Arkib Tag: tiktok

JPJ beri amaran kepada pemandu bas buat ‘live’ di TikTok

PEMANDUS bas ekspres yang didapati membuat live melalui aplikasi TikTok akan dikenakan tindakan serta-merta pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, pegawai penyamaran akan ditempatkan di dalam setiap bas ekspres bagi memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan itu.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak sedemikian juga sangat dialu-alukan.

“Mereka boleh menghantarkannya kepada kami berserta tarikh dan lokasi perjalanan bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan.

“Sebelum ini, memang ada kes seperti ini (pemandu menggunakan telefon bimbit dan membuat siaran langsung melalui TikTok) tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini.

“Namun jika dikesan melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan terus. Bagaimanapun, perjalanan tetap boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita.

Pada operasi itu, beliau turut melakukan pemeriksaan pada bas ekspres menggunakan peralatan khusus bagi memastikan ketebalan tayar supaya tidak botak, selain lampu isyarat berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, Lokman memaklumkan sepanjang Ops HRA 2024 hingga kini, lima pemandu bas ekspres didapati positif dadah jenis methamphetamine membabitkan dua di Sarawak; Kota Bahru, Kelantan (satu); dan Alor Setar (dua).

Beliau berkata, dua pemandu berusia 31 dan 67 tahun di Alor Setar terbabit dikesan mengambil bahan terlarang itu, ketika menjalani ujian saringan air kencing secara rawak di Terminal Bas Shahab Perdana, malam tadi.

Pasangan UK ini buat parodi ASMR Bentley… guna Proton Saga!

JIKA anda sering meluangkan masa di aplikasi Tiktok dan anda sorang kaki kereta, algoritma pasti akan membawa anda menonton trend ASMR Bentley. Ramai pengguna Tiktok telah menghasilkan versi mereka sendiri yang lebih kelakar dari video asal.

Walaupun banyak versi tempatan kita dapat lihat dimana orang Malaysia menggunakan kereta-kereta seperti Perodua Myvi dan Axia, ada satu video menggunakan Proton Saga yang boleh menang jika ini merupakan satu pertandingan. Video ini bukan dihasilkan oleh orang Malaysia, sebaliknya oleh pasangan UK (United Kingdom)!

Jon Coupland, seorang warga UK yang juga peminat serta pengumpul Proton telah menggunakan akaun Tiktoknya untuk menghasilkan video tersebut. Dilihat Amy, isterinya membuat video parodi untuk ASMR Bentley menggunakan sebuah Proton Saga putih.

Dia menulis, “Feel and hear the luxury (rasai dan dengarkan kemewahannya)”.

Dalam video itu, Amy meniru semua kata-kata dan perbuatan model ASMR Bentley, dengan membisik “Proton” sebelum menyentuh logo pada bonnet depan kereta.

Dia juga memainkan jarinya pada gril dan rim Saga sebelum masuk ke dalam dan meneruskan babak-babak parodi dari video asal.

Bagi kami, video inilah terpaling ‘win’ untuk kategori ASMR Bentley ini.

@joncouplandcars Feel and hear the luxury🤣 #bentleygirl #bentleygirlmeme #bentley #asmr #proton #parody #asmrcar #funny #luxurylifestyle #car #protonsaga #protonsagaiswara #saga #protonuk #protonmalaysia ♬ original sound – Jon Coupland

Jika anda merupakan pembaca tegar Engear, anda pasti perasan bahawa nama Jon Coupland tidak asing di sini. Kami sebelum ini pernah membuat liputan dimana Proton Saga Black Knight miliknya memenangi acara berprestij Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 di UK.

Kereta beliau juga pernah dipamerkan di Royal Automobile Club, London yang merupakan sebuah kelab eksklusif.

Honda Jet dah ada program Pre-Owned, sesuai untuk para trader TikTok

RAMAI yang mengimpikan memiliki jet peribadi sendiri, tetapi biasalah, ianya super mahal. Malah lebih mahal dari supercar. Jet peribadi juga kurang ‘mesra alam’ dan menggunakan banyak bahan api. Jadi, dari sudut alam sekitar juga satu hal yang besar.

Tetapi kini Honda menawarkan satu alternatif yang sedikit lebih mesra poket. Sedikit sahaja. Honda Aircraft Company melancarkan program Certified Pre-Owned (CPO) atau program pra-milik sah pertama mereka, sama seperti kereta-kereta Honda (di pasaran luar).

Jadi ini membolehkan orang yang berminat memiliki jet peribadi untuk membeli unit terpakai pada harga lebih rendah.

“Memandangkan permintaan HondaJet terus meningkat, pesawat pra-milik menjadi suatu titik penting untuk komuniti syarikat ini,” kata Amod Kelkar, ketua pegawai komersial Honda Aircraft Company.

“Program CPO meneruskan komitmen kami untuk terus menawarkan semua aspek pemilikan jangka masa panjang dan memastikan pemilik HondaJet, sama ada sekarang atau akan datang, dapat memiliki pengalaman terbaik, tidak kira di saat mana dalam pemilikan mereka,” tambahnya.

Harus diingat jet peribadi ialah suatu kenderaan yang terbang di udara, aspek keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, jadi penting untuk kita memastikan ianya datang secara terus dari pengeluaranya. Honda juga memberi jaminan akan kualiti dan sokongan untuk pelanggan CPO.

Semua pesawat HondaJet di bawah program ini akan menjalani pemeriksaan menyeluruh, dengan penyelenggaraan pakar, dan macam-macam lagi bagi memastikan ia selamat dan beroperasi dengan baik.

Selain dari pemeriksaan 208 poin, semua pesawat CPO akan dinaik taraf kepada prestasi terkini yang ada. Sementara itu, anda sendiri boleh ‘menaik taraf’ diri anda dengan menjalani sesi FlightSafety Initial Pilot Training.

Barisan pesawat HondaJet kini melebihi 230 unit seluruh dunia dengan gabungan jam penerbangan 185,000 merangkumi Amerika, Eropah dan Asia.

Ini barulah jet yang sesuai untuk para trader dan scammer di Tiktok, lebih baik dari jet tidak bergerak yang hanya parkir di hangar.

Budak 5 tahun dapat hadiah hari jadi Mercedes-Benz G-Wagon

SEMASA anda berumur lima tahun, hadiah apa yang anda dapat untuk hari jadi? Apa pun jawapan anda, penulis pasti ia tidak setanding dengan apa yang diterima oleh kanak-kanak bertuah bernama Fatima ini.

Manakan tidak, sempena sambutan hari lahirnya yang kelima baru-baru ini, Fatima menerima hadiah idamannya yang berupa sebuah Mercedes-Benz G-Class!

SUV yang lebih dikenali sebagai G-Wagon itu dihadiahkan oleh ibunya sendiri, Farhana Zahra yang merupakan seorang usahawan kosmetik tempatan.

@farhanazahra91 Hari tu alasan dia xnak g school sbb belom birthday dia so xcukup lagi 5 tahun , sekarang dia mintak cikna BMW dengan G wagon plak baru nak g school, bmw cikna tahu la , g wagon menatang hape weyh??? 😭😭😭#farhanazahra91 #fypシ #fyp ♬ original sound – Farhana Zahra

Dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada 31 Mac lalu, Farhana bertanyakan Fatima, apa yang anaknya itu mahu sebagai hadiah hari jadinya yang kelima.

Dengan bersahaja, Fatima berkata yang dia mahukan sebuah G-Wagon dan sebuah BMW berwarna hijau. Apabila ditanya apa yang hendak dilakukan dengan kereta itu, si anak berkata ingin membawanya ke sekolah.

Pada 10 April, Farhana memuat naik satu lagi video TikTok yang menunjukkan reaksi Fatima apabila melihat SUV mewah bernilai jutaan ringgit itu dipersembahkan di dalam ‘kotak hadiah’ lutsinar gergasi.

@farhanazahra91Happy birthday Nur Fatima Az zahra yang ke 5 ❤️❤️❤️ happy dia dapat G Wagon yang dia nak, sampai dia asyik mintak nak pegang kunci je hahaha♬ original sound – Farhana Zahra

Kanak-kanak perempuan itu ternyata gembira dan tersenyum lebar sampai ke telinga apabila menyedari permintaannya ditunaikan oleh ibunya.

Menerusi kapsyen yang ditulis, Farhana berkata anaknya itu sangat teruja sehinggakan dia tidak berhenti meminta untuk memegang kunci kereta itu.

Usahawan itu juga berkongsi harapannya agar hadiah itu dapat mendorong anaknya agar terus rajin ke sekolah dan mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

Kerja pemandu e-hailing boleh beli Nissan GT-R? Lelaki ini buktikan ia tidak mustahil

DENGAN harga yang bermula dari ratusan ribu ringgit untuk unit terpakai dan jutaan ringgit untuk unit baru, Nissan GT-R bukanlah sebuah kereta yang boleh dikategorikan sebagai ‘mampu milik’.

Malah, kos penjagaannya juga amat tinggi dan ini menyebabkan GT-R hanya mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar berduit.

Bagaimanapun, dalam satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @koocester, seorang lelaki dari Singapura membuktikan bahawa memiliki supercar bergelar Godzilla itu bukanlah sesuatu yang mustahil walaupun hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Ketika ditanya mengenai pekerjaannya, pemandu berbaju T hitam itu dengan tenang menjawab beliau hanyalah seorang pemandu Grab dan Lalamove.

Apabila disoal bagaimana beliau mampu membeli sebuah GT-R pula, pemuda itu berkata beliau berjimat cermat.

@koocesterAs a former pandarider, it is possible! Respect the hustle!♬ original sound – Koocester

Beliau juga sempat memberi nasihat kepada golongan muda supaya rajin menyimpan, elakkan berboros, berbelanja dengan bijak dan juga berkongsi rezeki bersama ibu bapa.

Menerusi komen yang ditinggalkan, rata-rata netizen seakan tidak percaya bahawa pemuda itu hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing. Tidak kurang juga ada yang mengatakan beliau mungkin salah seorang pengasas Lalamove atau mempunyai saham di syarikat tersebut.

Anda sebagai pembaca boleh memilih untuk mempercayainya atau tidak, namun tidak boleh dinafikan bahawa nasihat yang diberikan itu memang benar.

Terus pandu lori ke hospital selepas kemalangan demi selamatkan kelindan tersepit

DEMI menyelamatkan nyawa kelindannya yang cedera parah, seorang lelaki sanggup menahan kesakitan untuk memandu lorinya yang remuk ke hospital sejurus selepas kemalangan.

Video yang tular di TikTok itu menunjukkan pemandu berkenaan dalam keadaan cemas selepas melihat kelindannya yang tersepit akibat kemalangan itu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada 7 Februari lalu membabitkan lori berkenaan dan sebuah mesin padi di Jalan Sungai Korok di Jitra, Kedah.

“Bagaimanapun, pihak hospital tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kes ini.

“Pesakit dipercayai memandu sendiri lori berkenaan ke HJ (Hospital Jitra) dan berhenti betul-betul di hadapan Unit Kecemasan dan Trauma hospital.

@ismailtowing24jamAllahuakbar..Tersepit dalam lori..♬ bunyi asal – IsmailTowing24jam

“Anggota kecemasan kemudian membantu segera serta mengeluarkan pesakit dari lori berkenaan,” katanya.

Menurut Dr Othman lagi, pemandu lori terbabit mengalami kecederaan ringan manakala kelindan lori tersepit di bahagian tempat duduk dan berjaya dikeluarkan.

Pesakit (kelindan) dibawa dengan segera ke Zon Merah untuk diberi rawatan manakala pemandu lori diberi rawatan sebagai pesakit luar.

“Kelindan lori mengalami kecederaan dalam abdomen dan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pekerja rajin terima hadiah sebuah Proton Saga dari majikan

SEORANG majikan menghadiahkan seorang pekerja asingnya yang berbangsa Indonesia sebuah Proton Saga sebagai tanda penghargaan atas kegigihannya.

Menerusi satu video Tiktok yang dimuat naik oleh seorang perunding jualan Proton menerusi akaun @viviproton, pekerja berkenaan dilihat tiba ke bilik pameran bersama majikannya.

@viviproton 很有福气的一位员工 老板送大礼给他作为奖励🎁🎁 顾客说 这是他一位很好地员工 👍#viviproton #汽车销售顾问 #congratulations #proton #sales #advisor #johor #送员工的礼物 ♬ 原聲 – Hs Vivi Proton

Beliau kemudiannya menunjukkan reaksi teruja dan terharu sebaik sahaja menyedari kereta yang dihiasi dengan reben merah itu adalah pemberian daripada majikannya. Beliau juga dirakam memeluk kereta baharunya itu dan menghidupkan enjin sambil tersenyum lebar.

Menurut laporan, Xu Hui Xing merupakan seorang majikan di sebuah syarikat pengeluar pakaian di Pontian, Johor, manakala Yanto merupakan kakitangannya yang telah berkhidmat di syarikat itu selama 10 tahun.

Berdasarkan video Tiktok itu, Xu dikatakan telah menghubungi perunding jualan tersebut untuk bertanya jika mereka mempunyai stok Saga yang tersedia kerana beliau mahu menghadiahkannya kepada seorang pekerjanya.

Xu berkata bahawa Yanto merupakan seorang pekerja yang sangat rajin dan beliau memutuskan untuk menghadiahkan sebuah kereta sebagai ganjaran.

Sementara itu, China Press berkata Xu telah membuat pembayaran penuh untuk Saga berkenaan dan mendaftarkannya di bawah nama Yanto memandangkan pekerja asing tidak dibenarkan untuk membuat pinjaman sewa beli kenderaan di Malaysia.

Ini sebab kenapa Haqiem Stopa dijemput beri ceramah di sekolah

Sejak kebelakangan ini, media sosial kecoh dengan cerita seorang ‘mat rempit’ yang dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Individu yang diperkatakan itu adalah Haqiem Stopa, seorang influencer yang mempunyai lebih 875,000 pengikut di TikTok. Namanya mula menjadi sebutan selepas diangkat sebagai ikon permotoran anak muda oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Mei lalu.

@haqiemstopa_starlive_oe

Trima Kasih SMK Sungai Besi 🤙🏻 #haqiemstopa #fyp #fypシ #matrempit

♬ original sound – Haqiem_stopa – Haqiemstopa

Dalam satu video pendek yang dimuat naik pada Selasa, 5 Julai lalu, Haqiem Stopa dilihat sedang berjalan dengan bertongkat sambil diiringi beberapa orang individu. Beliau menuju ke sebuah dewan, di mana beliau menyampaikan ucapan di hadapan murid-murid sekolah berkenaan.

Video pendek berdurasi 20 saat itu diiringi kapsyen “Terima kasih SMK Sungai Besi” dan tanda pagar #matrempit.

Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi dan komen dari netizen yang rata-rata mempersoalkan keputusan pihak sekolah untuk menjemput Haqiem Stopa sebagai penceramah.

Sumber gambar: Instagram @haqiem_stopa

Malah tidak kurang juga yang khuatir bahawa perwatakan ‘mat rempit’ yang dibawa oleh Haqiem Stopa akan memberikan pengaruh buruk kepada pelajar-pelajar sekolah.

Bagi meredakan keadaan, pihak penganjur majlis tersebut telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut. Dalam satu hantaran di Facebook, Rizan Hassan berkata Haqiem Stopa dijemput bagi menjayakan program Cerita Orang Gagal (COG) yang berkisarkan tentang ‘peluang kedua’ dalam kehidupan.

Untuk tahun ini, mesej yang ingin disampaikan oleh COG adalah ‘Buli Itu Jenayah’. Kehadiran Haqiem Stopa ke majlis tersebut dilihat bertepatan memandangkan beliau sering menjadi mangsa buli dan kecaman di media sosial.

Sumber gambar: Facebook Meja Kerja Rizan Hassan

“Nama beliau mula dikenali selepas mencetuskan provokasi di media social dan juga terperangkap dengan persepsi politik terhadap beliau. Menerima kecaman, penghinaan, kutukan, ancaman yang hebat yang juga dikira sebagai buli di alam maya,” kata Rizan Hassan menerusi hantarannya.

Tambah Rizan lagi, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pihak sekolah. Penceramah juga tidak dibayar, malah kos perjalanan dan penginapan ditanggung sendiri. Bukan itu sahaja, pihak sekolah juga tidak memberikan sebarang sumbangan kepada pihaknya kecuali sijil penghargaan dan jamuan.