Arkib Tag: Xpander

Mitsubishi Xpander kekal MPV bukan nasional terlaris di Malaysia

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa Xpander berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai MPV bukan nasional paling laris di negara ini dengan jualan sebanyak 11,384 unit dalam tahun kewangan 2023 (April 2023 hingga Mac 2024).

“Kami teruja menyaksikan penguasaan berterusan Xpander di Malaysia. Pencapaian ini adalah bukti komitmen kami dalam memberikan kenderaan berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluaan dan keutamaan pelanggan Malaysia,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

“Tempat No.1 ini juga menunjukkan bahawa Xpander adalah pilihan utama dalam kalangan keluarga Malaysia yang mencari MPV serba boleh,” tambah beliau.

Sementara itu, Triton pula merekodkan jualan sebanyak 8,636 unit dalam tahun kewangan 2023, membolehkannya terus berada di kedudukan dua teratas dalam segmen trak pikap.

Tambah Ikeda lagi, “Mitsubishi Motors Malaysia ialah tiga jenama bukan nasional teratas di Malaysia. Untuk 2024, Mitsubishi Motors terus memulakan perubahan ke arah yang lebih baik dan pengalaman pemilikan dengan standard tertinggi. Kami teruja untuk terus maju dan menghargai semua pelanggan kami atas sokongan setia mereka terhadap jenama Mitsubishi.”

Rasakan sendiri kehebatan Triton di Mitsubishi Triton Champion Xperience, 24-25 Jun

JIKA anda merasai sendiri kehebatan Mitsubishi Triton, ini peluang keemasan anda kerana Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan mengadakan acara Mitsubishi Triton Champion Xperience.

Acara yang mengujakan ini akan diadakan di Tanamera Experience, Shah Alam pada 24 dan 25 Jun dari 9 pagi hingga 6 petang. Masuk adalah percuma.

Diinspirasikan daripada kejayaan di Asia Cross Country Rally (AXCR) baru-baru ini, acara ini membolehkan pengunjung melihat sendiri kehebatan pengendalian, ketahanan, kuasa dan kebolehpercayaan Triton menerusi sesi taxi ride.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyertai sesi pandu uji di kawasan off-road yang direka khusus untuk menguji ciri Super-Select 4WD II dan mod Off-Road yang merangkumi Gravel, Sand, Muddy dan Rock.

Pelanggan terawal yang mendaftar untuk sesi pandu uji berkenaan di laman web MMM akan mendapat hadiah berupa baju-T Champion Xperience, pin Touch N Go bernilai RM20 dan peluang untuk memenangi beg North Face Explore Bardu II menerusi cabutan bertuah.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang menempah Triton sepanjang acara ini berlangsung juga akan menikmati promosi eksklusif yang sah sehingga 30 Jun 2023, selain mendapat tumbler Stanley.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) Triton bermula dari RM105,000 manakala harga jualan Xpander bermula dari RM99,980.

Jualan Mitsubishi Motors meningkat 27 peratus pada 2022

JUALAN Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) terus menunjukkan trend peningkatan bagi tahun kewangan 2022 (April 2022 hingga Mac 2023) dengan 27 peratus lebih banyak kenderaan dijual berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut MMM, mereka berjaya menjual sebanyak 24,315 unit kenderaan dengan pegangan pasaran 3.2 peratus, sekaligus membolehkannya mengekalkan kedudukan tiga teratas dalam senarai jualan automotif bukan nasional.

Ini juga merupakan pencapaian jualan tertinggi MMM sejak penubuhannya pada tahun 2005.

Xpander kekal sebagai MPV bukan nasional paling popular di Malaysia dengan pertumbuhan jualan sebanyak 52.2 peratus berbanding tahun kewangan 2021. Sebanyak 13,794 unit model itu terjual, menyumbang 57 peratus kepada jualan keseluruhan MMM.

Sementara itu, Triton turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan jualan sebanyak 12 peratus berbanding tahun kewangan sebelum ini. MMM menjual sebanyak 10,520 unit trak pikap itu dan mengekalkan pegangan pasaran sebanyak 18 peratus.

Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “Triton dan Xpander menjadi pemangkin kepada pertumbuhan jualan syarikat pada tahun kewangan 2022. Kami akan terus memfokuskan kepada penambahbaikan pengalaman membeli dan servis untuk memenuhi keperluan pelanggan kami.”

Mengenai perkembangan di peringkat global, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) baru-baru ini memperkenalkan Mitsubishi XRT di Bangkok International Motor Show. Kereta konsep itu merupakan bayangan Triton generasi keenam yang bakal dilancarkan ke pasaran tahun ini.

Rasai sendiri kehebatan Mitsubishi Xpander di Shah Alam hujung minggu ini

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) menjemput orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman menguji keupayaan Mitsubishi Xpander di acara Mitsubishi Xpander Venture.

Acara tersebut berlangsung dari 14 hingga 15 Januari 2023 di Dataran Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam dari 10 pagi hingga 6 petang. Masuk adalah percuma.

Pengunjung akan berpeluang untuk memandu uji Xpander melalui beberapa laluan mencabar yang direka khas untuk melihat sejauh mana kemampuan model itu.

Contohnya, cabaran Devil’s Angle memerlukan peserta memanfaatkan jarak lega tanah 205 mm crossover tujuh tempat duduk itu untuk meredah halangan berair.

Selain itu, peserta juga perlu melalui Side Traverse, sebuah halangan yang direka untuk menguji ketangkasan dan pengendalian unggul Xpander. Halangan-halangan lain yang turut disediakan termasuklah Log & Roll, Roller Conveyer dan Agility Challenge.

Apa yang menarik, pengunjung yang memandu uji Xpander akan membawa pulang topi eksklusif Mitsubishi Motors, serta berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa Nintendo Switch, jam G-Shock dan jaket North Face.

Mereka yang membuat tempahan Xpander atau Triton pula akan mendapat tumbler gaya hidup Stanley.

Pengunjung juga berpeluang untuk berinteraksi dengan selebriti-selebriti tempatan iaitu Sherry Alhadad (15 Januari, 3 petang), Sharifah Shahirah (14 Januari, 12 tengahari) dan Bell Ngasri (15 Januari, 12 tengahari).

Bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, pelanggan yang menempah Xpander akan dapat menikmati sama ada ansuran bulanan serendah RM798 atau kadar faedah 2.38 peratus dengan Maybank atau Publick Bank.

Pelanggan juga boleh memilih program tukar-beli istimewa yang menawarkan bantuan sebanyak RM2,000 untuk menukar kereta sedia ada mereka dengan Xpander baharu. Promosi ini sah sehingga 31 Mac 2023.

Toyota Veloz rasmi dilancar – CKD, satu varian, TSS, RM95k

TOYOTA Veloz dilancar secara rasmi hari ini selepas dibuka tempahannya sejak Jun lepas. Ia ditawarkan dalam satu varian tunggal di Malaysia, dengan harga RM95,000.

Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan Road Assist 24SEVEN untuk bantuan kecemasan tepi jalan.

Baik, jadi apa yang anda dapat untuk tambahan RM20k dari Perodua Alza AV yang berharga RM75,500?

Seperti yang anda semua mungkin sudah ketahui, Toyota Veloz merupakan ‘kembar’ Perodua Alza (dan Daihatsu Xenia di Indonesia), kesemua model ini dibangunkan pada pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Veloz juga berkongsi enjin yang sama, iaitu unit 2NR-VE 1.5-liter 4-silinder DOHC dengan kuasa 105hp dan 138Nm tork. Enjin ini menghantar outputnya ke roda depan melalui kotak gear CVT. Terdapat juga mod pemanduan Normal, Eco dan Power.

MPV segmen-B ini dipasang secara CKD di Malaysia, dan hadir dengan lima pilihan warna: White, Metallic Bluish Black, Red Metallic, Silver Metallic (with Black Roof), dan Blue Metallic (with Black Roof).

Dari segi rupa luaran, Toyota Veloz mendapat lampu LED sepenuhnya untuk depan dan belakang, serta lampu kabus. Lampu depan ini juga lengkap dengan fungsi auto-levelling, Follow Me dan Adaptive Driving Beam.

Veloz juga dilengkapi rim 17-inci dan jarak kelegaan tanah 205mm. Ini adalah lebih tinggi berbanding Alza yang hadir dengan pilihan rim 15- serta 16-inci, dan mempunyai kelegaan tanah 160mm.

Selain itu, Toyota Veloz dilengkapi rel bumbung yang mampu menampung sehingga 75kg.

Di bahagian dalam, ia menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat untuk pelbagai keperluan. Tempat duduknya mendapat balutan kulit, selain lampu ambient biru di panel pintu dan konsol tengah.

Di depan pemandu, Veloz dilengkapi dengan paparan digital 7-inci dimana anda boleh menukar mod paparan atau susunan meter kepada empat pilihan.

Unit infotainmen di konsol tengah pula ialah skrin sesentuh 9-inci yang menyokong Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Ciri lain termasuklah pengecaj tanpa-wayar Qi, tiga soket USB, satu soket 12 volt, dan 15 pemegang cawan di seluruh kabin.

Sistem pendingin hawa adalah jenis automatik, manakala terdapat satu lagi panel di tengah siling untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.

Untuk keselamatan, Toyota Veloz mendapat pakej Toyota Safety Sense yang terdiri dari empat sistem utama iaitu Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), dan Lane Keeping Control (LKC).

Ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, dan perakam digital (dashcam).

Cabaran ‘hidup’ bersama Mitsubishi Xpander selama 12 jam, tidur malam pun dalam kereta!

DUA orang hos, 12 jam masa diberi, dan sebuah kereta iaitu Mitsubishi Xpander. Apa yang sedang berlaku? Jadi, dua orang hos Engear – Kebab dan Hydar – ditugaskan untuk menyahut cabaran meluangkan masa bersama Mitsubishi Xpander, termasuk tidur di dalam kereta.

Masalahnya, Kebab pada mulanya tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan, dia hanya bersetuju mengikut Hydar menerima tawaran Engear untuk cabaran ini. Kiranya main ‘gamble’ sahaja lah.

Hari pertama, mereka memandu Xpander dari Kuala Lumpur menuju ke lokasi cabaran di sekitar Lenggeng, Negeri Sembilan. Mereka pada mulanya agak risau kerana hari sudah hampir gelap, dan terpaksa meredah laluan sukar seperti ladang kelapa sawit dan permukaan tidak rata.

Tetapi, mujur juga Mitsubishi Xpander dengan lampu LED yang cerah dan kelegaan tanah 205mm mampu meredah jalan-jalan itu dengan bersahaja tanpa sebarang masalah, hinggalah Kebab dan Hydar sampai ke lokasi.

Mereka dapat melihat bilik-bilik yang cantik dan selesa di situ, tetapi sebenarnya mereka perlu tidur di dalam Mitsubishi Xpander. Bilik-bilik tadi hanyalah untuk krew.

Tambahan lagi, mereka perlu melakukan beberapa cabaran terlebih dahulu, antaranya memilih barangan dan kelengkapan untuk makan malam dan tidur. Ini kerana barangan seperti bantal, tilam, dan kipas adalah terhad.

Jadi, bagaimana mereka mengharungi 12 jam bersama Mitsubishi Xpander, adakah Kebab dan Hydar bertahan sehingga ke penghujung cabaran? Adakah Mitsubishi Xpander cukup selesa untuk dijadikan ‘bilik tidur’?

Jemput tonton video di bawah, dan anda boleh lihat juga apa habuan yang mereka dapat sekiranya berjaya mengharungi cabaran ini.

Tiada lagi Mitsubishi di Rusia, pasaran automotif mulai terjejas?

RUSIA terus berdepan tekanan susulan tindakan menyerang negara jiran, Ukraine.

Terbaharu, industri automotif Rusia pula menerima ‘tamparan’ hebat selepas sebuah syarikat pengeluaran kenderaan dari Jepun memberi bayangan menghentikan pengeluaran di negara itu.

Mitsubishi Motors seperti dilapor Reuters berkata, syarikat itu bukan sahaja bakal menghentikan pengeluaran malah, menghentikan jualan kenderaan di Rusia.

Salah sebuah keluaran Mitsubishi yang terbaharu iaitu model Xpander. – Foto ihsan Mitsubishi

Ia berikutan langkah sekatan ekonomi dikenakan oleh beberapa kuasa besar termasuk Jepun yang mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. 

Sejak dua minggu lalu, ketegangan mula memuncak selepas Rusia mengarahkan tenteranya menceroboh Ukraine.

Tindakan Rusia terus dikecam majoriti negara Eropah yang menggesa serangan bersenjata dihentikan segera.

Sementara itu, konflik bukan sahaja menyaksikan kehilangan nyawa orang awam tetapi turut melibatkan kerosakan infrastruktur dan harta benda.

Antonov AN-225. Foto ihsan Wikipedia

Media melaporkan pesawat terbesar di dunia, Antonov AN-225 turut musnah dibedil tentera Rusia.

Insiden itu menyebabkan ramai pihak mengkritik tindakan Rusia yang secara tidak langsung menghapuskan identiti Antonov sebagai pesawat terbesar dibina sejak 1988.

Mitsubishi tawar uji kenderaan tanpa pengiring untuk pelanggan Lembah Klang

PARA pelanggan menetap sekitar Lembah Klang berpeluang menguji kenderaan Mitsubishi tanpa diiringi konsultan jualan.

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) berkata, ini kerana terdapat banyak permintaan daripada pelanggan untuk memandu uji kenderaan terutama model Triton Athlete dan XPander.

Pelanggan berminat memandu uji boleh melayari laman web rasmi MMM dan menghantar permohonan untuk sesi pandu uji.

Kakitangan MMM kemudian akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan dan menghantar kenderaan pandu uji ke lokasi terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM Shinya Ikeda berkata, pandemik Covid-19 telah merubah gaya perniagaan dan pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami melihat peluang ini untuk meningkatkan pengalaman dan kemudahan para pelanggan.

“Caranya mudah, dengan mengisi borang jadual temujanji dengan pengedar bertauliah malahan, kami akan menguruskan semua proses termasuk penghantaran,” katanya.

Bagaimanapun, para pelanggan boleh memilih sama ada ingin diiringi konsultan jualan atau sebaliknya.

Terdahulu, MMM memberitahu para pelanggan tidak perlu bimbang dengan tahap kebersihan kenderaan kerana proses sanitasi akan dilakukan oleh petugasnya.

Setiap pelanggan hanya diberi masa sejam untuk memandu uji sebelum mengembalikannya ke lokasi asal.