fbpx

Toyota GR Supra Matte White Edition – 50 unit, untuk pasaran Jepun sahaja

Toyota GR Supra matte white edition 01

Toyota telah memperkenalkan satu lagi model edisi terhad GR Supra khas untuk pasaran Jepun. Dikenali sebagai Matte White Edition, model ini hanya boleh didapati dengan transmisi manual dan pengeluarannya pula terhad kepada 50 unit sahaja.

50 unit bukanlah satu jumlah yang besar dan menyedari bahawa model ini bakal menjadi rebutan ramai, Toyota akan memilih pembeli menerusi cabutan loteri. Pendaftaran dibuka pada 20 dan 21 Julai lalu di laman web Toyota Gazoo Racing.

Jadi, apa yang istimewa mengenai model ini? Pertama sekali, ia didatangkan dalam warna eksklusif Matte Avalanche White Metallic yang dipadankan dengan aksen hitam pada bahagian splitter depan, skirt sisi, cermin sisi, tiang A, diffuser dan pelbagai lagi.

Melengkapkan rupa paras agresif jentera ini adalah rim tempaan berukuran 19 inci yang didatangkan dalam warna Frozen Gunmetal Grey dan angkup brek berwarna merah. Jika dilihat, ia mirip model A91-MT Edition yang diperkenalkan pada April lalu.

Ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit berwarna coklat yang membaluti tempat duduk, panel pintu, stereng dan juga konsol tengah. Turut diberikan adalah plat gentian karbon pada papan pemuka yang tertera tulisan “GR Supra”, “Matte White Edition” serta lakaran model itu.

Model edisi terhad ini berasaskan varian tertinggi untuk pasaran Jepun iaitu RZ, jadi ia sarat dengan kelengkapan termasuk pad pengecas wayarles pada konsol tengah, port USB, sistem audio premium JBL dengan 12 pembesar suara dan skrin sentuh 8.8 inci untuk sistem infohibur.

Selain itu, tiada sebarang perubahan pada enjin. Seperti versi standard, model ini dipacu oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 387 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.

GR Supra Matte White Edition dijual pada harga 7,890,000 yen (RM257,210), iaitu 577,000 yen (RM18,800) lebih mahal berbanding varian RZ ‘standard’.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved