fbpx

Motosikal kustom yang dibina oleh kartunis Jerman ini ada 24 enjin ‘chainsaw’

dolmette motosikal kustom 24 enjin 01
Gambar oleh: The Drive

ANDA tahu apa yang menjadikan dunia kustom begitu menarik? Para pembina dalam scene ini tidak terikat dengan sebarang peraturan dan undang-undang.

Apabila diberikan kebebasan (dan bajet secukupnya) untuk berkarya, hasil air tangan individu-individu kreatif ini jarang sekali mengecewakan. Tak kurang juga ada rekaan yang betul-betul tak masuk akal.

Sebagai contoh, motosikal yang dikenali sebagai Dolmette ini mempunyai bukan satu atau dua atau 12, tetapi 24 silinder! Lapan silinder lebih banyak berbanding sebuah kereta Bugatti.

Gambar: dpa (AP)

Ia dihasilkan pada 2004 oleh seorang lelaki dari Jerman yang bernama Rötger Feldmann. Apa yang menarik, beliau bukan seorang pelumba atau mekanik profesional tetapi seorang kartunis dari Jerman yang terkenal dengan watak Werner.

Untuk projek kustom ini, Feldmann menggunakan 24 buah enjin dua lejang bersesaran 160 cc daripada gergaji rantai keluaran Dolmar. Enjin-enjin itu disusun dalam dua baris, 12 di sebelah kiri dan 12 lagi di sebelah kanan kerangka.

Apabila digabungkan, kesemua enjin tersebut mempunyai kapasiti keseluruhan mencecah 1.9 liter dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 170 hp dan 400 Nm. Untuk perbandingan, Suzuki Hayabusa mempunyai 190 PS dan 150 Nm sahaja.

Transmisi yang digunakan adalah unit lima kelajuan daripada motosikal Harley-Davidson, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang menerusi 12 tali sawat bergigi.

Untuk menghidupkannya, tiada butang penghidup enjin disediakan. Sebaliknya, penunggang perlu menghidupkan setiap enjin menggunakan teknik pull start seperti gergaji rantai yang sebenar.

Memang tidak praktikal tetapi agaknya itulah lumrah hidup dengan sebuah motosikal yang mempunyai 24 enjin.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved