fbpx

Toyota Gazoo Racing S5R2 penuh aksi perlumbaan hujan, peminat kembali selepas dua tahun

toyota gazoo racing s5r2 22

RIBUAN peminat dan pengunjung membanjiri Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Vios Challenge Season 5 Round 2 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lepas selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.

Pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sampingan seperti berbasikal, skuter, roller blade, papan luncur, dimana mereka dapat menunggangnya di Litar Antarabangsa Sepang. Aktiviti lain termasuklah zumba dan konsert oleh Bunkface serta Judika.

Super Sporting Class

Sementara itu di litar, perlumbaan Race 2 Vios Challenge dalam TGR Season 5 menyaksikan drama mendebarkan dengan disebabkan hujan semasa Super Sporting Class. Perlumbaan pada mulanya ditangguhkan selama 25 minit dan kemudiannya dimulakan dengan Safety Car sebanyak dua pusingan.

Selepas Safety Car kembali ke paddock, Fariqe Hairuman (M7 Japan Project Team) terus mendahului perlumbaan. Kemudian bermulalah aksi apabila Hayden Haikal (Axle Motorsport) cuba untuk merebut posisi pertama.

Hayden berjaya memotong Fariqe dengan Mark Darwin (Laser Motor Racing) mengekori di belakang. Posisi pertama bertukar-tukar selama 10 pusingan, dan penonton menjangkakan aksi ini berterusan.

Tetapi Tengku Djan (Prima Pearl TD Racing) mencuri tumpuan dengan mencatatkan masa pusingan terpantas ‘memanjat’ dari kedudukan ke-12 dan terus menjuarai perlumbaan dengan 1.5 saat di depan Mark, manakala Hayden di tempat ketiga.

Tengku Djan berkata: “Sepang merupakan litar yang sangat mencabar, keadaannya boleh banyak berubah dan racing line yang biasa digunakan boleh menjadi sangat licin. Jadi pemandu perlu meneroka racing line baharu untuk mengambil selekoh.”

Rookie Class

Dalam Rookie Class, Muhammad Hamdany memperoleh kejuaraan pertamanya dari rekod podium empat kali dalam empat musim setakat ini.

Pelumba gokart berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu tamat di depan pelumba simulator Nabil Azlan, manakala satu-satunya pemandu wanita dalam kategori ini, Adele Lew di tempat ketiga.

Sporting Class

Pelumba-pelumba dalam Sporting Class mempamerkan aksi mengujakan di litar dengan Naquib Azlan (Axle Motorsport) mendominasi kedua-dua perlumbaan pada Sabtu dan Ahad.

Di tempat kedua dan mungkin paling mengejutkan adalah Abdul Miqail (23 Motors) diikuti oleh Ahmad Tarmimi Tahang (M7 Japan Project Team).

Promotional Class

Drama tidak kurang juga dalam Promotional Class yang menyaksikan Zizan Razak dan Shukri Yahaya berada di depan perlumbaan sama seperti Race 1 pada hari sebelumnya.

Menjadi pemandu kegemaran perlumbaan, Zizan mensasarkan kemenangan kedua dan terus berada di depan sebelum menghadapi masalah teknikal dengan kotak gearnya. Ini ‘memaksa’ beliau jatuh di tempat kelima.

Shukri menjadi yang terawal untuk mengambil kesempatan di atas isu ini, tetapi malangnya menghadapi masalah sama dan ini memberi peluang untuk Nabil Ahmad merampas posisi pertama.

Dengan perlumbaan berbaki dua pusingan, Wany Hasrita dan Janna Nick terus memintas Zizan dan Shukri untuk merangkul tempat kedua dan ketiga.

Di tempat keempat adalah Nabila Razali, diikuti Shukri dan Zizan di tempat kelima dan keenam.

Pusingan ketiga (Season 5 Round 3) untuk TGR dijadualkan berlangsung pada September depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved