fbpx

Deepal bakal masuk pasaran Malaysia menerusi BAuto, lancar pertengahan 2025

Deepal S05

Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah berjaya memperoleh hak pengedaran satu lagi jenama kenderaan elektrik dari China iaitu Deepal, lapor Maybank Investment Bank.

Deepal dimiliki oleh Changan Automobile, yang merupakan salah satu daripada empat kumpulan automotif terbaik China selepas BYD, Chery dan Geely.

Pemfailan dengan Bursa bertarikh 25 November 2024 menunjukkan bahawa hak pengedaran Deepal telah dianugerahkan kepada Bermaz Changan Sdn Bhd (BCSB) yang dimiliki 85% oleh BAuto.

Menurut laporan berkenaan, pelancaran Deepal dijangka berlaku sekitar pertengahan 2025 dan antara model yang akan memasuki pasaran Malaysia adalah SUV kompak S05 dan SUV saiz pertengahan S07.

S05 dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 56.12 kWj yang menawarkan jarak pandu sekitar 510 km berdasarkan kitaran CLTC, serta motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 238 PS dan 320 Nm yang membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat.

Laporan Maybank itu berkata, sebanyak 21,700 unit S05 terjual di China dalam tempoh masa sebulan selepas pelancarannya pada Oktober lalu.

Selain EV, S05 juga dijual dalam versi Range Extended Electric Vehicle (REEV) yang menampilkan enjin 1.5-liter sebagai penjana, motor elektrik dan bateri 27.28 kWj.

Di Thailand, S07 didatangkan dengan bateri NMC dengan kapasiti dari 68.82 kWj hingga 79.97 kWj yang memberikan jarak pandu sekitar 485 hingga 520 km (NEDC). Seperti S05, ia juga boleh didapati dalam versi REEV.

Di China, model ini mempunyai bateri LFP 68.82 kWj dengan jarak CLTC sekitar 520 km, dan motor elektrik gandar belakang yang menjana 258 PS dan 320 Nm.

Kedua-dua model ini berkemungkinan besar didatangkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang pengeluaran baharu Changan yang terletak di Rayong, Thailand.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved