fbpx

Honda HPD Civic Si FE1 untuk kaki motorsport tegar

honda civic fe hpd 04

SUKAN permotoran lazimnya melibatkan kos yang tinggi namun pada harga USD55,000 (RM242,140), adil jika dikatakan bahawa Honda HPD Civic Si FE1 ini adalah satu pilihan yang ‘mampu milik’ untuk mereka yang ingin bersaing secara kompetitif.

Ini kerana ia telah dibikin sepenuhnya oleh Honda Performance Development (HPD) dengan segala kelengkapan yang diperlukan untuk beraksi di litar lumba seperti sangkar keselamatan, trenkuasa yang dinaik taraf serta pakej elektronik.

Bukan itu sahaja, komponen-komponen yang tidak diperlukan seperti bumbung suria dan bahan penebat bunyi juga telah dibuang. Pendek kata, ia sedia untuk dilenjan sebaik sahaja kunci diserahkan kepada pelanggan.

Seperti Civic Si versi produksi, jentera ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Bagaimanapun, enjin tersebut telah diberikan beberapa penambahbaikan seperti cagak Hasport, sistem ekzos Borla dan beberapa peringkat kuasa (BoP).

Transmisi berkenaan turut diperkukuhkan oleh HPD dengan gear keempat berkekuatan tinggi. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi Limited Slip Differential Cusco. Jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan, namun ia pastinya lebih tinggi berbanding 200hp dan 260Nm yang ada pada versi standard.

Selain itu, sistem suspensi Civic Si FE1 juga menerima sentuhan HPD. Divisyen itu menggunakan peredam Bilsten berkembar boleh laras, berserta camber plate dan lengan atas boleh laras pada bahagian belakang.

Rim asal pula telah digantikan dengan unit Enkei RPF1 berukuran 17 inci, manakala sistem brek terdiri daripada cakera terapung berslot dan angkup Superlite enam piston, kedua-duanya keluaran Wilwood. Turut disertakan adalah hos brek jalinan keluli.

Seperti yang diperkatakan, jentera ini didatangkan dengan sangkar keselamatan bertaraf FIA. Di samping itu, terdapat juga tempat duduk OMP, abah-abah enam poin dan panel instrumen Motec C127 dan pengelog data dengan lampu shift LED.

Civic Si FE1 akan dipasang di kilang pengeluaran Honda di Marysville, Ohio, iaitu lokasi yang sama untuk pengeluaran NSX. Ini bermakna, seperti versi asal, ia mungkin tidak akan ditawarkan di pasaran lain selain Amerika Utara.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved