Volvo XC40 B5 Plus (2025) kini dibuka untuk tempahan
Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan ia mula mengambil tempahan untuk Volvo XC40 B5 Plus yang telah dikemas kini untuk model tahun 2025 (MY25).
Menurut VCM, XC40 B5 Plus adalah salah satu model popularnya, dengan stok MY24 (dikenali sebagai XC40 B5 Ultimate) yang habis terjual dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini.
Tiada perubahan bagi harga jualannya. Seperti sebelum ini, XC40 B5 Plus ditawarkan pada harga RM278,888.
Varian ini menggabungkan enjin petrol 2.0-liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik (14 hp/40 Nm) bagi menghasilkan 249 hp dan 350 Nm. Kuasa disalurkan ke semua empat roda menerusi transmisi automatik Geartronic lapan kelajuan.
Antara kelengkapan yang disertakan secara standard termasuk lampu Piksel yang boleh menyesuaikan kecerahan secara dinamik, rim aloi 19 inci, serta sistem infohibur Android dengan sokongan Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store.
Pembeli juga akan menerima perkhidmatan digital percuma selama lima tahun yang memberikan mereka akses melalui aplikasi Volvo Cars serta perkhidmatan dari Google Play Store.
SUV ini boleh didapati dalam warna baharu Cloud Blue, di samping pilihan warna sedia ada seperti Onyx Black, Crystal White, Silver Dawn, dan Sage Green.
Dari segi keselamatan, XC40 B5 Plus dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Run-Off Road Protection, Whiplash Protection System, Front and Rear Collision Warning and Mitigation Support, Blind Spot Information System with Steer Assist, Lane Keep Assist, Cross-Traffic Alert dan kamera 360 darjah.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.