UMW Toyota Motor (UMWT) akan menambah beberapa model GR dalam barisan kenderaan mereka di Malaysia tahun depan. Lebih tepat lagi, tiga model GR baharu.
Gambar oleh: Toyota USA
Ini adalah GR Corolla, GR86 dan GR Supra dengan kotak gear manual. Perkara ini dikongsi oleh Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy, menurut laporan oleh Paultan.org.
Model-model tersebut akan menyertai barisan GR yang pernah ditawarkan iaitu GR Yaris dan GR Supra (hanya transmisi automatik 8-kelajuan ditawarkan sebelum ini).
GR Corolla dilancarkan pada April lepas merupakan model terkini yang membuat pelancaran global. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6-liter turbo 3-silinder yang menjana 300hp dan 370Nm tork, lebih berkuasa dari GR Yaris yang menggunakan enjin sama.
GR Corolla juga hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching, sistem pacuan semua-roda GR-Four dan limited-slid differential (LSD) Torsen di belakang.
GR86 pula merupakan kembar kepada Subaru BRZ generasi kedua, dilancarkan pada April 2021. Model coupe sports dua-pintu pacuan roda-belakang ini dipacu oleh enjin 2.4-liter flat-four dengan 232hp dan 250Nm, dan boleh didapati dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik.
Sementara itu GR Supra manual pula merupakan tambahan kepada Supra yang diperkenalkan pada 2019. Ianya model GR paling berkuasa dengan 382hp dan 500Nm, hasil kerahan enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris.
Tiada perincian lanjut buat masa ini seperti harga dan tarikh pelancaran. GR Corolla baru tiba di ASEAN semasa ia dilancarkan di Thailand minggu lepas, dengan harga mencecah RM500,000.
GR Supra pula ditawarkan pada harga RM611,880 untuk model facelift.
MUHAMMAD Iqbal Suji dinobatkan sebagai juara Toyota GR Velocity Esports Championship musim kelima selepas bertarung dalam perlumbaan sengit dan emosional baru-baru ini.
Iqbal yang berusia 24 tahun membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, mengalahkan sembilan lagi pelumba lain dalam siri tiga perlumbaan.
Dengan perlumbaan diadakan secara langsung di depan para peminat dan orang awam di pusat beli-belah 1Utama, ia juga menunjukkan tahap profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi dalam pelumba online terbaik negara ini.
“Aktiviti perlumbaan Toyota di litar dan di atas talian (online) adalah berkenaan memenuhi impian mereka yang mahu berjaya dalam bidang ini,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
“Penganjuran Toyota GR Velocity Esports Championship menawarkan platform kepada mereka yang berbakat untuk membangunkan dan menunjukkan potensi mereka dengan ada yang berpindah ke perlumbaan sebenar,” tambahnya.
Iqbal akan berganding bahu dengan dua lagi pesaing iaitu Muhammad Uzair dan Taj Izrin Aiman Taj Madira untuk mengetuai pasukan tiga-pelumba, mewakili Malaysia ke acara akhir Toyota GAOO Racing GT Cup pada 2 Oktober depan.
Ini juga akan memberi peluang kepada pasukan Malaysia untuk mewakili Asia untuk ke saingan akhir peringkat global yang akan diadakan di Monaco pada 25 November.
“Memenangi perlumbaan ini mengingatkan saya kepada semua emosi dan kekecewaan beberapa tahun sebelum ini, dan kini saya berjaya memperolehinya, rasa sangat teruja!” kata Iqbal.
Toyota telah memperkenalkan satu lagi model edisi terhad GR Supra khas untuk pasaran Jepun. Dikenali sebagai Matte White Edition, model ini hanya boleh didapati dengan transmisi manual dan pengeluarannya pula terhad kepada 50 unit sahaja.
50 unit bukanlah satu jumlah yang besar dan menyedari bahawa model ini bakal menjadi rebutan ramai, Toyota akan memilih pembeli menerusi cabutan loteri. Pendaftaran dibuka pada 20 dan 21 Julai lalu di laman web Toyota Gazoo Racing.
Jadi, apa yang istimewa mengenai model ini? Pertama sekali, ia didatangkan dalam warna eksklusif Matte Avalanche White Metallic yang dipadankan dengan aksen hitam pada bahagian splitter depan, skirt sisi, cermin sisi, tiang A, diffuser dan pelbagai lagi.
Melengkapkan rupa paras agresif jentera ini adalah rim tempaan berukuran 19 inci yang didatangkan dalam warna Frozen Gunmetal Grey dan angkup brek berwarna merah. Jika dilihat, ia mirip model A91-MT Edition yang diperkenalkan pada April lalu.
Ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit berwarna coklat yang membaluti tempat duduk, panel pintu, stereng dan juga konsol tengah. Turut diberikan adalah plat gentian karbon pada papan pemuka yang tertera tulisan “GR Supra”, “Matte White Edition” serta lakaran model itu.
Model edisi terhad ini berasaskan varian tertinggi untuk pasaran Jepun iaitu RZ, jadi ia sarat dengan kelengkapan termasuk pad pengecas wayarles pada konsol tengah, port USB, sistem audio premium JBL dengan 12 pembesar suara dan skrin sentuh 8.8 inci untuk sistem infohibur.
Selain itu, tiada sebarang perubahan pada enjin. Seperti versi standard, model ini dipacu oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 387 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.
GR Supra Matte White Edition dijual pada harga 7,890,000 yen (RM257,210), iaitu 577,000 yen (RM18,800) lebih mahal berbanding varian RZ ‘standard’.
RIBUAN peminat dan pengunjung membanjiri Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Vios Challenge Season 5 Round 2 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lepas selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.
Pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sampingan seperti berbasikal, skuter, roller blade, papan luncur, dimana mereka dapat menunggangnya di Litar Antarabangsa Sepang. Aktiviti lain termasuklah zumba dan konsert oleh Bunkface serta Judika.
Super Sporting Class
Sementara itu di litar, perlumbaan Race 2 Vios Challenge dalam TGR Season 5 menyaksikan drama mendebarkan dengan disebabkan hujan semasa Super Sporting Class. Perlumbaan pada mulanya ditangguhkan selama 25 minit dan kemudiannya dimulakan dengan Safety Car sebanyak dua pusingan.
Selepas Safety Car kembali ke paddock, Fariqe Hairuman (M7 Japan Project Team) terus mendahului perlumbaan. Kemudian bermulalah aksi apabila Hayden Haikal (Axle Motorsport) cuba untuk merebut posisi pertama.
Hayden berjaya memotong Fariqe dengan Mark Darwin (Laser Motor Racing) mengekori di belakang. Posisi pertama bertukar-tukar selama 10 pusingan, dan penonton menjangkakan aksi ini berterusan.
Tetapi Tengku Djan (Prima Pearl TD Racing) mencuri tumpuan dengan mencatatkan masa pusingan terpantas ‘memanjat’ dari kedudukan ke-12 dan terus menjuarai perlumbaan dengan 1.5 saat di depan Mark, manakala Hayden di tempat ketiga.
Tengku Djan berkata: “Sepang merupakan litar yang sangat mencabar, keadaannya boleh banyak berubah dan racing line yang biasa digunakan boleh menjadi sangat licin. Jadi pemandu perlu meneroka racing line baharu untuk mengambil selekoh.”
Rookie Class
Dalam Rookie Class, Muhammad Hamdany memperoleh kejuaraan pertamanya dari rekod podium empat kali dalam empat musim setakat ini.
Pelumba gokart berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu tamat di depan pelumba simulator Nabil Azlan, manakala satu-satunya pemandu wanita dalam kategori ini, Adele Lew di tempat ketiga.
Sporting Class
Pelumba-pelumba dalam Sporting Class mempamerkan aksi mengujakan di litar dengan Naquib Azlan (Axle Motorsport) mendominasi kedua-dua perlumbaan pada Sabtu dan Ahad.
Di tempat kedua dan mungkin paling mengejutkan adalah Abdul Miqail (23 Motors) diikuti oleh Ahmad Tarmimi Tahang (M7 Japan Project Team).
Promotional Class
Drama tidak kurang juga dalam Promotional Class yang menyaksikan Zizan Razak dan Shukri Yahaya berada di depan perlumbaan sama seperti Race 1 pada hari sebelumnya.
Menjadi pemandu kegemaran perlumbaan, Zizan mensasarkan kemenangan kedua dan terus berada di depan sebelum menghadapi masalah teknikal dengan kotak gearnya. Ini ‘memaksa’ beliau jatuh di tempat kelima.
Shukri menjadi yang terawal untuk mengambil kesempatan di atas isu ini, tetapi malangnya menghadapi masalah sama dan ini memberi peluang untuk Nabil Ahmad merampas posisi pertama.
Dengan perlumbaan berbaki dua pusingan, Wany Hasrita dan Janna Nick terus memintas Zizan dan Shukri untuk merangkul tempat kedua dan ketiga.
Di tempat keempat adalah Nabila Razali, diikuti Shukri dan Zizan di tempat kelima dan keenam.
Pusingan ketiga (Season 5 Round 3) untuk TGR dijadualkan berlangsung pada September depan.
TOYOTA dilaporkan telah membuat ujian transmisi automatik lapan-kelajuan untuk GR Yaris. Naib Pengerusi Toyota Motor Corporation, Shigeru Hayakawa turut terlibat sebagai pemandu pembangunan bagi transmisi baharu ini.
GR Yaris dengan nombor 109 dilaporkan telah menyertai Toyota GAZOO Racing Rally Challenge pusingan satu di Akitakata, Jepun pada 13 Mac lalu.
Transmisi automatik ini merupakan rekaan baharu sepenuhnya dengan lapan kelajuan menggunakan torque converter.
Pertukaran transmisi pula menggunakan gear planetary yang mana nisbah gearnya telah diletakkan secara bersilang.
Transmisi automatik yang dibangunkan ini tidak hanya memfokuskan kepada penjimatan bahan api malah turut memberikan pengalaman menyeronokkan dalam pertukaran gear yang pantas dan selesa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Akio Toyoda, GR Yaris pada asalnya merupakan sebuah kereta sports dengan transmisi manual.
“Akan tetapi transmisi automatik baharu yang digunakan dalam perlumbaan tersebut turut memberikan aksi yang kompetitif.
“Mungkin penggunaan transmisi automatik pada hadapan akan lebih baik berbanding manual,” tambahnya lagi.
Transmisi baharu lapan kelajuan ini boleh menukar gear menggunakan paddle shift namun menurut pasukan pembangunan projek ini, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan pertukaran gear lebih pantas pada posisi D semata-mata.
HARI kedua Vios Challenge menyaksikan persaingan sengit di litar dimana pemandu-pemandu dalam kesemua kelas nampaknya telah ‘panaskan enjin’ untuk permulaan musim kelima Toyota Gazoo Racing Festival.
Aksi sengit dalam semua kelas perlumbaan kali ini memperlihatkan pemandu muda bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman.
“Format perlumbaan one-make Vios Challenge, pertambahan pemandu muda, dan penekanan kami terhadap Gazoo Racing Young Driver Development Program nampaknya memberikan hasil signifikan di litar,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
“Ia menyeimbangkan persaingan antara pemandu lebih muda dengan yang lebih berpengalaman, dan memberikan lebih kualiti dalam perlumbaan,” tambahnya.
Super Sporting Class
Pemandu veteran Eddie Liew bermula dari petak keempat untuk terus ke depan hingga tamat perlumbaan 20 pusingan itu.
Persaingan tempat kedua dan ketiga untuk kelas Super Sporting cukup sengit dengan lebih lima pemandu cuba merebutnya. Ini memberikan kelebihan kepada Liew di depan untuk mencipta jarak dari tiga hingga 10 saat.
Pemandu pasukan Laser Motor Racing itu menjuarai pelrumbaan dengan jarak selesa 5.58 saat di depan pemenang tempat kedua.
Rookie Class
Dalam kelas Rookie untuk pemandu-pemandu muda pula, Sharique Zulkarinain yang berusia 18 tahun memperoleh podium untuk kedua-dua pusingan pada hujung minggu itu (tempat pertama untuk Race 2, tempat kedua untuk Race 1).
Tempat kedua ialah Muizz Musyaffa (20 tahun), manakala Muhammad Hamdany Abdul Hamid di tempat ketiga.
Sporting Class
Kategori Sporting Class menjana drama di litar tetapi di penghujung perlumbaan 20 pusingan itu, Benedict Anthony (Crestmax Motorsports) yang memenanginya.
Ini disusuli oleh Kenneth Koh (Panglima City Racing Team) dan Abdul Miqail (23 Motor) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Promotional Class
Untuk kategori selebriti ini pula, Shukri Yahaya memperoleh kemenangan setelah mendapat tempat kedua dalam Race 1 pada hari sebelumnya.
Walaubagaimanapun, Zizan Razak mencuri tumpuan kerana berjaya ‘memanjat’ dari tempat terakhir dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua!
Pengacara Nabil Ahmad pula menduduki tempat ketiga.
Menurut Zizan, “Saya memandang serius perlumbaan. Ianya sesuatu yang menarik minat saya sejak kecil.
“Dengan kerjaya hiburan saya, sedikit-sebanyak memberikan saya ruang untuk menyertai track day, dan berlumba dalam karting.
“Sampai satu tahap saya sedar yang saya kurang masa di litar dan sebab itu saya melabur dalam simulator untuk berlatih,” katanya.
Zizan menambah, “Ini membolehkan saya menambahbaik cara membrek dan racing line saya, dan dapat mengaplikasikannya dalam Vios Challenge.”
Shukri Yahaya dan Zizan Razak kini seri dalam mata kejuaraan, jadi pastinya mereka berdua akan bersaing lebih sengit dalam pusingan kedua nanti yang dijangka pada Jun depan.
Toyota GAZOO Racing yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2017 kini kembali untuk musim yang kelima.
Festival GAZOO Racing pada tahun ini akan memfokuskan kepada beberapa bahagian iaitu perlumbaan di dalam litar dan juga secara maya, melalui Festival Toyota GAZOO Racing dan GR Velocity Esports Championship.
Musim kelima ini akan membawakan Vios Challenge one-make series yang akan berlangsung sebanyak tiga pusingan. Pusingan pertama akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mac ini, diikuti dengan pusingan kedua pada 24 hingga 26 Jun dan pusingan akhir pula akan berlangsung pada 23 hingga 25 September nanti.
Perlumbaan kali ini juga akan dibahagikan kepada empat kelas perlumbaan iaitu promotional, super sporting, sporting dan rookie.
Selain itu, pelumbaan ini akan dilangsungkan secara maya dengan penganjuran GR Velocity Esports Championship musim kelima. Acara ini telah menarik hampir 1000 orang peserta dan satu juta tontonan sejak diperkenalkan pada tahun 2018.
Dalam masa sama, Toyota dan GAZOO Racing akan memperkenalkan beberapa model baharu versi GR dan GR-Sport untuk tahun 2022. Untuk rekod, sehingga kini hanya terdapat tiga model sahaja yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu GR Supra, GR Yaris dan GR-Sport Vios.
Di samping itu, UMW Toyota Motor juga merancang untuk melebarkan rangkaian GR Garage ke seluruh negara. Ini termasuk tawaran bagi pembelian alat ganti aftermarket secara komprehensif dan juga cenderahati buat pemilik Toyota dan juga versi GR.
GAZOO Racing juga turut mengumumkan juara tiga kali Vios Challenge bagi kategori super sporting class, Tengku Djan Tengku Mahaleel selaku duta bagi festival ini.
PERLUMBAAN penutup bagi Season 4 Toyota Gazoo Racing dan Vios Challenge malam tadi menyaksikan drama dan aksi ditemani hujan renyai-renyai. Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk kesemua empat kelas kejuaraan.
Prince of Drift Malaysia yang juga duta Toyota Gazoo Racing Malaysia, Tengku Djan menamatkan perlumbaan dengan merangkul kejuaraan ketiganya dalam kategori Super Sporting.
Sementara itu, Clement Yeo dalam kategori Sporting memenangi kejuaraan pertama beliau manakala Shukri Yahaya akhirnya memenangi kejuaraan keseluruhan bagi kateogir Promotional.
Bagi kategori Rookie, pelumba muda yang berpengalaman dalam simulator, Naquib Azlan menjuarai kategori ini.
Perlumbaan finale semalam yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang menyajikan antara aksi paling sengit sepanjang musim dengan tidak kurang dari tiga pelumba yang merebut kejuaraan keseluruhan.
“Dengan musim mencabar disebabkan pandemik, kami tetap bersyukur dapat menamatkan kejuaraan,” kata Akio Takeyama, Chief Motorsport Officer untuk Toyota Gazoo Racing Malaysia.
“Pengenalan perlumbaan malam juga menjadikan Vios Challenge lebih sukar dijangka dan ia menyeronokkan bagi pelumba serta penonton.”
“Kami akan kembali lagi musim depan, dan diharapkan dengan acara lebih besar!” tambah Takeyama.
Perlumbaan finale malam tadi juga dihadiri oleh Menteri Belia dan Suka, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu yang sempat bertemu dengan pelumba-pelumba dalam kategori Rookie dan Promotional.
PUSINGAN kedua Vios Challenge di Litar Antarabangsa Sepang menandakan kembalinya aksi untuk musim ke-4 siri perlumbaan itu dan ia mencatat lebih dua juta penonton online.
Dalam dua hari perlumbaan (Sabtu dan Ahad) itu juga, ia menyajikan aksi perlumbaan keadaan jalan kering dan basah berikutan musim hujan. Ini juga memberikan cabaran kepada barisan pelumba baharu dan sedia ada.
Perhatian pusingan kali ini tertumpu kepada pemandu baharu yang juga seorang pelumba Touring Car, iaitu Mitchell Cheah yang menjuarai perlumbaan. Turut menjadi tumpuan ialah pelakon Shukri Yahaya yang merekodkan keputusan terbaiknya dalam siri ini dengan kemenangan dalam kedua-dua Race 1 dan Race 2.
“Melihat dari aksi dalam dan luar litar, jelas sekali semua orang teruja untuk kembali berlumba,” ulas Akio Takeyama, Chief Motorsport Officer untuk Gazoo Racing Malaysia.
“Sebagai penganjur, salah satu cabaran kami sepanjang hujung minggu bukanlah menguruskan perlumbaan, tetapi memastikan semuanya selamat dan mematuhi SOP bagi membendung dari Covid-19,” tambahnya.
Untuk masa ini, acara Vios Challenge masih diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton awam, selari dengan SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
SUPER SPORTING CLASS
Tidak seperti Race 1 dalam cuaca panas, Race 2 pula ditemani hujan, membuatkan pemandu bukan sahaja menghadapi cabaran litar yang licin, tetapi juga penglihatan terhad.
Tetapi keadaan ini menyebelahi Syafiq Ali dari M7 Japan Project Team yang melonjak ke tempat keempat di selekoh pertama sambil diekori rapat rakan sepasukannya, Faidzil Alang.
Tetapi aksi pusingan pertama itu terbantut apabila Safety Car terpaksa masuk selama tiga pusingan, dengan Syafiq di depan Faidzil, diikuti oleh Hayden Haikal yang bermula dari petak depan, serta Mitchell Cheah di tempat keempat.
Mark Darwin (Laser Motor Racing) di tempat kelima manakala pendahulu kejuaraan, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel di tempat keenam.
Mark berpusing dan terbabas memasuki selekoh pertama selepas Safety Car keluar, dan kehilangan masa lalu jatuh ke tempat ke-12.
Pertarungan di depan begitu sengit antara Cheah yang cuba menggugat kedudukan. Selepas memotong Hayden, dia kemudiannya bersaing dengan Faidzil untuk tempat kedua lalu terus mengejar Syafiq yang berada 2.1 saat di depan.
Dengan keadaan semakin buruk, Safety Car dipanggil pada pusingan ke-10, ‘memadamkan’ sebarang jarak yang telah dibuat oleh Syafiq, dan disebabkan hujan semakin lebat, bendera merah dinaikkan dan perlumbaan dihentikan.
Perlumbaan dimulakan semula beberapa minit kemudian, sekali lagi di bawah kawalan Safety Car, dan dengan berbaki satu pusingan Syafiq bertahan dan terus menjadi juara. Dia hanya berjarak separuh kereta dari Cheah di tempat kedua, dan Faidzil di tempat ketiga.
SPORTING CLASS
Dengan keadaan jalan basah, hujan membuatkan Adam Khalid (Crestmax Motorsport) perlu memberikan impak besar, dimana beliau mara dari tempat ke-15 di petak mula untuk memenangi perlumbaan 20 pusingan itu.
Adam tamat di depan Mirza Syahmi Mahzan (Aylezo Motorsport) dan Eric Yong di tempat ketiga.
ROOKIE CLASS
Dalam Rookie Class, Amer Harris yang berusia 17 tahun merupakan pelumba muda terbaik keseluruhan.
Beliau menjuarai perlumbaan di depan pelumba sebaya Mika Hakimi dan Putera Adam yang berusia 14 tahun. Ia merupakan kemenangan podium kedua Amer pada hujung minggu itu dimana beliau tamat Race 1 di tempat ketiga.
PROMOTIONAL CLASS
Keputusan Race 2 dalam kelas ini hampir sama dengan Race 1 dimana pelakon Shukri Yahaya memperoleh kemenangan kedua dalam perlumbaan sengit 18 pusingan itu, tamat 7.1 saat di depan pengacara Nabil Ahmad. Di tempat ketiga ialah Zizan Razak.
Bermula dari petak ketiga, Shukri memberikan tekanan dari mula selepas beliau memotong Wany Hasrita, Akio Takeyama, dan Nabila Razali serta Khai Bahar.
Dengan dua kemenangan itu, Shukri dan Zizan kini merebut kejuaraan keseluruhan dalam Promotional Class.
Pusingan ketiga dan terakhir untuk Vios Challenge musim ini akan diadakan pada 20 dan 21 November ini di Litar Anatarabangsa Sepang sekali lagi, kali ini perlumbaan malam!