan boleh dibuat dengan bayaran RM1,000 dan 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan dijemput untuk menghadiri acara eksklusif.

 

GS3 Emzoom merupakan SUV segmen-B yang bakal bersaing dengan model-model seperti Proton X50 dan Honda HR-V. Untuk pasaran Malaysia, ia akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Exclusive dan Premium-R, dengan harga anggaran di bawah RM130,000.

Model ini menampilkan beberapa elemen rekaan menonjol seperti gril Mecha Wing, lampu LED Laser Eye Split, lampu belakang Light Dart, pemegang pintu tersembunyi, spoiler belakang dan tuil gear kristal.

Unit yang dipertontonkan ini didatangkan dengan rim aloi berukuran 18 inci. Terdapat empat warna yang akan ditawarkan iaitu Ivory White, Starlight Silver, Lake Blue dan Graphene Grey.

Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm pada 1,400 rpm. Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, model ini mencatat kecekapan bahan api 5.9 liter/100 km.

Menurut WTC Automotif, GS3 Emzoom akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur. Ia dijangka akan dikeluarkan dari kilang itu bermula suku kedua tahun ini.

Syarikat itu turut berkongsi bahawa bilik pameran pertama GAC akan dibuka di Petaling Jaya pada Februari 2024, diikuti dengan lima lagi bilik pameran di Glenmarie, Cyberjaya, Seremban, Johor Bahru dan Pulau Pinang pada separuh pertama tahun ini.

Mazda CX-5 facelift dilancarkan di Malaysia – 5 varian, harga dari RM144k

BERMAZ Auto secara rasminya telah melancarkan Mazda CX-5 versi facelift ke pasaran Malaysia, di mana ia ditawarkan dalam lima varian dengan pilihan enjin petrol dan diesel.

Lima varian berkenaan adalah seperti berikut:

  • 2.0G 2WD Mid (RM146,879.20)
  • 2.0G 2WD High (RM163,879.20)
  • 2.5G 2WD High (RM177,370.40)
  • 2.2D 2WD High (RM182,732.80)
  • 2.5G AWD High (RM191,170.40)

Dari segi reka bentuk, CX-5 facelift masih mengekalkan bentuk luaran yang asal namun bahagian hadapan SUV itu telah direka semula dengan rupa tiga dimensi. Gril juga diberi sentuhan segar manakala liang udara pada bahagian tengah kini lebih kompak.

Bukan itu sahaja, lampu hadapan dan belakang kini menampilkan grafik baharu. Rim didatangkan dalam saiz 17 inci untuk varian 2.0G 2WD Mid dan High, dan 19 inci untuk varian-varian lain.

Warna yang ditawarkan adalah Jet Black, Snowflake White Pearl, Machine Grey, Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Polymetal Grey dan Platinum Quartz.

Di dalam, kelima-lima varian didatangkan standard dengan skrin sentuh berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, enam pembesar suara dan empat port USB.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk teknologi Stop Start, G-Vectoring Control Plus dan pengecas wayarles. Selain itu, semua varian kecuali 2.0G 2WD Mid mendapat kamera 360 darjah dan paddle shifter.

Untuk sistem keselamatan, semua varian kecuali 2.0G 2WD Mid dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang merangkumi Adaptive Front Lighting, High Beam Control, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Driver Attention Alert, Smart City Brake Support, Smart Brake Support, Radar Cruise Control dan Cruising & Traffic Support.

Mengenai enjin pula, varian-varian 2.0G dikuasakan oleh enjin SkyActiv 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 162 hp dan 213 Nm, sementara varian 2.5G 2WD High menampilkan enjin 2.5-liter empat silinder dengan 192 hp dan 258 Nm.

Varian 2.2D pula datang dengan enjin turbodiesel 2.2-liter empat silinder yang mempunyai 188 hp dan 450 Nm. Varian tertinggi iaitu 2.5G High AWD pula dipacu oleh enjin turbo 2.5-liter empat silinder dengan kuasa sebanyak 228 hp dan 420 Nm.

Mazda CX-5 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 100,000 km, bersama dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 km.

MG sah akan masuk pasaran Malaysia tidak lama lagi

JENAMA automotif British yang ikonik iaitu Morris Garages atau lebih dikenali sebagai MG akan memasuki pasaran Malaysia melalui SAIC Motor Malaysia selaku pengedar rasmi.

Tarikh rasmi pelancaran jenama itu masih belum diumumkan namun menurut SAIC Motor Malaysia, orang ramai boleh menjangkakan “pelancaran besar-besaran model terbaru MG di Malaysia tidak lama lagi.”

Mengenai model-model yang akan dilancarkan pula, laman web MG Malaysia memaparkan tiga model elektrik iaitu MG4, ZS EV dan Cyberster.

MG4 merupakan hatchback elektrik dengan ukuran dimensi yang hampir sama dengan BYD Dolphin.

Menurut paultan.org, versi untuk pasaran Thailand menampilkan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 170 PS dan 250 Nm, dan bateri 51 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 350 km.

Sementara itu, ZS EV adalah SUV yang dilengkapi dengan bateri 51.1 kWj yang memberikan jarak pandu 320 km. Dikhabarkan terdapat juga varian 72.6 kWj yang menawarkan jarak pandu yang lebih jauh iaitu 440 km.

Sementara itu, model roadster dengan pintu scissors iaitu Cyberster boleh didapati dalam tiga varian di China. Glamour Edition dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dengan 314 PS/475 Nm dan bateri 64 kWj dengan jarak pandu 501 km.

Style Edition pula mempunyai bateri 77 kWj dengan jarak pandu 580 km, manakala Pioneer Edition menawarkan jarak lebih dekat iaitu 520 km menggunakan bateri yang sama. Ini kerana ia mempunyai dua motor elektrik, dengan kuasa sebanyak 544 PS/725 Nm.

MAN Malaysia tambat hati pemandu trak dengan acara pandu uji MANTAP

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) baru-baru ini menganjurkan acara pandu uji MANTAP (MAN Test and Prove) sebagai kunci untuk memenangi hati golongan sasaran paling penting iaitu pemandu trak.

Acara ini memberi peluang kepada pemandu untuk memandu uji penggerak utama MAN TGS berkuasa Euro V yang baharu, selain melihat dengan lebih dekat dan memahami kelebihan jenama dari Jerman itu.

Menurut MAN Malaysia, acara tersebut diadakan pada hujung tahun lalu di MAN Pelabuhan Klang dan menerima penyertaan seramai lebih 60 orang peserta yang terdiri daripada pemandu trak, pemilik syarikat pengangkutan dan peminat trak.

Selain daripada pandu uji, peserta turut berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai cabaran seperti membuat parkir secara selari, mengangkat cab dan pelepasan tayar ganti.

Mereka yang menyelesaikan tugasan dalam masa terpantas telah membawa pulang hadiah-hadiah yang menarik. Hidangan makanan kegemaran tempatan turut disediakan.

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata pihaknya percaya bahawa pemandu memainkan peranan penting dalam keputusan pembelian trak bagi sesebuah organisasi perniagaan.

“Maka itu, kami mahu melibatkan mereka dan memastikan keperluan pemanduan mereka diambil kira. Pemandu trak yang membawa trak MAN mereka ke pusat servis kami dijanjikan dengan persekitaran yang selesa dan mesra, lengkap dengan sofa mewah, pelbagai jenis minuman dan televisyen skrin besar untuk hiburan,” katanya.

MAN Malaysia kini sedang merancang untuk menganjurkan lebih banyak acara MANTAP pada tahun ini.

Proton Commerce beri 27,288 pinjaman pada 2023, angka tertinggi sejak ditubuhkan

TAHUN 2023 menandakan tahun kejayaan bagi Proton dengan jualan terkumpul melonjak kepada 154,611 unit, menandakan angka jualan tertinggi syarikat itu sejak 2012.

Pencapaian itu juga membolehkan pengeluar kenderaan nasional itu mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kedua tertinggi dalam industri automotif negara.

Sejajar dengan itu, cabang pembiayaan Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam jualan dengan mencapai jumlah pengeluaran pinjaman yang tertinggi.

Sepanjang tahun lalu, Proton Commerce mengeluarkan sejumlah 27,288 pinjaman kepada pembeli Proton, iaitu satu jumlah pengeluaran tertinggi yang direkodkan sejak penubuhannya.

Lapan daripada dua belas bulan menyaksikan lebih daripada 2,000 pengeluaran, dengan pencapaian bulan Mac tertinggi iaitu sebanyak 2,934.

Menurut syarikat itu, angka berkenaan dicapai kerana menghantar tempahan yang dibuat dalam tempoh insentif PENJANA.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Commerce berkata, pegangan pasaran tahunan syarikat telah menunjukkan trajektori menaik yang stabil dengan peningkatan daripada 9 peratus pada 2018 kepada 18 peratus menjelang akhir tahun 2023.

“Dalam bulan Januari dan Mac 2023, kedudukan pasaran kami patut diberi perhatian, meletakkan kami sebagai entiti kedua terbesar dari segi pegangan pasaran dalam tempoh ini,” katanya lagi.

Untuk tahun 2024, Proton Commerce menyasarkan untuk mencapai prestasi lebih tinggi sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menjadi pembiaya nombor satu kenderaan Proton.

Memandangkan 2024 menandakan Ulang Tahun ke-20 Proton Commerce, syarikat telah menyediakan pelan strategik untuk meningkatkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Di samping menjaminkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan, kami juga akan menawarkan pakej kewangan yang kompetitif untuk model terbaharu Proton seperti X90 dan S70 sambil juga menghubungi pelanggan EV yang berminat untuk membeli smart #1” kata Mooi.

“Dengan pembiayaan kadar tetap kami, pelanggan boleh yakin dengan pembayaran bulanan yang konsisten, memberikan kemudahan kepada mereka yang menunggu kenderaan Proton mereka dan memudahkan pengurusan bajet yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Kawasaki Z900 ABS, SE kini dengan grafik dan warna lebih menarik

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini telah memperkenalkan warna dan grafik baharu untuk dua jentera naked Kawasaki iaitu Z900 ABS dan Z900 SE.

Untuk tahun 2024, Z900 ABS memperkenalkan kombinasi warna baharu Candy Persimmon Red/Ebony, manakala Z900 SE pula boleh didapati dalam warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Z900 ABS dan Z900 SE akan terus dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 948 cc, empat silinder sebaris yang menghasilkan 125 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua model ini menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Rain, pilihan mod kuasa, tiga tetapan kawalan cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control) dan klac jenis Assist & Slipper.

Untuk tahap tunggangan yang lebih tinggi, Z900 SE menampilkan kelengkapan tambahan berupa fork terbalik berwarna emas di hadapan dan penyerap hentak Öhlins S46 dengan pelaras pra-muatan di belakang.

Harga jualan bermula dari RM44,900 untuk Z900 ABS dan RM55,900 untuk Z900 SE. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.

“Bayar kat balai RM300, sini RM100” – Polis siasat anggota tawar diskaun saman

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang anggota polis trafik mengambil RM100 daripada sepasang pelancong dari United Kingdom.

Dalam video yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Tread the Globe’ itu, pasangan pelancong yang dikatakan memandu sebuah van telah ditahan oleh seorang anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Anggota polis trafik tersebut menjelaskan kepada pasangan terbabit bahawa mereka didapati memandu sekitar 80 km/j berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 km/j.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.

Pasangan berkenaan kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM100 kepada anggota polis tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum video yang tular itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci.

Katanya lagi, pihak JSPT tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat. Azman turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Menurut laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), secara umumnya hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.