Perodua Bezza: berapa kos servis ‘King of the Road’?
Anda mungkin menyangka yang Perodua Myvi masih lagi ‘Raja Jalanan’ atau ‘King of the Road’. Sangkaan anda itu sebenarnya salah kerana gelaran itu sebenarnya sudah dirampas oleh Bezza, yang mencatat jualan sebanyak 56,735 unit pada tahun lalu.
Selain harga yang mampu milik dan praktikaliti (kereta kecil ini mempunyai ruang but sebesar 508 liter!), Bezza menjadi pilihan rakyat kerana kos penyelenggaraannya yang rendah.
Dalam artikel ini, kami akan kupaskan kos servis Perodua Bezza 1.3 automatik sehingga perbatuan 100,000 km atau lima tahun pemilikan:
10,000 km
Servis pertama untuk Bezza perlu dilakukan pada perbatuan 10,000 km. Ada tiga benda yang perlu ditukar iaitu minyak enjin sintentik penuh 0W-20 (RM161.10), drain plug gasket (RM3.80) dan penapis minyak enjin (RM 12.50). Tiada cas buruh dikenakan, menjadikan jumlah penuh yang perlu dibayar adalah RM177.40.
20,000 km, 50,000 km & 70,000 km
Untuk ketiga-tiga servis ini, pemilik perlu menukar tiga benda yang sama iaitu minyak enjin sintentik penuh 0W-20, drain plug gasket dan penapis minyak enjin namun kali ini, cas buruh dikenakan pada harga RM44.00. Dengan SST 8% (RM3.52), pemilik perlu membayar sebanyak RM224.92.
30,000 km & 90,000 km
Ketika odometer mencecah angka 30,000 km dan 90,000 km, Perodua akan menambah penapis kabin (RM24.20) ke dalam senarai benda yang perlu ditukar, di samping minyak enjin, drain plug gasket dan penapis minyak enjin. Ditambah dengan kos buruh sebanyak RM61 dan cukai servis 8% (RM4.88), kos keseluruhan adalah RM267.48.
40,000 km & 80,000 km
Major service perlu dilakukan untuk perbatuan 40,000 km dan 80,000 km. Kali ini, anda perlu menukar minyak enjin, drain plug gasket untuk minyak enjin, penapis minyak enjin, penapis pembersih udara (RM103.20), minyak gear (RM109.50), drain plug gasket untuk minyak gear (RM3.80) dan juga bendalir brek (RM26.40). Kos buruh untuk servis ini mencecah RM165, menjadikan jumlah keseluruhan RM598.50.
60,000 km
Benda yang perlu ditukar adalah sama dengan servis 30,000 km dan 90,000 km iaitu minyak enjin, drain plug gasket, penapis minyak enjin dan penapis kabin namun untuk servis 60,000 km, Perodua akan menggunakan 4 liter minyak enjin dan bukannya 3.5 liter seperti kebiasaannya. Kos keseluruhan adalah sama iaitu RM267.48.
100,000 km
Setelah mencecah enam angka, anda perlu membelanjakan RM480.96 untuk servis yang melibatkan penukaran minyak enjin 3.5 liter, drain plug gasket, penapis minyak enjin dan palam pencucuh (RM220.40).
Konklusi
Kos keseluruhan servis berkala Perodua Bezza 1.3 automatik adalah RM3,332.56 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM666.51 setahun atau RM55.54 sebulan untuk servis.
Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.