MG Cyberster dilancarkan pada harga RM319,900
SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi MG Cyberster pada acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.
Roadster elektrik itu, yang membuat kemunculan sulungnya di negara ini pada Ogos lalu, dijual pada harga RM319,900 atas jalan tanpa insurans.
Setiap pembelian didatangkan dengan waranti kenderaan selama tujuh tahun/150,000 km, waranti pek bateri voltan tinggi selama lapan tahun/180,000 km dan waranti motor pacuan dan unit kawalan motor selama lapan tahun/160,000 km.
Tidak cukup dengan itu, SAIC Motor Malaysia turut menawarkan pakej khas yang merangkumi pengecasan tanpa had selama setahun dengan JomCharge dan pengecas Wallbox 7 kW.
Cyberster ditawarkan dalam satu varian yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS (375 kW) dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.
Dengan bateri berkapasiti 77 kWj, Cyberster dikatakan mampu bergerak sejauh 446 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.
Pengecasan dari 10% hingga 80% mengambil masa 38 minit menerusi pengecas pantas DC 150 kW. Pengecas AC 7 kW pula memerlukan kira-kira 10.5 jam untuk cas dari 10% hingga penuh.
Dari segi reka bentuk, Cyberster tampil dengan siluet rendah dan lebar serta bumbung jenis soft top yang boleh dibuka. Kelengkapan termasuk rim aloi Jetstream 20 inci, angkup brek berwarna merah dan lampu depan LED automatik dengan DRL.
Di dalam, terdapat tempat duduk sport yang dihiasi sisipan Alcantara, stereng berbalut kulit Nappa, skrin sentuh berukuran tujuh inci, panel instrumen 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.
Untuk keselamatan, Cyberster didatangkan dengan sistem ADAS MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri berikut:
- Front Collision Warning (FCW)
- Automatic Emergency Braking (AEB) dengan Pedestrian and Bicycle Detection
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Traffic Jam Assistance (TJA)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Lane Keeping Assistance (LKA)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Lane Change Assist (LCA)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Intelligent High Beam Assist
Cyberster boleh didapati dalam empat warna iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White. Dynamic Red dan Camden Grey mempunyai bahagian dalam hitam dan merah, sementara Inca Yellow dan English White dilengkapi dengan bahagian dalam kelabu. Semua pilihan warna dipadankan dengan bumbung hitam.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.