fbpx

Honda Jet dah ada program Pre-Owned, sesuai untuk para trader TikTok

honda jet pre owned 02

RAMAI yang mengimpikan memiliki jet peribadi sendiri, tetapi biasalah, ianya super mahal. Malah lebih mahal dari supercar. Jet peribadi juga kurang ‘mesra alam’ dan menggunakan banyak bahan api. Jadi, dari sudut alam sekitar juga satu hal yang besar.

Tetapi kini Honda menawarkan satu alternatif yang sedikit lebih mesra poket. Sedikit sahaja. Honda Aircraft Company melancarkan program Certified Pre-Owned (CPO) atau program pra-milik sah pertama mereka, sama seperti kereta-kereta Honda (di pasaran luar).

Jadi ini membolehkan orang yang berminat memiliki jet peribadi untuk membeli unit terpakai pada harga lebih rendah.

“Memandangkan permintaan HondaJet terus meningkat, pesawat pra-milik menjadi suatu titik penting untuk komuniti syarikat ini,” kata Amod Kelkar, ketua pegawai komersial Honda Aircraft Company.

“Program CPO meneruskan komitmen kami untuk terus menawarkan semua aspek pemilikan jangka masa panjang dan memastikan pemilik HondaJet, sama ada sekarang atau akan datang, dapat memiliki pengalaman terbaik, tidak kira di saat mana dalam pemilikan mereka,” tambahnya.

Harus diingat jet peribadi ialah suatu kenderaan yang terbang di udara, aspek keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, jadi penting untuk kita memastikan ianya datang secara terus dari pengeluaranya. Honda juga memberi jaminan akan kualiti dan sokongan untuk pelanggan CPO.

Semua pesawat HondaJet di bawah program ini akan menjalani pemeriksaan menyeluruh, dengan penyelenggaraan pakar, dan macam-macam lagi bagi memastikan ia selamat dan beroperasi dengan baik.

Selain dari pemeriksaan 208 poin, semua pesawat CPO akan dinaik taraf kepada prestasi terkini yang ada. Sementara itu, anda sendiri boleh ‘menaik taraf’ diri anda dengan menjalani sesi FlightSafety Initial Pilot Training.

Barisan pesawat HondaJet kini melebihi 230 unit seluruh dunia dengan gabungan jam penerbangan 185,000 merangkumi Amerika, Eropah dan Asia.

Ini barulah jet yang sesuai untuk para trader dan scammer di Tiktok, lebih baik dari jet tidak bergerak yang hanya parkir di hangar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved