GAC Aion ES masuk pasaran EV Malaysia, harga bawah RM110,000
WTC Automotif (WTCA), pengedar rasmi jenama GAC Aion di Malaysia, tanpa disangka-sangka telah melancarkan sedan elektrik Aion ES pada acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.
Dibina di atas platform elektrik Aion (AEP) 2.0, ES mempunyai ukuran panjang 4,810 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,545 mm, dengan jarak roda 2,750 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding sedan segmen C popular seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.
Untuk pasaran Malaysia, ES didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan dengan 136 PS dan 225 Nm.
Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan kuasanya daripada bateri LFP 55.2 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 442 km berdasarkan kitaran NEDC.
Bateri itu mengambil masa 11 jam untuk pengecasan penuh menggunakan pengecas AC 6.6 kW yang tersedia. Dengan pengecas DC berkapasiti 60 kW pula, ia memerlukan 30 minit untuk pengecasan 30-80% atau 1.5 jam untuk pengecasan penuh.
ES mempunyai fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW, fungsi pemanduan pedal tunggal i-Pedal dan brek janaan semula dengan tiga tahap.
Dari segi kelengkapan, ES didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim aloi 17 inci dan tailgate elektrik yang memberikan akses kepada ruang but sebesar 450 liter.
Di dalam, terdapat upholsteri leatherette, tombol gear jenis rotari, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, kluster instrumen LCD 3.5 inci, skrin sentuh 8.0 inci dengan Apple CarPlay, Keyless Entry, dan pendingin hawa dua zon dengan penapis udara PM2.5.
ADAS tidak disertakan. Sebaliknya, anda mendapat ciri keselamatan asas seperti ABS dengan EBD, ESP, Hill Hold Control, Seat Belt Reminder , TPMS dan dua beg udara.
Aion ES dijual pada harga RM106,800 dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Pure White, Glamour Black dan Holographic Silver.
Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lapan tahun/160,000 km, dan waranti bateri EV, motor dan kawalan elektrik selama lapan tahun/200,000 km.
Sempena dengan pelancaran ini, pembeli akan menerima pengecas Wallbox bernilai RM3,500 secara percuma.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.