Kia Sportage generasi kelima dilancarkan secara rasmi – harga dari RM150k
Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, telah melancarkan Kia Sportage generasi kelima ke pasaran tempatan.
SUV segmen C yang dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah itu kini dibuka untuk tempahan. Ia boleh didapati dalam empat varian dengan dua pilihan enjin seperti berikut:
- 2.0G 2WD – RM149,781.78
- 2.0G 2WD High – RM159,781.78
- 1.6T 2WD High – RM179,599
- 1.6T AWD High – RM189,599
Seperti yang boleh dilihat, Sportage yang dilancarkan ini adalah versi pra-facelift dan bukannya versi facelift yang diperkenalkan baru-baru ini.
DJM berkata buat masa ini Sportage facelift hanya dijual di Korea Selatan namun SUV itu dijangka tiba ke pasaran tempatan dalam masa dua tahun lagi.
Varian 2.0G dikuasakan oleh enjin Smartstream 2.0-liter yang menghasilkan 156 hp dan 192 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Sementara itu, varian 1.6T pula menampilkan enjin Gamma II 1.6-liter turbo dengan kuasa sebanyak 177 hp dan 265 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh kotak gear DCT tujuh kelajuan.
Dari segi kelengkapan, model ini didatangkan dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, serta pencahayaan ambien, sistem pendingin hawa dua zon dan sistem audio Harman Kardon untuk varian-varian lebih tinggi.
Sistem keselamatan pula merangkumi Forward-Collision Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan pelbagai lagi.
Untuk pasaran Malaysia, Sportage ditawarkan dalam empat warna Astra Blue, Meteor Grey, Jet Black dan Snowflake White Pearl.
Akhir sekali, DJM akan menawarkan waranti selama lima tahun dan pakej servis percuma selama lima tahun.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.