fbpx

Mazda sahkan kereta sports Iconic SP semakin menghampiri fasa produksi

Mazda ICONIC SP.01

Sudah lebih setahun masa berlalu sejak kali pertama Mazda memperlihatkan model konsep Iconic SP di Japan Mobility Show 2023.

Berita gembira buat para peminat kereta sports rotari, Mazda akhirnya mengesahkan komitmen syarikat itu untuk menjadikan Iconic SP satu realiti pada masa hadapan.

Dalam temubual bersama Auto News, CEO Mazda Masahiro Moro memberikan jawapan yang dinanti-nantikan oleh golongan petrolhead berkenaan versi produksi sebenar model Iconic SP.

Jelasnya, “kami sedang cuba untuk menjadikannya satu kenyataan, dan kami sedang bergerak ke arah itu selangkah demi selangkah.

Semangat untuk merealisasikan konsep itu telah ditunjukkan sejak dari mula lagi model Iconic SP menggemparkan alam maya.

Ketika acara Japan Mobility Show tahun lepas, CEO itu menyifatkan model tersebut sebagai satu komitmen untuk masa depan Mazda.

Ia kemudian diperkuatkan lagi dengan kenyataan daripada ketua rekaan Mazda Masashi Nakayama yang menegaskan, “Konsep ini bukanlah satu model kereta pameran yang kosong. Ia telah direka dengan niat sebenar untuk menjadikannya model produksi sebenar pada masa akan datang.”

Mazda juga akan membangunkan unit rangkaian kuasa hibrid baharu dengan dua unit rotor untuk memenuhi keperluan pengguna di Amerika Syarikat yang dahagakan kuasa.

Tidak seperti operasi enjin rotari konvensional yang kita tahu, enjin rotari hibrid dua rotor ini akan bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk kegunaan motor elektrik yang akan menggerakkan roda, dan tidak akan menggerakkan roda secara terus.

Dengan kuasa gandingan sekitar 365 hp, ia jauh lebih berkuasa berbanding enjin rotari yang wujud pada model RX-7 dan RX-8.

Tetapan enjin rotari hibrid ini dilihat mampu menyelesaikan permasalahan berat yang wujud pada EV masa kini, di mana Mazda boleh menggunakan pek bateri yang lebih kecil untuk mengekalkan berat badan pada tahap yang minimum – aspek yang sangat penting untuk sesebuah kereta sports.

Untuk makluman, Mazda menubuhkan satu pasukan khas bagi membangunkan enjin rotari pada Februari yang lalu.

Terdiri daripada 36 orang jurutera, RE Development Group itu akan bertanggungjawab membangunkan kereta-kereta yang dapat mengujakan pelanggan Mazda, terutama para peminat kereta sports berenjin rotari.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved